Aku menghela nafas
panjang. Kertas-kertas ujian yang baruku terima sewaktu subjek Bahasa Inggeris
sebentar tadi sengajaku lambakkan di atas meja. Sesekali angin dari kipas yang
tidak terasa anginnya meniup-niup kertas di atas mejaku dan cuba untuk
menerbangkannya dengan cubaan yang sama sekali gagal. Entah apa masalah sekolah
ini, sudah berkali-kali kami membuat aduan tentang kipas-kipas usang dalam
kelas ini namun tidak mendapat reaksi positif dari pihak guru. Alasannya, kelas
kami berada di tingkat empat dan angin yang bertiup dari luar amat kuat, jadi
tidak perlulah diperbaiki kipas demi menjimatkan kos. Hakikatnya, disebabkan
kelas kami di tingkat empatlah kami perlukan kipas yang berfungsi dengan baik.
Angin di luar pun bukannya ada sangat. Dah sekolah di kawasan hutan batu, mana
nak ada angin. Sampai saja kelas, habis badan masing-masing berbau macam ikan
masin. Yang perempuan memanglah pandai sorokkan bau-bau kurang enak tu, tapi
yang lelaki….hishh… Hidung masing-masing dah tersumbat agaknya. Walaupun aku
pun lelaki sama dengan lelaki-lelaki bacin tu, tapi sekurang-kurangnya aku tahu
juga pakai deodorant & sembur minyak
wangi kalau rasa bau semacam tu dah naik. Nak buat macam mana, dah kelas tinggi
sangat. Bukannya ada lif pun. Terimalah seadanya…
Lamunanku tentang
bau-bau bacin tadi terbantut apabila tiba-tiba tangan seseorang menepuk
belakangku. Aku menoleh ke belakang, dan oh...mamat kacak ni rupanya.
“Cantik result kau?” mamat kacak itu bersuara.
“Uih...cantik.
Bukan takat cantik, kacak macam kau pun ada…” aku berseloroh dengan sengihan
hodoh.
“Markah bawah 60%
ni kau kata kacak macam aku? Hei Faz, tolonglah sedar sikit ye. Kalau nak kacak
macam aku ni paling kurang pun kena 99% okey?” Sungguh bongkak ayat-ayat si
mamat kacak ni tujukan padaku. Tapi aku tak ambil hati. Haikal Hakimi, kawan
sejak kecilku yang juga jiranku sememangnya berperangai begitu. Tapi aku tahu,
apa yang dikatakannya bukan bermaksud dia memperkecilkan orang tapi sekadar
peringatan mesra dalam bentuk gurauan kasar.
“Hei Fadzulfazri
anak Pak Fadzil. Kenapalah di zaman moden ni kau boleh tak terror Bahasa Inggeris? Punyalah senang nak master bahasa ni. Kita bukannya macam zaman atuk nenek kita dulu. English ni bahasa dunia you know!” sambung Hakimi. Ingatkan dah
habis tadi. Tahan sajalah duhai telinga…
“Tak, aku bukan
saja tak nak kuasai bahasa asing tu, tapi aku lebih sukakan dan cintakan bahasa
ibunda kita. Bahasakan jiwa bangsa. Tu bahasa kau tadi tu, habis kau campur
adukkan dengan bahasa asing, kan dah cacat jadinya..” entah angin apa yang
melanda, angin panas kot. Tanpa disengajakan aku membalas rungutan jejaka kacak
yang masih berdiri di sebelah ku ini.
Tidak semena-mena,
wajah putih bersih Hakimi berubah menjadi kemerah-merahan. Sepantas kilat juga
kedua-dua tangan Hakimi mencubit pipi kiri dan kananku sekuat mungkin hingga
menyebabkan aku menjerit kesakitan. Bayangkanlah, tenaga seorang lelaki, cubit
betul-betul pula tu. Kalau yang cubit tu perempuan, apatah lagi perempuan yang
bergelar ‘awek’, masih lagi boleh tersenyum kalau kena cubit kuat mana pun. Tapi
yang tengah cubit ni tenaga jantan! Aduh!
Dalam keadaan
meronta-ronta minta dilepaskan, aku sempat meneliti keadaan sekeliling secara
sekali imbas. Kelihatan rakan-rakan kelasku tertawa sesama sendiri. Ada yang
hanya tersenyum, ada juga yang menggelengkan kepala. Ada yang sempat ambil
gambar lagi! Hei, apa punya kawanlah! Nak upload
kat Facebooklah tu! Kepoh!
“Alasan!” Hakimi
menjerit dengan cubitan yang lebih kuat diberikan kepada pipiku. Makin kuatlah
aku menjerit. Mungkin suaraku kedengaran hingga ke kelas hujung.
“Yelah, yelah! Aku
menyerah! I give up! Surrender!
Bendera putih! Ni bendera putih, nampak tak?” jeritku sambil mengibar-ngibarkan
kertas ujian yang menjadi pemerhati setia tingkah laku keanak-anakkan kami
sejak tadi.
Malangnya, Hakimi
masih lagi enggan melepaskan aku. Marah sangatkah dia? Jeritanku masih lagi
kedengaran di seluruh kelas disertai pula dengan gelakan rakan sekelas yang
lain. Bila difikirkan, kami berdua seperti pasangan kekasih yang sedang
bertelagah atas perkara remeh-temeh. Tapi, aku bukan songsang! Aku lelaki
sejati! Ibu, tolong! Faz tak nak jadi gay!
‘Bamm!’
Terdiam kami semua
setelah kedengaran satu bunyi kuat seolah-olah bunyi buku teks yang dibaling ke
papan hitam.
“Senyap boleh tak?
Ini kelas, bukannya zoo!”
Naisa Arisa Haris,
gadis cantik yang pandai tapi tak manis dipandang sebab garang sangat dan tak
sosial yang punya angkara rupanya. Satu kelas sedia maklum tentang sifat Arisa
yang anti-sosial dan pemarah ni, tapi hari ni lain macam pula marahnya. Datang
bulankah?
Sedang kami
terpinga-pinga dengan tindakan luar jangkaan Arisa itu tadi, guru Matematik
kelas kami, Cikgu Eton tiba di kelas dalam keadaan tergesa-gesa.
“Tak perlu beri
ucapan salam atau selamat pagi atau apa-apa. Duduk di tempat masing-masing dan
lekas buka buku teks kamu, muka surat 38,” katanya tanpa menoleh ke kiri atau
ke kanan, lantas dicapainya kapur di papan hitam dan terus menulis
formula-formula yang agak malas untukku
ambil tahu.
“Faz, kau rasa Arisa
tu tengah angin apa ya?” soal Hakimi yang kini telah duduk di tempatnya yang
terletak di belakang tempat dudukku.
“Angin pus-pus.
Dahla, malas aku nak fikir pasal ni. Baik aku layan matematik ni, lagi bagus,”
jawabku tanpa memandang Hakimi.
“Macam minat
matematik je, hah, minatlah sangat!”
Apa yang dibebelkan
oleh Hakimi selepas itu tidakku endahkan, apa yang diajar oleh Cikgu Eton juga
tidak satu pun yang melekat di kepalaku. Entah mengapa, aku jadi berminat untuk
mengetahui misteri di sebalik seorang gadis anti-sosial yang bernama Naisa Arisa.
Kenapa? Betapa aku berharap yang aku ada jawapannya.
***
Sekembaliku dari
sekolah, satu perasaan yang sukarku terangkan tiba-tiba muncul. Memikirkan
perkara yang bakal aku tempuh sekiranya aku pulang ke rumah membuatkan aku
lemah, bosan, dan terasa seperti ingin menjerit sekuat-kuatnya dan kemudian
menghentakkan kepalaku di dinding hingga berdarah. Agak lama juga aku
termangu-mangu di hadapan pagar sekolah memikirkan apa yang perlu aku lakukan
sekarang namun aku segera beredar setelah melihat pengawal keselamatan sekolah
seperti ingin bertanya sesuatu kepada aku. Malas aku berborak panjang dengan
Pak Hamid yang sememangnya terkenal di sekolah dan di kejiranan berdekatan
dengan sifatnya yang suka bertanya. Pantang jika soalannya tidak dijawab, dia
akan bertanya sehingga dia berpuas hati. Dah macam polis pencen. Oh lupa pula,
Pak Hamid memang bekas polis. Jadi sifatnya itu sudah tidak dapat diubah lagi.
Aku berjalan
perlahan-lahan, masih lagi memikirkan apa yang patut aku lakukan sekarang.
Hendak ke rumah kawan, bukannya aku ada ramai kawan rapat. Hendak berdating, mana ada ‘awek’! Hendak ke pasar
malam, masih awal. Kakiku terus melangkah dan melangkah hinggalah aku tiba di
perhentian bas. Tanpa berfikir panjang, aku terus membuat keputusan untuk ke pusat
bandar yang jaraknya lebih kurang 30 kilometer dari tempatku berada. Aku pun
sudah lama tidak ke pusat bandar sejak beberapa bulan yang lepas, sibuk bersama
dengan kumpulan kugiranku berlatih untuk menyertai satu pertandingan Battle of the Band. Malangnya kami tidak
memenangi apa-apa tempat pun. Usai pertandingan, terus kumpulan kugiranku
dibubarkan oleh ketua kumpulan kami yang menyalahkan kami kerana tidak serius
dan sering membuat silap ketika pertandingan berlangsung. Hakikatnya bukan kami
tidak serius, cuma sikap ketua yang terlalu inginkan kesempurnaan menyebabkan
kami terdesak ketika berlatih dan letih ketika persembahan. Jika kami tidak
serius, masakan kami sanggup membuang masa, tenaga dan wang untuk berlatih
setiap hari?
Bas menuju ke
pusat bandar tiba kira-kira 10 minit kemudian. Tanpa berlengah, aku terus
menaiki bas tersebut, membayar tambang pelajar sekolah yang berharga RM1.50,
dan terus duduk. Aku sengaja memilih tempat duduk paling belakang kerana aku
suka melihat gelagat orang ramai yang naik dan turun dari bas. Bukannya untuk
apa, sekadar mengisi masa terluang sementara menanti tiba di destinasi. Dan
sememangnya aku membuat pilihan yang tepat kerana aku dapat menjadi pemerhati
kepada pelbagai ragam yang lucu dan menarik di dalam bas itu. Kisah lelaki
dewasa tersadung kaki penumpang yang sedang tidur lena hingga terjatuhlah,
kisah ibu dan anak yang terlepas perhentianlah, ada juga kisah gadis-gadis
seksi bergetah tapi asyik membuat bising dan bergurau senda sesama sendiri
sehingga salah seorang daripada mereka terkoyak mini skirt yang sedang dipakainya. Terkial-kial gadis terkoyak skirt itu keluar dari bas sambil menutup
kainnya yang sudah terkoyak rabak. Tarik kiri, kanan nampak. Tarik kanan, kiri
pula nampak. Itulah, pakai lagi seksi-seksi, kan dah susah. Aku pula, sebagai
seorang lelaki sejati, mana mungkin lepaskan peluang sekali seumur hidup macam
ni. Memang cuci matalah sekejap!
Lebih kurang
setengah jam perjalanan, aku kini tiba di pusat bandar. Terpegun aku seketika
melihatkan perubahan drastik yang telah berlaku dalam masa beberapa bulan
sahaja. Jika tidak salah, kali terakhir aku datang ke pusat bandar adalah pada
4 bulan yang lepas. Begitu cepat pembangunan dilaksanakan di sini! Aku terkaku
seketika di situ namun segera tersedar dan terus beredar sambil masih mengagumi
keadaan sekeliling yang sangat moden. Begitulah jika tinggal di bandar yang
pesat membangun, ada sahaja perubahan yang akan berlaku. Walaupun aku berasal
dari bandar namun itu tidak bermaksud aku tidak akan terkesima dengan panorama
moden yang terbentang luas di hadapan mata. Bukan berfikiran kampung ataupun
kuno, tetapi berasa bangga kerana dilahirkan di dunia serba moden.
Berjalan seorang
diri di sebuah bandar besar mungkin dianggap menyedihkan oleh sesetengah pihak,
tapi bagiku, inilah peluang baik untukku singgah dan membeli apa-apa yang aku inginkan
tanpa diganggu oleh orang lain. Boleh juga berjalan-jalan sambil cuci mata.
Gadis-gadis yang berpakaian tidak cukup kain sememangnya bersepah-sepah di
bandar sebegini. Begitu kagum mereka mendedahkan kulit-kulit yang sepatutnya
dilindungi dari sinar UV dan mata-mata liar buaya darat (bukan aku).
“Bang, kami dari
rumah anak-anak yatim di Bidor. Kami nak minta derma,” entah dari mana
datangnya tiba-tiba dua orang kanak-kanak yang aku kira baru 10 tahun muncul
meminta sedekah daripadaku dengan mimik muka yang sayu. Rumah anak yatim Bidor?
Bukankah Bidor terletak di Perak? Di Perak sudah tidak ada orang yang
berduitkah sehingga sanggup mereka meminta sedekah di negeri orang yang
jaraknya sangat jauh dari tempat sendiri?
“Bang, ni surat
pengesahan daripada pengetua kami,” mungkin melihatkan rupaku yang seperti
tidak percaya dengan kata-kata mereka, sekeping surat yang agak pudar dan kecil
tulisannya serta diletakkan di dalam sekeping plastik lutsinar diajukan
kepadaku. Aku meneliti surat tersebut namun hanya membaca rangkap pertama
sahaja kerana terlalu panjang ayat yang dikarang membuatkan aku bosan.
Tandatangan pengesahan oleh orang yang dikatakan pengetua pula terletak di
bahagian belakang kertas. Bayangkanlah betapa panjangnya ayat di dalam surat itu.
Malas berfikir
panjang dan membuang masa dengan kanak-kanak itu, aku memberikan mereka wang
RM5 dan ingin beredar dari situ. Senyuman terukir di wajah mereka sambil
mengucapkan terima kasih kepadaku dan berlalu pergi. Padaku, tidak kisahlah
jika mereka menipu pun, kerana jumlah yang aku berikan kepada mereka bukannya
terlalu banyak. Tak luak pun duit poketku.
Langkahku
diteruskan lagi dan aku tiba di hadapan sebuah kedai majalah. Aku
membelek-belek sebuah majalah yang pernah menjadi kegemaranku suatu ketika dulu
tapi kini sudah tidak lagi. Mungkin pertambahan umur membuatkan minatku
berubah. Majalah manga yang telah
diterjemahkan daripada bahasa Jepun kepada Bahasa Malaysia menjadi penemanku
setiap keluaran di mana aku tidak pernah terlepas membelinya hinggakan bilikku
penuh dengan majalah ini sahaja. Namun sejak berada di Tingkatan 3, di mana aku
terlalu sibuk dengan PMR, aku kurang membelinya dan akhirnya ia menjadi semakin
luput dari ingatan. Walaupun begitu, aku masih lagi mengikuti beberapa siri manga kegemaranku di internet.
Aku berjalan
keluar dari kedai majalah yang menjadi persinggahan pertamaku hari ini dan
meneruskan langkah. Melihat keadaan pusat membeli belah yang tiada perubahan
membuatkan aku bosan. Secara sambil lewa, aku berjalan melalui kedai-kedai yang
ada di situ. Dari kedai aksesori wanita, ke kedai kasut, kemudian ke
restoran-restoran, tiada satu pun yang berjaya menarik minatku. Aku menjengah
ke pentas utama dari tingkat 3, melihat jika terdapat sebarang persembahan atau
apa-apa sahaja yang menarik di sana namun hampa. Pentas utama kelihatan kosong,
mungkin kerana bukan musim perayaan, juga tiada sebarang promosi atau
pertandingan. Aku kemudiannya menaiki eskalator menuju ke tingkat 4, dan
berharap akan bertemu sesuatu yang dapat menarik minatku di samping dapat
membuang sedikit masa sebelum pulang. Berjalan selangkah; kedai baju wanita.
Berjalan beberapa langkah lagi; salun rambut. Berjalan beberapa meter; kedai
alat tulis. Kecewa, aku membuat keputusan untuk pulang sahaja. Walaupun hari
masih awal, namun daripada tiada apa yang boleh dilakukan di sini adalah lebih
baik jika aku pulang ke rumah, walaupun...ah...rumah. Nampaknya aku terpaksa
hadapinya juga hari ini.
Saat aku hendak
menaiki lif, aku terlihat sesuatu. Satu kedai di lokasi yang agak tersorok, dan
kelihatan seperti...kedai silap mata? Wah, ini menarik! Seingat aku kedai ini
masih belum wujud 4 bulan lepas. Mungkin mereka baru sahaja beroperasi. Dengan
penuh minat aku mempercepatkan langkahku ke kedai tersebut.
“D’Memoria – Kedai
Silap Mata,” aku membaca papan tanda kedai itu separa kuat. Mungkin kerana
terlalu teruja.
“Selamat datang,”
seorang gadis berpakaian seperti ahli sihir menyambutku di pintu utama beserta
senyuman yang terukir di bibir. Comel, itu yang berada di fikiranku pada masa
itu namun aku hanya dapat membalas sapaannya dengan senyuman kelat dan hodoh. Terlalu
gusar setelah disapa oleh seorang gadis comel? Err...aku tidak mahu komen
apa-apa.
Terketar-ketar aku
ketika memasuki kedai itu. Gadis yang menyapaku sebentar tadi hanya tertawa
kecil, kemudian meneruskan tugasnya. Aku cuba tenangkan diri, menarik nafas
panjang, dan berfikir dengan waras. Baiklah Faz, jangan lupa tujuan asal kau
datang ke kedai ini. Kau ingin meninjau keadaan kedai silap mata yang baru
sahaja dibuka ini dan mungkin membeli sesuatu jika ada yang menarik, bukan
terpaut pada kecomelan ‘amoi’! Kedua-dua tapak tanganku dengan pantas menampar
pipiku supaya menyedarkan aku yang telah sedikit hanyut. Sekali, tidak cukup.
Dua kali, ya cukup. Terasa sakit pula. Langkahku diteruskan.
Aku berjalan
menyusuri barang-barang silap mata yang disusun cantik di atas rak pameran yang
bersaiz sederhana besar dengan ketinggian separa ketinggianku. Atau mungkin
tinggi sedikit? Tanganku juga gatal untuk memegang dan membelek-belek alatan
silap mata yang sedang dipamerkan di situ. Alatan yang dijual di kedai itu
banyak juga yang menarik minatku seperti kotak silap mata yang boleh
menghilangkan bola di dalamnya, atau 2 jenis tali yang berlainan dapat
dicantumkan menjadi satu tanpa sebarang tanda ikatan, atau pisau yang boleh
memotong tangan manusia tanpa rasa sakit kemudian boleh bercantum semula
seperti tiada apa-apa, dan pelbagai jenis alatan silap mata lagi. Ada juga
kostum ahli sihir seperti topi dan baju ahli sihir, penyapu ala-ala Harry
Potter, dan juga magical orb,
ala...yang orang tilik nasib selalu guna tu. Melihat pelbagai alatan di dalam
kedai ini membuatkan aku menjadi khayal, jari-jemariku membelek setiap jenis
alatan yang ada hingga tidakku sedari bahawa aku sudah berada di penghujung
kedai. Dari situ aku memandang ke arah hadapan kedai, dan mendapati yang sudah
kesemua alatan silap mata telahku lihat. Terasa sedikit kecewa, mungkin kerana tidak
cukup puas mencuci mata? Untuk memujuk hati, aku bercadang membeli sejenis dua
barangan silap mata, boleh juga dipersembahkan kepada rakan-rakan sekelasku, atau
mungkin keluargaku, jiran-jiranku boleh juga. Bukannya apa, sekadar mengeratkan
hubungan sesama insan.
Ketika aku
berfikir-fikir alatan mana yang patutku beli, secara tidak disengajakan aku
terpandang sayup-sayup cahaya yang muncul dari bucu kedai. Aku mendekati cahaya
itu sambil berfikir yang mungkin itu sejenis alatan silap
mata yang boleh mengeluarkan cahaya. Menarik juga jika benar. Setelah didekati,
aku dapati cahaya yang muncul itu datangnya daripada satu pintu yang tidak
ditutup rapat. Tiada tanda ‘Dilarang Masuk’ atau ‘Hanya Untuk Staf Sahaja’ yang
dipamerkan di pintu jadi aku beranggapan bahawa tempat itu boleh dimasuki oleh
sesiapa sahaja. Jika kawasan larangan pun, aku boleh memberi alasan yang tiada
apa-apa tanda larangan dari aku memasuki tempat itu. Daun pintu ditolak secara
perlahan-lahan, dengan harapan tiada siapa yang menyedari aku memasuki kawasan
tersebut. Eh, jika tiada larangan, mengapa pula aku perlu berhati-hati? Mungkin
tempat ini sebenarnya bahagian barangan yang tidak sesuai dipamerkan di kawasan
terbuka, seperti barangan...err...seksi-seksi. Oh, iyalah. Aku masih bawah
umur. Walaupun usiaku sudah menginjak ke 17 tahun namun aku masih lagi pelajar
sekolah. Masih lagi budak sekolah. Ya, aku akui. Tetapi, sebagai seorang lelaki
waras yang penuh perasaan ingin tahu, tidak salah jika aku melihat-lihat apa
yang ada di sebalik pintu yang tersembunyi ini, bukan? Jawapannya ya, aku tidak
mahu mendengar jawapan lain.
Bilik itu hanya
diterangi oleh cahaya lampu yang malap. Agak sukar untuk aku meninjau keadaan
sekeliling dalam keaadaan sebegitu. Aku terus berjalan, perlahan-lahan, bimbang
jika aku terpijak atau tersepak sesuatu yang berharga, sukar untuk membayarnya
nanti. Aku bukannya ada banyak duit. Keluargaku pun biasa-biasa sahaja.
Di penghujung
jalan, satu lagi pintu terletak di situ. Aku tidak terus memasuki bilik itu
tetapi sekadar mengintai dari celah-celah pintu. Keadaan di dalam agar hingar
namun persekitaran masih malap. Selain meninjau-ninjau keadaan di dalam bilik
misteri itu aku turut memasang telinga, dan memasang langkah berjaga-jaga, mana
tahu jika tingkahlaku aku diketahui oleh sesiapa dan mereka menghalauku dari
situ. Atau menangkap dan menjualku di mana-mana? Oh, tidak. Semua itu adalah
mimpi ngeri! Aku berharap yang aku hanya berkhayal sahaja.
Dari dalam bilik
itu sayup-sayup kedengaran suara beberapa orang sedang berbual-bual, namun agak
sukar untukku memahami apa yang dikatakan oleh mereka. Aku mengintai ke dalam
dan mendapati hanya terdapat 3 orang di situ; seorang wanita dan dua orang
lelaki. Wanita itu bercakap sambil berjalan tidak tentu arah seolah-olah sedang
merisaukan sesuatu, manakala dua orang lelaki itu hanya duduk dengan salah
seorang daripada mereka menongkat dagu di meja menggunakan sebelah tangan. Aku
menekup telingaku dekat dengan pintu supaya apa yang dibualkan oleh mereka
jelas didengari.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)