Bab 6 – Khabar Dari Seberang
“AAAAAAAAAAAAHHHHHHHHHHH!!!!!”
Suara jeritan yang membingitkan
telinga mengejutkan aku yang entah sejak bila terlena di atas sofa. Kelihatan
di hadapan mataku yang separa celik ini adalah si ninja pendek berwajah
durjana. Durjana kerana perangainya ketika ini yang mencelakakan. Bahuku yang
longlai kerana masih mengantuk ini digoncang kasar.
“Alan! Bangun! Bangun! Bangun! Bangunnnnnnnn!
Tolong, tolong aku!”
“Hmm?” aku membalas separa minat.
Tanganku menggosok-gosok mata yang masih mengantuk.
“Kau kena tolong aku! Tolong
teleportkan aku sekarang!”
“Tak nak. Aku nak tidur.”
Malangnya Jake masih berwajah
durjana berkelakuan celaka. Goncangan bahuku semakin kencang. Suaranya makin
lama makin memekik. Bingitan suara si pendek ini juga telah membuatkan Angelica
muncul dari dalam bilik dengan berbaju tidur dan berwajah mengantuk.
“Kenapa ni? Bisinglah...” ujarnya
sambil menguap luas. Matanya masih terpejam rapat dengan bukaan
sekejap-sekejap.
“Anne! Kau tolong aku paksa Alan ni.
Aku nak dia guna teleport dia!”
Eh,
suka hati kau je nak pendekkan nama orang. Macam kawan baik pula.
“Jake nak ke mana pagi-pagi ni?”
soal Angelica yang nampaknya sudah sedar sepenuhnya.
Aku menjeling ke arah jam dinding.
Jarum jam menunjukkan tepat di nombor enam bagi jarum pendek dan nombor 3 bagi
jarum panjang.
“Sekolah! Aku kena pergi sekolah
sekarang!”
Aku dan Angelica berpandangan sesama
sendiri. Sekolah apa mula pagi-pagi?
“Ahhhh, dah tak sempat ni! Cepat!
Cepat! Cepat!”
Jake mula menggoncangkan kepalaku
dengan kasar. Angelica pun dengan wajah gembira turut sertai tindakan gila si
Jake pendek ni. Entah kenapa aku rasa seperti dejavu, seperti pernah berlaku je
sebelum ni.
“Okei okei! Jake! Kelas kau dekat
mana, mula pukul berapa?”
“Kat Siltheryn Central High School,
pukul 8.30 pagi. Cepatlah Alan...lagi berapa minit je ni kelas nak mula!”
Aku dan Angelica berpandangan sesama
sendiri lagi. Selepas melepaskan keluhan kecil, aku mengarahkan jari telunjukku
ke arah jam dinding yang menunjukkan masa terkini iaitu 6.17 pagi. Jake
memandang jam itu seketika, dan berlari memasuki bilik kecil yang dengan sesuka
hati digunakannya malam tadi. Terdengar suaranya menjerit lantang sekali lagi,
dan laju dia berlari keluar mendapatkanku.
“Jam dalam bilik tu rosaklah! Tak
guna kau!”
Kau
yang tak guna sebab dah ganggu masa tidur aku, si pendek!
Maka hari ini bermula lebih awal
dari hari biasa. Hendak menyambung semula tidurku yang terganggu tadi pun
seperti tidak berbaloi. Sementara menanti Jake selesai menggunakan bilik mandi
yang kukira sudah lebih setengah jam dia berada di dalam, aku menyibukkan diri
di dapur; menyiapkan sarapan pagi.
“Nak....makan....cheese!”
“Cheese habis.”
Si gadis kepingin keju itu separa
menjerit. Seketika kemudian dia senyap, dan mula membuat wajah comel laksana
anak anjing. Mataku dilarikan menjauhi pandangannya.
“Nak...ayam!”
“Banyaklah kau punya ayam makan
pagi-pagi. Ayam takde.”
Sekali lagi dia menjerit. Bingit
telinga aku.
“Habis ape je ade?”
Kebetulan, tugasan menyiapkan
sarapan selesai dan aku segera mengangkat makanan-makanan tersebut –beberapa
keping roti bakar, jem coklat, marjerin, semangkuk besar berisi salad campuran
sayur dan buah-buahan, serta satu teko teh jasmin; dan meletakkannya di atas
meja. Angelica memandang hidangan dengan wajah suram.
“Mana cukup ni aje...”
“Kau nak melantak, kau pergi masak
sendiri!”
“Woah, makanan!”
Jake dengan tanpa segan silu duduk
di atas kerusi dan mula menjamu diri. Rambutnya separa basah, namun bajunya
masih sama seperti yang dipakainya semalam.
“Kau nak pergi sekolah macam ni je
ke?”
Jake hanya mengangguk. Mulutnya
masih tak henti mengunyah ibarat sudah berminggu-minggu lamanya tidak menikmati
juadah.
“Alan hantarkan Jake kan?” Angelica
mencelah.
“Gila. Pergi sendirilah. Sempat lagi
kalau naik tren.”
“Kedekut!” Jake membalas dengan
mulut dipenuhi makanan. Angelica senyum lebar sambil tangannya menyapu marjerin
di atas sekeping roti bakar. Aku menuang teh jasmin ke dalam cawan dan
meneguknya sedikit. Masih panas. Kami ketika ini menikmati sarapan pagi sambil
berbual-bual dan kadangkala mengutuk atau mencaci, disulami hilai ketawa mereka
dan kerutan dahiku. Kami ketika ini kelihatan amat mesra; laksana keluarga.
***
“Huh, hari ni seronok betul!”
“Kau je yang seronok!” balasku
dengan dengusan kasar. Secara terpaksa, akhirnya aku menurut juga permintaan
Jake untuk menghantarnya ke sekolah dengan menggunakan teleportasi. Angelica
yang menyibuk ini antara penyumbang punca mengapa aku tidak berjaya menetapkan
pendirianku. Masakan tidak, jika kepalaku dibuat seperti mainan,
digoncang-goncang kasar sekuat tenaga, mahu tak mahu terpaksa juga menurut
perintah kalau tak mahu terus menjadi mangsa para manusia gila.
Aku hanya menggunakan kuasa
teleportasiku ketika menghantar Jake dan pulang dengan menggunakan tren.
Angelica memuncungkan bibirnya akan cadanganku tadi namun aku berkeras dengan
pendirianku. Lagipun badanku sudah terasa berat. Mungkin menteleportasikan 3
manusia serentak memakan tenaga yang banyak. Dan kerana enggan berasa terlalu letih pada
awal pagi, menaiki tren bagiku adalah lebih baik memandangkan jumlah manusia
yang bersesak-sesak ke pejabat atau sekolah sudah surut.
Kunci rumah yang tersemat di dalam
poket, dikeluarkan dan dicucuh ke dalam lubang kunci. Tombol pintu yang mana
kuncinya telah terbuka kini, dipulas perlahan. Angelica masih mencebik dan
merengek-rengek, yang mana permintaannya untuk membawanya ke sebuah taman tema
berdekatan yang dilihatnya ketika di dalam tren tadi tidak dilayan. Sejurus
pintu kayu bercat kelabu itu dibuka luas, kelihatan kelibat seseorang sedang
duduk selesa di atas sofa sambil tangannya memegang satu cawan teh. Air di
dalam cawan itu dihirup perlahan, sebelum pandangan matanya dialihkan ke arah
kami yang terkaku di hadapan pintu, dengan kerutan jelas kelihatan di dahi.
“Oh, helo. Selamat pulang.”
“Kau siapa? Apa kau nak?”
“Oh...tak tanya macam mana aku boleh
masuk?”
“Aku rasa aku boleh teka. Apa yang
kau nak? Tak ada barang berharga dalam rumah ni.”
Lelaki yang berpakaian kemas itu;
dengan kemeja biru muda dipadankan dengan tali leher biru gelap dan seluar
slack hitam serta lengkap berkasut, meletakkan cawan teh kepunyaanku yang
digunakannya sesuka hati itu di atas meja kopi bersebelahan sofa. Dia
kemudiannya berdiri sambil membetulkan tali lehernya yang sedikit senget.
Matanya yang berwarna biru cerah dan sedikit terselindung di balik rambutnya
yang berwarna blonde itu tepat memandang ke arah Angelica yang sedang
menyembunyikan diri di belakangku. Sepertinya mereka berkenalan antara satu
sama lain.
“Aku datang ni, bukan nak ambil
apa-apa. Cuma nak bertegur sapa. Hai Angie, lama kita tak berjumpa.”
“Aku tak nak jumpa kau!”
Lelaki itu hanya tergelak
mendengarkan pengakuan Angelica yang masih menyembunyikan diri. Belakang bajuku
digenggamnya kuat. Apa yang aku perhatikan adalah, Angelica bukannya takut,
tetapi lebih kepada menahan marah. Lelaki itu kini sudah beberapa tapak hampir
dengan kami. Wajahnya masih mengukir senyuman lebar.
“Saya kagum dengan kesungguhan awak,
Angie. Berusaha sungguh awak melarikan diri dari saya.”
Angelica langsung tidak berbunyi. Dia masih
berselindung di balik badanku.
“Sedih tahu bila kita dah bersusah
payah untuk berjumpa dengan orang yang disayangi, malangnya orang itu tak mahu
pula berjumpa dengan kita. Lagi pula apabila dia tinggal sebumbung dengan
lelaki lain,” lelaki itu menyambung lagi dan dia kini menyuramkan wajahnya.
Matanya sayu memandang Angelica.
“Sayang? Kau ni ada perkaitan apa
dengan Angelica? Abang? Adik? Sepupu? Atau...stalker?”
Lelaki itu kini ketawa
terbahak-bahak. Bahuku ditepuknya berulang-ulang. Kelihatan matanya sedikit
berair kerana terlebih ketawa. Pertanyaan aku tadi tu kelakar sangat ke?
“Kau, Alan Hawkes, tolong jaga
tunang aku dengan baik. Tapi jangan cuba-cuba untuk ambil kesempatan pula ya. Atau
aku; Putera Kixteralf dan seluruh kerajaan Garganozoa akan menjadi musuh kau,”
ujar lelaki itu dengan menghadiahkan kenyitan mata pada kami dan terus berlalu
pergi.
Nanti kejap. Apa dia kata tadi?
Mataku segera dialihkan ke arah Angelica yang berkerut dahi dengan pandangan
menjauhi pandanganku.
“Tunang?!”
***
“Alan, bagi telefon kau!”
“Oi!”
Tanpa segan silu, Angelica menyeluk
poket seluarku untuk mengambil telefon bimbitku yang terkandung di dalamnya. Dia
terus sahaja menekan-nekan butang telefon jenis flipku dan seketika kemudian
mula bertutur akan sesuatu kepada seseorang dengan suara lantang. Kedengaran
dia menyebut ‘Alexis’ dan ‘stalker’ jadi aku beranggapan yang dia sedang
mengadu tentang perkara yang baru terjadi tadi kepada pengawal peribadi dari
istana itu. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal lalu melabuhkan
punggungku di atas sofa setelah menghidupkan televisyen. Tidak lama kemudian,
telefon rumahku berdering. Aku berlari-lari anak mendapatkan telefon yang
tergantung di dinding berdekatan dengan dapur, dan mendapati suara yang berada
di hujung talian adalah milik adikku yang berada di kampung.
“Ah, Alvin. Ada apa hal?”
“Abang! Kenapa saya buat panggilan
pada telefon bimbit abang tak dapat?”
Aku menjeling pada Angelica yang
masih bertempiak dengan telefonku. “Ah, telefon tu kawan pinjam kejap. Kenapa
ni?”
“Abang, tolong balik sekarang!
Sekarang juga!”
“Kenapa?”
“Alan, kenapa ni?”
Angelica yang baru selesai membebel
dengan telefonku, kehairanan tatkala melihat aku terkaku dengan gagang telefon
jenis tanpa wayar terdampar di atas lantai. Perlahan-lahan mataku yang sedang
menahan cecair suam dari mengalir ini, mengarahkan pandangan kepadanya. Bibirku
bergetar namun masih cuba mengutarakan perkhabaran yang baruku terima tadi.
“Ayah aku...kemalangan...masuk
hospital.”
***
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)