Thursday, July 18, 2013

Airmata Senja - Bab 2


Sudah dua hari berlalu sejak kali pertama Zuraida menjejakkan kaki ke rumah suaminya yang terletak di lokasi yang tidak diketahui. Apa yang diketahuinya hanyalah jarak antara rumah dan kolej tempatnya menuntut ilmu adalah setengah jam perjalanan. Puas ditanya di mana mereka berada namun hanya herdikan yang diterima. Hendak berbual dengan jiran tetangga pun tidak dibenarkan. Nampaknya, walaupun sudah berjaya keluar dari kampungnya, dia tetap dikongkong. Bosan dengan sikap pemarah suaminya itu, ditambah pula dengan air matanya yang telah kering untuk mengalir, Zuraida hanya duduk di rumah menonton televisyen sepanjang hari atau membaca majalah. Bila terasa lapar, dia ke dapur untuk memasak sesuatu. Mi segera ke, lempeng ke, asalkan perutnya kenyang. Selama dua hari juga dia jarang melihat suaminya makan di rumah. Siang hari, sama ada dia tidur atau menonton televisyen, tiba waktu malam pula dia terus ghaib entah ke mana dengan kereta Honda Jazznya itu. Matahari dah terbit, ayam dah berkokok barulah dia pulang dalam keadaan separuh sedar, macam orang mabuk pun ada juga tapi tidak pula berbau alkohol. Malas Zuraida hendak mengambil tahu hal suaminya itu. Fikirnya, lagi bagus begini. Sekurang-kurangnya tidaklah selalu dia bertemu dengan lelaki baran itu.

“Kelas habis pukul berapa hari ni?” soal Khairi sebaik sahaja mereka selamat tiba di perkarangan dewan besar, tempat Zuraida bakal mendaftar dan menghadiri minggu orientasi di universiti yang gah itu.

“Em...pukul enam kot,” jawab Zuraida acuh tak acuh.

“Bukan pukul lima ke?” soal Khairi lagi dengan kerutan jelas kelihatan di dahi. Zuraida mencebik.

“Memanglah pukul lima, tapi mana tahu kalau lambat habis ke. Lebih kurang pukul enamlah nanti baru confirm habis,” balas gadis yang nampaknya sudah letih melayan karenah lelaki banyak soal itu. Sebenarnya pada hari itu, Zuraida sudah mempunyai rancangan lain. Jadi dia sengaja memberitahu yang kelas tamat lebih lewat kepada suaminya.

“Pukul lima abang datang,” balas Khairi ringkas diikuti renungan tajam dari Zuraida.

“Kalau abang tak kisah nak tercongok bodoh je kat sini lama-lama, datanglah awal,” jawab Zuraida, sedikit bentak.

“Tak kisah. Abang tak busy pun,” tenang sahaja Khairi membalas. Zuraida mencebik lagi dan masih merenung suaminya itu tajam.

“Dah pukul lapan suku ni. Tak takut lewat ke?” soal Khairi seraya memandang tepat wajah marah isterinya itu yang dia langsung tidak endahkan. Zuraida menarik muka. Terus sahaja dia mencapai beg sandangnya, menutup pintu dengan kasar dan ingin berlalu pergi sebelum dia terdengar namanya dipanggil.

“Salam dulu,” pinta suaminya, lembut. Zuraida mendengus kuat, melangkah menuju ke arah kereta suaminya semula, menyambut dan mengucup tangan yang dihulurkan lelaki itu dengan kasar, dan terus berlalu pergi sambil perasaan amarah masih kekal di hati.

***
Suasana hingar-bingar di dalam dewan besar yang menempatkan ribuan pelajar baru Program Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia di Serdang. Sewaktu Zuraida menyelusuri lautan manusia di dewan tersebut selepas mendaftarkan diri, kelihatan tiada seorang pun yang dikenalinya. Rata-rata pelajar di situ seperti sudah berkenalan antara satu sama lain. Zuraida mengambil keputusan untuk duduk sahaja di kerusi yang terletak di barisan paling hujung di bahagian kiri dan menunggu untuk majlis bermula. Selang beberapa minit kemudian, dia terasa seperti ada tangan menepuk bahunya dari belakang. Zuraida lantas menoleh.

“Zue, lamanya tak jumpa engkau! Kau sihat tak?”

Ternyata, gadis yang menegurnya itu adalah seseorang yang amat dirindui. Segera Zuraida bangkit dan terus memeluk erat gadis tersebut. Sudah lebih dua tahun dia tidak bertemu dengan rakannya yang satu ini.

“Nisa’! Rindunya aku kat kau! Kau dapat study kat sini juga ke? Seronoknya, ada juga geng aku!” balas Zuraida dengan senyuman lebar. Rakannya itu turut tersenyum.

Annisa’ Nurasyikin, rakan karibnya hingga tingkatan tiga itu, setelah dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sekolah teknik di Johor Bahru, seluruh keluarganya berpindah ke sana. Kebetulan juga ketika itu, ayahnya turut mendapat pekerjaan baru di sana, jadi setelah berpindah, mereka tidak lagi pulang ke kampung memandangkan mereka juga sudah tiada saudara-mara rapat di situ. Datuk dan neneknya juga sudah lama meninggal dunia. Rumah mereka juga sudah disewakan kepada orang lain.

“Kita sama koslah ye nampaknya,” tutur Zuraida dengan senyuman.

“Sekarang ni nampaknya macam tulah. Harap bila dah sambung degree nanti pun kita sama kos juga. Seronoknya, dah lama tak belajar sama-sama dengan kau, Zue. Macam zaman sekolah dulu,” tutur Nisa’ panjang lebar, nampaknya dia turut berasa gembira dapat bertemu kembali rakannya yang satu ini setelah lama terpisah.

“Harap-harap macam tulah. Eh, program macam nak start dah ni. Kau duduk dengan aku, ya?” pinta Zuraida tatkala melihatkan kelibat seseorang di atas pentas dan seperti ingin memberikan penerangan tentang majlis yang akan berlangsung sebentar lagi. Nisa’ pula tanpa bantahan, terus melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan Zuraida dan memberi perhatian pada pengerusi majlis yang sudah mula berbicara.

***
“Kau tak duduk hostel ke? Aku tengok kau ni macam berlenggang je. Orang lain sakan bawa barang-barang mandi, baju, macam aku ni. Tak menang tangan nak bawa. Bapa aku pula boleh kena kerja hari ni. Kalau tak, dah senang angkut barang pakai kereta je,” bual Nisa’ panjang lebar setelah sesi kata-kata aluan dari Naib Canselor dan sesi bacaan ikrar pelajar baru tamat sebentar tadi. Zuraida tertawa kecil mendengarkan bebelan yang panjang lebar daripada rakannya itu.

“Oit, aku tanya tadi tu, dengar tak?” tanya Nisa’ sambil menyiku rakannya yang agak menerawang fikirannya. Zuraida mengeluh pabila memikirkan pertanyaan menyedihkan itu.

“Aku...er...duduk rumah. Dekat-dekat sini je,” balas Zuraida teragak-agak.

“Rumah sewa ke? Dengan siapa?” tambah Nisa’ lagi, inginkan kepastian.

“Tak. Rumah...er...suami aku,” perlahan sahaja perkataan ‘suami’ itu dituturkan. Melompat Nisa’ pabila mendengarkan jawapan dari Zuraida, hampir sahaja dia menyebut perkataan larangan bagi Zuraida iaitu ‘suami’ secara kuat namun sempat dihalang Zuraida dengan menekup kedua-dua tapak tangannya ke mulut Nisa’.

“Kau, janganlah cakap kuat-kuat! Kalau orang dengar nanti, malulah aku. Jatuh saham aku nanti,” pinta si gadis yang nampaknya masih tidak suka akan status berkahwinnya itu.

“Oh, okey. Sorry. Aku tak sangka kau dah kahwin. Dengan Fahmi ke?”

Satu keluhan berat diajukan Zuraida setelah mendengarkan nama yang amat dikasihinya  itu. Matanya memandang lantai, seolah-olah meratapi kesedihan yang dialami.

“Kalau dengan Fahmi, takdelah aku susah hati macam sekarang ni...” ujar Zuraida perlahan. Kakinya menendang-nendang batu kecil yang berada di sepanjang laluannya menuju ke asrama tempat Nisa’ bakal menginap nanti.

“Eh, maksud kau, dengan orang lain? Siapa?” soal Nisa’ lagi, masih terkejut.

“Aku tak kenal dia. Mak aku cakap, dia tu saudara jauh kami. Habis je SPM hari tu, terus mak aku tunangkan kami. Sampai hati kan?” balas Zuraida sambil memandang wajah rakannya seperti meraih simpati.

“Hm, tak tahu aku nak komen macam manalah, Zue. Jadi kau nikah pula bila?” Nisa’ masih lagi penuh dengan tanda tanya.

“Baru je, dua minggu lepas. Kesan inai pun ada lagi ni, nasib baik aku tak pakai banyak. Kalau tak, buat malu je,” ujar gadis yang masih lagi berjalan menyelusuri kaki lima bersama-sama rakan karibnya yang sarat dengan barang-barang itu sambil menunjukkan jari-jemarinya yang berwarna oren pudar.

“Suami kau okey tak?” banyak pula soalan yang diajukan dari Nisa’ membuatkan Zuraida mencebik sedikit. Apatah lagi soalan yang ditanya adalah berkenaan suaminya yang tidak disukai itu.

“Teruk. Aku tak faham kenapa mak aku beria nak bermenantukan orang macam tu.  Baik lagi Fahmi. Ah, yalah...aku nak jumpa Fahmilah. Shah Alam jauh tak?” soal Zuraida tiba-tiba. Mungkin kerana dia sudah terlalu merindukan kekasih hatinya itu.

“Naik apa? Kalau naik kereta, takdelah jauh sangat. Kalau naik tren, memang terasa jauh. Tapi, kenapa Shah Alam?” soal Nisa’ yang kehairanan.

“Sebab dia ada kat sanalah. Kat UiTM. Kalau aku ponteng sesi orientasi hari ni boleh tak?” Zuraida nampaknya seperti sudah hilang pertimbangan setelah memikirkan tentang Fahmi.

“Hish kau ni. Jangan mengarutlah. Kalau nak pergi pun, kau nak pergi macam mana? Kau ada kereta ke?” berkerut dahi Nisa’ ketika ini.

“Naik trenlah. Tadi kan kau ada cakap boleh naik tren.”

“Stesen keretapi jauh dari sini, Puan Zuraida. Kalau pergi pun, tahu ke kau nak naik tren macam mana?” Nisa’ seperti tidak gembira dengan cadangan rakannya itu untuk pergi berjumpa Fahmi secara tiba-tiba, apatah lagi setelah mengetahui bahawa rakannya itu sudah berumah tangga.

“Jangan panggil puanlah, geli! Kalau tak tahu, aku belajar. Tanya orang ke,” Zuraida pula masih beria-ia dengan rancangannya.

Nisa’ mengeluh setelah mendengarkan pengakuan dari rakannya yang ternyata keras kepala itu. Segera dia berhenti berjalan, meletakkan semua barang-barangnya di lantai, dan berdiri di hadapan Zuraida seraya meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu gadis itu. Wajah rakannya itu ditenung dalam-dalam.

“Zue, kat dalam dunia ni, segala yang berlaku ada sebabnya, ada hikmahnya. Mungkin sekarang ni kau tak faham kenapa mak kau kahwinkan kau dengan suami kau tu. Tapi aku yakin, satu hari nanti kau akan tahu juga. Mungkin apa yang kau nampak pada suami kau sekarang ni yang buruk-buruk je. Baru kahwin je kan. Tak pernah kenal pula tu. Lambat laun, perasaan sayang akan muncul juga dalam diri kau dan suami kau tu nanti. So, lupakan Fahmi buat masa ni dulu. Kalau lepas bertahun-tahun suami kau kekal teruk macam sekarang ni baru kau cari dia balik, okey?” panjang lebar Nisa’ menasihati Zuraida. Sebenarnya, inilah salah satu sifat Nisa’. Seorang yang berfikiran positif dan gemar menasihati orang-orang yang disayanginya. Zuraida tertunduk setelah mendengarkan kata-kata nasihat yang panjang berjela dari rakannya itu dan cuba menerimanya walaupun perit.

“Boleh tak?” Nisa’ bertanya, cuba mendapatkan kepastian. Zuraida hanya mengangguk perlahan.

“Nak kena makan tahun jugalah tunggu ni?” soal Zuraida yang masih tidak berhenti berharap. Nisa’ mengeluh kecil.

“Tengok keadaanlah, Zue. Dahlah, tolong angkatkan barang-barang aku ni. Karang lambat pula kita ke program seterusnya,” pinta Nisa’ sambil mengutip semula barang-barangnya yang bersepahan di kaki lima.

“Boleh ke aku masuk hostel tu?” Zuraida terasa ragu-ragu kerana bimbang jika dia dihalau. Maklumlah, dia tidak mendaftar untuk tinggal di asrama.

“Boleh aje. Nah, kau bawa barang-barang aku sikit. Macam ni barulah takde sesiapa syak,” ujar Nisa’ seraya menyerahkan beg bajunya kepada Zuraida. Gadis itu menyambutnya dengan cebikan.

“Ala, kau saje je ni nak minta aku tolong bawa sebab bilik kau kat tingkat dua kan? Penat nak naik turun banyak kali kan?” Zuraida menduga. Ternyata dugaannya itu benar apabila Nisa’ mengaku dengan sengihan.

Exerciselah sikit. Kalau tak, nanti gemuk. Dahlah, jom!” ujar Nisa’ sambil menarik tangan rakannya dan berjalan laju menuju ke asrama yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat mereka berada sekarang. Zuraida hanya menuruti sambil tersenyum melihat telatah rakannya itu dan berharap, semoga persahabatan mereka kekal seperti ini selamanya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)