Bab 2 – Gadis Seribu Emosi
“Jadi maksud kau, kau sendiri pun
tak sedar macam mana benda ni boleh berlakulah ya?” tutur Angelica dengan mulut
yang penuh dengan piza dan sambil bersila di atas sofa. Di bawah skirt pendeknya itu rupanya ada seluar
pendek yang ketat. Cis. Habis punah imejnya yang cantik dan comel tadi. Piza
peperoni bersaiz biasa yang kubeli tadi pun telah lebih separuh dilahapnya.
“Ya. Jadi aku harap kau jangan salah
anggap lagi fasal hal aku termasuk bilik kau tu ya,” pintaku. Aku yakin sekarang
ini dia sudah memahami apa yang dialami aku sekarang.
“Maaf, aku belum seratus peratus
percayakan kau lagi,” ujarnya tanpa memandangku. Aku mengeluh panjang. Degil
juga perempuan ni.
“Oh ya, macam mana kau boleh tahu nama aku?”
tanyanya setelah beberapa ketika. Aku terus menyerahkan telefon bimbitnya yang
telah kuambil secara tidak sengaja.
“Hei, kau geledah telefon aku ke?”
“Tak sengaja terbaca satu mesej
jelah,” balasku jujur. Memang benar. Selain mesej yang mempunyai namanya, aku
tidak mengambil kesempatan untuk menyelongkar hal-hal lain. Malah, nombor
telefonnya pun aku tidak tahu.
Ketika dia membelek telefon bimbitnya, dapatku
lihat wajahnya berkerut. Aku tertanya-tanya jika mesej yang diterima tadi
membawa masalah besar padanya. Tidak, aku yakin yang mesej itu pasti
mendatangkan masalah.
“Hm, susah ke nak datang kelas tu?” aku
berbasa-basi.
Dia mengerlingku tajam. Seketika kemudian dia
memandang skrin telefon bimbitnya semula. Pertanyaanku dibiar tidak berjawab.
Aku mengeluh kecil.
Suasana berubah sepi. Angelica masih kekal
membelek-belek telefon bimbit jenis touch
screen berwarna merah miliknya tanpa sebarang suara. Aku pula sebenarnya
terdapat pelbagai persoalan yang ingin ditanya. Melihat wajahnya sebegitu, aku
pendamkan dulu.
Aku ralit menonton televisyen yang sedang
menyiarkan rancangan masakan. Sambil mataku masih melekat di kaca televisyen,
aku mencapai kepingan piza yang terakhir sebelum aku terasa piza yang dicapaiku
itu menjadi berat seperti sedang ditarik. Pantas aku menoleh.
“Aku nak.”
Muka tak tahu malu betul perempuan ni. Dahlah
datang rumah orang tak dijemput, lepas tu sakan menghabiskan makanan orang. Tak
puas pula tu!
“Nak beli sendiri,” balasku pendek dan terus
merentap kepingan piza terakhir dari tangannya. Belum sempat perempuan tak tahu
malu itu berkata apa-apa, aku sudah memasukkan keseluruhan piza tersebut ke
dalam mulutku dan terus mengunyah hingga habis di hadapan wajahnya yang sedang
melopong kecewa. Padan muka kau.
Wajah Angelica mencuka. Dan dia kembali
merenung telefon bimbit merahnya itu dengan cebikan mulut itik. Malas melayan,
aku bangkit mengemas meja yang sedikit berselerak, membuang sampah dan sambung
menonton rancangan masakan yang sedang ditontonku tadi.
“Starry
Night Square...zrooom~”
Rasanya seperti ada satu tanda soal yang besar
timbul dari atas kepalaku kerana aku sedang kehairanan. Si perempuan gila ini
secara tiba-tiba naik gila apabila dia memegang kuat kepalaku sambil menuturkan
ayat sihir hendak ke Starry Night Square yang
letaknya kira-kira 5 kilometer dari sini.
“Oh, tak jadi ke? Okey. Hm, ke Firefly Funfair...zrooom! Abrakadabra!”
Sekali lagi dia membuat kerja gila. Kepalaku
juga terasa sakit apabila dipegang lebih kuat dari tadi.
“Hoi, apa benda yang kau merepek ni?” tanyaku
sambil cuba menahan marah.
“Teleport~”
“Kepala otak kau!”
“Tadi boleh...”
“Bila masa, gila!”
“Yang tadilah! Dari ruang tamu ke bilik tu...”
Oh ya, baruku teringat. Berpindah dari satu
tempat ke satu tempat yang lain dalam masa yang singkat boleh dipanggil
teleport. Mungkin inilah kuasa yang sedang dialami aku, walaupun aku tak tahu
dari mana asalnya...
“Kau cubalah lagi. Mana tahu kalau betul-betul
boleh guna, bolehlah kita pergi jalan jauh-jauh!”
“Ha? ‘Kita’? Aku dengan kau? Apasal pula aku
kena bawa kau? Kan aku dah kata, aku tak tahu apa punca sebenar tentang hal ni.
Dan aku tak tahu nak gunakannya juga!”
“Kau cuba ajelah.”
Senang betul cakap ya. Yalah, sebab yang akan
bersusah-payah pun aku juga kan. Memang tak tahu malu betullah perempuan ni.
“Aku taknak.”
“Cuba ajelah!” balas Angelica sambil memegang
kuat kepalaku sambil menggoncang-goncangkannya. Dia membuatkan kepalaku seperti
bola!
“Hoi, sakitlah gila! Berhenti!”
Namun dia tetap enggan berhenti. Kepalaku
sudah terasa pening. Dengan kasar, aku mengalihkan kedua-dua tangannya sebagai
cara untuk dia berhenti dari terus menyakitiku. Wajahnya yang berang itu
kutenung tajam.
“Okey. Aku cuba sekali. Kalau tak jadi, kau
jangan paksa aku lagi. Dan kau boleh balik rumah kau segera.”
“Kalau tak jadi, aku akan buat laporan polis
tentang kau menceroboh rumah aku.”
Berani lagi ya budak ni!
“Reportlah!
Bukannya kau ada bukti pun!”
“Siapa kata? Barang-barang kerja kau masih ada
kat rumah aku, tahu! Aku boleh tunjukkan itu sebagai bukti yang kau pernah
menceroboh rumah aku!”
“Dan aku boleh balas yang kau sebenarnya
mencuri barang-barang aku kemudian menuduh aku bukan-bukan!”
Angelica mengetap bibir. Wajah tidak berpuas
hatinya itu kutenung tajam. Menyesal pula aku fikir yang dia ni comel tadi.
Seketika kemudian wajahnya berubah menjadi suram. Cuba tarik simpatilah tu!
“Please?”
Aku menekup mukaku. Dia ni, memang dari jenis
yang tak tahu malu rasanya. Terasa penat pula melayan karenah orang sebegini.
“Kalau tak jadi, aku nak kita sama-sama
lupakan perkara ni. Anggap je tak pernah berlaku.”
Perlahan-lahan Angelica mengangguk. Caranya
bagaikan tidak berpuas hati, namun aku peduli apa. Aku dah penat melayan
perkara gila yang berlaku serentak hari ini.
Aku meletakkan kedua-dua tanganku di bahu
Angelica dan menutup mata. Walaupun tidak pasti jika teleportasi ini akan
berjaya atau tidak, cuba sahajalah. Hendak ke mana ya tadi? Starry Night Square? Firefly Funfair? Dua-dua pun aku tak nak. Pergi taman belakang
rumah ni je pun dah cukup.
“Cepatlah!”
“Diamlah kau!” Ringan saja rasa tanganku hendak
menampar pipi perempuan gila ni namun aku masih cuba bersabar. Mengganggu
konsentrasi orang ajelah!
Aku membayangkan keadaan taman permainan awam berkeluasan
sederhana yang letaknya di belakang rumah sewaku. Di sebelah taman tersebut ada
semak samun. Fikirku, jika teleportasi ini berjaya, adalah lebih baik jika aku
teleportkan diri di dalam semak samun itu. Walau tak pasti jika taman itu
dipenuhi orang atau tidak, tidak salah jika aku mengambil langkah berjaga-jaga.
Ketika aku menumpukan perhatian memikirkan
tentang taman tersebut, terasa badanku seperti terawang-awang, ringan. Seketika
kemudian, aku terasa seperti ada deruan angin yang sangat kuat meniupku selama
beberapa saat. Setelah deruan angin itu hilang, kakiku kini terasa seperti
berpijak di atas padang berumput tebal. Segera aku membuka kedua-dua mataku
yang tertutup sejak tadi.
“Wah~ Betul-betul menjadilah!”
Kedengaran suara Angelica dari kejauhan. Kelihatan
dia sedang berdiri di tengah-tengah taman sambil menari-nari keseronokan. Aku
pula kini berada di dalam semak samun yang tebal rumputnya kira-kira paras
pehaku. Risau jika terdapat haiwan liar di dalam semak-samun itu, segera aku
keluar dari situ dan berjalan menuju ke arah Angelica.
“Tengok, kalau betul-betul cuba, memang akan
menjadi kan?” katanya sambil memandangku dengan suara yang riang.
Aku mencebik. Terasa menyesal pula bersetuju
untuk mencuba menggunakan kuasa aneh ini. Jika hanya aku sahaja yang tahu
tentang hal kuasa teleport ini, sudah tentu aku akan mengganggap ia hanya sebuah
mimpi. Namun sekarang, kerana si gila Angelica ini sudah dapat tahu, mahu tak
mahu terpaksalah aku mengakui yang kuasa teleport ini sememangnya wujud.
“Kita kat mana ni?” soal Angelica tatkala aku
menghampirinya. Dia memandang sekeliling taman yang kosong tanpa seorang
manusia ini.
“Taman permainan belakang rumah aku.”
“Ha? Dekat je! Apasal kau tak teleport
jauh-jauh? Apalah...”
Aku mendekatkan diriku pada Angelica. Dengan
pantas aku menarik hidungnya sekuat hati. Geram pula dengan perangai tak tahu malunya
itu. Angelica menjerit semahu-mahunya namun aku masih tidak melepaskan
hidungnya sehingga ia menjadi merah, barulah aku melepaskannya. Baru rasa puas
hati sekarang ni.
“Aduh...hei, nak ke mana pula tu?” jeritnya apabila
melihat aku melangkah menjauhinya dan menuju ke arah rumahku.
“Hantar kau balik. Dan ambil barang-barang aku
yang tertinggal kat rumah kau.”
“Aku tak nak baliklah. Hei, nanti!” dengan
rakus lenganku direntap dari belakang oleh Angelica. Rasa macam terkehel
sedikit pun ada. Aku menoleh ke arahnya dengan pandangan yang menyinga dan
terus menarik hidungnya sekali lagi dengan tarikan yang lebih kuat dari tadi.
Dia menjerit.
“Kau dah dapat apa yang kau nak kan? Jadi
tugas aku dah selesai. Aku hantar kau balik, ambil barang-barang aku, dan nak
kau lupakan perkara ni.”
“Tak nak! Aku nak gunakan kuasa kau lagi!
Adui!”
“Kau ni memang muka tembok ya? Aku tak kan
gunakan kuasa pelik ni lagi selagi aku tak tahu asal usulnya. Dan kau ni, bukan
kau ada kelas ke? Patutnya kau pergi ke kelas, belajar, bukan main-main!”
Tatkala aku menuturkan tentang kelas,
serta-merta wajahnya berubah. Dia tertunduk memandang lantai.
“Aku tak nak pergi kelas Prof James...”
“Kenapa pula?”
Tiada balasan. Dia hanya berterusan memandang
lantai. Dalam kehairanan dapatku lihat keadaan badannya yang sedikit
menggeletar. Mengapa begitu? Entah kenapa lidahku terasa berat dan aku hanya mampu bertanya pada diri
sendiri sahaja.
“Jom balik, okey?” pintaku sambil
mengusap-usap kepalanya lembut. Dia mengangguk perlahan.
Tanpa banyak bicara, Angelica menuruti sahaja
apa yang diarahkanku. Setelah topi keledar milikku dipakainya kemas, terus saja
dia membonceng motorsikalku walau dia masih lagi diam membisu. Masih juga aku
boleh rasakan badannya yang menggeletar entah atas sebab apa. Tanpa begitu
mengendahkan hal itu, aku terus memacu motorku menuju ke rumah Angelica, berpandukan
suaranya yang amat perlahan itu menunjuk arah.
Dan sedikit pun kami tidak menyedari ada
seseorang sedang mengikuti kami dari belakang...
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)