Jam menunjukkan tepat pukul sembilan pagi. Walaupun matahari masih belum tegak di langit, namun keringat yang mengalir dari seluruh badan lelaki ini sudah jelas menunjukkan betapa hangatnya hari itu. Atau mungkin juga disebabkan oleh perkara yang bakal berlangsung ketika ini. Perkara penting di dalam sejarah hidupnya. Sesekali dia melemparkan pandangannya pada seorang gadis yang duduk tidak jauh dari tempatnya berada. Gadis itu kelihatan lebih cantik dari hari-hari biasa. Namun wajahnya suram. Dia hanya tertunduk memandang lantai karpet seolah-olah sedang memikirkan perkara yang amat rumit. Hatinya mengeluh kecil, dan memandang ke hadapan semula.
Fikiran gadis itu menerawang. Walau jasadnya jelas berada di situ, namun
hatinya tiada. Tidak dapat dipastikan jika keluarga gadis ini mengetahui akan perubahan
dirinya memandangkan mereka agak riuh di belakang dan kelihatan gembira. Atau
mereka sebenarnya tidak mahu mengambil tahu langsung tentang dirinya.
“Kenapa awak buat macam ni?”
Saya terpaksa...
“Awak tahukan yang saya sayangkan awak...”
Mana mungkin saya
tak tahu, sebab saya pun sama...
“Saya harap awak bahagia...”
Tak, saya tak akan
bahagia!
“Zue...”
Saya mahukan awak
saja...
“Zuraida!”
Teriakan seorang wanita separa abad yang sedang duduk bersimpuh di belakang
gadis itu mengejutkannya dari lamunan. Setelah tersedar, kelihatan di
hadapannya kini adalah seorang lelaki yang segak berbaju melayu. Wajah lelaki
itu berkerut sedikit memandangnya.
“Salam tangan suami tu!” jerit wanita separa abad itu lagi.
Perlahan-lahan tangannya dihulurkan lalu disambut lelaki itu. Sebentuk
cincin emas disarungkan lembut oleh lelaki itu ke jari manisnya. Gadis itu kemudiannya
mengucup tangan kasar lelaki itu kurang ikhlas, dan segera melepaskannya namun
masih penuh hormat.
“Alhamdulillah. Dah selesai majlis kat sini. Majlis sanding pukul berapa,
Mak Esah?”
Dengan hati yang ceria dan senyuman lebar jelas terpapar di wajahnya itu,
Mak Esah membalas pertanyaan tok kadi tadi. “Pukul dua. Tok jangan tak datang
pula tau,” pesan Mak Esah bersungguh-sungguh. Gembira benar dirinya hari itu.
Masakan tidak, baru sahaja dia menerima
menantu sulung.
Sedang gadis itu pula, setelah mendengar perkhabaran bahawa majlis telah
pun tamat, segera dia bangkit dan menuju ke muka pintu diikuti perhatian semua
mata yang berada di masjid al-Ikhwan, masjid di kampung Kenangan. Belum sempat
dia menyarung selipar Jepun milik masjid yang kini hanya sejengkal dari kakinya
itu, lengannya ditarik seseorang.
“Kamu nak ke mana pula ni, Zuraida?”
“Nak...pergi rumah Mira,” balas si gadis tanpa menoleh.
“Jangan kamu nak mengarut. Kita terus balik rumah lepas ni, bersiap-siap.”
“Ala mak ni, kan lama lagi. Majlis pukul dua, sekarang baru pukul sembilan
lebih...”
Tak sempat untuk si gadis itu meneruskan bicara, Mak Esah terus memotong
percakapnya. “Tak boleh! Kamu tolong jangan buat mak malu boleh tak?” Ditarik
lengan gadis itu menuju ke tengah masjid dan bertemu lelaki berbaju melayu yang
masih tegak berdiri sejak tadi. “Mak cik...eh tak! Mak, mak nak bawa Zuraida
balik dulu ya. Kamu nanti rehatlah dulu di rumah Pak Khalid. Tu yang baju biru
tu Pak Khalid,” panjang lebar wanita ini menerangkan sambil menunjukkan arah di
mana lelaki berbaju biru yang sedang berbual-bual dengan tok kadi itu berada.
Lelaki itu hanya mengangguk faham.
Kereta dinaiki si gadis bernama Zuraida ini menyelusuri jalan kecil di
dalam kebun getah menuju ke rumahnya. Pandangan matanya dilemparkan ke luar.
Sesekali airmatanya tumpah membasahi pipi namun disekanya segera. Dia perlu
kuatkan hati. Apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Namun memikirkan yang dia
telah selamat dinikahkan dengan orang yang tidak dikenali membuatkan dirinya
memberontak. Apatah lagi memikirkan bahawa dirinya yang baru sahaja menginjak
18 tahun!
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)