Monday, September 23, 2013

Cerpen - You Are Beautiful ~ Yakini Dirimu


“Saya nak kamu semua cari pasangan masing-masing dan mulakan latihan.”

Sejurus selepas arahan ringkas daripada seorang guru muda yang lengkap berpakaian sukan diberikan kepada sekumpulan pelajar tingkatan 1 Delima, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Baiduri, tanpa banyak bicara, masing-masing terus memulakan latihan sesama sendiri. Namun tidak bagi Nini kerana gadis genit yang agak berisi itu masih lagi terpinga-pinga di tepi padang bersendirian.

“Eh, Nini takde pasangan ke?”

Nini memandang wajah guru Pendidikan Jasmani kelasnya itu dengan sengihan. Walaupun matanya terasa sarat seperti terkandung cecair hangat, namun dikuatkan hati untuk tidak tersinggung.

“Susah kelas yang bilangan pelajarnya ganjil macam ni. Takpe, kamu berlatih dengan cikgu je ya.”

Nini mengangguk perlahan. Raket badminton yang tergenggam rapi di tangannya sejak tadi mula dihayunkan mengenai bulu tangkis yang terhayun di udara. Malang sekali hayunannya terlalu perlahan. Bulu tangkis yang dipukulnya tersangkut di jaring dan mengundang senyuman hambar gurunya. Mulalah guru itu mengajar satu persatu teknik memukul kepada Nini hingga membuatkan gadis itu kurang senang dan perkara itu berlanjutan hingga kelas tamat.

“Hujung minggu ni kita pergi bandar nak?”

“Ha? Kau nak beli CD apa pula kali ni?”

“Bukanlah. Aku nak beli majalah. Kat sini takde jual pula...”

“Hei, korang plan apa eh? Aku nak ajak pergi makan kat satu kedai kek ni. Nak tak?”

“Wei, kau ni. Asyik kek aje. Gemuklah kitorang!”

“Ala, takut sangat gemuk. Okey, apa kata kita ajak sekali secret admire kau tu. Nak?”

“Hish kau ni. Tak mahu aku!”

“Hahahaha!”

Nini memekakkan telinga. Enggan diambil tahu keadaan sekelilingnya walaupun pada hakikatnya yang dia terasa hati. Sudah lebih sebulan Nini menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar tingkatan 1 di situ namun sehingga ke hari ini, dia masih lagi bersendirian. Melihat keakraban rakan-rakan sekelasnya itu, mana mungkin Nini tidak tersinggung. Makin deras tangannya menggapai setiap buku miliknya dan dimasukkan ke dalam beg untuk bersedia pulang ke rumah.

“Nini, hari ni kau ganti aku sapu sampah boleh? Aku ada aktiviti kelablah lepas ni.”

Nini menoleh ke belakang. Suara itu, milik seorang lelaki yang merupakan rakan sekelasnya. Dan Nini juga sedar, yang hanya lelaki ini sahaja rakan sekelas yang pernah menegurnya selama ini.

“Em, okey...” perlahan sahaja suara Nini bersetuju yang mengundang kegembiraan lelaki bernama Adib itu.

Yay! Thanks banyak-banyak tau. Jumpa esok. Bye!”

Nini mengukir senyuman. Beg sekolah yang sudah sedia tergalas di belakangnya, diletakkan semula. Nini ke belakang kelas, tempat di mana terletaknya sebatang penyapu dan penyodok sampah. Tanpa membuang masa, terus sahaja Nini mula menyapu kelas yang agak bersepah dengan bersungguh-sungguh, walaupun hakikatnya hanya Nini seorang sahaja yang sedang berhempas-pulas mengemas kelas.

Hari sudah gelap ketika Nini selesai dengan tugasannya. Kelas juga sudah lama kosong tanpa sesiapa. Usai menutup pintu kelas, Nini melangkah pulang. Walaupun penat namun Nini terasa puas. Puas kerana dapat berbual dengan rakan sekelas walaupun dengan beberapa patah perkataan sahaja.

“Dia percaya cakap kau? Kelakar betul!”

Nini yang sedang berjalan menyelusuri kawasan perumahan menuju rumahnya, tersentak tatkala telinganya terdengar satu suara yang seperti dikenalinya. Dia berhenti berjalan, dan mula mengamati suara itu perlahan-lahan.

“Sepupu aku yang cerita pasal dia. Diorang satu kelas masa sekolah rendah dulu. Tak sangka pula aku boleh sekelas dengan dia sekarang. Memang rezekilah kan. Hahaha!”

Nini mula rasa tidak sedap hati. Dengan hati-hati dia melangkah menuju ke aras suara yang didengarinya itu. Perasaan ingin tahunya membuak-buak.

“Tapi memang kelakarlah. Macam mana dia boleh percaya pula fasal aktiviti kelab tu? Kitakan kelas petang, kalau ada aktiviti, mestilah waktu pagi. Takkan aktiviti kelab malam-malam pula! Memang kelakar!”

Nini tersentak. Hatinya kuat mengatakan yang kata-kata itu ditujukan khas padanya. Nini mula mengintai di balik dinding.

“Wei Dib. Siapa nama dia? Kot-kot untung, lain kali boleh aku pass kerja kat dia.”

“Nini. Nini Harlina. Kalau budak kelas sebelah macam kau ni pun boleh suruh dia buat kerja, memang lembab gilalah budak tu! Hahaha!”

Nini tersentak. Terasa seperti seluruh darah sudah berkumpul di kepalanya. Hatinya pula seperti dicucuk-cucuk pisau belati tajam. Dengan pandangan mata yang kabur dek kerana air mata yang sudah bergenang di lopak matanya, laju sahaja Nini berlari tanpa diketahui ke mana arah tujuan.

Hujan renyai mulai turun. Dalam samar-samar lampu jalan yang malap, kelihatan Nini yang sedang berdiri tegak di tepi jambatan memandang ke arah sungai gelap yang menyeramkan. Esakan tangisannya masih lagi kedengaran. Nini sedar bahawa hatinya kini sudah betul-betul remuk.

Ketika ini, peristiwa menyedihkan yang berlaku padanya sepanjang dia berada di sekolah rendah terbayang-bayang di fikiran. Selama enam tahun jugalah Nini menjadi mangsa buli rakan-rakan sekolah yang tidak matang. Nini pendek. Nini gemuk. Nini lembab. Dan pelbagai lagi tohmahan yang diterimanya membuatkan Nini menjadi seorang yang suram dan tidak yakin akan diri sendiri. Nini juga tidak mampu untuk membalas setiap cacian yang dilemparkan padanya. Apatah lagi Nini tidak mempunyai rakan yang boleh membantu.

“Bodohnya aku. Aku ni tak guna. Lebih baik kalau aku mati aje...”

Nini nekad. Penghadang jambatan dipanjat dengan susah-payah. Selepas beberapa minit, kakinya kini sudah terpacak di pinggir jambatan. Nini memandang ke bawah. Menakutkan. Namun perasaan sedih melampaui perasaan takut. Nini yakin yang tiada sesiapa akan sedih sekiranya dia mati. Ibu bapanya juga sudah lama tidak ambil peduli akan dirinya.

Nini memejamkan mata. Dia sudah bersedia untuk terjun dalam kiraan tiga. Nini juga tidak kesal malah yakin inilah jalan terbaik dari terus hidup dibelenggu kesedihan.

“Satu...dua...ti...tiga!”

Sepasang kaki gempal yang sejak tadi terpaku di pinggir jambatan, kini terhayun di udara. Nini benar-benar nekad untuk melompat ke dalam sungai yang deras dan gelap itu. Dengan mata yang masih terpejam rapat, Nini kini hanya menanti saat dirinya tenggelam di dalam air sejuk sungai yang tidak pasti berapakah kedalamannya.

Setelah seminit berlalu, Nini hairan. Hairan kerana dirinya masih lagi tidak mencecah ke dalam air. Dirinya terasa seperti terawang-awang di udara. Mengapa pula begitu? Badannya yang agak gempal itu sepatutnya akan terjatuh dengan cepat atas tarikan graviti yang kuat. Dalam kehairanan, Nini membuka kedua-dua matanya. Ketika itu, barulah dia sedar terdapat sepasang tangan milik seseorang sedang berpaut di pinggangnya.

“Kau jangan cuba nak bunuh dirilah budak!”

Sepasang tangan itu yang masih lagi kuat berpaut pada Nini, menarik badan gempal Nini dengan segala kudrat yang ada. Nini yang tidak meronta kerana tergamam telah memudahkan tugasan orang yang asing itu. Selepas beberapa ketika berhempas pulas menarik Nini dari pinggir jambatan, akhirnya manusia asing itu berjaya menyelamatkan gadis genit dari melakukan kerja sia-sia. Nini dan si orang itu kini terjelepuk kepenatan di atas lantai jambatan bercahaya malap.

“Hoi budak! Kau dah lama hidup apa?”

Herdikan itu timbul dari bibir seseorang yang baru sahaja membantutkan niat Nini untuk menamatkan riwayat hidupnya yang menyedihkan. Nini mengamati diri seorang wanita cantik, kurus dan tinggi yang sedang merenungnya tajam. Terasa berang pula, sudah dirinya begitu sempurna begini, sudah tentu dia tidak memahami perasaan Nini yang jauh berbeza darinya. Nini mencebik.

“Dari kau pergi bunuh diri, lebih baik kau pergi jadi sukarela jaga orang-orang tua. Lagi berfaedah!”

Wanita cantik itu masih lagi mengherdiknya. Nini terasa bengang.

“Akak apa tahu? Kalau saya mati pun, bukan ada kaitan dengan akak!”

Nini menepis tangan asing yang sejak tadi tercengkam erat pada lengannya dan bingkas bangkit untuk meneruskan hajat hitamnya yang terbantut. Hanya untuk menerima satu penampar kuat mengenai pipi kirinya. Nini terkedu.

“Akal tu jangan nak singkat sangat. Hidup baru setahun jagung, dunia pun tak kenal lagi, dah buat perangai bukan-bukan. Jangan ingat kamu seorang je yang susah. Kat dalam dunia ni, semua orang pun ada kesusahan tersendiri. Bezanya, cara kita mengatasinya. Fikir kalau kamu dah ditimpa kesusahan sekali, hidup dah tamat? Matanglah! Fikirkan jalan penyelesaian yang lebih afdal. Bukan dengan bunuh diri!”

Bebelan panjang daripada seorang kakak cantik yang tidak dikenali Nini membuatkan hatinya sebak. Tidak semena-mena imbasan tentang kisah hidupnya ketika kanak-kanak dahulu terimbau kembali. Saat di mana ibu bapanya bersusah-payah menuruti segala kehendaknya walau sesusah mana sekalipun. Kehambaran kasih sayang ibu bapa Nini padanya dan punca ibu bapanya ingin menuntut cerai kemungkinan besar adalah datang dari dirinya. Hati Nini menjadi semakin sebak. Air matanya pun kembali bergenang.

Wanita cantik yang baru melepaskan bebelan panjang kepada budak genit yang sudah tertunduk sayu itu melepaskan keluhan lega. Melihat raut wajah budak itu, dia yakin yang si budak itu sudah insaf. Dengan lembut dia meletakkan tangannya di atas kepala Nini dan mula mengusapnya perlahan. Nini yang tersentak dengan perilaku wanita itu, mula teresak-esak dan terus merembeskan air mata hangat dengan derasnya. Walau hatinya sebak, namun sedikit demi sedikit dia berasa tenang. Kehangatan itu, adalah kehangatan yang telah lama ingin dinikmatinya. Kehangatan sebuah kasih sayang.

“Siapa nama adik?” wanita itu bertanya setelah melihat Nini semakin beransur pulih.

“Nini,” balas Nini perlahan. Esakannya masih lagi kedengaran.

“Nini ingat ni. Kat dalam dunia ni, takde sesiapa pun yang tak berguna. Masing-masing ada kelebihan dan peranan tersendiri. Sebab tulah, apa yang penting, adalah yakin.”

Pada pandangan Nini kini, kakak cantik yang sedang berteleku di hadapannya sekarang diibaratkan seperti cahaya matahari pagi yang terang dan segar. Mata Nini dibulatkan, memandang tepat wajah cantik wanita berkulit cerah berambut sederhana panjang dan berpakaian formal dengan seutas tali leher tersemat di lehernya. Nini sedar yang dia benar-benar mengagumi wanita itu.

“Nini boleh berdiri tak?”

Pertanyaan itu menyedarkan Nini dari lamunan. Pantas Nini mengangguk dan segera berdiri, dengan bantuan si kakak cantik itu.

“Jom saya temankan Nini balik. Ingat jalan balik tak?”

Sekali lagi Nini mengangguk dan tersipu malu. Wanita itu terlalu baik hingga membuatkan Nini segan sendiri. Perlahan-lahan mereka melangkah menjauhi jambatan yang hampir-hampir menelan nyawa Nini dan berjalan ke arah rumah Nini.

“Oh yalah. Terlupa kenalkan diri pula,” ujar si kakak itu setelah mereka melangkah beberapa tapak. “Nama saya Rosli. Selamat berkenalan.”

Nini mengerutkan dahi sebelum membuka mulut. “Er, Roslina ke kak?” tanya Nini inginkan kepastian. Mungkin telinganya kurang kedengaran dek kerana terlalu segan. Si kakak itu hanya tersenyum.

“Tak. Rosli. Sebenarnya, saya ni lelaki,” ujarnya dengan senyuman lebar. Nini membeliakkan mata. Mulutnya terbuka luas. Siapa sangka, seseorang sebegini cantik rupanya adalah seorang lelaki!

Sehingga Nini sudah berada di hadapan rumahnya pun dia masih sukar mempercayai akan lelaki cantik bernama Rosli itu.

***

Pagi yang cerah. Kelihatan burung-burung berterbangan di udara dengan riangnya. Begitu juga halnya dengan Nini. Nini hari ini, bukan lagi Nini yang semalam. Nini kini adalah Nini yang baru. Nini yang penuh keyakinan diri.

Saat Nini melangkah memasuki kelasnya, gemuruh melanda diri. Nampaknya masih ada sekelumit rasa gusar tersimpan di benak hatinya namun Nini segera menguatkan diri. Pipinya ditampar sekali bagi menghilangkan rasa terbeban itu.

“Nini, thanks sebab tolong semalam. Hari ni boleh tolong lagi tak?”

Lelaki ini, lelaki yang bernama Adib ini, sememangnya seorang yang tidak tahu malu. Walaupun Nini berasa menyampah, seulas senyuman tetap terbit dibibirnya.

“Maaflah. Hari ni aku kena balik awal. Nak tolong emak aku kemas rumah. Melainkan kalau kau nak tolong emak aku. Boleh?”

“Hah, mengarutnya. Rumah sendiri, kemaslah sendiri. Kenapa pula aku yang kena tolong?”

Nini melangkah menghampiri Adib, berdiri benar-benar di hadapan lelaki rendang itu.

“Soalan tu aku balikkan pada kau. Kelas kita, sama-samalah bertanggungjawab. Bukan seorang saja, bukan juga orang lain. Harap kau faham.”

Nini melangkah menuju ke arah tempat duduknya dengan membiarkan Adib tercengang sendiri, kehairanan melihat perilaku Nini yang amat berbeza. Nini tersenyum puas. Keyakinan semakin menebal di dada Nini.

Hingar-bingar kelas mulai kedengaran apabila guru subjek pertama hari itu masih tidak kunjung tiba. Beberapa rakan sekelas Nini kini mula cuba berbual-bual dengan gadis genit itu. Siapa sangka tindakannya melawan permintaan Adib tadi telah membuatkan Nini popular sekelip mata. Walau Nini masih tersipu-sipu malu, namun dia gembira kerana kini dia telah berjaya bersahabat dengan rakan sekelas. Adib turut meminta maaf kepada Nini atas tindakannya sebelum ini.  
     
Kelas yang hingar-bingar mulai senyap apabila guru kelas 1 Delima melangkah masuk bersama seseorang mengekorinya. Ketua kelas segera memberi salam hormat sebelum guru kelas mula berbicara.

“Hari ni saya nak kenalkan guru matematik kamu yang baru.”

Kelas kembali hingar dengan suara murid-murid berbisik sesama sendiri. Terkecuali Nini yang sedang tercengang seakan-akan tidak percaya pada apa yang sedang dilihatnya.

“Nama saya cikgu Rosli. Selamat berkenalan,” bicara guru muda itu sambil tersenyum. Guru muda itu kelihatan segak berkemeja dan kemas berambut pendek.

Kelas semakin hingar. Guru muda itu menghadiahkan senyuman tatkala matanya memandang Nini yang melopong dan terkaku. Terngiang-ngiang di telinga Nini apa yang disebut lelaki yang ditemuinya malam tadi dan kini sedang berdiri tegak di hadapan kelasnya.

“Apa yang penting adalah yakin.”

***


(hoyyeh~ lame tak update >.<)

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)