Hari ini berlalu sama seperti biasa. Tiada yang lebih, tiada yang kurang.
Hakimi dengan perangai menyampahnya itu, Julia pula masih tidak lekang senyuman
sejak aku menyertai kumpulan kugirannya dan berlatih setiap malam bersama
mereka. Yalah, persembahan yang pernah Julia khabarkan kepadaku sebelum ini
akan berlangsung malam esok. Haruslah kami bersungguh-sungguh berlatih. Arisa pula...kejap...kenapa
aku bangkitkan hal dia? Membencikanlah! Tapi untuk pengetahuan, Arisa sudah
menjadi seperti biasa, iaitu seekor kera sumbang. Buat apa-apa pun sentiasa
bersendirian. Orang lain pun tak berani nak tegur dia. Lagi bagus begini sebab
dia langsung tak ganggu aku sejak peristiwa dua minggu lepas. Kejadian di mana
perkara yang tak ingin aku ingat lagi itu pun sudah tiada di dalam memori ibu
dan adikku. Pandangan mereka padaku sudah pulih seperti biasa. Cuma memori
berkaitan malam itu antara aku dan dia sahaja yang masih kekal menjadi misteri.
Masih terngiang-ngiang kata-kata yang diutarakannya ketika aku mahukan kebenaran
tentang peristiwa hitam (bagiku) itu.
“Aku boleh pulangkan semula memori itu kalau kau sudi jadi pawn aku.”
“Pawn apa kejadahnya! Ingat
tengah main chess ke?”
“Nak atau tak?”
“Bukan hari tu kau dah janji ke?”
“Yang itu janji untuk memori ibu dan adik kau. Bukan memori kau.”
“Wah wah wah...lidah bercabang sungguh ya kau ni!”
“Aku cuma bertindak mengikut prinsip. You
give me one, I’ll give you one.”
“Boleh jalanlah dengan kau punya prinsip! Aku nak hak aku balik!”
“Fine. Aku delete je memori ni,” segera Arisa mengeluarkan pistolnya dan
segera hendak menghapuskan memoriku dalam simpanannya.
“Oii kejap! Okey okey, kau nak aku buat apa sebenarnya? Bagitahu aku dulu
baru aku cakap setuju atau tak.”
Arisa tersenyum. “Good guy. Hujung
bulan ni kau ada performance kan? Kat
sana nanti aku akan bagi arahan dan kau kena ikut. Jangan tak datang pula. And don’t tell anyone.”
Begitulah kisahnya. Aku tak tahu apa yang sedang dirancangkan dalam kepala
otak dia tu, cuma aku berharap janganlah ganggu rakanku yang lain. Walaupun
selama dua minggu perkara ini berlegar-legar di mindaku, namun aku masih cuba
bertindak seperti biasa. Buktinya, mereka tidak mengesyak aku atau bertanya
jika aku ada masalah atau apa. Semua berlalu seperti biasa.
“Rasanya dah cukup perfect persembahan
kita ni. Jangan time perform betul-betul
kita lari sudahlah,” tutur Ed usai sahaja latihan tamat.
“Kita tak lari manalah Ed,” sampuk Mus dengan tawaan kecil.
“Aiyo, I tahu, itu apa orang
panggil, perform tak sama dengan time practice,” Ed masih beria
memahamkan semua.
“Ye, ye, kitaorang faham. Senang kata, jangan nervous. Buat macam biasa je,” balas Mus yang masih tertawa.
“Alright, semua dah okey. Jadi
setakat ni sajalah latihan kita. Besok kita rehat puas-puas dan malamnya pula,
kita enjoy ourself! Yay!,” balas
Julia pula dengan girangnya.
“Yup, all thanks to our new
guitarist. Give him a big clap,” sambung Ed diikuti tepukan oleh setiap
ahli. Aku terasa segan sendiri, menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.
“Eh, takdelah. Saya ni tolong sikit je. Semua ni berkat kerjasama semua
kan.”
“Betul. Jadi sempena meraikan tamatnya latihan kita ni, kita pergi mamak
minum jap nak? It’s on me,” Mus
membalas diikuti sorakan semua yang bersetuju dengan cadangannya.
Kami berjalan secara berkumpulan menuruni anak tangga jamming studio sambil berbual-bual. Saat kakiku jejak ke anak
tangga yang terakhir, dapatku rasakan sepasang mata sedang memerhatikan
gerak-geri kami. Dan aku yakin yang aku cukup kenal pemilik mata itu. Segera
aku melangkah menuju ke arah empunya diri yang sangat menjengkelkan ini.
“Apa kau nak?”
“Sekadar datang melawat,” tuturnya sopan.
“Mana kau tahu kami kat sini?”
Tiada balasan. Hanya senyuman jahat yang terukir di wajahnya.
“Aku akan kotakan janji aku. Jadi tolong jangan libatkan mereka dengan
rancangan kau. Faham!”
“Ya patik faham, Tuanku,” tuturnya lembut sambil membuat gaya sedang
memberi tanda hormat kepada seorang Raja namun bagiku ia amat menjengkelkan.
Aku melihat Arisa yang muncul tanpa diundang ini berlalu pergi sebelum
kembali pada rakan-rakanku semula. Kelihatan hanya Julia yang masih menanti di
hadapan pintu masuk studio.
“Em, girlfriend senior ke tu?”
soal Julia yang menimbulkan geli-geleman seluruh badanku.
“Ew, jauh panggang dari apilah! Tak ingin saya bertemankan perempuan macam
itu!”
“Eh, kenapa pula? Saya tengok boleh tahan cantik. Rupa macam anak Jepun.
Tinggi pula tu. Tak macam saya yang pendek ni...”
“Kalau takat rupa je cantik tapi perangai hodoh, baik tak payah.”
“Eh...apa slack dia? Nampak
sempurna macam tu...”
Tak tahu pula apa alasan yang hendakku berikan kepada Julia ni. Tak mungkin
aku ceritakan kisah gelap yang telah aku lalui beberapa minggu ini, Arisa juga
dah beri amaran keras untuk tidak memberitahu kepada sesiapa. Parah jadinya
kalau aku tak ikut arahannya.
“Takde apa-apalah. Jom Ju, kasihan diorang tunggu kita tu,” balasku yang
enggan memikirkan dengan lebih lanjut tentang si Arisa itu lagi. Aku mengorak
langkah menuju ke restoran mamak yang terletak di penghujung bangunan, tidak
jauh dari studio tempat kami berlatih tadi, diikuti Julia di belakangku.
“Maknanya saya ada can lagilah...” tutur Julia perlahan.
“Hah? Apa maksud Ju?” aku menoleh memandang gadis genit ini.
“Haha, takde apalah. Jomlah senior!” balas Julia seraya menarik lenganku
dan berlari-lari anak.
Sedang aku kebingungan, hatiku berbunga-bunga...
***
Bertempat di Hotel Crystal yang tidak jauh dari kawasan rumah kami, tempat
di mana berlangsungnya majlis makan malam sempena Minggu Setiausaha syarikat
permotoran terkenal negara; Pearl Motor, dapatku rasakan betapa kencangnya
degupan jantungku. Melihat tetamu yang hadir terdiri daripada pegawai-pegawai
berpangkat tinggi dengan sut yang mewah diiringi para setiausaha yang cantik lagi
bergaya, membuatkanku terasa begitu kecil. Aku cuma budak sekolah yang selekeh
ini rasa seperti ingin melarikan diri namun segera membatalkan hasrat bodoh itu
apabila memikirkan penat lelah kami berlatih untuk hari ini (selain dari hal
Arisa yang membencikan itu). Selain itu, tak mahu juga aku mengguris perasaan
Julia yang sudah bersusah-payah mencarikanku pakaian yang sesuai, siap
berdandan lagi. Terasa pelik bila mukaku ditepek bedak. Tapi mahu tak mahu,
direlakan sahaja terutama apabila melihat wajah ceria Julia.
“Sebagai pembuka majlis, marilah kita menyaksikan persembahan daripada
kumpulan yang tidak asing lagi. Berikan tepukan gemuruh kepada Bitter Butter.”
Mendengarkan tepukan yang begitu gemuruh bergema di pelosok ball room ini, makin menjadi-jadi
jantungku berdegup. Namun aku segera menenangkan diri dan teringat pesanan
ketua kumpulan kami, Mus.
“Jangan nervous. Buat macam biasa
saja.”
Setelah berpijak di bumi yang nyata, aku melangkah menuju ke pentas utama,
diiringi rakan-rakanku yang lain. Oleh kerana kami telah terlebih dahulu
membuat sound check dan memasang
semua peralatan di tempat yang sepatutnya, persembahan kami terus dimulakan.
Hilang gugup, datang rasa seronok pula. Hadirin yang menyaksikan persembahan
kami turut terpancar rasa gembira di wajah masing-masing, ditambah pula
kebijakan Julia mengambil hati mereka. Memang seronok, dan aku cukup berpuas
hati dengan persembahan ini. Aku patut berterima kasih yang amat sangat kepada
ahli kumpulan ini, Julia terutamanya kerana memberi peluang untukku menyertai
mereka.
Usai persembahan, dan setelah mengucapkan tahniah kepada masing-masing di
atas kejayaan persembahan kali ini, kami dipelawa untuk duduk di meja VIP yang
telah disediakan untuk menikmati hidangan. Rasa gugup kembali menghantui diri,
masakan tidak, kami diapit oleh CEO-CEO yang ternama. Namun setelah melihatkan
aneka hidangan yang menyelerakan, hilang terus rasa gugup itu, timbul pula rasa
lapar. Melihat orang lain sudah mula menjamu selera, kami terus mula menyantap
segala yang diingini namun masih sopan.
“Em, korang. Ju nak pergi tandas sekejap ya. Korang jangan pergi mana-mana
tau!” tutur Julia setelah beberapa ketika.
“Nak Mus temankan tak?” gurau Mus diikuti tawa Ed.
“Hish, tak payahlah. Ju bawa Carrie sekali. Jom Carrie,” ujar Julia dan
dipersetujui Carrie yang terus mengikutinya tanpa banyak bicara.
Di atas pentas ketika ini masih meriah dengan pelbagai jenis persembahan.
Ada deklamasi sajak, ada sayembara puisi, tak kurang juga karaoke. Pelbagai
ragam dan aksi dapat dilihat. Namun hati yang sedang senang ini berubah apabila
terfikirkan tentang Arisa. Majlis sudah menghampiri ke penghujung namun masih
tiada apa-apa tindakan daripada dia. Apa yang sebenarnya dia mahuku lakukan ya?
Sudahlah, jika tiada apa-apa lagi bagus. Perut kenyang, hati riang, balik rumah
nanti boleh tidur terus.
“Lamanya diorang ni pergi tandas. Berak batu ke?” pertanyaan Mus
menyedarkanku tentang Julia dan Carrie yang masih tidak pulang. Rasa risau mula
bertandang di hati.
“Entah-entah mereka tu kena tackle dengan
abang-abang CEO yang handsome-handsome kot?
Mus, nak pergi cari mereka tak?” ujar Ed pula dengan kerisauan jelas terpancar
di wajahnya. Aku yakin yang dia sebenarnya lebih risaukan Carrie. Maklumlah,
Carrie tu comel orangnya.
“Aku rasa okey juga. Kita pergi cari diorang, lepas tu kita terus balik. Kerja
kita pun dah settle kan?” ajakku pada
mereka. Aku sebenarnya kalau boleh memang tak mahu buat kerja entah apa-apa
arahan dari Arisa itu nanti. Jika kami pulang awal, sekurang-kurangnya aku
boleh berinya alasan yang kukuh sedikit.
Elok sahaja kami mahu berganjak dari meja kami, Carrie pulang dengan
tergesa-gesa. Kami kehairanan. Kenapa? Julia tersangkut dalam tandas sampai tak
boleh keluar ke? Detik hatiku.
“Julia, tolong Julia!” dengan tercungap-cungap Carrie menuturkan kata-kata.
“Julia kenapa? Kena tackle ke?”
ujar Mus pula, masih bergurau.
“Dia kena tangkap dengan orang berpistol!”
Mendengar pengakuan Carrie itu, serta-merta aku panik. Tolonglah, janganlah
ini yang sebenarnya rancangan Arisa.
“Dia kat mana tadi?” ujarku yang masih sedang cuba bertenang.
Pam! Satu suara yang amat membingitkan telinga kedengaran di ruangan udara.
Mataku segera beralih ke arah tersebut yang rupanya berasal dari atas pentas. Kelihatan
berada di situ adalah tiga orang bertopeng dengan masing-masing membawa pistol
manakala salah seorang daripadanya membawa seseorang yang kami kenali. Julia!
Aku ingin segera mendapatkannya namun dihalang oleh Mus dan Ed.
“Jangan risau. Serahkan apa yang kami mahu, dan kami akan pergi. Itupun
kalau kamu semua sayangkan nyawa budak perempuan ni,” jelas salah seorang
daripada mereka.
“Apa yang kamu semua mahu?” satu suara lantang dari arah hadirin muncul
ditujukan terus pada mereka bertiga.
“Nelly! Aku tahu kau ada di sini sekarang. Kau serahkan diri dan kami akan pulangkan
budak perempuan ni.”
Nelly? Siapa? Adakah Nelly yang pernah aku dengar namanya ketika aku ke
bandar tempoh hari? Tapi mengapa? Adakah ini bermaksud, Nelly salah seorang
daripada CEO atau setiausaha yang hadir hari ini?
“Kau, pergi menyamar jadi Nelly cepat!”
Satu suara muncul dari arah belakang. Aku toleh, dan di hadapan mataku kini
adalah Arisa yang entah bila menyelinap masuk. Perasaan marahku semakin
memuncak.
“Kau! Kau yang rancangkan semua ni kan? Aku dah kata jangan libatkan
kawan-kawan aku!” walau suaraku agak lantang tapi dek kerana keadaan yang
hingar-bingar, suaraku masih tenggelam timbul.
“Shhh, jaga sikit percakapan kau tu. Kau nak selamatkan Julia, atau tak?”
dalam keadaan genting seperti sekarang ini, dia masih lagi berteka-teki denganku.
“Kenapa tak kau je yang menyamar jadi Nelly?” soalku sedikit ragu dengan
arahannya tadi.
“Hero Julia ialah kau, bukan aku. Dah, cepat pergi sebelum nyawanya
melayang!”
Banyaklah kau punya hero. Kau yang rancang semua ni, dah baling batu, sorok
tanganlah ya! Sudahlah, berfikir lagi panjang pun tak guna. Orang lain pun
tiada siapa yang sanggup jadi penyamar Nelly, apatah lagi si Nelly tu sendiri.
Tak muncul pun. Tak bertanggungjawab langsung! Tanpa membuang masa lagi, risau
jika Julia dibunuh mereka yang seperti singa kelaparan ini, aku bangkit.
“Aku Nelly. Tolong lepaskan perempuan tu sekarang,” tuturku tenang.
“Mana kami nak percaya jika kau ni Nelly sebenar atau cuma pak sanggup?”
Alamak, dia pergi tanyalah pula. Otak, cepat fikir apa alasan nak beri ni!
“Memori...memori Clark Slacky ada pada aku. Lepaskan perempuan tu dan aku
datang serah diri.”
Aku tak pasti jika betullah alasan yang aku berikan ni. Tapi mereka bertiga
nampak yakin. Mereka mengarahkan aku bergerak menuju ke arah mereka sebelum
melepaskan Julia dan aku akur. Aku bergerak menyusuri para hadirin yang
masing-masing duduk mencangkung dengan tangan di kepala, bimbang jika
penjenayah yang berada di atas pentas ini menembak secara melulu dan mengenai
mereka. Dengan kedua-dua tanganku berada di atas sebagai tanda tidak membawa
sebarang senjata merbahaya, aku menghampiri mereka.
“Lepaskan Julia,” ujarku kepada mereka tatkala aku tiba di hadapan mereka.
“No problem. Mar, lepaskan dia,”
ujar salah seorang lelaki kepada rakannya yang memegang erat tangan Julia
dengan pistol tak lekang dari dahi Julia yang kasihan ini. Suara lelaki ini,
aku yakin yang aku pernah dengar sebelum ini. Tak kurang juga penjenayah yang
bernama Mar ini, seperti pernah berjumpa di mana-mana.
Tatkala tangan Julia dilepaskan penjenayah bernama Mar ini, dapatku lihat
wajah sedihnya ketika pandangan mata kami bersatu. Aku yakin yang dia
risaukanku namun Julia tiada kena mengena dengan kisah ini. Jika berlaku
sesuatu terhadapku, aku yakin yang Arisa akan cuba membantuku...mungkin. Tapi
jika ada sesuatu yang berlaku pada Julia, sungguh aku tak dapat memaafkan diri
sendiri dan juga Arisa, punca segala masalah.
Ketika Julia hampir menuruni tangga pentas, satu tembakan kedengaran di
udara dan tembakan itu tepat mengenai tangan salah seorang penjenayah. Siapalah
yang bangang sangat pergi tembak mereka ni! Polis ke? Apahallah bijak sangat!
Kot ya pun, tunggulah lepas Julia ni selamat. Berang dengan tindakan melulu
entah siapa-siapa itu, penjenayah bernama Mar itu mengacukan pistolnya ke arah
Julia dan mula menekan picu. Tanpa sempat berfikir panjang lagi, aku bingkas
menghalangnya dari menembak Julia. Sepatutnya aku alihkan tangannya ke arah
lain, tapi dek kerana tak sempat berfikir, aku melompat di hadapannya pula. Peluru
yang sudahpun dikeluarkan dari pistol itu tepat mengenai bahu kiriku. Sakit?
Menipulah kalau tak. Tapi ketika itu, fikiranku sudah menjadi kosong. Aku hanya
membiarkan diri ini rebah ke lantai dengan darah terhambur keluar. Juga
disaksikan Julia yang sedang menjerit namaku dengan kuat disertai wajahnya yang
penuh dengan linangan air mata dan percikan darah.
“Faz!”
Mataku mula kabur dan ingatanku mati setakat itu...

No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)