Sunyi. Dan gelap. Aku mencelikkan mata. Kenapa aku rasa sejak akhir-akhir
ini aku senang betul tertidur, ataupun jatuh pengsan. Antibodi badan dah tak
kuat kot? Mungkin aku patut excercise.
Oh yalah, sekarang ni aku berada di mana? Jika tak salah, tadi aku berada di
rumah, atau lebih tepat, bilik hotel mewah sewaan si Arisa tak betul tu.
Sekarang ni di mana pula? Keadaan sekeliling ni macam biasa nampak...eh?
“Bi...bilik aku? Tapi kenapa?” separa menjerit aku melantunkan suara. Tak
pastilah jika ada sesiapa yang terdengar kerana keadaan yang gelap ini
menyukarkanku membuat pengecaman. Aku mengecilkan mata untuk mengamati keadaan
sekeliling.
“Thanks...”
Suara halus yang bergetar itu muncul dari arah katil. Suara itu, kedengaran
sama seperti suara aku. Adakah itu aku? Aku dekati dan amati kelibat tubuh yang
sedang duduk membatu di tepi katil. Yalah, memang aku. Hodoh sungguh rupaku
ketika ini...siap sedut-sedut hingus lagi. Buruknya! Dan keadaan ini seperti
yang berlaku ketika Arisa ke rumahku tempoh hari. Jika ini bukan mimpi,
bermaksud yang Arisa sudah menggodam privasi aku sekali lagi. Berani betul! Ah,
tapi jika difikirkan balik, bukan ini penjelasan yang aku mahukan darinya? Bagus
juga, perkara yang menjadi misteri kepadaku sejak beberapa minggu yang lalu
boleh diketahui!
Arisa yang sedari tadi tercegat di hadapan aku yang tersedu-sedan itu
mendekati dengan perlahan-lahan dan mula mengusap-usap rambutku lembut. Seketika
kemudian, dia menolak badanku terbaring di atas katil. Ah sudah, dah mula dah
ni. Inilah scene yang tak sanggup aku
nak tengok tempoh hari. Tapi demi mendapat kepastian, aku terpaksa tahan hidung
dari berdarah. Hm, dalam mimpi, boleh berdarah ke? Ah, apa-apalah! Teruskan
menonton walaupun tak nak!
Aku lihat mimik wajah aku yang sedang digoda Arisa tu macam tak kisah je.
Tak ingat pula kalau aku ada jatuh hati kat Arisa ni. Hish, tak mahu aku! Ya,
mungkin aku sebenarnya ketika itu dipukau, sebab tu aku menurut sahaja apa yang
disuruh si Arisa gila tu!
Oh, berbalik pada adegan memalukan yang sedang berlangsung di hadapan
mataku sekarang ini, membuatkan aku terfikirkan sesuatu. Arisa ni ada tersalah
makan ke waktu kejadian ni? Aktif semacam je. Menakutkan pula. Dia yang kini
turut berada di atas katil, bersebelahan denganku masih lagi mengusap-usap
rambutku lembut. Kemudian dia membelai pipiku manja. Geli-geleman pula rasa.
Seketika kemudian dia mendekatkan bibirnya ke telingaku (yang sedang terbaring
tu) dan mula berbicara.
“Aku akan pulangkan memori kau ni nanti, bila waktu yang sesuai tiba...”
Pam! Satu tembakan dari pistol peliknya yang aku tidak tahu sejak bila
berada di tangannya, menghamburkan sebutir peluru dan tepat mengenai kepalaku,
namun tidak berdarah. Aku yang terkena tembakan itu terus tidak sedarkan diri
lagi. Kelihatan Arisa tersenyum puas.
“Alright. Time to do some work...”
Arisa mula melakukan sesuatu pada leherku dengan menggunakan jarinya. Dia
memicit-micit setiap inci di leherku hingga meninggalkan bekas. Ketika ini, aku
mula berasa bengang.
“See what I’ve done here? Hickeys!
Hope you like it~” tutur Arisa sendirian walaupun aku yakin yang dia
sebenarnya sedang menerangkan perbuatan tak masuk akal ini kepada aku yang masih
bengang ini. Jadi kesan gigitan yang aku risaukan sebelum ini, sampai jadi
bahan rakan-rakan sekolah itu, sebenarnya hanya kesan cubitan?
Hahaha...dinding. Aku perlukan dinding yang keras. Terasa nak hantukkan
kepalaku ini pada dinding sekuat-kuatnya. Ah terlupa pula, jasad aku sekarang
ini tak ubah seperti hantu. Nanti bila dah sedarlah aku cari dinding. Arisa,
kau memang tak guna! Harap-harap kau tak kisah kalau aku cekik kau nanti.
Aku tersedar seminit selepas itu.
***
“Hahahahahahahahaha!”
Bagaikan petir halilintar, begitulah suara Arisa yang sedang ketawa
mengilai bagaikan hantu pontianak. Sambil ketawa, sambil menekan-nekan perut.
Sesekali dia menyeka air mata yang mengalir keluar kerana terlalu banyak
ketawa. Gelaklah, gelak sepuas hati. Ibu aku cakap kalau seronok sangat sampai
tak ingat dunia, besok-besok menangis. Memang aku akan buatkan kau menangis pun
besok. Tunggu je. Benci. Aku benci kau Arisa!
“Aduh, tak tahan aku. Rasa macam nak tercabut perut ni. Ahahahaha!”
“Gelaklah. Gelak lagi! Gelak sampai puas! Kau memang kan, seronok kenakan
aku. Gelaklah lagi, biar tercabut terus perut kau tu lagi bagus!”
Aku menarik muka masam, memandang ke arah bertentangan dari si gila tu.
Menyampah tengok. Kalau ikutkan hati, nak aje aku hempuk muka si Arisa tu
dengan apa-apa yang keras, biar dia tahu betapa sakitnya hati aku ni. Tapi aku
masih bertindak waras.
“Dah, bagi kunci kau tu. Aku nak balik,” ujarku setelah menyedari kunci
yang diambil tadi tiada padaku lagi.
Arisa berhenti dari gelakan syaitannya itu dan memandangku. Senyuman sinis
terbit dari bibirnya.
“Belum tiba masanya untuk kau balik lagi.”
“Taknak bagi, sudah. Aku pecahkan aje pintu tu!”
“Oh, larat ke?”
Aku ingin segera bangkit dari kedudukanku sekarang ini yang berada di atas
katil namun Arisa pantas menolak kedua-dua bahuku dan dengan mudah membuatkan
aku terbaring semula. Sejak bila si Arisa ni ada tenaga sebegini kuat? Ataupun
aku yang dah menjadi lemah? Aku cuba bangkit sekali lagi namun segera ditegah
Arisa.
“Kau ni, tak perasan lagi ke?”
Keningku berkerut, tidak mengerti apa yang dimaksudkannya.
Arisa mengeluh kecil sebelum mengangkat tangan kananku dan meletakkannya di
atas dahiku. Walaupun kehairanan, aku membiarkan sahaja tingkah lakunya itu. Kulit
tanganku yang menyentuh permukaan dahiku itu terasa...panas?
“Badan tu demam pun boleh tak perasan ke? Lawak betul.”
Patutlah badan aku ni rasa tak bermaya je. Tenaga luar biasa Arisa itu pun
rupanya normal je. Aku yang tak normal. Apalah, memang benar kata Arisa tu.
Lawak betul.
“Kau ni mesti excited nak jumpa
aku kan? Sebab tu badan demam pun boleh tak perasan,” seloroh Arisa dengan
senyuman sinis.
“Mengarut! Kau ingat aku ni hadap sangat nak jumpa kau?” balasku membidas
tohmahan merepeknya. Aku memalingkan wajahku ke arah lain kerana berasa
jengkel.
Langsung tidak terasa hati dengan apa yang dituturkan aku, Arisa masih
boleh bertindak seperti biasa. Dia kemudiannya melangkah menuju ke bilik mandi.
Seketika kemudian, dia keluar dengan membawa semangkuk air dan sehelai tuala
kecil.
“Aku tak perlukan belas kasihan kaulah!” ujarku seraya menepis tangannya
tatkala dia ingin meletakkan tuala lembab ke dahiku. Namun seperti biasa, dia
langsung tak mengendahkan kata-kataku.
“Orang sakit tak boleh banyak karenah,” balasnya dan terus meletakkan tuala
lembab padaku secara paksa. “Aku pergi ambilkan ubat kejap,” tambahnya lagi.
Arisa menyarung sweater berhud
hitamnya yang sedia tergantung di almari baju tepi pintu dan berlalu keluar.
Melihat Arisa hilang dari balik pintu menguatkan lagi keinginanku untuk
segera pulang. Tunggu di sini lagi pun untuk apa. Sekurang-kurangnya aku dah
dapat memori aku yang dicuri tempoh hari. Memori yang membencikan. Jam sekarang
sudah menunjukkan pukul 11 malam. Bas memang dah tak ada lagi waktu-waktu macam
ni tapi aku peduli apa. Teksi berlambak, mahal sikitlah tapi. Tak kisahlah.
Daripada terus tinggal di sini. Aku ni pun satu, kenapalah tak datang
siang-siang. Macam tak boleh datang besok-besok. Gara-gara mencari Kimi yang
asyik melarikan diri dari aku siang tadi, aku jadi terlewat untuk ke sini. Ah,
fikirkan lagi pun tak guna. Benda dah jadi. Yang penting sekarang ini adalah,
keluar dari sini secepat mungkin!
Aku mencapai tombol pintu yang telah terbuka setiap kuncinya. Beranggapan
pintu itu telah tidak terkunci lagi, aku cuba untuk membukanya, hanya mendapat
hasil yang mengecewakan. Pintu itu rupanya masih terkunci! Tapi bagaimana?
Terkunci dari luarkah? Ah, Arisa ni. Dia memang betul-betul mahu kurung aku di
sini!
Memikirkan tiada cara lain untuk keluar melalui pintu utama, mungkin aku
patut cari cara lain. Tingkap? Walaupun tak tinggi sangat, tapi dengan keadaan
badanku yang demam ini, mungkin aku sudah tidak bernyawa tatkala tiba di bawah.
Bahayanya, aku belum mahu mati lagi. Sedang aku terfikir-fikir cara, aku
terpandang almari baju di tepi pintu. Ya, mungkin aku boleh gunakan cara ini.
Arisa pulang kira-kira sepuluh minit kemudian. Tatkala Arisa hampir
merapatkan pintu bilik, aku yang sedang bersembunyi di dalam almari segera
menahan pintu itu dari tertutup dan terus berlari keluar. Arisa kelihatan
terkejut dengan tindakanku itu namun tidak berjaya menahan aku dari melarikan
diri. Pantas juga aku berlari ketika ini. Hah, jangan mempertikaikan
kredibiliti seorang atlet walaupun sedang sakit. Bangganya aku dengan diri
sendiri.
Beranggapan jika menggunakan lif adalah bahaya, aku membuat keputusan untuk
turun menggunakan tangga. Tidak pasti jika tindakanku ini adalah keputusan yang
betul namun itu tidak penting. Yang penting sekarang ini adalah aku perlu
melarikan diri dalam kadar segera. Aku menuruni tangga dari tingkat empat itu
tanpa sebarang masalah. Dan kebetulan juga, tangga di tingkat satu mempunyai
pintu kecemasan, mungkin menghala ke luar. Ini sudah bagus! Tak perlulah aku
keluar menggunakan pintu utama yang pastinya menyebabkan aku tertangkap dengan
mudahnya.
“Sleep well.”
Sejurus selepas lontaran kata-kata itu dari Arisa yang entah sejak bila
terpacak di muka pintu yang baru dibukaku itu, satu tumbukan tepat mengenai
perutku diberikan oleh seorang lelaki berbadan sasa yang turut bersama-sama
Arisa. Terlalu kuat tumbukan yang diberikan membuatkan cecair jernih
bersama-sama beberapa titis darah membuak keluar dari mulutku. Kesedaranku
turut hilang tidak lama kemudian.
***
“Kenapa lari? Aku tak habis cerita lagi...”
Wajah membencikan itu kupandang dengan rasa jengkel.
Tiada sepatah perkataan pun dilontarkan olehku yang masih kesakitan dek kerana
tumbukan tadi. Sesekali aku menekan perutku yang sakitnya seperti diserang
gastrik.
“Kan aku dah kata tadi, orang sakit tak boleh banyak
karenah.”
Aku masih membisu. Biar kali ini aku melawan dengan cara
membisukan diri.
“Demam dah kebah ke? Penat je aku pergi ambilkan ubat...”
Padan muka kau. Aku tak minta nak ubat pun.
Keadaan sepi untuk beberapa ketika. Aku yang sedang
terbaring di atas katil sengaja menyelubung diri dengan selimut. Sehinggalah tiba-tiba
aku terasa jari kakiku ditarik-tarik.
“Hoi gila! Kau kalau tak mengganggu ketenteraman aku tak
boleh ke?”
“Ah, bercakap pun~”
Aku memandang wajah jengkel Arisa itu dengan perasaan
menyampah. Sesaat kemudian aku kembali menyelubungi diri.
“Apa yang kau nak sebenarnya hah?” jeritku dari dalam
selimut.
“Kan aku dah kata, aku nak cerita plan seterusnya.”
“Aku tak nak terlibat dengan kerja gila kau ni lagilah!”
ujarku sambil keluar dari penyelubunganku. Bantal yang berada bersebelahan
kubaling ke arah Arisa namun tidak mengena. Mudah sahaja dia mengelak.
“Tak boleh~” balasnya dengan senyuman meleret.
“Kau ni...!”
Aku mengepal penumbukku menahan marah. Memang kalau
diikutkan hati, hendak sahaja muka Arisa itu ditumbuk.
Keadaan kembali sepi selama beberapa minit sementara aku
menenangkan diri yang sedang panas hati. Arisa bagaikan tidak mengerti, atau
buat-buat tak faham akan kebencian yang sedang membuak-buak keluar dari diri
aku.
“Kau bagitahu dulu apa perkaitan kau dengan kes tempoh
hari? Macam mana kau boleh tahu ada penjenayah datang cari Nelly dalam majlis
tu?”
Arisa merenungku dengan disulami senyuman. “Oh, itu ke
syaratnya? Kenapa tak beritahu awal-awal...”
“Jadi kalau aku tak tanya, kau memang tak ada hati nak
bagitahulah?”
“Entah~”
Perempuan ni, memang satu hari nanti kena bagi makan
penumbuklah!
Perlahan-lahan Arisa berjalan ke arahku dan duduk di
sebelahku, sebelum dia mula berbicara.
“Kalau nak tahu...” Arisa mendekatkan bibirnya ke
telingaku sebelum meneruskan kata-kata, “akulah yang bagi hint untuk diorang datang ke situ.”
Bingkas aku bangkit setelah mendengarkan pengakuan itu.
Kolar baju yang dipakai Arisa aku cengkam kuat.
“Celaka kau! Kalau pun kau bersubahat dengan
penjenayah-penjenayah semalam tu untuk cari siapa si Nelly gila tu, tak
payahlah sampai nak bahayakan nyawa kami!”
“Aku tak subahat dengan diorang. Tak, lebih tepat lagi,
diorang pun tak kenal aku.”
“Jangan nak berdalih lagilah!”
“Aku tak berdalihlah. Kan aku kata, aku cuma bagi hint dekat diorang sebab aku nak tahu
siapa si kepalanya. Rupanya si gemuk tu. Sayang betul dia tak mati malam tu...”
“Maknanya kau kenallah dengan lelaki yang hampir meragut
nyawa aku dan Julia? Dan subahat dengan dia?”
Arisa meleraikan cengkaman tanganku pada kolarnya yang
semakin lemah. Mendapat maklumat sebegini, mana mungkin aku tak terkejut. Arisa
kembali menyambung pengakuannya.
“Kau ni, tak habis-habis subahat. Aku tak subahat dengan
siapa-siapa. Kan aku tengah siasat kes Clark Slacky, tengah cari memorinya yang
hilang tu. Lelaki gemuk tu bos besar penjenayah, ketua kepada Clark Slacky. Dia
nak memori tu balik sebab Slacky dah berpaling tadah. Dia serahkan memori tu
pada Nelly dan kemudiannya dia serah diri pada polis.”
Aku terdiam sebentar setelah mendengar pengakuan panjang
lebar dari Arisa itu. Tak pasti hendak percaya atau tidak, tapi bunyinya macam
tak tipu.
“Lelaki gemuk tu ada cakap yang Nelly tu perempuan. Kau
ke orangnya?”
Arisa tersenyum lagi. “Aku pernah kata, pistol memori tu
ada 5 buah dalam dunia ni. Selain itu, HQ pun ada kelengkapan yang mempunyai
fungsi yang lebih kurang sama dengan pistol tu. Mungkin Nelly tu salah seorang
dari kami berlima, atau orang di HQ. Dan lebih penting, kalau aku Nelly, kenapa
aku susah-payah nak siasat kes Clark Slacky. Betul tak?”
“Dan alasan kau susahkan diri siasat kes ni?”
“Arahan pengurusan.”
“Kau kata tadi Nelly mungkin salah seorang daripada
pemilik pistol memori tu. Kenapa tak siasat je pemilik-pemilik tu? Kan lagi
senang?”
“Data corrupted.
Salah seorang yang tahu tentang kami berlima pun dah dihapuskan memorinya. Jadi
tak ada cara lain selain dari ikut jalan susah.”
“Maria. Aku ingat orang kat bandar hari tu ada kata suruh
tanya Maria berkenaan Nelly. Kenapa tak tanya Maria je?”
Arisa membisu seketika sebelum menyambung bicara. “Maria
dah hilangkan diri.”
Apa ni, makin aku tahu hal sebenar, makin pening pula
kepala memikirkannya. Menyesal tanya.
“Sekarang aku nak tanya kau pula. Kau ada berkenalan
dengan sesiapa di Special Force D15
ke?”
Keningku bercantum tatkala mendengar pertanyaan itu. Apa
bendanya Special Force D15 tu? Aku
menggeleng tanda tidak tahu.
“D15 tu yang datang selamatkan kau tempoh hari. Kalau
ikutkan, aku dan para pengawal aku dah sedia untuk selamatkan kau dan Julia,
tak sangka pula D15 datang tiba-tiba. Kau ada berkenalan dengan ahli D15 atau
kau ahlinya?”
Kepalaku yang pening kerana maklumat-maklumat yang
dicurahkan Arisa itu tadi masih belum siap dihadamkan, sudah ada pertanyaan
yang tak dimengerti aku pula disoal. Aku mengurut-urut dahiku yang terasa
sakit.
“Aku bukan ahli D apa yang mengarut tu. Dan aku tak kenal
sesiapa. Aku sendiri terkejut bila Kimi datang dengan diorang.”
“Kimi?” Arisa menyoal lagi.
“Ye, Kimi. Aku tak kenal kenal Kimi selain daripada
Haikal Hakimi jiran aku yang juga merupakan rakan sekelas kita tu,” dengan
panjang lebar aku menerangkan fasal Kimi. Kepala aku pun masih
berdenyut-denyut.
Selesai pengakuanku itu, secara tiba-tiba Arisa bangkit
dengan wajah terkejut. Segera dia mencapai telefon bimbitnya dan menuturkan
sesuatu pada seseorang di hujung talian.
“The more reason we
have to move now. Pack our luggage and we depart immediately.”
Arisa segera mengemas segala barang-barangnya masuk ke
dalam sebuah bagasi. Dibiarkan aku terpinga-pinga sendiri tanpa penjelasan.
Tidak puas hati dengan tindakannya itu, aku pegang kuat kedua-dua bahunya
menghadap aku supaya dia tidak lari sebelum melontarkan penjelasan.
“Aku dah penat kau buat aku macam bola. Untuk ke sekian
kalinya aku minta kau tolong jelaskan keadaan sebelum biarkan aku
terpinga-pinga.”
Arisa memandang aku dengan pandangan kosong sebelum
mengambil sesuatu dari dalam bagasinya. Sehelai sampul surat berisi sesuatu
disuakan kepadaku tanpa sebarang penjelasan dan dia kemudiannya meneruskan
tugasannya.
Berang dengan jawapan tidak memuaskan itu tadi, dan tanpa
mengendahkan sampul surat yang diberika padaku tadi, aku menarik lengannya.
“Aku tanya tu jawablah betul-betul! Ni kau kemas-kemas ni
nak ke mana sebenarnya?”
Tanpa menoleh, Arisa membalas.
“Tokyo.”
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)