Sunday, September 29, 2013

Projek Memoria - Bab 12


Gelapnya... Aku kat mana ni? Aku dah mati ke? Tak mungkin aku sudah mati kerana aku terasa seperti degupan jantungku masih berfungsi, atau sekurang-kurangnya aku berharap seperti itu. Jadi sekarang ini, aku berada di mana?

“Abang...”

Suara itu, suara yang cukup dirindukan itu kembali menerjah corong telinga. Aku yakin aku kenal dengan suara itu. Kamukah itu?

“Saya sayang abang...”

Fariha! Itu pasti Fariha! Fariha, tolong jangan pergi sayang...

“Abang, terima kasih...”

“Fariha!”

Mataku celik. Suara yang dirindukan itu tadi turut menghilangkan diri ditelan kegelapan malam. Yang muncul adalah suara yang tidak terduga akanku temu di situ.

Dude, kau okey tak? Walaupun kau banyak hilang darah tapi aku yakin kau okey sebab boleh separuh menjerit macam tu.”

“Kau...apa yang kau buat kat sini. Tak, aku kat mana sekarang ni? Kenapa aku rasa macam melayang?” soalku sambil perlahan-lahan membangkitkan diri.

“Banyaknya soalan. Mana satu aku nak jawab dulu ni?” seloroh lelaki ini yang kehadirannya cukup menimbulkan tanda tanya. Aku mengerlingnya dengan satu renungan yang tajam kerana aku enggan mengulangi pertanyaanku tadi.

“Okey, okey. Kau kat atas helikopter sekarang ni. Dan kita dalam perjalanan ke hospital,” balas lelaki ini tenang.

“Kenapa kau boleh ada kat sini, Kimi?” sekali lagi soalan yang sama dilantunkan setelah menyedari soalan ini tidak berjawab. Namun hanya senyuman hambar diberikan.

“Julia selamat, jangan bimbang. Dia ada di belakang kau sekarang ni, tidur,” sambungnya lagi sambil memandang ke arah tempat duduk di bahagian belakang tempatku berada. Aku turut menjeling ke arah yang sama dan menghela nafas lega.

“Aku harap kau boleh cerita secara ringkas macam mana kau boleh terjebak dengan kumpulan penjenayah tadi,” serius sahaja wajah Hakimi tatkala dia melontarkan pertanyaannya tepat pada mukaku.

“Aku ni mangsa...”

“Tengok pun tahu yang kau ni mangsa. Maksud aku, dalam ramai-ramai yang hadir dinner tu, kenapa kau dan Julia yang ditangkap mereka?”

Untuk seketika aku terasa seperti sudah hilang ingatan pula. Aku cuba refresh kembali otakku yang kusut ini dan mengingat kembali peristiwa yang amat menakutkan pernahku alami selama 17 tahun aku hidup di dunia ini.

“Aku join Bitter Butter buat persembahan...”

“Ya, aku tahu.”

“Julia ditangkap tiga orang bertopeng yang bersenjata...”

“Ju ada bagi tahu tadi.”

“Aku nak selamatkan Julia daripada dibunuh mereka...”

“Oh, hero!”

“Kau dengar diam-diam dulu boleh tak?” pintaku yang sedikit jengkel dengan sifat suka menyampuk cakap orang itu. Segera Hakimi meminta maaf dan membuat isyarat mengunci mulut sementara waktu.

“Ketika itu mereka mahukan Nelly dan aku menyamar atas arahan Arisa...”

“Arisa! Dia ada di sana?” terkejut dengan nama yang baruku sebutkan tadi, segera Hakimi berdiri. Helikopter yang masih bergerak itu kurang keseimbangnya sedikit kerana pergerakan melulunya itu. Pemandu helikopter mengerlingnya tajam.

“Kau, kenapa dengan Arisa?” tanyaku dengan kerutan di dahi. Pelbagai persoalan timbul di minda.

“Aku dah agak dah yang dia memang berkaitan!”

Terkebil-kebil mataku memandang sahabatku ini, kurang mengerti dengan apa yang baru diluahkannya tadi.

“Kimi, kejap. Aku tak faham. Apa maksud kau? Arisa berkaitan dengan apa?”

Namun pertanyaanku tidak berbalas. Hakimi ketika ini seperti sedang memikirkan sesuatu yang dalam. Wajahnya serta-merta berubah menjadi serius namun tidak lama apabila beberapa ketika kemudian, kelihatan senyuman muncul dari bibirnya. Dia seakan-akan telah menjumpai sesuatu dalam kes kami ini. Jawapan mungkin.

“Haikal Hakimi!” aku mengeraskan sedikit suaraku kepadanya setelah berasa berang dengan tindakannya yang tidak mengendahkan aku. Sudahlah bahuku ini masih terasa sakit, dengan kepalaku juga masih terasa pening, ditambah pula dengan perangai si Hakimi yang tidakku fahami ini, makin bertambah sakit pula kurasa.

“Ah, sorry dude. Terlebih excited pula. Kau tanya apa tadi?” soal Hakimi tanpa rasa bersalah. Aku mengeluh kecil.

“Tadi tu, kau sebut Arisa memang berkaitan. Apa maksud kau?”

“Oh, tu ke? Hm, aku rasalah kan, aku cerita kat kau lain kali ajelah ya. Lagipun helikopter ni nak mendarat dah,” kata Kimi seraya berdiri sambil memegang topi yang sejak tadi setia berada di atas kepalanya. Aku tidak berpuas hati dengan jawapan Kimi itu turut berdiri dan memegang kemas bahu kanannya.

“Jap Kimi. Kau jangan nak rahsiakan apa-apa pula. Cukuplah aku syak bukan-bukan pada Arisa, jangan nak aku syak kau pula,” dengan nada tenang walau disulami hati yang gundah, aku cuba berbicara, berharap agar Kimi memberitahuku apa yang diketahuinya.

Sorry,” jawab Kimi pendek tanpa berpaling. Sebaik sahaja pintu dibuka oleh seorang lelaki berpakaian seragam tentera, dia lantas terjun keluar dari helikopter yang telah selamat mendarat. Aku terkesima. Segera aku ingin mendapatkan Kimi yang telah sepantas kilat menghilangkan diri itu namun ditegah keras oleh mereka-mereka yang berada di sini.

“Hakimi!”

Aku kecewa, kecewa ya amat.

***

Aku merehatkan diri di bilik yang serba luas dan lapang ini. Berseorangan. Hanya pekakas-pekakas milik hospital yang kelihatan di sana-sini sahaja menjadi penemanku. Askar-askar yang telah menyelamatkan kami turut ghaib tanpa sebarang khabar. Selain itu aku turut tertanya-tanya, mengapa aku dimasukkan ke dalam bilik kelas pertama? Betapa aku berharap semoga kos rawatanku ini dibiayai oleh mereka-mereka yang memaksaku tinggal di bilik sunyi ini. Enggan aku membayar kos rawatan yang pastinya mencecah ratusan, atau mungkin ribuan ringgit.

“Tuk, tuk, tuk.”

Kedengaran suara seseorang muncul dari arah pintu. Segeraku menoleh dan ah...si comel ini rupanya.

“Termenung nampak. Dah sampai mana?” gurau gadis ini.

“Takde apa-apalah Ju. Awak dah okey ke? Dah siap boleh jalan-jalan lagi ni,” tanyaku pada Julia yang kelihatan sihat walaupun masih berpakaian seragam hospital sama sepertiku.

“Ju okey. Senior tu aje yang tak okey. Risau tau Ju...” balasnya dengan suara yang suram.

“Saya tak apa-apalah. Sikit je ni,” kataku sambil melemparkan senyuman.

“Mana boleh tak apa-apa. Senior kena tembaklah, dengan pistol. Mana mungkin tak apa-apa...” ujar Ju yang jelas kelihatan wajah bimbangnya.

“Betul, saya tak apa-apa dah. Operation tadi pun berjaya, peluru pun dah dikeluarkan. Sekarang cuma tunggu luka ni pulih je,” jelasku bersungguh-sungguh.

Sure?” Julia seolah-olah masih tidak berpuas hati.

“Iya. Tak percaya pergi tanya doktor.”

Julia tersenyum. Senyumannya sangat manis hingga mampu mencairkan sekalian makhluk Adam.

“Em, senior...” tutur Julia halus sambil berjalan mendekatiku, perlahan.

“Apa dia?”

“Terima kasih sebab selamatkan saya tadi...”

“Tak apa-apalah Ju. Lagipun, bukannya saya yang selamat Ju, saya pun diselamatkan orang,” jawabku sedikit sedih.

“Bagi saya, yang selamatkan saya tetap senior. Tak kiralah apa yang senior atau orang lain cakap. Hero saya tetap senior,” balas Julia keras, namun wajahnya kemerah-merahan.

“Haha, hero kah...” jawabku, turut segan. Aku memandang lantai kerana terlalu segan untuk bertentang mata dengan gadis ini.

“Um, senior...” ujar Julia lagi. Aku memandang tepat pada wajahnya untuk mendengar apa yang ingin dituturkannya.

“Kalau saya jadi girlfriend senior macam mana?”

“HAA?!” selantang-lantangnya suaraku dilepaskan. Segera aku menekup mulutku, bimbang jika aku telah mengganggu ketenteraman pesakit-persakit di bilik lain.

“Er, Ju. Be...betul ke apa yang awak cakap ni?” teragu-ragu aku menanyakannya soalan.

Namun pertanyaanku dibalas dengan ketawa oleh Julia. “Saya bergurau ajelah, senior,” jawabnya sambil menahan ketawa.

Ah, kecewanya. Seketika aku fikirkan yang aku telah berjaya mendapatkan kekasih hati. Tapi sayangnya, hampa. Namun aku masih ingin menduga.

“Ka...kalau...betul-betul macam mana?” sengaja aku bertanyakan soalan ini.

Julia hanya tersenyum. “Rasanya?” Alahai Julia ni, nak main teka-teki pula.

“Saya...”

Tak sempat untuk aku menghabiskan ayatku, pintu bilikku terbuka. Di muka pintu kini berdiri keluargaku. Ibuku, ayahku dan juga Nisya. Dari riak wajah mereka, dapatku fahami yang mereka sedang merisaukan aku, barangkali.

“Um, senior. Saya keluar dululah ya. Makcik, pakcik, saya balik dulu ya,” tutur Julia sopan seraya bersalaman dengan ibu dan ayahku. Sempat juga dia mengusap kepala Nisya sebelum berlalu pergi.

“Siapa gadis tadi tu, Fazri?” soal ayahku setelah kami sekeluarga ditinggalkan bersendirian.

“Ah, kawan sekolah. Dia vokalis band yang Faz join baru-baru ni...” jawabku teragak-agak.

“Oh, comel. Pandai cari,” balas ayahku dengan senyuman terukir di bibirnya. Serentak itu juga ibuku menyiku ayahku dengan wajah masam mencuka. Tidak pasti sama ada ibuku memberikan tanda tidak setuju dengan tindakan ayahku memilih calon menantu atau gurauan ayahku tidak kena pada tempat. Aku hanya tersenyum melihat telatah mereka.

“Abang, sakit lagi ke?” kali ini Nisya pula melontarkan soalan. Aku memandangnya yang kini berdiri di hadapanku. Segera aku mengangkatnya dan meletakkan di atas katil, membiarkan dia duduk di sebelahku.

“Tak sakit sangat dah. Tengok, abang okey je lepas angkat Nisya yang gemuk ni,” balasku dalam nada bergurau. Satu cubitan diberikan Nisya kepadaku. Marahlah tu.

“Fazri, kamu betul dah tak apa-apa ke?” ibuku yang sejak tadi mendiamkan diri dengan kerutan penuh di dahi mengutarakan soalan padaku. Wajahnya masih dibelenggu kerisauan.

“Betul, Faz dah tak apa-apa. Operation keluarkan peluru tadi dah berjaya. Sekarang tinggal luka ni sembuh je,” perkara sama yang pernah aku terangkan pada Julia tadi kini aku terangkan pada ibuku pula. Aku mengukir senyuman agar ibu lebih yakin melihat aku.

Wajah ibu berubah, kurang raut mukanya yang kerisauan tadi. Dia berjalan perlahan-lahan ke arahku dan memelukku erat. Aku terkedu. Inilah satu-satunya seumur hidupku, aku dapat rasakan hangatnya pelukan seorang ibu.

“Syukurlah...” tutur ibuku sambil butir-butir air mata hangat luluh mengenai bahuku. Nisya dan ayahku yang setia menjadi pemerhati sejak tadi turut bersama-sana memelukku.

Dengan rasa sebak memenuhi dadaku, aku turut memeluk mereka dengan erat.

“Terima kasih...”

                                                                ***

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)