“Faz...Faz...senior...wuwu...”
Sayup-sayup kedengaran suara gemersik yang seperti sedang
menangis. Dengan perlahan-lahan aku buka mataku. Sekarang ini aku berada di
sebuah bilik kosong yang gelap. Entahlah di mana, tapi hanya sinaran bulan
sahaja yang menerangi bilik itu. Terasa tangan kiriku kebas, tak boleh diangkat
langsung. Oh ya, baruku teringat. Aku ditembak tadi. Peluru dari pistol yang
berkaliber berapa inci aku tak tahu sebab aku tak tahu fasal pistol itu tepat
mengenai bahu kiriku ketika cuba menyelamatkan Julia. Eh, Julia?
“Senior! Syukurlah senior tak apa-apa!” Satu pelukan erat
diberikan oleh Julia kepadaku. Aku mengerang kesakitan kerana pelukan yang
diberikan itu mengenai tanganku yang sakit.
“Ops, sorry.
Saya dah buat bantuan kecemasan kat tangan senior tu, tapi kena bawa ke
hospital secepat mungkin, sebab peluru masih di dalam badan senior...”
bersungguh-sungguh Julia menerangkan tentang kecederaan yang dialamiku ini.
“Ju, kenapa...awak tak lari?” tuturku lemah pada gadis
yang masih berada di sisiku sambil aku cuba duduk secara perlahan-lahan dengan
dibantu lembut olehnya.
“Tak sempat. Diorang tangkap kita berdua dan cepat-cepat
lari. Masa tu polis dah tiba. Ada gak berbalas tembakan sekejap tapi sebab
ramai tebusan, polis tak sempat nak buat apa-apa...” bersungguh-sungguh Julia
bercerita. Macam tak takut pula gayanya.
“Kita kat mana sekarang?” soalku, mungkin dia tahu ke
mana kami berada.
“Tak tahu...sebab Ju pun pengsan tadi. Hehe,” balas Ju
sambil mengetuk kepalanya perlahan. Comel pula gelagat Ju.
“Kita tak diikat? Baik hati juga penjenayah ini ya...”
ujarku, cuba mengurangkan perasaan gugup.
“Bagus juga, kalau tak, tak dapat saya buat bantuan
kecemasan dan lagi teruklah pendarahan senior.”
Aku lemparkan senyuman kepada Julia di atas pengakuan
ikhlasnya. Walau bahuku masih sakit, dan tanganku terasa kebas, aku gagahkan
diri untuk berdiri. Aku melihat sekeliling. Bilik ini seperti sudah lama tidak
berpenghuni. Terdapat beberapa perabot seperti sofa dan almari usang di penjuru
bilik, selain dari sampah-sarap yang tidakku ketahui apa. Mungkin surat khabar
lama dan plastik sampah. Sambil tangan kananku memegang erat tangan kiriku yang
cedera supaya ia tidak bergerak banyak dan menambahkan lagi rasa sakitku, aku
bergerak menuju ke tingkap, tidak jauh dari tempatku berada tadi. Berkunci.
Oleh kerana tingkap itu adalah lutsinar, dapatku lihat keadaan di luar. Kami
seperti sedang berada di tingkat yang tinggi memandangkan keadaan di bawah
hanya sayup-sayup kelihatan ditambah pula suasana sekeliling yang gelap gelita.
Tak pasti pula di mana ada bangunan terbengkalai seperti ini di kawasan sekitar
tempatku. Atau mungkin kami sudah dibawa jauh.
“Pintu saya dah check
tadi, berkunci juga.”
Jadi maknanya kami sudah dikurung di dalam bilik ini. Peluang
untuk melarikan diri mengikut tingkap juga tipis memandangkan kami dikurung di
tempat yang tinggi. Ditambah lagi dengan kecederaanku sekarang ini, jangan kata
nak selamatkan Julia, selamatkan diri juga belum tentu mampu. Jadi bagaimana
sekarang? Biarkan sahaja diri terbunuh di sini? Kalau aku seorang sahaja
mungkin tidak mengapa, tapi sekarang sudah melibatkan Julia. Mana dalang kepada
perkara ini dah pergi? Tak reti-reti nak datang selamatkan kami ke? Atau dah
abaikan kami? Memang nak kenalah minah tu nanti!
“Senior...” halus sahaja tutur kata Julia, mungkin dia
sudah terasa gusar dengan keadaan kami sekarang.
“Jangan bimbang, pasti ada caranya,” kataku, cuba
meyakinkan Ju walaupun aku sendiri tidak pasti akan cara untuk kami melepaskan
diri.
Sedang kami mencari-cari ikhtiar untuk menyelamatkan
diri, pintu yang sejak tadi berkunci, terbuka. Muncul dari pintu tersebut
adalah tiga orang lelaki bersenjata. Julia merapatkan diri dan memegang
lenganku erat.
“Yang mana satu Nelly?” ujar seorang lelaki berbadan
gempal, berdiri di antara dua lelaki yang lain. Kelihatannya seperti bos kepada
mereka.
“Yang lelaki tu, bos,” balas lelaki kurus berbadan pendek
itu.
Pam! Tidak semena-mena, lelaki bos itu menembak lelaki
pendek itu tepat di dahinya. Darah berhamburan keluar. Julia yang sedia ketakutan
itu menjerit sekuat-kuatnya.
“Nelly tu perempuan, bodoh!” jerit bos itu lantang.
Lelaki yang telah ditembak tadi itu aku pasti dia tidak dapat mendengarnya
lagi, aku yakin dia sudah putus nafas.
“Tapi bos, dia mengaku yang dia tahu tentang memori Clark
Slacky...” lelaki yang lagi satu bersuara, cuba meyakinkan bosnya yang baran.
“Dan kau nak maksudkan yang perempuan di sebelahnya itu
barulah Nelly?” bos cuba menduga. Perlahan-lahan lelaki tinggi itu bersuara
mengiakannya.
“Sebab nak cover perempuan
tu baru dia mengaku dirinya Nelly, begitu?” sekali lagi bos menduga. Dan lelaki
tinggi itu mengangguk perlahan-lahan.
Pam! Sekali lagi tembakan diajukan oleh bos, tepat
mengenai kaki konconya. Lelaki itu mengerang kesakitan, tapi tidak lama.
Mungkin sedang cuba menahan agar tidak terus dibunuh bosnya itu.
“Itu bukan Nelly, bodoh! Aku tahu Nelly bukan mereka!”
jerit bos lantang. Kalau dah tahu Nelly tu macam mana, pergilah cari sendiri,
tak payah suruh orang; fikiran ku bersuara.
“Bunuh mereka, mereka dah tiada guna. Oh, yang perempuan
tu jangan dibunuh dulu. Aku dah bosan dengan Mar, biar dia jadi teman aku malam
ni. Mar tu kau pergi jual dia pada mana-mana bapa ayam, aku tak mahu dia lagi.”
Mendengar pengakuan kejam dari lelaki bos itu, mana
mungkin kami tidak gusar. Lebih-lebih lagi mendengarkan apa yang dia ingin
lakukan pada Julia. Hei, langkah mayat aku dulu kalau nak apa-apakan Julia!
Cakap besar pula, tak mustahil aku akan mati di sini dan Julia dibawa lari.
Alamak! Otak! Berfungsilah! Bagaimana kami boleh melarikan diri dari sini ni!
Lelaki bos itu menarik Julia dengan kasar dari peganganku.
Memanglah aku tak mahu melepaskan Ju, tapi dengan kecederaan yang dialami aku
sekarang ini, ditambah pula dengan lelaki yang sudah ditembak di kakinya itu
cuba membunuhku dengan pistol (lagi), membuatkan pegangan tanganku pada Julia
terlepas. Kami bergelut beberapa saat, sempat juga aku membuka kuda-kuda silat
tapi tak dapat beraksi pula sebab tangan ni sakit sangat. Jelasku lihat Julia
sudah diseret menghampiri pintu, manakala rontaan Ju langsung tidak membuahkan
hasil. Aku pula sudah hampir menemui ajal dengan pistol yang sudah siap sedia
berada di kepalaku, di mana lelaki tinggi ini sudah bersedia menekan picu, dan
aku sudah habis ikhtiar untuk menyelamatkan diri. Kini aku hanya mampu berharap
keajaiban berlaku.
“Kcangg!”
Kaca dari tingkap yang berada di belakangku ini pecah
berderai diikuti dengan bunyi peluru yang maha banyaknya. Aku menekup kepalaku,
bimbang jika terkena peluru sesat dan serpihan kaca namun fikiranku segera
beralih kepada Julia. Lelaki yang bergelut denganku tadi kini rebah ke lantai
dengan peluru memenuhi tubuhnya. Lelaki bos yang menyeret Julia tadi pula sudah
hilang entah ke mana. Saat itu juga aku lihat beberapa orang berpakaian seragam
seperti dalam game Counter Strike
memasuki bilik ini melalui tingkap yang sudah berkecai. Untuk seketika, aku
terasa seperti sedang berada di dalam filem Hollywood pula. Seorang daripada
mereka memeriksa lelaki yang sudah terbaring kaku di sebelahku, seorang lagi
menyelamatkan Julia, manakala yang lainnya sudah keluar dari pintu, kejar
lelaki bos yang dah melarikan diri barang kali. Dari arah luar tingkap dapatku
dengar suara memanggil namaku, suara yang seperti aku kenali.
“Faz, cepat naik! Julia pun!” jerit suara itu yang
munculnya dari arah sebuah helikopter.
Cahaya helikopter yang terlalu terang itu menyukarkan aku
membuat pengecaman akan gerangan empunya suara tersebut. Tanpa dapat berfikir
panjang, aku dan Julia sudah dipandu oleh mereka-mereka yang berseragam Counter Strike ini memasuki helikopter
seterusnya berlalu pergi dari bilik yang hampir meragut nyawa kami ini.

No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)