Tuesday, June 18, 2013

Projek Memoria - Bab 4


Setelah tamat waktu persekolahan untuk hari ini, aku segera mengemas begku. Ya, seperti apa yang telah dijanjikan dengan Julia tadi, aku secara paksa rela akan bersemuka dengan kumpulan Bitter Butter untuk berbincang tentang persembahan yang bakal berlangsung hujung bulan ini. Entah apakah reaksi ahli-ahli kumpulan yang lain, semoga mereka tidak berasa kewujudan aku di dalam kumpulan mereka sesuatu yang menjengkelkan sudah. Terasa gugup itu sudah semestinya, kerana aku perlu bekerjasama dengan satu kumpulan yang sangat hebat dan popular. Mungkin aku perlu perbaiki lagi teknikku dengan melakukan banyak latihan. Hah, siap mengemas pula. Jadi, sekarang adalah masa untukku gerak menuju ke kelas Julia yang berada di blok bersebelahan, bertentangan dengan kelasku.

“Nak pergi dating dah ke? Sunyilah aku...” Kimi sudah mula dengan perangai mengada-ngada dia.

“Aku ada discussion dengan kumpulan Julia jelah. Bukan jumpa Ju sorang je. Kau ni, pergilah balik. Tak payah tunggu aku, taulah aku jalan kaki sendiri.”

“Eh, aku tak kata pun yang aku nak tumpangkan kau? Oh, aku faham, kau memang dah rancang nak balik saing aku, nak naik motor dengan aku, nak manja-manja dengan aku, kan? Tapi sebab Julia lagi comel, kau pilih dia dari aku. Sedihnya...”

Aku tak tahu apa yang perlu aku balas kepada Hakimi. Kenapa hari ni perangai mengarut dia semakin menjadi-jadi? Semalam tersalah makan ubatkah? Apa yang mampu aku lakukan hanyalah menarik nafas panjang, dan bertenang. Jika tidak, mungkin Haikal Hakimi sudah mati dicekik.

“Kau balik je, kalau ibu aku tanya, cakap aku ada perbincangan tentang persembahan.” Aku berhenti seketika, berfikir, dan menyambung kata-kataku, “kalau Nisya tanya aku pergi mana, cakap aku pergi jumpa cikgu. Dan jangan ajar dia bukan-bukan. Dengar tu? J.A.N.G.A.N. Jangan. Faham?”

Hakimi hanya bersiul-siul dan tidak memandangku. Menyampah betul. Aku tahu, dialah dalang yang mengajar Nisya perkataan yang bukan-bukan. Merosakkan bahasa adik orang jelah.

“Iye...lah...” balas Hakimi disertai muncung itiknya dan berlalu keluar dari kelas dengan langkah yang malas. Sekarang dah menyampah dengan aku ke? Lantak kaulah Kimi.

Ketika aku bangkit dari tempat dudukku, aku menjadi saksi kepada satu pemandangan yang sukar dapatku percaya. Aku menggosok-gosok mataku, berfikir jika aku cuma bermimpi. Namun apa yang kelihatan di hadapan mataku adalah perkara benar. Naisa Arisa, masih berada di tempat duduknya dan kelihatan seperti sedang mengulangkaji. Selalunya dia akan pulang sebaik sahaja tamat waktu sekolah. Tidak pernah sekali pun aku lihat dia tinggal di kelas melebihi jam 2 petang. Adakah dia mempunyai perjumpaan kelab? Terasa tidak mungkin, kerana setahu aku, dia menyertai kelab Sejarah yang tidak aktif dan tiada sebarang aktiviti langsung. Hanya kelab atas nama. Oh, mungkin dia mahu menyiapkan apa-apa kerja sekolah yang diberi cikgu tadi. Tapi, seingat aku semua kerja sekolah untuk hari ini tarikh hantarnya adalah minggu depan. Ke ada yang aku terlepas pandang? Hmmm, puas fikir pun rasanya tiada. Ah, mengapa aku membuang masa memikirkan hal orang pula. Bukankah sekarang aku sepatutnya bergerak ke kelas Julia? Terhilang kawalan diri sekejap pula.

Di dalam kelas yang hanya ada aku dan Arisa sahaja, adalah lebih baik jika aku keluar dari kelas dengan segera, bimbang jika ada mata liar yang memandang dan tersalah anggap. Tak mahu aku dikaitkan dengan Ice Queen ini. Aku segera mengendong beg sekolahku, berlalu keluar tanpa memandang ke arah Arisa yang nampaknya masih khusyuk menelaah dan terus berjalan menuju ke kelas Julia. Dari kejauhan sudah kelihatan Julia melambai-lambai ke arahku dan aku cuma membalas dengan senyuman.
***

“Ni Ed, bassist. Yang ni Mus, drummer.” Perbincangan kami dimulakan dengan sesi perkenalan yang diketuai oleh Julia. Aku bersalaman dengan mereka dan disambut mesra.

“Yang ni pula Carrie, keyboardist. Comel tak Carrie?” kata Julia sambil memeluk mesra rakannya itu. Carrie kelihatan segan dengan tingkah laku Julia namun tidak membantah.

“Senior, dengar tak saya tanya ni? Comel tak Carrie?” aku fikir yang Ju bertanya dalam nada bergurau, menyebabkan aku tidak membalas pertanyaannya tadi. Carrie yang diperkenalkan oleh Julia kelihatan seperti seorang gadis Tiong Hua namun mempunyai mata yang besar dan galak. Memang comel. Namun aku tetap tidak membalas pertanyaan Julia, hanya berkata di dalam hati. Carrie pula jelas kelihatan masih berasa segan dengan pipi yang kemerah-merahan dan hanya tunduk memandang lantai.

“Ouch! Adoi, kenapa cubit saya ni Ju?” entah apa silapnya secara tiba-tiba tangan kananku dicubit oleh Julia. Aku segera melihat tanganku, berfikir jika terdapat kesan lebam atau luka di situ dan sememangnya ada. Begitu kuat Julia mencubitku, seolah-olah aku membuat sesuatu yang salah.

“Dari tadi saya tanya senior tapi senior tak jawab pun. Ke, senior dah terpikat dengan Carrie dan fikir bukan-bukan?” penjelasan Julia membuatkan Carrie bertambah merah wajahnya dan aku pula, hanya mampu menafikan.

“Rasanya elok kalau kita teruskan perbincangan kita, bukan? Lambat habis, lambatlah balik,” aku memintas Julia yang masih inginkan penjelasan daripadaku.

“Senior tak balas soalan saya lagi...” Julia masih lagi mendesak.

“Iya, Carrie comel. Ju pun comel. Dah, puas?” aku membalas seraya meletakkan punggungku di atas sebuah kerusi.

“Walaupun macam tak ikhlas, tapi bolehlah. Okay, jom kita mulakan,” nasib baik Ju jenis yang mudah puas hati.

Perbincangan kami dimulakan, dari situ aku mengetahui tentang persembahan yang bakal kami adakan itu adalah bersempena minggu setiausaha untuk sebuah syarikat yang memang besar. Bimbang juga aku, namun sikap mereka yang mudah mesra membuatkan aku berasa lega. Mus nampak garang namun mudah tertawa. Ed pula sangat pelat berbahasa Melayu hingga membuatkan kami tergelak setiap kali dia menggunakan perkataan yang salah. Dia juga amat gemar membuat lawak. Carrie masih seperti tadi, seorang yang pemalu dan kurang bercakap, namun nampak sopan. Suaranya juga sangat halus. Macam tak dengar pun ada. Wujud juga orang yang sangat pemalu sebegini ya.

Lama juga kami berbincang. Kami tersedar yang hari sudah lewat petang ketika ibu Carrie menelefonnya dan memintanya untuk segera pulang. Yang anehnya kami langsung tidak menyedari bahawa hari sudah begitu lewat. Mungkin kerana selesa bersama. Kami mengemas barang-barang kami, memasukkan segala alat tulis dan buku nota yang sudah diconteng dengan pelbagai maklumat dan perancangan ke dalam beg sekolah, mengucapkan selamat tinggal dan bergerak meninggalkan kelas 4 Sains 2 untuk menuju ke rumah masing-masing. Mereka menggunakan tangga berdekatan manakala aku menggunakan tangga di sebelah kelasku. Kerana ada sesuatu yang aku ingin tahu, tak kisahlah walau jauh sedikit.

Seingat aku yang pintu dan tingkap kelas kami tidak ditutup tadi. Apa yang peliknya jika pintu dan tingkap ditutup setelah tiada orang di dalam kelas? Kerana biasanya kami hanya akan menutup pintu sahaja, tidak tingkap. Mungkin kerana orang yang terakhir berada di kelas adalah Arisa, orang yang sangat jarang dilihat menjadi orang terakhir pulang, namun adakah kemungkinan yang Arisa akan membuang masa dan tenaganya untuk melakukan kerja-kerja remeh sebegini? Oh, mungkin juga makcik cleaner yang tutupkan. Atau guru. Tapi mengapa hari ini, tidak hari-hari yang sebelum ini? Selama ini tidak pernah pula ada sesiapa yang begitu baik hati untuk menutup tingkap kelas. Jangan kata kelas kami, kelas lain pun tiada. Kelas yang tak tutup pintu langsung pun ada. Sungguh pelik. Bertambah pelik apabila memikirkan yang aku juga seperti ternampak kelibat seseorang di dalam kelas, namun aku tak pasti. Sepanjang perjalananku dari kelas Julia hingga tiba ke kelasku, hanya persoalan demi persoalan yang timbul di fikiran.

Setibanya aku di hadapan kelasku, aku berhenti dan memerhati keadaan sekeliling. Tiada kelibat sesiapa pun. Suasana sungguh sunyi. Kicauan burung pun tiada. Guru-guru pun mungkin sudah pulang kesemuanya. Terasa seram pula, ditambah dengan keadaan yang sudah sedikit gelap. Aku lihat jam di pergelangan tanganku, sudah hampir pukul 6.30 petang rupanya. Begitu lama aku bersama mereka tadi? Sungguh tidakku sangka.

Aku membuka pintu kelasku yang sudah tertutup rapat secara perlahan-lahan, dan melangkah setapak ke dalam. Di dalamnya, kosong. Tiada sesiapa. Arisa pun sudah lama pulang fikirku. Mungkin dia yang menutup semua tingkap dan pintu kelas ini. Mungkin dia jenis yang bertanggungjawab, siapa tahu? Melihat tiada apa yang perlu aku lakukan lagi, adalah lebih baik jika aku pulang ke rumah sekarang. Ibuku pasti bimbang. Lagipun ibuku bukannya tahu menggunakan telefon bimbit. Puas diajar pun tidak faham-faham juga. Entahlah mengapa. Kami pun tiada telefon rumah. Jika ada, senang sikit. Namun itulah, ayahku berkeras tidak mahu memasukkan talian tetap di rumah. Membazir katanya. Apa-apa sahajalah.

Tatkala aku ingin melangkah keluar dari kelas, sesuatu telah berlaku. Secara tiba-tiba tanganku ditarik oleh seseorang dari dalam kelas dan dengan segera pintu kelas ditutup rapat. Gelap. Dalam samar-samar aku dapat melihat kelibat seseorang namun aku tidak dapat mengecam siapakah orang itu. Aku terkedu. Ini orangkah? Atau hantu? Aduh, menyesal aku tak pulang ke rumah terus tadi. Kelibat gelap orang atau hantu itu mendekatiku perlahan-lahan. Secara tidak sedar kakiku berundur selangkah ke belakang.

“Takut?” kelibat itu mengeluarkan suara.

“S...siapa tu?” tanyaku lantang.

Kelibat itu melangkah ke hadapan, menuju ke arahku. Selangkah demi selangkah, hinggalah wajahnya kelihatan dalam samar-samar cahaya matahari petang. Dan kelibat itu, rupanya adalah orang aku kenali.

“Arisa rupanya. Ingatkan siapa,” kataku sambil melepaskan nafas lega.

Arisa masih kekal berdiri tegak di hadapanku, hanya diam seribu bahasa. Benarkah ini Arisa? Atau makhluk ghaib yang berbentuk Arisa? Ahh, makin risau aku dibuatnya. Untuk mengurangkan kerisauan yang makin menjadi-jadi ini, aku cuba berkomunikasi dengannya.

“Er, tak balik lagi ke? Dah lewat dah ni. Tak elok kalau anak dara balik rumah lambat-lambat, haha,” kataku disulami gelakan kecil.

Tiada balasan. Arisa masih kekal senyap, macam patung.

“Em, helo?” kataku sambil melambai-lambai ke arahnya, cuba mendapatkan respon.

Arisa melangkah setapak ke hadapan. Makin jelas kelihatan wajahnya sekarang. Jadi aku yakin yang ini adalah Arisa yang sebenar, bukan hantu.

“Ada sesuatu aku nak tahu,” tutur Arisa sambil melangkah setapak lagi mendekatiku.

Aku kehairanan. Adakah di dalam diam Arisa meminati aku hinggakan dia sanggup menungguku lewat petang sebegini? Bertuahnya badan jika ini benar. Ah, berangan pula aku.

“Nak tahu apa? Macam penting je,” balasku dengan perasaan yang berbunga-bunga.

Arisa makin mendekatiku. Kali ini langkahnya dipercepatkan. Sehinggalah dia berdiri betul-betul di hadapanku, bertentang mata dengannya, hinggakan aku dapat mendengar bunyi nafasnya yang membuatkanku gelisah. Tatkala itulah aku menjadi saksi kepada sesuatu yang indah; melihat senyuman seorang Ice Queen bernama Arisa. Sesuatu yang tak pernah aku jangkakan. Dan tidak lama selepas itu, sekali lagi aku menjadi saksi kepada sesuatu di luar jangkaan; iaitu apabila sepucuk pistol diacukan Arisa tepat ke dahiku.

“Sekarang, beritahu aku apa yang kau tahu tentang Clark Slacky.”

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)