Monday, September 30, 2013

Projek Memoria - Bab 13


Malam ini terasa terlalu dingin. Angin bertiup dengan sungguh kencang. Mungkin akan hujan. Aku yang sedang berdiri di tepi tingkap yang dibuka separa ini sengaja membiarkan rambutku beralun ditiup angin. Lampu bilik telah pun dipadamkan oleh jururawat yang datang memeriksaku sebentar tadi. Dari samar-samar cahaya bulan, dapatku lihat waktu sekarang sudah menunjukkan pukul dua pagi. Mataku masih lagi segar, mungkin kerana peristiwa yang berlaku sebentar tadi, peristiwa yang hampir-hampir meragut nyawaku itu membuatkanku takut untuk melelapkan mata. Mungkin bimbang jika peristiwa tadi akan memunculkan diri di alam mimpi. Walau hatiku sudah tenang, namun aku tahu bahawa badanku masih lagi menggeletar. Nampaknya aku perlukan masa untuk kembali pulih. Bahu yang cedera ditembak tadi terasa sakit. Ubat pelali sudah kurang berfungsi barangkali. Aku perlu berehat. Perlahan-lahan aku menutup tingkap dan mahu bergerak ke arah katilku.

Tatkala aku menutup rapat tingkap bilik yang didiami aku ini, dapatku lihat sesuatu dari pantulan cahaya di tingkap. Seperti kelibat seseorang sedang berdiri tegak di muka pintu. Dalam rasa terkejut, aku pantas menoleh ke belakang. Lembaga itu tersenyum.

“Hai,” lembaga itu menyapa.

“Hai kepala otak kau, Arisa! Kau tolong jangan buat macam ni boleh tak?”

“Kau terkejut? Ke takut?”

“Mestilah! Kau ni macam hantu, tau tak?”

“Hantu? Hm, mungkin juga,” balasnya dengan tawaan kecil.

Aku menekup mukaku, bengang. Jika berterusan begini, selalu terkejut akan sesuatu,  mungkin aku akan mendapat sakit jantung dalam usia muda.

“Elok juga kau datang sendiri ke sini, banyak benda aku nak tanya.”

“Oh ya?” balasnya acuh tak acuh sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke arahku.

“Ya, aku nak kau cerita kat aku alasan apa kau jebakkan aku dalam masalah gila ni! Menyusahkan aku tahu!”

“Bukan makin senangkan kau ke?”

Aku mengerutkan dahi, kurang mengerti. “Julia,” balasnya pendek. Mendengarkan nama itu, wajahku berubah, terasa segan. Aku memalingkan pandanganku daripadanya dan menggaru-garu pipiku yang tidak gatal. Namun untuk seketika sahaja apabila aku tersedar yang Arisa sedang mengalihkan perhatian aku.

“Kau...jangan cuba nak lari dari jawab soalan aku! Soalan aku tadi tu aku nak jawapan segera!” bentakku pada perempuan di hadapanku ini dengan wajah yang masih kemerah-merahan barangkali kerana aku berasa mukaku sangat panas.

Namun Arisa masih bersikap tidak endah akan pertanyaanku. Dia yang hanya 2 meter jaraknya dari aku hanya berjalan ke arahku setapak demi setapak sambil tersenyum.

“Hoi, kau ni pekak ke tak faham bahasa?” aku sudah mula kurang kesabaran.

Ketika Arisa sudah berdiri betul-betul di hadapanku, tanpa diduga Arisa terus memeluk leherku erat sambil mengusap-usap rambutku. Sekali lagi sesuatu yang tak terduga dilakukan Arisa. Aku terkesima.

“Baguslah kau tak apa-apa...” ucapnya halus di tepi telingaku.

“Kalau ada apa-apa pun salah kau juga...” balasku perlahan. Hati yang membara tadi kini sudah sejuk sedikit.

Kami kekal sebegitu untuk beberapa ketika. Malam yang dingin terasa hangat. Dan entah mengapa, aku berasa selesa acap kali bersama Arisa sebegitu. Walaupun kami sering bertelagah dan aku amat membencikan sikapnya, tapi hal yang satu ini benar-benar misteri. Mustahil untuk aku jatuh hati padanya namun setiap kali dibelai gadis ini, aku akan berasa tenang dan selesa.

“Aduh!” secara tiba-tiba aku rasakan seperti rambutku dicarik kasar. “Kau buat apa ni? Sakitlah!” jeritku pada Arisa yang sudah meleraikan pelukannya padaku dan seolah-olah sedang memegang sesuatu di hujung jarinya. Dia hanya tersenyum memandangku.

“Kau...tu apa benda pula?” soalku pada gadis yang sedang memegang sesuatu benda yang kecil dan berbentuk heksagon serta berkaki sambil tanganku mengurut-urut kepalaku di tempat baru dicarik tadi.

“Alat pengintip. Terima kasih atas memori dalam ni,” balasnya sambil tersenyum dan ingin segera berlalu pergi. Mujurlah aku bertindak pantas dengan menghalangnya di hadapan pintu agar dia tidak melarikan diri.

“Aku nak balik. Boleh kau alihkan diri kau dari pintu tu tak?” dengan muka ketat dia memberi arahan. Aku hanya bersiul-siul seolah-olah tidak mendengar apa yang dituturkannya.

“Hoi, ketepilah!” pintanya sekali lagi dengan suara yang kedengaran sengaja ditekankan. Dah marahlah tu.

“Tak nak, selagi kau tak jawab pertanyaan aku tadi,” balasku dengan pandangan yang  sengaja dilemparkan ke siling.

Arisa cuba mencapai tombol pintu namun aku menepisnya. Menyinga rupanya ketika itu, kelakar sungguh. Berkali-kali dia cuba untuk membuka pintu di belakangku ini namun kekal gagal.

“Kenapa tak nak guna je pistol kau tu?” aku menduga. Kerana kebiasaannya jika bertembung dengan keadaan seperti sekarang ini, tanpa memikirkan apa-apa lagi terus sahaja dia mengacukan pistol aneh itu kepadaku.

“Ataupun, pistol kau tu dah habis limit?” aku menduga lagi. Ternyata dugaanku mengena setelah melihat wajah Arisa berubah habis. Merah padam rupanya kini. Ah, aku rasa macam nak tangkap gambar je muka hodoh dia ni. Buat pameran. Biar semua orang tengok.

Pap! Satu tamparan perlahan mengenai dahiku. Walaupun perlahan, kepalaku masih terhantuk sedikit pada pintu. Baru hendakku membuka mulut memarahi si perempuan ini, satu kertas bersaiz kecil jatuh melintasi mataku dari dahiku. Segera aku mengambil kertas yang tertulis sebuah alamat.

“Lepas discharge nanti, datang situ,” ujar Arisa pendek sebelum membuka pintu yang hampir membuatkanku yang sedang bersandar padanya terjatuh kerana bukaan pintu itu menghala ke luar. Mujur aku masih boleh menyeimbangkan badanku. Kalau tak, buat malu je. Arisa pula tanpa menjelaskan apa-apa lagi, terus sahaja dia berlalu pergi membiarkan aku terkebil-kebil sendiri.

***

Nombor 407, Hotel Emerald. Pergh gila. Nilah kali pertama aku jejakkan kaki ke dalam hotel mewah macam ni. Hotel bertaraf lima bintang tu! Tak faham aku apa alasan si gila Arisa tu suruh aku datang tempat macam ni. Jangan-jangan, dia nak bunuh aku untuk hapuskan bukti? Argh...takkanlah pula! Dalam kebingungan, tanpa disedari kakiku telah pun tiba di hadapan pintu bilik bernombor 407 itu. Tiba-tiba rasa menyesal pula datang. Agak-agak kalau nak balik sempat lagi tak? Fikir punya fikir, aku buat keputusan untuk balik aje, sebelum terasa tanganku ditarik seseorang secara paksa memasuki bilik.

“Kenapa tak nak masuk?”

Aku memandang wajah mencuka gadis yang sedang bercekak pinggang di hadapanku kini. Ah, menyesal tak lari cepat-cepat tadi.

“Sebab...sebab aku rasa aku nak balik. Bye,” balasku pendek dan segera berpaling menghadap pintu dan ingin membukanya namun pergerakan Arisa adalah lebih pantas. Dia segera mengunci pintu tersebut yang mempunyai tiga jenis kunci berlainan termasuk satu kunci bermangga yang mana kuncinya segera disimpan Arisa di poket seluar pendeknya. Wah, security kebal betul ya!

You are not going anywhere, dear hero,” ujarnya dengan senyuman seraya berpaling dan melangkah ke tengah bilik. Aku menepuk dahiku perlahan dan mengeluh.

“Dalam banyak-banyak tempat, kenapa tempat macam ni jadi pilihan kau?”

Arisa berpaling memandangku kembali. Tiada emosi yang terpancar dari raut wajahnya kini. Hanya pandangan kosong.

“Aku tinggal kat sini.”

Ternganga luas mulutku tatkala mendengar perkataan ‘tinggal’ dari si Arisa itu. Tinggal di hotel mewah macam ni? Berapa kaya perempuan ni?

“Lagipun kat luar tu bahaya,” Arisa menambah lagi yang mana menambah pelbagai persoalan di benak fikiranku.

“Apa yang bahaya?” soalku, namun tiada balasan. Rahsia jugalah ni.

“Yang tercegat je kat depan pintu tu kenapa? Masuklah.”

Aku masih terkaku di tempatku berdiri, tak berganjak langsung walau dengan perlawaan Arisa itu. Hairan kerana dia tak terasa takut langsung bersendirian dengan lelaki.

“Jangan risau, aku takkan rogol kau,” balasnya dengan tawaan kecil.

“Bukan patutnya aku yang cakap macam tu kat kau ke?” soalku kehairanan apabila terasa keadaan sekarang seperti sudah terbalik.

Arisa tertawa lagi sebelum menyambung, “aku ada pengawal kat luar. Kalau terjadi apa-apa, mereka akan datang tolong aku.”

“Pergh, siap ada pengawal lagi. Kau ni cik muda yang melarikan diri ke?” soalku yang hanya mendapat jawapan sebuah senyuman bisu.

Enough with chit chat. Aku nak cerita plan seterusnya.”

“Oi jap. Aku datang sebab nak tahu fasal kes hari tu, bukan nak jadi kuli batak kau lagi!”

Just shut up and listen!

Wah wah wah. Perempuan ni memang makin hari makin melampau ya. Buat aku ni macam bola je, sesuka hati nak sepak ke mana. Dek kerana berang, aku menolak badannya ke dinding dengan agak kuat. Kedua-dua pergelangan tangannya pula ku cengkam kuat dan turut dirapatkan ke dinding. Tak pedulilah aku kalau dia berasa sakit ke apa kerana yang pastinya sekarang ini, hati aku lagi sakit daripada itu.

I’m done with your game, missy! Kau ni dahlah tak beradab, nak minta tolong kat orang tapi maki-maki. Sekarang ni aku dah tak nak ada kaitan dengan kau lagi, penat tahu? Luka kat bahu aku ni pun tak sembuh lagi, kau dah plan nak tambah lagi ke? Jangan mengarutlah!”

Setelah ditengking sebegitu pun Arisa masih boleh tersenyum. Tak tahulah sama ada dia sengaja buat-buat tak faham atau dia memang bebal. Melihatkannya seperti itu, lagilah membuatkan aku bertambah berang. Rasa macam nak bagi penampar je kat pipi gebu tu, tapi aku tahankan diri. Aku tenangkan fikiranku, cuba bertindak waras.

“Serius aku dah penat dengan permainan kau ni. Kau carilah orang lain ganti aku. Aku nak balik,” ujarku selepas mengambil kunci yang sedia tersimpan di poket seluar Arisa.

Saat aku berdiri menghadap pintu yang mana bertentangan dari Arisa, tidak semena-mena tangan kananku ditarik secara kasar. Apa tujuannya aku tak tahu. Yang aku tahu sekarang ini adalah kakiku kurang keseimbangan manakala bahuku bekas luka ditembak kini terasa sakit ya amat. Akhirnya kami terjatuh dengan badanku secara tidak sengaja menimpa Arisa, di atas katil yang sungguh empuk.

“Hoi Arisa gila! Kalau kau dah jadi gila pun, tolongah jangan jangkitkan penyakit gila kau tu kat aku! Ni luka aku ni kalau tak kan sembuh macam mana? Kau nak bertanggungjawab ke?” sekali lagi aku membebel panjang di hadapan Arisa. Sejak bertemu dengan perempuan gila ni, aku dah jadi kaki membebel pula. Benci betul.

Malangnya Arisa menjadi semakin gila. Entah apa yang kelakar, dia mula ketawa terbahak-bahak. Makin hairan melihat perangainya ini. Mungkin Arisa ni jelmaan pontianak.

“Hahahaha! Kau memang kelakar. Sebab tu aku suka kat kau. Hahaha!”

Aku tak salah dengar ke tadi? Suka? Arisa suka aku? S.U.K.A? Serius?

“Apa kau cakap ni? Otak kau memang ada skru dah longgar eh?” soalku tergagap-gagap kerana perkataan ‘suka’ yang disebutkan Arisa tadi masih terngiang-ngiang di telinga.

Arisa berhenti dari terus mengilai dan memandangku tepat dengan wajah sayu. Tidak lama selepas itu, dia meletakkan tangannya di sekeliling leherku dan menolak kepalaku lembut mendekati lehernya. Sejurus itu, dia mengusap-usap rambutku perlahan.

“Hei, kau nak letak alat pengintip lagi ke?” soalku kurang senang dengan perlakuannya itu. Selalunya jika Arisa bersikap baik sebegini pasti ada udang di sebalik mi.

“Haha, taklah. Aku dah tak perlukan alat tu lagi buat masa ni. Aku cuma nak belai kau je.”

Belai? Hei tolonglah. Minah ni memang dah mereng agaknya.

“Kau jangan merepek lagi Arisa. Aku nak balik ni. Lepaskan aku.”

Makin kuat aku meronta, makin kuat pula pelukan Arisa. Entah dari mana pula datangnya tenaga sekuat itu aku pun tak tahu. Arisa ni makhluk planet lain agaknya. Sebab tu perangai pelik-pelik aje.

“Arisa...” pintaku sekali lagi. Aku dah lemas sebenarnya dengan sikapnya ini.

Setelah berulang kali percubaanku meloloskan diri gagal, aku akhirnya akur dengan membiarkan sahaja Arisa terus mengusap rambutku. Malas dah nak bertekak dengannya. Sudahlah mataku sekarang ni terasa berat. Entahlah kenapa. Mungkin kerana terlalu penat. Mungkin juga kerana aku kurang tidur beberapa hari ini. Kerana terlalu selesa dan sangat mengantuk, walaupun hatiku enggan, akhirnya aku terlelap juga di dalam dakapan Arisa. Dan sebelum terlelap, tak pasti jika aku sudah bermimpi atau memang realiti, sayup-sayup kedengaran suara Arisa seperti membisikkan sesuatu.

No one can ever replace you, my prince...

***
<< Bab 12

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)