Hadiah-siap. Baju-kemas. Muka-handsome.
Haha. Tak salah jika nak puji diri sendiri sekali-sekala. Sambil berdiri tegak
di hadapan cermin di dalam bilikku, aku membetulkan rambutku yang nampaknya
sedikit berserabut. Sempat juga aku mencuba gaya rambut ala-ala David Beckham
tapi nampaknya tak berapa sesuai. Sikat macam biasa sajalah.
“Abang! Lama lagi ke nak bersiap tu? Iha dah boring tunggu ni...” kedengaran suara adikku Fariha dari tingkat
bawah. Alamak, lama sangatkah aku bersiap? Segera aku mencapai beg sandangku
dan menyumbat hadiah yang sudah siap berbalut dengan pembalut berwarna biru
bercorak kotak-kotak ke dalamnya. Dan dengan pantas juga aku turun ke bawah
setelah sekali lagi mendengar rungutan Iha.
“Apalah abang ni, bersiap macam perempuan,” Iha nampaknya masih lagi
merungut tatkala kami sudah berada di hentian bas berdekatan dengan rumah kami.
“Ala, abang pakai smart-smart ni
pun bukan untuk orang lain. Untuk Iha juga...”
“Iha tak suruh pun...” cebik Iha. Comel pula bila dia buat muka sebegitu.
“Dahlah lambat sehari. Kata nak bawa Iha jalan-jalan semalam,” rungutan Iha
nampaknya masih tidak berhenti namun aku tidak ambil hati kerana dia nampak
comel sekiranya marah.
“Abang ada hal pentinglah semalam. Bukan tak nak bawa...”
“Penting sangatkah pergi jamming tu?”
Aduhai Iha. Soalan ni, macam mana aku nak jawab ya?
“Okeylah, abang minta maaf ya. Hari ni Iha nak makan apa Iha cakap je tau.
Abang belanja,” aku cuba memujuk dengan mengumpan makanan.
“Iha nak makan makanan Itali,” balas Iha tanpa menoleh. Aduhai adikku
sayang ni, selera tinggi betul.
“Hmm, abang sebenarnya tak ada duit banyak sangat kalau nak makan kat
restoran mewah macam tu...” muka Iha berubah tatkalaku cuba menolak permintaan
tingginya ini.
“Tapi kalau abang bawa Iha makan piza boleh kan?” restoran piza walaupun
agak mahal tapi sekurang-kurangnya aku masih mampu membayarnya. Harap-harap Iha
setuju dengan pilihan aku ni.
“Boleh, tapi Iha nak makan sepinggan piza tu sorang.”
Aku tergelak mendengar permintaan Iha. Lagaknya macam tak makan beberapa
hari.
“Abang tak kisah, kalau Iha larat Iha habiskanlah sorang. Abang tengok Iha
makan pun dah kenyang,” balasku sambil menanti reaksi seterusnya daripada Iha,
mana tahu jika dia bertukar fikiran ke.
“Okey, abang tak boleh ngecek
tau. Sikit pun tak boleh tau.”
Aku hanya tersenyum melihat karenah comel adikku ini. Tak mengapalah, biar
saja dia nak buat apa. Lagipun hari ini hari gembiranya. Tak, sebenarnya hari
semalam. Tapi terpaksa ditangguhkan ke hari ini kerana itulah, aku terpaksa
pergi jamming dengan rakan-rakan sekolahku.
Memandangkan itu mungkin adalah yang terakhir dapat kami jamming bersama sehingga tamat peperiksaan PMR hujung tahun ini,
setelah dijemput mereka, mana mungkin aku akan menolak. Walaupun secara tidak
sengaja aku telah melukakan hati Fariha. Tapi tak mengapalah,
sekurang-kurangnya aku masih lagi boleh kotakan janjiku kepadanya pada hari
ini.
“Abang, Iha nak kek juga tau!” permintaan Iha mengejutku dari lamunan. Kelihatan
bersinar-sinar matanya. Iyalah, semalamkan hari jadinya yang ke tujuh. Sebagai
puteri untuk beberapa hari, terpaksalah dikotakan segala kehendaknya.
“Iha nak kek coklat yang atasnya ada strawberi,” sambung Iha lagi. Selera
budak ni, macam raksasa. Aku tergelak kecil.
“Iya, boleh. Nanti kita pegi beli sama-sama ya,” balasku ringkas sambil
mengusap-usap kepalanya.
Bas yang dinanti kami akhirnya tiba setelah beberapa minit menanti. Selesai
membayar tambang, aku lihat Iha telahpun duduk di barisan belakang sekali. Aku
pula hanya menuruti sahaja dengan duduk di sebelahnya. Tempat dituju kami
adalah sebuah kompleks membeli-belah tidak jauh dari rumah. Di sana ada kedai
kek, restoran piza dan yang paling penting, ada taman permainan yang agak besar
berhampiran.
“Helo, Lolicon~” satu suara
menyapaku dari belakang tatkala kami baru saja melangkah ke dalam Plaza
Harmonia. Kenal betul aku dengan suara itu. Aku menoleh.
“Ni adik aku dan aku bukan lolicon
mahupun sister complex, okey?” balasku kepada suara yang muncul
tidak dijemput itu.
“Ye, aku tahulah Fariha ni adik kau. Saja je nak sakat kau. Tak boleh?”
kata lelaki berpakaian seperti artis K-Pop yang kini berdiri tegak di hadapan
kami. Sudahlah aku tak suka dengan trend K-Pop
ni.
“Hai Iha. Comellah Iha hari ni. Jom jalan-jalan dengan abang, nak?” ujarnya
pada Fariha pula. Dia ni macam tak faham yang aku tengah bawa budak ni
jalan-jalan. Sibuk nak curi tempat orang lain. Iha pula, tanpa membalas apa
yang dikatakan mamat perasan ni, segera bersembunyi di belakangku sambil
memegang tanganku erat. Aku tersenyum.
“Sorrylah Kimi. Nampaknya Iha tak
nak dengan kau,” satu senyuman sinis sengajaku lemparkan kepada jiranku yang
perasan ni. Hakimi hanya mampu mengeluh panjang.
“Tunggu kejap.”
Memori tentang kisah 2 tahun lepas terhenti sebentar apabila diganggu suara
Arisa.
“Hei, kan aku tengah bercerita ni. Janganlah kacau. Dengar diam-diam
dahlah,” dengan kerutan di dahi, aku merungut pada Arisa yang mengganggu
tumpuan aku ketika sedang beremosi dengan kisah lampau.
“Kimi tu, Haikal Hakimi ke?” tanpa mempedulikan rungutan aku, Arisa bertanyakanku
soalan pula.
“Iyelah, Kimi mana lagi yang aku kenal. Ada masalah ke dengan Kimi?”
“Apa yang dia buat kat situ?”
Entah apa jenis soalanlah yang ditanya si Arisa ni. Ada kaitan ke dengan
cerita yang aku cuba sampaikan dengan penuh khusyuk ni?
“Manalah aku tahu. Tapi tak pelik pun kalau jumpa dia merayau-rayau kat
mana-mana. Rumah dia sentiasa tiada orang. Parents
dia kerja di Singapore, dia pula anak
tunggal. Dia nak pergi mana pun tak ada orang nak larang,” jelasku dengan
sedikit keluhan.
“Oh...”
“Ada nak tanya lagi tak?”
“Teruskan,” balas Arisa sambil memandang tepat kepadaku. Renungannya bagai
memaksa pun ada. Menyampahnya aku tengok.
Pandanganku dilemparkan ke luar sebentar kerana ingin mengingat kembali
setakat mana terhentinya kisah silam yang sedang aku sampaikan tadi. Aku
menarik nafas yang panjang sebelum melemparkan semula pandanganku ke arah Arisa
untuk meneruskan cerita.
***
“Abang, yang ni comellah! Iha nak,
boleh?” kedengaran suara riang adikku tatkala
kami melangkah melalui sebuah kedai menjual barang-barang permainan.
“Ai, dah besar-besar pun nak main anak patung ke?” selorohku pada Iha yang
kelihatan beria-ia inginkan anak patung beruang berwarna merah jambu yang
saiznya separa ketinggiannya.
“Ala...ini teddy bear, bukan
macam mainan lain. Boleh Iha buat peluk-peluk masa tidur...”
“Eh, kan Iha boleh peluk abang je?” sengaja aku menyakatnya lagi walau aku
tahu apa balasannya, amat gemar untukku menatap wajah berang Fariha.
Dengan rupa yang merah padam, Iha mencebikkan bibirnya sambil terus
memandang aku dengan teddy bear yang
disukainya masih kekal dalam pelukan. Semakin lama aku mendiamkan diri sambil
terus memandang ke arahnya yang berkelakuan comel itu, semakin dapat aku lihat
butir-butir jernih muncul di sudut matanya. Alahai, nak menangislah pula. Tak
boleh jadi ni, dengan segera aku melangkah menuju ke kaunter pembayaran,
membuat transaksi pembayaran teddy bear yang
harganya, emm...boleh tahan mahal juga, dan terus memimpinnya keluar dari
kawasan kedai untuk terus ke restoran piza. Dapatku lihat betapa wajahnya
berubah serta-merta dari muram ke gembira. Pandai berlakon ya budak ni!
Dipendekkan cerita, aku terus membawanya makan ke restoran piza seperti
yang dijanjikanku tadi. Berselera sungguh Iha, bukan setakat piza sahaja yang
dilahapnya, pasta, sup cendawan, ais krim, semua ditelannya. Raksasakah adik
aku ni? Aku pula hanya menikmati sepinggan spageti dan beberapa keping piza
lebihan Iha. Itupun sudah cukup mengenyangkan. Usai menjamu selera, dan setelah
aku lihat wajah riang dan kekenyangan Iha, aku membawanya ke taman permainan
yang berdekatan.
“Abang, perlahan sangat ni! Tolaklah laju-laju!”
“Mana boleh laju sangat, nanti jatuhlah!” tolakan perlahan buaian yang
sedang dinaiki Iha olehku nampaknya tidak menarik perhatiannya. Iha mahukan ayunan
yang lebih laju dan tinggi. Aku pula bimbangkan keselamatannya. Mana tahu jika
tanpa disengajakan Iha terjatuh dari buaian dan cedera. Siapa lagi yang akan
susah hati jika bukan aku sendiri? Aku membiarkan sahaja rungutan Iha dan terus
menghayun buaian dinaikinya dengan perlahan.
“Boooosannnnnn...” keluh Iha panjang setelah penat bermain buaian. Iha
duduk di bangku batu yang terletak di hujung taman dengan cebikan yang masih
setia di bibirnya. Sesekali kakinya yang tidak cecah ke lantai itu diayun-ayunkan.
“Iha nak main apa pula lepas ni?” tanyaku tanpa mempedulikan rungutannya.
“Iha nak ais krim!” balas Iha pantas.
“La, tadikan baru je makan ais krim. Takkan nak makan lagi? Batuk nanti,
siapa susah?”
“Hmmmm! Iha nak ais krim! Iha nak ais krim! Iha nak ais krim! Iha nak ais
krim juga!” jeritan Iha ketika ini nampaknya kedengaran di seluruh taman.
Seluruh pelawat yang berada di taman itu memandang ke arah kami. Ish Iha ni,
buat malu je la! Enggan berterus-terusan menanggung malu dek kerana kedegilan
Iha, aku turutkan sahaja kehendaknya itu.
“Abang pergi beli sekejap okey. Iha duduk sini diam-diam. Jangan pergi
mana-mana tau! Kalau ada orang kacau, Iha jerit kuat-kuat tau!” pesanku pada
Iha berkali-kali. Memandangkan penjual ais krim tidak jauh dari tempat kami
berada, hanya kira-kira seratus meter sahaja jaraknya, aku fikir adalah lebih
mudah jika aku terus ke sana dan membeli tanpa perlu membawanya sekali. Malas
hendak melayan karenahnya yang pasti akan membuang banyak masa dengan berfikir
ais krim apa yang dimahukan. Di restoran tadi sahaja ketika membelek-belek menu
sudah membuang masa hampir setengah jam, hanya kerana sifat Iha yang sukar
membuat keputusan. Dan mungkin juga ditambah dengan sedikit sifat tamak. Jadi
adalah lebih baik aku tinggalkannya sebentar di situ, kurangkan sedikit masalah
aku.
Namun begitulah, segala perancangan kita tidak semestinya sempurna
dilaksana kerana yang menentukan tetap Dia. Tatkala aku hendak membuat
pembayaran ke atas ais krim yang mahu dibeliku, aku terdengar jeritan seorang
kanak-kanak perempuan dari arah belakangku. Suara yang amat aku kenali. Tanpa
berfikir panjang, aku terus menoleh ke belakang dan alangkah terkejutnya aku
ketika melihat adikku yang ceria dan bising sebentar tadi, sudah terbaring kaku
di lantai. Segera aku menjerit namanya sekuat hatiku seraya berlari ke arahnya
tanpa langsung mempedulikan keadaan sekeliling. Badan kecilnya kuangkat,
namanya kuseru berkali-kali, namun tiada balasan. Matanya terpejam rapat, namun
aku bersyukur kerana dia masih lagi bernafas. Cuma badannya sudah menjadi
terlalu panas. Aku menjerit meminta pertolongan untuk menghantar Iha segera ke
hospital. Sepi. Tiada balasan. Masing-masing kaku di tempat sendiri sambil
mulut berkumat-kamit menuturkan ayat-ayat yang engganku ambil tahu. Mujurlah
ada sepasang warga emas yang sudi menumpangkan kami ke hospital. Setibanya di
hospital, aku diarah oleh petugas di sana untuk segera memaklumkan perkara ini kepada
keluargaku. Aku kelu. Apa yang perlu aku katakan? Aku sendiri tidak pasti apa
yang sebenarnya telah berlaku kepada Iha. Namun aku terus berbuat demikian
setelah berkali-kali didesak oleh mereka. Walau aku tahu yang ibu bapaku pasti
akan memarahiku, walau aku tahu yang aku sendiri tidak mengerti apa yang
sebenarnya telah terjadi, namun perkara ini tidak boleh dirahsiakan selamanya.
Gagang telefon awam diangkat, beberapa keping siling dimasukkan, aku mendail
nombor telefon bimbit ayahku, berdoa, dan berharap yang mereka akan bertenang
dengan tidak melulu menuduhku bukan-bukan.
Sekali lagi aku menarik nafas panjang, lebih panjang daripada sebelum ini.
Mataku sudah kelihatan kabur, namun aku segera mengalihkan pandanganku ke
siling agar kekaburan ini segera hilang.
“Nak rest kejap ke?” suara halus
dari arah tingkap itu berbunyi. Sekali lagi aku dapat mendengar satu suara yang
tidak mungkin dapatku nikmati pada waktu biasa. Arisa, betapa misterinya gadis
ini. Lucu pula memikirkannya.
“Takpe, aku okey.”
Ceriteraku diteruskan lagi.
***
Sudah setengah jam Iha dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi, sudah tidak
terkira juga jururawat yang keluar masuk dari bilik kecemasan. Aku ingin
bertanya apakah status Iha di dalam namun mereka segera mengelakkan diri.
Tindakan mereka ini mencemaskan kami.
Keluargaku yang telah tiba sejak sepuluh minit yang lalu kini turut dihantui
kegelisahan. Seperti yang ku jangkakan, tanpa dapatku pertahankan diri, aku
dihamburi pelbagai kata makian daripada kedua-dua ibu bapaku. Mereka
benar-benar marah dan kecewa denganku. Tidakku salahkan mereka, sesungguhnya
pucuk pangkalnya tetap berpunca daripada aku yang kurang sensitif. Namun
menghadapi seorang diri situasi yang amat kurang menyenangkan ini membuatkan
aku lemah. Aku tak mampu membalas mereka, tak mampu memberikan apa-apa alasan,
apatah untuk berdiri sahaja aku sudah terasa susah. Air mata yang tidak dapat
dibendung lagi mengalir dengan derasnya tanpa aku sedari. Walau ibu bapaku
masih lagi tidak henti-henti mengherdikku, aku seolah-olah sudah tidak dapat
mendengar lagi apa yang dikatakan mereka. Fikiranku terawang-awang, malah untuk
berfikir secara waras juga aku sudah tidak mampu. Nisya yang masih terlalu
kecil untuk mengerti apa yang sedang berlaku turut teresak-esak sebaik sahaja
melihat aku yang sedang menitiskan air mata. Berulang kali juga aku terdengar
Nisya memanggil namaku dan melihat dia ingin mendapatkanku namun ibuku segera menghalang.
Pada fikiranku sekarang ini, mungkin ibu sudah menganggap aku ini terlalu kotor
untuk didampingi oleh anak-anaknya yang lain, bimbang jika perkara yang berlaku
terhadap Iha akan berulang lagi. Aku yang masih tidak memahami apa sebenarnya
yang benar-benar berlaku terhadap Iha tidak mampu membalas tingkahlaku ibuku
yang semangnya amat mengguris perasaanku kini.
Satu jam, dua jam berlalu begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan daripada
pihak hospital. Kami hanya dijamu pemandangan jururawat-jururawat dan beberapa
orang doktor keluar masuk daripada bilik kecemasan. Begitu aneh, adakah keadaan
Iha terlalu serius hinggakan untuk berhenti sebentar dan memaklumkan keadaannya
kepada kami juga tidak boleh? Aku yang kini berdiri agak jauh dari keluargaku
masih lagi tidak mampu berfikir waras. Sudahlah sedang merisaukan tentang Iha,
keluargaku pula memulaukanku sambil melemparkan pandangan yang membencikan.
Begitu berdosakah aku? Setelah berterusan diserang secara mental oleh
keluargaku sendiri, aku akhirnya terjelepuk di tepi dinding. Keadaan aku yang
sangat lemah itu turut menyebabkan aku membuat keputusan untuk membenci diri
sendiri. Rambut kutarik kasar, muka kucakar-cakar, dan sedas tumbukan kuat
kuberikan kepada lantai yang tidak bersalah. Aku meraung kuat, namun raunganku tiada
siapa yang endahkan.
Setelah aku dapat menenangkan diri, seorang doktor keluar dari bilik
kecemasan dan terus bercakap sesuatu kepada keluargaku. Tanpa pedulikan
apa-apa, terus aku menyerbu ke arahnya dan
bertanya bagaimana keadaan adikku yang amat aku risaukan ini.
“Bawa bertenang, setakat ini keadaannya sudah stabil.
Namun begitu, dia perlukan rehat yang banyak.”
“Boleh kami berjumpa dengannya, doktor?” tanpa
mengendahkah perasaan berang ibu bapaku, aku terus bertanyakan soalan ini namun
tidak disangka-sangka, dibalas pula dengan satu tengkingan kasar.
“JANGAN HARAP! Kau jangan nak pandai-pandai lagi nak dekat
dengan anak aku!”
Terkejut dengan tengkingan ibuku tadi, aku hanya memandang
mereka berlalu hingga mereka lenyap dari pandangan kasar mataku. Tidak
semena-mena, air mataku yang sudah kering tadi, mengalir lagi untuk kesekian kali.
Aku sudah tidak mampu berbuat apa. Untuk merisaukan keadaan Fariha juga tidak
mampu. Fikiranku kosong. Tidak berapa lama kemudian, pandanganku pula menjadi
gelap. Tubuhku rebah ke lantai.
“Seterusnya, apa terjadi?” soal Arisa, mungkin bosan
menunggu aku yang lama membisu.
“Bila sedar, aku dah berada di atas katil sebuah bilik
dalam hospital. Sedar sahaja, mungkin fikiranku sudah kembali waras, terus aku
bertanya tentang Fariha. Namun alangkah terkejutnya aku bila mendapat tahu yang
dia kembali ke wad kecemasan kerana suhunya naik mendadak hingga ke 41 darjah
celcius. Para doktor bertungkus-lumus menyelamatkannya namun apakan daya, Tuhan
lebih menyayanginya. Dia pergi untuk selama-lamanya malam itu juga. Tanpa
sempat aku bertemunya untuk meminta maaf, tanpa sempat aku memberikan hadiah
teristimewa untuk hari lahirnya, dia dah tiada. Aku...” kata-kataku terhenti,
tak mampu untukku meneruskan lagi walau sepatah ungkapan. Mataku berat,
kepalaku sakit, sengaja aku tundukkan wajahku dari dilihat Arisa. Malu pula aku
untuk pamerkan wajah hodoh seorang lelaki yang ingin mengalirkan air mata di
hadapan seorang gadis rupawan.
“Dalam waktu begini, tak salah jika ingin menangis. Itupun
kalau kau tak kisah menangis depan perempuan,” kata-kata Arisa ini membuatkan
aku ingin tertawa. Tatkala aku hendak memandang dan membidas tohmahannya, satu
pelukan erat diberikan Arisa. Aku terkesima dengan tingkah lakunya yang secara
tiba-tiba ini.
“Luahkan saja, kenapa perlu ditahan? Sudah dua tahun bukan
kau menahan diri?” ungkapan magis inilah yang terus membuatkan air mataku deras
mengalir. Fikiranku kosong. Hati yang sebak terus luruh
bersama-sama tangisan dan raungan kuatku. Sesekali tangannya mengusap lembut
rambutku. Tidakku hirau tentang apa-apa lagi ketika itu, apa yang aku tahu, aku
hanya mahu melepaskan perasaan yang sudah lama terbuku di hati di samping
meratapi pemergian adikku Fariha setelah sekian lama. Hingga lencun baju yang
dipakainya kerana dibasahi air mataku juga tidakku hiraukan. Raunganku malam
itu diiringi suara anjing-anjing liar di kejauhan, seolah-olah mereka juga
dapat merasakan apa yang aku rasa. Dek kerana fikiran kosongku, aku sudah tidak
dapat mengingati apa-apa lagi yang terjadi selepas itu.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)