“Nisya, jangan main jauh-jauh!”
Kelihatan ibuku menjerit sambil melambai-lambai ke arah adikku dari khemah
kami. Aku pada masa ini sudah berada agak jauh dari tepi pantai. Nisya pula,
cuma beberapa meter dari tempat ibuku berdiri. Paranoid betul ibu ni. Hakimi
berada tidak jauh dari Nisya, sempat lagi bergurau-senda dengan
memercik-mercikkan air ke arahnya. Seronoklah budak kecil tu ada orang layan
dia. Aku yang sudah berada di laut yang berkedalaman separas dadaku pula hanya
ditemani seseorang. Elok juga, dari berseorangan. Aku menjeling ke arah si dia
yang hanya kelihatan dari paras bahu sahaja. Dengan bersusah payah dia
menghampiriku.
“Kenapa pergi jauh sangat?”
Dari riak wajahnya aku tahu yang dia marah. Namun aku tidak ambil hati
kerana aku tahu memang sifat Arisa sebegitu. Mudah naik marah, tapi masih
kelihatan comel. Aku menghulurkan tanganku kepadanya, dia menyambut dalam
keadaan yang masih marah.
“Haha, marah ke?” tanyaku walaupun aku tahu jawapannya.
“Eh taklah, suka sangat,” balasnya dengan senyuman.
Terasa aneh pula melihatkan dia tersenyum sebegitu walaupun kelihatan
comel. Tangan yang aku hulurkan kepadanya tadi, masih digenggam erat. Namun
sesuatu yang berada di tangan kanannya membuatkan aku terkejut, panik dan cuba
melarikan diri daripadanya. Ternyata usahaku sia-sia belaka. Tanganku masih
lagi tergenggam erat di dalam tapak tangan kirinya, enggan dilepaskan.
Segalanya berlaku dengan sangat pantas, aku tidak sempat berfikir atau berkata
apa-apa kepadanya, apatah lagi memintanya bertenang. Sejurus selepas bunyi
dentuman yang amat membingitkan kedengaran di udara, aku dapat lihat darah
memercik keluar daripada kepalaku. Anehnya kerana aku tidak merasa sakit,
mungkin kerana deria rasaku sudah tidak berfungsi lagi. Tanganku juga sudah
tidak berada di dalam genggamannya lagi, mungkin sebaik sahaja tembakan
dilepaskan. Tatkala badanku hampir terhempas ke dalam air laut, dapatku lihat
kepuasan terukir di wajah Arisa yang masih dalam posisi mengacukan pistol ke
arahku. Dia benar-benar mahu aku mati ke?
“Apa…salah aku?” persoalan itu hanya dapat diajukan kepada diriku sendiri
manakala badanku terus tenggelam di dalam air masin yang gelap.
“Pekak ke? Jawablah!”
Teriakan yang tiba-tiba menerjah ke lubang telinga mengejutkanku. Aku
membeliakkan mata. Di hadapanku berdiri seorang gadis yang baru sebentar tadi
membunuhku. Eh, bunuh aku? Kalau dah bunuh, kenapa aku masih tegak berdiri di
sini? Melihat wajah amarah Arisa barulah aku teringat yang sebentar tadi aku
hanya berkhayal. Dalam keadaan genting sebegini pun aku masih boleh berkhayal.
Lawak sungguh. Aku tergelak kecil.
“Apa yang kelakar sangat? Kau ni faham bahasa ke tidak? Soalan aku tadi tu
jawablah!” masih keras lagi kata-kata yang dihamburkan Arisa kepadaku.
Aku masih lagi berdiri tegak tanpa sebarang respon terhadap pertanyaan
bertubi-tubi daripada Arisa. Dan Arisa pula, masih mengacukan pistol ke arahku.
Itu pistol betulkah? Reka bentuknya nampak sedikit aneh. Oh ya, apa soalannya
tadi? Apa yang aku tahu tentang Clark Slacky? Apa yang aku tahu ya…hmm...aku
tak tahu apa-apalah!
“Aku tak tahu apa-apa. Ni pistol betul ke mainan? Gadis macam kau ni
patutnya pegang senduk, bukan pistol. Barulah comel," aku cuba berseloroh
kepadanya sambil mencucuk-cucuk pistol yang berada di hadapan mataku dengan
jari, namun nampaknya gurauanku tidak berjaya menenangkan gadis yang sudah
seperti harimau sedang memburu mangsa. Pistol diacukan rapat ke dahiku. Jarinya
pula sudah bersedia untuk menekan picu.
“Woah, kejap kejap! Okey, aku bagi tahu apa yang aku tahu. Letak pistol tu
dulu boleh? Please?” aku cuba memujuk
Arisa, dalam masa yang sama kepalaku ligat berfikir apa yang patut aku beritahu
kepadanya. Apa yang aku tahu tentang Clark Slacky? Nak Google pun dah tak sempat. Ah, beritahu sajalah tentang apa yang
aku terdengar semalam.
Arisa kembali tenang, pistol yang tadi diacukan kepadaku dialihkan, namun
masih di dalam genggamannya. Aku melepaskan nafas lega, lega untuk sementara.
Aku menarik kerusi yang berada berdekatan dengan tempat aku berdiri, duduk di
atasnya, dan mula berfikir. Dari mana patut aku bermula ya?
“Tak penat ke berdiri? Duduklah dulu,” kataku sambil menepuk-nepuk kerusi
di sebelahku. Ini adalah satu lagi percubaan aku untuk melembutkan hati keras
Arisa dengan berborak kosong. Tapi sayangnya, tiada respon. Ice Queen ni masih berdiri tegak di
hadapanku. Hah, apa-apa sajalah Arisa.
“Kali pertama aku terdengar nama tu, tak ingat, mungkin 2 minggu lepas,
dalam berita. Tapi kali terakhir aku terdengar pula, selain daripada hari ni,
adalah semalam,” aku berhenti sebentar untuk mengambil nafas, sambil meneliti
wajah Arisa jika ada apa-apa perubahan. Wajahnya masih ketat seperti tadi, huh!
“Kau tahu satu kedai di bandar bernama D’Memoria tak?” aku menyoal Arisa
sebelum aku meneruskan kata-kataku. Namun hampa, macam tadi juga, tiada respon.
Kalau iya pun marah, paling-paling pun balaslah pertanyaan aku. Teruk betullah
minah ni!
“Aku pergi kedai tu semalam. Tengok-tengok, sebab macam
menarik je. Kedai silap mata kan. Tapi tak sangka pula ada kedai tersembunyi
kat belakang kedai tu,” sekali lagi aku berhenti memberi penerangan kerana
melihatkan Arisa berjalan dengan pantas ke arahku seraya mengacukan semula
pistolnya ke dahiku.
“Aku tanya tentang Clark Slacky, bukan kisah merayau-rayau
kau!” jerit Arisa lantang. Kali ini aku dah tak tahan dengan sifat pemarah dan
tak reti sabar Arisa. Aku segera menepis pistolnya ke tepi dan menolaknya ke
depan. Bukan berniat ingin berkasar, namun sikapnya yang menjengkelkan itu
membuatkan aku pula naik darah.
“Aku nak ceritalah ni. Kau reti sabar tak? Duduk situ,
dengar diam-diam!” kali ini giliran aku pula menengking. Dahlah panas, lagi nak
bikin orang panas.
“Huh!” tanpa membantah, walaupun dengan muka yang tak puas
hati, akhirnya Arisa bertenang juga. Dengan kasar dia menghempaskan punggungnya
di atas kerusi. Nasib baik kau kurus, kalau gemuk, mahu kerusi tu patah. Kau
pula terduduk atas lantai. Memang gelak sakanlah aku masa tu. Lepas tu jadi
bahan satu sekolah. Baru padan muka kau.
“Bagus, duduk situ dengar diam-diam. Aku nak sambung
cerita,” aku cuba memerlinya, dibalas pula dengan renungan tajam seperti seekor
harimau. Oh, takutnya saya... (tangan di bahu, mata ke atas-bayangkan je).
“Di kedai belakang tu, rupanya ada kedai lain...” tak
sempat habis bercakap, sekali lagi aku disampuk Arisa.
“Aku dah tahu pasal kedai tu, boleh kau cerita pasal Clark
Slacky cepat sikit tak?”
Dah tahu rupanya, tadi aku tanya tak nak jawab, sekarang
marah-marah.
“Kalau dah tahu tu cepat-cepat la beritahu aku. Buat bazir
air liur je,” geramnya aku.
“Dekat situ ada tiga orang sedang berbincang macam mana
nak dapatkan memori Clark Slacky, dan tujuan mereka datang ke kedai tu sebab
nak jumpa tokey kedai, nak tanya pasal orang bernama Nelly,” aku berhenti
seketika melihatkan perubahan di wajah Arisa, berkerut seperti memikirkan
sesuatu, namun kerana dia tidak memberikan sebarang respon kepadaku, aku
meneruskan cerita.
“Maka tokey kedai pun berkata, jika nak tahu tentang
Nelly, tanyalah korang kepada ajen di HQ bernama Maria sebab tokey kedai itu
pun tak tahu apa-apa tentang Nelly,” aku mengubah cara penceritaan kepada gaya
mendayu-dayu seperti sedang membaca puisi untuk menggembirakan diri sendiri.
Buat macam tu untuk Arisa pun bukannya ada respon.
“Hah, Maria...” terpacul ayat itu bersama senyuman sinis
Arisa membuatkan aku rasa pelik, kerana seolah-olah Arisa mengenali dan
mempunyai sesuatu ikatan dengan ejen yang bernama Maria itu.
“Lagi?” lantang saja suara menjengkelkan ini diajukan
kepadaku.
“Tu je yang aku tahu.”
“Tu je? Ceh, tak berguna langsung.”
Amboi, amboi, amboi...sesedap rasa je cakap anak orang tak
berguna ya. Habis dia tu berguna sangat ke? Makin lama makin menjengkelkan pula
si minah ni. Aku berjalan mendekati dia. Tak kisahlah dia ada pistol ke, pisau
ke, karate ke, minah mulut lancang macam ni memang patut diajar sikit. Aku
mencengkam kolar baju kurungnya dan menariknya mendekati muka aku. Dia yang
terkejut dengan kelakuan aku segera menghalakan pistolnya ke arah aku namun
ditepis kuat olehku. Hampir saja pistolnya itu terlepas dari genggaman kemas
Arisa.
“Bahasa tu boleh tolong elok sikit tak? Kau ni dulu
sekolah kat mana, hah? Takde adab! Pemarah! Orang panggil kau Ice Queen tapi aku rasa Annoying Brat lagi sesuailah dengan
kau!” jeritku betul-betul di hadapan muka merah padam Arisa. Tak kisahlah jika
ada air ludah tersembur ke mukanya, kalau ada lagi bagus, baru padan muka dia.
Dengan perasaan yang masih membara, kolar baju Arisa
kulepaskan sambil menolaknya jauh sedikit daripada aku. Memang menyampah
betullah aku dengan minah ni! Harap muka je cun!
Keadaan sekeliling sudah gelap, entahlah sekarang sudah
pukul berapa, malas aku nak tengok jam. Kami terpaku di tempat masing-masing,
tanpa mengeluarkan sebarang bunyi atau suara. Perasaan marahku yang
membuak-buak tadi juga sudah semakin surut. Mungkin aku sudah patut pulang
sekarang, tunggu lagi pun buat apa. Buat sakit hati je.
Ketika langkahku menghampiri pintu, aku terpandang satu
suluhan lampu suluh dari kejauhan. Mungkin itu adalah pengawal keselamatan
sekolah yang sedang membuat rondaan. Jika aku keluar sekarang, sudah semestinya
akan ada berbagai soalan yang akan diajukan kepadaku. Jika diketahui yang aku
sekarang ni sedang berdua-duaan dengan Arisa, lagilah masak! Silap-silap kena
buang sekolah. Bahaya ni! Tanpa berfikir panjang, aku segera menarik lengan
Arisa dan memasuki stor kelas, mengunci rapat pintu dan duduk diam-diam. Ketika
Arisa seperti ingin memarahiku, dengan segera aku menekup mulutnya dan memberi
isyarat supaya diam. Jangan nak macam-macam sekarang ni ya Arisa, aku tak nak
kena tangkap khalwat dengan kau! Tapi sayangnya, Arisa tetap meronta-ronta.
Sesekali tanganku dicubit, dan seboleh-bolehnya dia ingin membuka pintu stor
yang sudah kukunci tadi. Haih, kenapalah minah ni tak faham keadaan kita
sekarang ni macam mana.
“Kalau kau tak diam aku cium kau!” aku menggertaknya
dengan sesuatu perkara yang sebenarnya adalah tidak mungkin aku lakukan. Namun
untuk menyelamatkan diri dari perkara yang lebih berbahaya, menggertak Arisa
dengan gertakan yang memalukan ini apalah sangat. Dan tak sangka, gertakan ini
berjaya mendiamkan Arisa. Dengan tangkas dia bergerak menjauhi aku. Melompat
macam ninja pula tu. Bagus, pelan berjaya. Walau sedikit terasa kerana
memikirkan yang betapa Arisa sanggup menepikan egonya hanya kerana enggan
dicium aku, membuatkan aku terfikir, busuk sangat ke aku ni? Rasanya tak, tapi
entahlah. Walhal jika aku ingin bermanja dengan Nisya sekalipun, dia enggan.
Dengan adikku Aril boleh pula. Dengan Kimi lagilah. Fikiran perempuan, tak
faham betul.
Keadaan dalam stor amatlah gelap, hanya disinari cahaya
bulan menerusi satu tingkap kecil berdekatan siling. Walaupun bilik ni ada suis
lampu, tapi gila apa nak hidupkan lampu dalam keadaan sekarang! Apa guna sembunyi
kalau begitu? Di luar kedengaran seperti pintu dibuka. Oleh kerana stor tempat
kami bersembunyi ini tiada apa-apa lubang untuk mengendap keadaan di luar, jadi
aku tidak tahu siapa dan apa yang dilakukan oleh orang yang membuka pintu kelas
tadi. Walaupun aku ada terdengar bunyi tapak kaki namun hanya untuk seketika.
Kemudian kedengaran pula pintu ditutup. Bermaksud yang pengawal keselamatan
tadi telah pun berlalu pergi, mungkin? Jika ya, hah, lega rasanya.
Aku menyandarkan badanku pada dinding, menutup mataku
dengan sebelah tanganku, dan melepaskan nafas lega. Terasa terlalu penat pula,
penat secara fizikal dan juga mental. Bilalah aku baru dapat pulang ke rumah
rasanya ya. Perut pun lapar. Apalah yang ibu masak untuk malam ni agaknya ya.
Ayam masak merah kot? Ke sambal sotong? Atau asam pedas ikan pari? Ah, terliur
la pula.
“Gruk...gruk...” aduh perutku ni, jujur sangat. Sabarlah
dulu, buat malu aku je.
Keadaan masih lagi sunyi sepi, hanya kedengaran
sayup-sayup suara cengkerik dari luar. Aku mengalihkan tanganku dan membuka
mataku perlahan-lahan. Dalam kegelapan malam, mataku masih lagi jelas nampak
Arisa yang kekal berada di tempat duduknya tadi sambil tangannya yang memegang
pistol itu masih lagi menghala ke arahku. Tak bergerak-gerak, dah macam patung
pula aku tengok.
“Kalau kau nak tembak aku, tembak ajelah. Tak penat ke
dari tadi kaku macam tu je?” kataku dengan sedikit keluhan.
Soalanku hanya dibalas dengan kerutan di dahi Arisa. Marah
ke, aku tanya sikit tu je. Salah ke? Apalah.
“Dan...yang kau beria nak tahu tentang Clark Slacky ni
kenapa? Boleh cerita sikit?” aku cuba mengorek rahsia daripadanya yang aku
pasti tak mungkin aku dapati. Sememangnya benar, tiada respon daripada Arisa,
langsung! Dia masih lagi tercegat macam patung di hadapan aku.
“Haa...bosannya. kenapalah aku boleh tersangkut kat sini
dengan kau ek? Patutnya aku sekarang ni tengah sedap makan lauk masakan mak aku
yang sangat sedap tu. Pastu kenyang, boleh pergi main game kejap, dan terus tidur.
Ni sekarang dengan perut yang lapar gila, dengan badan pun melekit tak mandi
lagi, pulak tu tersangkut dengan orang macam kau kat sini, hei...apa punya
malanglah nasib aku hari ni! Dah, kalau kau nak terus tercegat bongok kat situ
sampai besok ke, lantak kau! Aku nak balik. And
aku tak ada apa-apa lagi nak cerita dekat engkau pasal si sape-sape tuh. Faham!
Bye!” dengan panjang lebar aku
membebel. Dah macam Kimi pula. Biarlah, apa nak jadi, jadilah. Aku memang dah
tersangat marah dah ni. Kalau Arisa nak tembak aku dengan pistol pelik dia tu
pun aku dah tak kisah. Penat dan menyampah sangat-sangat! Aku segera berdiri
dan menuju ke pintu stor untuk membukanya, dah seterusnya keluar dari stor yang
gelap gelita...tak, bukan itu. Aku cuma ingin keluar dari terus bersama dengan
orang yang sangat menjengkelkan di situ.
Tatkala aku menarik tombol pintu, ketika itu jugalah satu
tangan halus dari arah belakang menutup pintu yang sudah terbuka sedikit
olehku. Ya, tangan siapa lagi kalau bukan tangan si Arisa. Dia ni dah kenapa,
tak puas hati lagi dengan jawapan yang aku bagi tadi ke? Dah aku kata tak tahu
tu, jawapannya tetap sama walau tanya sejuta kali sekalipun. Kenapalah benda
mudah macam ni pun susah nak faham. Subjek matematik yang susah tu boleh pula
faham. Pelik betullah dia ni!
“Wahai cik Arisa, boleh saya tahu apa lagi yang cik
mahukan dari saya?” tanpa berpaling ke belakang, dengan pandanganku masih lagi
ke arah pintu dan tanganku juga masih lagi di tombol pintu, aku menutur ayat
yang penuh sopan itu. Dan dengan bertutur sopan sebegini, aku dapat menahan
kemarahanku sedikit. Selain itu, ibuku juga pasti akan berasa bangga mempunyai
anak sesopan begini.
Senyap. Tiada jawapan. Dah bisu agaknya.
“Cik Naisa Arisa, awak dengar tak soalan saya tadi? Ke nak
saya ulang sekali lagi?”
Ketika ini aku sudah mula mengetapkan bibirku, petanda
yang darahku sudah sedikit mendidih. Namun aku masih cuba mengawal diriku agar
tidak melakukan sesuatu di luar kawalan. Bahaya juga jika tiba-tiba dek kerana
marah, aku menyerang si gadis yang sedang bersendirian denganku sekarang ini.
Mungkin aku akan melakukan ‘itu’ terhadapnya. Atau mungkin ‘ini’? Ataupun? Ah
bahayanya, lebih baik jangan difikirkan sangat tentang ni.
Sunyi sepi. Arisa masih diam seribu bahasa. Hanya nafasnya
sahaja yang kedengaran.
Terasa bosan, dan marah. Sebelum kemarahanku meledak, baik
aku keluar dulu. Aku menarik tombol pintu. Namun Arisa segera membalas dengan
menutupnya. Aku buka, dia tutup. Begitulah keadaanya selama hampir seminit.
Berang dengan tindakannya, aku berpaling dan ingin memarahinya. Tanganku juga
terasa ringan saja untuk singgah ke pipinya. Dan memang ringan pun. Tatkala
tapak tanganku hampir mengenai pipinya yang putih gebu itu, dia akhirnya (ya,
akhirnya!) mengeluarkan juga suara emasnya itu. Mujur saja tanganku ni boleh
brek. Kalau tak, memang tak tidur malamlah kau Arisa.
“Aku...” hanya sepatah perkataan yang muncul dari
mulutnya. Wajahnya pula memandang lantai. Aku sedang dalam mode sabar jadi aku hanya menanti sambungannya.
“Aku...kau...ah...”
“Cakap kuat sikit boleh tak?” bentak aku, sengaja. Kat
luar tadi boleh je cakap kuat-kuat. Siap marah-marah aku lagi.
Arisa tersentak dengan bentakan aku tadi. Entah mengapa
wajahnya berubah menjadi merah padam, dan dia terus tunduk memandang lantai.
Jadi sekarang kau dah takut dengan aku ke? Hmm...bagus, bagus. Tak sangka aku
boleh menjinakkan seekor harimau. (Haha).
“Aku...” Arisa kelihatan masih sukar untuk meluahkan
hasrat entah apa yang terpendam di dalam fikirannya.
“Ye, kau nak apa?” balasku yang sudah bosan menunggu tanpa
sebarang kesinambungan kata-katanya dari tadi.
“Erm...aku...nak...nak ikut kau...balik rumah...balik
rumah kau...”
..........HAA?!

No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)