Monday, October 6, 2014

Teleportasi Destinasi Hakiki - Bab 5


Bab 5 - Megah, Mewah, Masalah

“Uwaah...biar betul ni?”

Kami berdua tercengang dengan mulut yang ternganga luas tatkala langkah kami melewati sebuah bingkai gambar maha besarnya. Apa yang mengejutkan bukanlah bingkai yang ditatah emas tulen tetapi gambar yang terpateri di dalamnya. Cantik, manis, ayu, gebu, megah, mewah, dan yang sewaktu dengannya, langsung tidak sama seperti si dia yang kami kenali.

“Untung gila kalau dapat jadi laki dia weh...”

Kepala budak kepoh itu diluku keras. Dah sampai tempat macam ni pun masih tak reti nak kawal percakapan. Cepatlah matang.

Langkah dibuka menyamai dua orang pengawal yang mengiringi kami ke suatu tempat. Entahlah ke mana hendak dibawa kami berdua. Mungkin dibawa berjumpa dengan Angelica yang sudah ditata rias menjadi seorang yang cantik dan feminin kot. Agaknyalah. Jake si ninja pendek tertinggal beberapa langkah di belakang dek kerana terkaku lama di hadapan bingkai gambar yang menempatkan sebuah potret gadis jelita, gadis yang sudah pasti menjadi igauan sekalian makhluk Adam yang normal. Masakan tidak, sudahlah cantik, dirinya seorang puteri tunggal keluarga diraja pula. Siapa yang tak mahu? Kalau ada pun, mungkin mereka yang tahu tentang perangai sebenarnyalah.

“Eh, pengawal. Korang nak bawa kami jumpa raja ke?”

Hei, selamba badak je budak ni cakap. Padan muka pengawal-pengawal yang masih setia berada di hadapan kami ini tidak menjawab walau seulas perkataan. Lain kali beradab sikit. Jake tarik muka.

“Sila tunggu di sini.” Itu sahajalah yang diucapkan oleh salah seorang pengawal yang mengiringi kami sebelum mereka hilang ditelan selok-belok bangunan yang memeningkan. Sekarang kami sudah berada di mana pun aku tak tahu. Istana, memang patut pun besar. Kalau kecil jatuhlah standard negara. Haha.

“Kau ingat lagi tak Raja Siltheryn?”

Pertanyaan Jake hanya dibalas dengan gelengan sekejap tanpa berbalas renungan mata. Menyampah rasa. Aku perlu cakap berapa kali baru dia ni nak faham?

“Raja Siltheryn. Kuasanya luar biasa. Tak mungkin dapat difikirkan dengan akal fikiran yang pendek.”

Aku hanya membisu membiarkan Jake terus berkata-kata sebelum dia menyambung lagi bicaranya.

“Walau dengan hanya menggunakan jari telunjuk sahaja, baginda dapat membinasakan hidup seseorang jadi hati-hatilah.”

“Ye...” aku menjawab malas kerana dia yang sepatutnya lebih berhati-hati. Lagipun, selang beberapa saat kemudian, pintu bilik yang sedia terkatup, terbuka luas.

“Mari.”

Mencicit kami berlari mengejar pengawal yang bergerak pantas tanpa mempedulikan kami yang jauh tertinggal di belakang. Teruk betullah dia ni, langsung tak sesuai jadi penyambut tetamu. Jake yang pendek itu lagilah jauh tertinggal di belakang. Nasib baik lariannya pantas jadi dia masih boleh mengejar langkah pengawal yang masih tidak sedar akan keadaan kami yang sedang berhempas pulas mengikutinya.

“Sini.”

Langkah pengawal akhirnya berhenti di hadapan sebuah pintu maha besarnya. Pintu yang rasanya diperbuat daripada kepingan emas tulen itu dikuak perlahan. Jake yang tidak tahu sabar ini meninjau-ninjau ke arah dalam bilik di balik pintu mewah ini tatkala pintu itu terbuka sedikit demi sedikit. Hinggalah pintu itu terbuka sepenuhnya, barulah pengawal mengarahkan kami memasuki bilik yang kelihatan terang benderang.

“Selamat datang Alan Hawkes, Jake Nillthompson. Beta amat berbesar hati dapat bertemu dengan kamu berdua kembali.”

Kembali? Aku pernah datang ke sini ke sebelum ni?

“Terima kasih tuanku kerana menjemput kami ke mari.” Selamba je la si Jake ni cakap dengan Raja macam cakap dengan kawan-kawan je. Ish.

“Beta rasa mungkin beta tak patut buang masa kamu lama-lama jadi beta akan terus terang saja.”

“Yalah, tuanku pun sibuk kan.” Pernyataan dari si Jake itu mengundang tawaan kuat raja. Betul budak ni memang muka temboklah. Aku hanya mampu memandang mereka dengan mulut yang sedikit ternganga.

“Pertama, beta ingin ucapkan terima kasih kerana sudah membantu menyelamatkan puteri beta yang keras kepala itu. Benda selagi tak jadi teruk, selagi itulah dia tak mahu dengar kata orang.”

Bait-bait kata yang digunakan ketua negara ini amat sempoi. Takdelah sampai tahap terlalu sempoi tapi tak berapa rasmilah tutur katanya. Senyuman pun tak lekang dari bibir. Macam tak menunjukkan yang dia adalah seorang raja pun. Sebab tulah agaknya si Jake ni selamba je cakap dengan raja macam cakap dengan kawan-kawan. Padahal tadi dia juga yang suruh hati-hati.

“Beta juga akan berikan kamu penghargaan.” Bertambah ceria wajah yang dipamerkan Jake. Senyumnya meleret hingga ke telinga. Aku rasa aku dapat tangkap apa yang difikirkannya.

“Dan bagi kamu, Alan. Beta amat berbesar hati dapat bertemu semula dengan kamu.” Satu senyuman lebar terukir dari wajah tua lelaki berpakaian serba emas itu. Aku senyum nipis dan menaikkan alis kening tanda tidak mengerti.

“Saya...eh? Patik...er...”

“Cakap macam biasa je.” Seulas lagi senyuman terbit dari bibir si tua mewah itu. Aku menggaru-garu pipi yang tidak gatal.

“Er, saya...sebenarnya tak pasti kalau saya ada datang sini sebelum ni. Maaf...”

“Beta tahu.” Eh? “Kamu sebenarnya hilang ingatan. Tapi tak mengapa. Jangan terburu-buru. Ambil masa kamu.”

Senyuman sekali lagi terbit dari bibir sang raja peramah. Jake turut memberi reaksi yang sama. Apa sebenarnya yang mereka tahu tetapi aku tak tahu?

“Jangan bimbang.” Entah bila raja sudah berada di sebelahku sambil menepuk-nepuk ramah bahuku. Aku membalasnya dengan sengihan hodoh. Sudahlah, jika terus difikirkan pun tak mendatangkan sebarang faedah. Mungkin ingatan yang dikatakan hilang tu adalah ingatan yang tidak penting. Abaikah sahajalah.

“Beta harap kuasa yang beta kurniakan kepada kamu berdua tidak digunakan atas perkara yang tidak sepatutnya.”

“Eh? Maksudnya kuasa ni...?”

Raja negara yang serba gah ini, yang masih berdiri tegak di hadapanku ini, memandangku tepat. Dari alis matanya kelihatan ada sesuatu yang mengganggu, sesuatu yang ingin disembunyikannya.

“Baiklah. Berkenaan Angie...”

Raja berpaling dan beransur ke arah takhtanya semula. Aku termangu. Aku fikir dia ingin mengulas lanjut berkenaan kuasa yang menyemak je kat dalam diri aku ni. Rupanya terus langkau ke cerita lain.

“Angie akan berhenti belajar dan akan tinggal di sini mulai sekarang. Jadi kamu tak akan berjumpa dengan dia lagi lepas ni.”

Eh? Terus dapat perintah berkurung? Bagus juga, tak payah nak hadap perempuan yang banyak hal tu. Tak kiralah walaupun dia tu puteri raja.

Secara tiba-tiba pintu utama dikuak luas dan meluru muncul dari situ adalah seorang gadis berpakaian baju gaun labuh berenda serba putih. Di sekelilingnya terdapat beberapa pembantu istana yang cuba menghalangnya dari merempuh masuk ke dalam dewan yang menempatkan kami bertiga dan beberapa pengawal. Wajahnya merah padam dan kelihatan marah. Dengan langkah yang sengaja dihentak-hentak, dia menghampiri Raja Siltheryn dan bercekak pinggang di hadapannya.

“Ayahanda! Bukan semalam ayahanda cakap lain? Kenapa sekarang mungkir janji pula?” lantang suara yang dilontarkan sang gadis hingga bergema di setiap pelosok dewan. Kami yang berada bersebelahan hanya mampu tercengang dan berpandangan sesama sendiri.

“Oh, beta ada cakap apa?” Raja hanya mendagu sambil tersenyum memandang ke arah si gadis yang masih berwajah berang.

Angelica mengetap bibir, menahan marah yang meluap-luap kerana janji yang dibina ayahandanya dengan mudahnya dimungkiri.

“Saya tetap dengan keputusan saya, nak sambung belajar. Ayahanda bagi atau tak, saya tetap pergi!”

Saat tubuhnya dipaling menjauhi ketua negara yang masih duduk mendagu di atas takhta itu, saat mata kami bertentangan untuk beberapa ketika, saat itu juga dua orang yang menjemput Angelica dari rumahku semalam, muncul dari balik pintu, dan melangkah terus ke hadapan si gadis yang sudah berwajah bimbang. Lantas dia berpaling semula ke arah ayahandanya.

“Ayahanda!” jeritnya, namun Raja hanya senyum meleret.

Aku yang masih tercegat di sini terasa seperti pengganggu masalah keluarga orang lain. Sedang aku berkira-kira bagaimana cara terbaik untukku menuturkan ayat mengundur diri, Raja menyebut namaku lantang.

“Alan.”

“Ah, ya! Saya!”

“Dan Jake.”

“Eh? Ya!”

“Beta dengan ini melantik kamu berdua sebagai pengawal peribadi bagi puteri beta, Angelica. Jangan bimbang, beta takkan biarkan kamu bekerja tanpa hasil.”

Tercengang sudah kami bertiga dengan mata yang dijegil keluar tanda tidak percaya. Bukankah tadi yang Angelica sudah dikenakan perintah berkurung? Adakah kami perlu menjadi pengawalnya di istana? Hish, tak mahulah aku! Aku masih perlu bekerja menjual produk kesihatan yang sudah lama menjadi sumber pendapatanku. Oh walaupun Raja ada mengatakan yang kami akan menerima habuan bagi tugasan yang menyampahkan ini, namun perniagaanku masih perlu diteruskan. Kalau secara tiba-tiba aku tidak berniaga lagi, apa pula yang dikatakan para pelangganku nanti?

“Maaf, Tuanku. Patik rasa tak berapa jelas tentang ni. Boleh Tuanku huraikan lebih lanjut?” Jake membuka bicara pemecah sunyi sedang aku masih bermonolog dengan diri sendiri.

“Oh maaf. Maksud beta, beta mahu kamu menjadi pengawal bagi puteri beta di luar. Karlgyros dan Alexis pula akan ditugaskan mencari dalang penyebaran identiti Angie dan menjadi pengawal jarak jauh.”

“Aah...sekejap. Saya masih tak faham. Pengawal di luar?” kali ini aku pula yang membuka bicara. Penat sudah bermonolog tanpa jawapan.

“Ya. Ketika Angie ke kelas, membeli-belah atau ke mana-mana, kamu dikendaki menjadi pengawalnya. Beta tidak mahu kejadian yang menimpanya tempoh hari berulang lagi.”

“Tapi kejap, Tuanku. Tadi bukan ke tuanku kata yang Angelica tidak dibenarkan keluar dari istana?”

Raja senyum nipis. “Beta saja sebut tentang itu sebab dari awal kamu masuk ke sini beta nampak Angie terhendap-hendap dari balik pintu. Saja beta nak menguji anakanda beta. Nak bergurau. Hahahaha!”

Haha...maknanya hidup aku lepas ni akan jadi tak amanlah. Sia-sia aku gembira sekejap tadi. Ingatkan dah oleh lari melayan perempuan yang menyampahkan ni. Mana tahu kena jadi pengawal peribadi pula. Haih...

“Alan! Aku ambil bilik utama ni ya! Ada bilik air, senang.”

“Alan, aku ambil bilik kecil ni pun takpe. Aku selalu balik rumah.”

Aku kini sedang tercegat di hadapan pintu rumahku yang sedang terbuka luas, menjadi pemerhati kepada dua insan yang tidak tahu malu memunggah segala barang peribadi memasuki rumah. Aku juga menjadi saksi pada tindakan Angelica yang memunggahkan barang-barang peribadiku dari dalam bilik dan memasukkannya ke dalam beberapa kotak besar, dan menolaknya keluar.

“Woi biadab! Ni rumah akulah! Kau keluar dari bilik aku sekarang!”

Tengkingan aku tidak diendahkan. Malah Angelica masih boleh menyanyi-nyanyi sambil terus memunggah-munggah barangan dari dalam bilikku.

“Woi! Kau pun sama! Pergi balik rumah kau sekarang!” Tengkinganku pada si budak yang dengan selambanya mengunyah kacang yang diambil dari peti sejuk dan memakannya di hadapan televisyen yang mana peti suaranya sengaja dibuka kuat turut tidak mendapat sebarang maklumbalas. Mereka berdua menganggapkan aku seperti orang halimunan dan tidak mengendahkan langsung apa yang dikatakan.

“Alan!” teriakan muncul dari dalam bilik. Aku menoleh dengan wajah masam. “Sewa rumah kau ni nanti kau tak payah bayar tau. Ayahanda aku dah bayar untuk setahun.”

“Hei, aku taknaklah duit bapak kau! Kau pergi balik rumah kau sekarang!”

“Alan.”

“Apa?”

Angelica tersenyum sambil melangkah ke arahku. Tak, aku takkan terpedaya. Perempuan tomboi macam ni mana mungkin comel.

“Mulai hari ni, tolong jaga aku dengan baik ya.” Angelica tersenyum lagi untuk kesekian kali.

***

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)