Friday, June 21, 2013

Projek Memoria - Bab 9


“Kau permaisuriku, pujaan hatiku, berikan aku satu senyuman yang terindah...”

Sesungguhnya aku sedar bahawasanya suaraku sangat teruk umpama katak puru. Namun, tidak salah untukku menghiburkan diri sendiri yang sedang memerah keringat menggali tempat persemadian seekor katak yang telah berjasa kepadaku. Berjasa kerana rela mati demiku. Melawak saja. Aku yang telah membunuh katak tidak berdosa ini! Maafkan aku duhai katak... Semoga kau bersemadi dengan tenang di sana.

Konsentrasiku terganggu tatkala kedengaran bunyi tapak kaki seolah-olah menuju ke arahku. Langsung tidakku endahkan siapakah gerangannya yang sibuk mengganggu waktu emas untukku bersendirian. Hingga sepasang kaki sudah betul-betul di hadapanku pun aku masih tidak berganjak dari tempatku dan tetap meneruskan tugasan yang telah diamanahkan oleh guru biologi kepadaku.

“Serius, suara kau memang amatlah tak sedap. Aku harap kau tak nyanyi lagilah ya.”

Seolah-olah tiada apa yang terjadi, aku masih meneruskan tugasanku sambil bersiul-siul. Suara menjengkelkan yang menegurku tadi ku anggap seperti deruan angin sahaja.

“Marah?” si pemilik suara ini telahpun bercangkung sopan sambil menongkat dagu di hadapanku.

“Aku nak nyanyi sampai hujan lebat pun apa masalahnya,” telahku yang masih enggan menatap wajah membencikan ini.

“Maknanya kau bukannya bersungguh-sungguh nak tahu tentang malam tadilah kan. Elok juga macam tu, aku balik dulu ya.”

Mendengar pengakuan dari Arisa yang telah aku nantikan sejak pagi tadi membuatkanku tersentak dan segera bangkit seraya menarik lengannya supaya jangan pergi. Tercungap-cungap nafasku ketika ini, mungkin kerana perasaanku yang bercampur-baur ini.

“Kau...kenapa...apa...malam tadi...ahhh!” kenapalah pada masa yang genting ini lidahku menjadi kelu pula. Terlalu banyak yang ingin ditanya, butir-butir perkataan yang muncul dari bibirku pula menjadi terhad tanpa sebab.

Arisa melangkah setapak mendekatiku, dan tanpa dipinta, mula mengusap-usap pipiku dengan tangan lembutnya. Aku terkesima dengan tindakan tidak disangka-sangka ini, namun terus membiarkan sahaja perilaku ganjilnya itu tanpa membuahkan sebutir perkataan langsung. Aku dengan fikiran yang kosong serta lidah yang kelu, terus hanyut dengan tindak-tanduk Arisa yang sungguh melekakan. Bagaikan dipukau, hinggakan bibir mungil Arisa semakin mendekati wajahku pun aku masih tidak berganjak. Terus kaku diulit belaian manja si gadis yang penuh misteri ini. Sehinggalah sepatah perkataan yang muncul dari bibir Arisa mengejutkanku dari khayalanku. Namun segalanya sudah terlambat.

“Lenalah.”

Pistol yang entah sejak bila dipegang kemas oleh Arisa diajukan tepat ke dahiku. Sejurus itu juga sedas tembakan dilepaskan kepadaku tanpa sempatku pertahankan diri. Perkara ini seolah-olah pernah berlaku sebelum ini. Dejavu? Mungkin tidak. Namun ketika ini, diriku yang kaku sudah terdampar di atas tanah, pandanganku juga turut kelam.
***

Sebaik sahaja aku dapat mengawal diriku semula, walau dengan mata terpejam, dapatku lihat cahaya yang sungguh terang berada di hadapanku. Perlahan-lahan kucelikkan mata, cahaya yang sungguh cerah ini rupanya datang daripada lampu kalimantang di sebuah bilik. Aku perhatikan sekeliling, bilik ini seperti biasa aku lihat. Masakan tidak, ini adalah bilikku sendiri. Mengapa aku boleh pulang ke rumah pula sedangkan aku berada di perkarangan sekolah tadi? Sekolah? Oh ya, bukankah tadi aku sudah ditembak oleh si Arisa pelik tu? Adakah dia menembakku dengan menggunakan peluru pelali dan sejurus aku rebah, dia membawaku pulang? Jika begitu, apa pula motifnya? Aneh, sungguh aneh. Persoalan demi persoalan terus bermain-main di mindaku namun aku tahu sekiranya aku terus terbaring di sini, tiada jawapan akanku perolehi. Aku bangkit perlahan-lahan, turut meraba-raba dahiku sekiranya terdapat sebarang luka. Tiada. Dahiku licin, hanya butir-butir jerawat sahaja yang dapat dirasa. Aku menjeling di luar tingkap; gelap. Menjeling pula ke arah jam dinding, sudah menghampiri jam sembilan. Begitu lama aku terlena? Aneh betul.

Tatkala aku melangkah keluar dari bilikku, kelihatan bilik air seperti sedang digunakan. Nisya ke? Tak pernah-pernah dia nak gunakan bilik air luar ni, kenapa sekarang tiba-tiba beria-ia? Nak main air la agaknya tu. Pintu bilik air yang berkunci tadi kini terbuka dan alangkah terkejutnya aku apabila melihat gerangan yang melangkah keluar dari situ.

“Arisa!” tanpa mempedulikannya yang hanya bertuala, aku menerpa laju ke arahnya, segera mencapai tangannya agar dia tidak melarikan diri dan segera berterus-terang terhadap apa yang telah berlaku sebenarnya. Namun alangkah terkejutnya aku apabila tanganku menembusi dirinya, seperti lutsinar! Adakah ini mimpi? Atau ilusi mata? Arisa pula seolah-olah tidak nampak diriku ini dan terus berlalu memasuki bilikku. Masih tidak berpuas hati, aku mengekorinya pantas namun tidak cukup pantas apabila dia segera menutup dan mengunci pintu bilikku. Aku menarik nafas pendek, mungkin seperti biasa, dia masih cuba menaikkan darahku. Setelah tenang, aku melontar kata-kata dengan tenang.

“Arisa, tolong buka pintu ni.” Aku mengetuk pintu tanda sopan namun sekali lagi aku terkejut apabila tanganku menembusi pintu! Kenapa ni? Adakah aku dah jadi hantu?

Dengan berfikiran positif, aku menganggap perkara aneh ini satu kelebihan. Melihat tanganku yang telah separuh melalui pintu yang berkunci, aku cuba memasuki keseluruhan badanku pula. Seperti adegan filem, aku kini telah berjaya melepasi pintu berkunci tanpa sebarang masalah! Wah, kini aku sudah ada satu kelebihan yang pastinya diingini oleh seluruh kaum Adam iaitu menjadi orang lutsinar!

Pedulikan keseronokan itu sebentar, aku kembali kepada perkara utama. Arisa, mengapa dia masih di rumahku, dan apa yang telah sebenar-benarnya terjadi padaku? Aku memanggilnya berulang-ulang kali, namun tiada balasan. Dia langsung tidak mengendahkan diriku walaupun aku berdiri tegak di hadapannya. Ataupun mungkin memang benar aku telah menjadi halimunan hinggakan dalang utama kejadian ini turut tidak dapat melihat aku?

Penat dengan panggilanku yang tidak bersahut, aku berhenti sebentar. Arisa ketika ini, dengan hanya tuala yang membaluti tubuhnya, dia seolah-olah mencari sesuatu di dalam bilikku. Nak cari apa pula, bukannya aku ada simpan duit pun dalam bilik ni. Aku membiarkan sahaja perilakunya, selain itu dapat juga aku mencuci mataku seketika dengan melihat tubuh seksi Arisa yang hanya bertuala itu. Dia ni tak nak pakai baju ke? Karang tertanggal tuala tu baru kau tahu. Aku ni pandang aje, sebagai lelaki sejati mana mungkin aku berpaling dari pemandangan yang seperti ini. Jangan disalahkan aku pula nanti jika terjadi apa-apa wahai Ice Queen ya.

Setelah beberapa minit mencari sesuatu yang aku sendiri tidak tahu akan apa, Arisa kelihatan sudah beralah. Dia duduk di atas katilku dan kelihatan seperti sedang memikirkan sesuatu. Tidak lama kemudian, dia bangkit dan segera mencapai sehelai baju tidur. Ya, inilah saat yang aku nanti-nantikan! Mataku dibeliakkan seluas-luasnya, dan aku turut berdiri betul-betul di hadapannya agak pemandangan ini tidak terlepas dari pandanganku. Arisa meletakkan jari-jemari halusnya pada hujung tuala yang sedang dipakainya, dan dengan perlahan-lahan...perlahan-lahan...

Pap! Pandanganku kelam. Eh, apa ni? Kenapa boleh black-out pula? Ala...kacau daun betullah!

“Kau ni memang miang kan?” satu suara muncul entah dari mana arahnya menegur perbuatan normalku sebagai lelaki sejati.

“Rezeki jangan ditolaklah woi!” tempelak aku pada suara tersebut. “Ni apesal gelap-gelap? Bukalah lampu, biar aku scan satu badan kau tu. Tengok kau berani tidak!” sambungku lagi, sengaja mencari fasal.

Whatever. You will forget about this anyway. So just shut up and behave yourself.

Ewah, nak cakap mat saleh pula minah ni. Bajet bagus sangat ke? Hey, I can speak English too you know! I just don’t want to...to...to tunjuk-tunjuk je okey!

Pandangan mataku kini kembali terang, namun situasi yang terbantut sebentar tadi telah tiada. Aku memerhatikan keadaaan sekeliling, seperti bilik ibuku. Bila aku berganjak keluar? Sekali lagi satu misteri timbul dan tiada jawapan. Di bilik itu kelihatan Arisa sedang berbual-bual dengan ibuku. Sungguh rancak sekali perbualan mereka. Ibuku pula kelihatan sangat ceria, tak pernah lekang senyuman dari bibirnya. Nisya turut setia di sisi dengan wajah yang cukup gembira. Bagus juga, sebab aku jarang sangat dapat lihat ibuku gembira sebegini. Selang beberapa minit mereka berbual, Arisa bangkit. Diungkapkan perkataan maaf yang membingungkan mereka dan juga aku, tanpa sempat menanyakan apa ertinya, segera Arisa mengeluarkan pistol dan menembak mereka berdua tepat di kepala. Aku juga tidak sempat berbuat apa-apa. Cuba untuk mencederakan Arisa yang bertindak melulu itu namun seperti tadi, capaian tanganku menembusi dirinya. Jadi aku masih lutsinar, tanggapanku. Melihat ibu dan adikku rebah longlai, segera aku memeriksa mereka dan berharap mungkin aku dapat menyentuh seterusnya merawat mereka namun alangkah terkejut aku apabila melihat mereka tidak ada sebarang luka, malah mereka seolah-olah sedang tidur dengan nyenyak. Siap berdengkur lagi! Apa maksud semua ini? Aku mengalihkan pandanganku kepada Arisa, senyuman jelas terukir di bibirnya.

“Jangan bimbang, mereka tak apa-apa. Aku cuma bagi mereka mimpi yang indah je.”

Tak pasti sama ada Arisa dapat melihat aku yang lutsinar ini atau hanya mengagak, pandangan matanya ditujukan tepat kepadaku dan berkata sedemikian.

“Apa maksud kau?”

“Apa yang terjadi pada pagi selepas malam ini, itulah jawapannya. Aku yakin kau dah tahu bukan?’

“Keesokan pagi? Kejap, aku masih tak faham. Boleh tak terangkan jelas sikit?”

Arisa berlalu pergi tanpa mengendahkan pertanyaanku. Segeraku mengejar, namun kegelapan pula yang muncul. Seketika kemudian, walau dalam keadaan gelap namun aku tahu yang aku telah kembali ke dalam bilikku semula. Pandanganku tertancap kepada kelibat manusia yang sedang berdiri di hadapan katil.

Bukan ke itu...Arisa? Tak pelik pun jika dia ada. Tapi yang menimbulkan tanda tanya adalah di hadapannya, kelibat seseorang yang sedang duduk...itu...aku ke? Eh? Apa yang sebenarnya berlaku ni? Macam mana aku boleh ada klon? Tapi kejadian aneh yang sedang terjadi di hadapan mataku ini seolah-olah kejadian sama yang telah terjadi malam tadi. Kejadian di mana aku yang sedang teresak-esak di dalam pelukan Arisa. Hmm, hodoh pula bila lihat balik. Namun perkara ini membuatkan aku terfikir. Adakah aku sedang menyaksikan semula adegan masa lampau? Tapi, mengapa? Dan bagaimana?

Sedang aku masih terpaku dibelenggu keanehan, aku menyaksikan satu perkara yang tiada di dalam kotak memori aku. Perkara yang tidakku ingat pernah terjadi malam tadi. Perkara itu adalah...apabila adegan asmaradana antara aku dan Arisa bermula. Sudahlah hendak memandang pun dah cukup segan, hendak memikirkan jika ia benar-benar terjadi pun lagilah tak dapat. Otakku seperti sudah meletup, tidak boleh berfungsi lagi. Hentikan...adakah cara untuk aku hentikan semua ini? Arisa, kau jangan nak mengarut lagi! Cepat hentikan semua ini!

Pap!

Mataku celik. Pada pandangan mataku kini adalah langit biru yang terbentang luas. Kawasan sekeliling pula kelihatan seperti di belakang sekolah. Aku dah kembali ke realiti ke? Aku perhatikan sekeliling. Kelihatan duduk di sebelahku adalah...Arisa! Bingkas aku bangkit.

“Wei! Kau jangan nak lari! Sekarang, kau terangkan dekat aku apa sebenarnya yang dah terjadi? Apa yang dah aku lalui tadi?” jeritku lantang pada Arisa yang menjengkelkan ini.

“Aku bawa kau kembali ke memori malam tadi. Semua tu realiti,” balas Arisa tenang.

“Mengarut! Kalau betul realiti, kenapa aku tak ingat apa-apa bila kita...kita...urgh!”

“Kita apa?” Arisa ketawa kecil.

Dengan wajah yang merah padam, tak sanggup untukku jawab pertanyaan Arisa itu memandangkan aku yakin yang dia tahu apa jawapannya, sengaja bertanya lagi. Kejam!

Agak lama juga kami membatu di tempat masing-masing. Aku yang masih keliru dengan keadaan sekarang, tidak tahu apa yang patutku tuturkan sedangkan aku tahu yang terlalu banyak hendakku soal pada Arisa. Arisa pula, hanya membisu tanpa menjelaskan apa-apa. Setelah beberapa minit berkeadaan begitu, Arisa memulakan langkah. Disuakan kepadaku pistol pelik yang baru sahaja digunakan terhadap aku tadi dan kepada keluargaku semalam. Risau jika dia menembakku sekali lagi, aku menyilangkan kedua-dua tanganku, seperti memberi isyarat sedang bertahan.

“Haha, jangan risau. Aku takkan gunakannya lagi buat masa ini.”

“Dah tu, kau nak buat apa? Saja-saja buat pameran?”

“Bukan kau nak tahu ini apa ke?”

Oh, yalah. Baru aku teringat. Dek kerana otak buntuku, perkara sebegini pun tak dapat aku fikir dengan waras. Memang sejak semalam aku simpan niat nak tahu apa sebenarnya pistol pelik tu. Tapi dugaan demi dugaan yang diterima aku membuatkan aku terus terlupa tentang perkara ini.

“Tu...apa benda? Jangan acu dekat aku!”

“Kan aku dah kata, aku takkan gunakannya lagi buat masa ini. So, jangan risau okey? Dah, duduk dulu. Cukup-cukuplah buat aksi Ultraman tu, lawak ajelah,” balas Arisa dengan tawaan kecil.

Seminit kemudian, setelah melihat tiada tindakan selanjutnya daripada Arisa, barulah aku bertenang dan duduk, namun masih berjaga-jaga.

“Pistol tu, pistol apa sebenarnya? Rekaannya pun dah cukup pelik,” aku membuka bicara.

Arisa melemparkan senyuman tawar dan mengemas silaannya sebelum membalas pertanyaanku dengan sopan.

“Pistol ni, adalah pistol memori. Hanya ada lima buah sahaja di dunia ini.”

“Apa kegunaannya?”

“Seperti yang kau alami.”

“Maksud kau?”

“Mengambil, memberi, dan memanipulasi sebarang bentuk memori manusia.”

“Yang bermaksud memori yang aku lihat tadi cuma manipulasi sahaja bukan?”

“Tidak, itu adalah realiti.”

“Kenapa aku tak ingat?”

“Sebab aku dah ambil memori tu dan simpan dalam pistol ni.”

“Che, berani kau godam privasi aku! Pulangkan balik memori aku!”

“Boleh, kalau kau ikut cakap aku.”

“Kau...cakap apa? Aku tak inginlah jadi kuli kau!”

“Tak nak tak apa. Aku boleh delete memori ni, dan apa yang terjadi malam tadi akan kekal jadi misteri. Selain itu, pandangan ibu kau terhadap kau akan kekal sebagai seorang anak yang jijik.”

Mendengar pengakuan kejam itu, aku kelu. Sudahlah ibuku seperti sudah membencikanku, jika kejadian pagi tadi dibiarkan sahaja tanpa dapat aku pertahankan diri, rasanya aku akan jadi seperti mayat hidup.

“Kau...boleh ubah memori ibuku pasal kejadian pagi tadi ke?” soalku teragak-agak.

“Perkara mudah. Kalau kau setuju untuk ikut cakap aku, aku akan delete memori itu. Aku janji.”

Puas memikirkan jalan penyelesaian yang lain pun kekal buntu. Sememangnya dari pucuk pangkal pun kejadian ini berpunca dari Arisa sendiri, ini semua rancangannya untuk memerangkap aku. Namun aku tak faham mengapa mesti aku dan bukan orang lain. Adakah disebabkan aku yang paling mudah dipermainkan? Benci! Nampaknya memang tiada jalan lain. Mahu tak mahu, aku akhirnya akur juga dengan permintaan yang entah apa-apanya itu. Cuma aku berharap, jangan disuruh aku pergi merompak atau membunuh sudahlah. Keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Aduhailah nasib...

“Terima kasih atas kerjasama anda~” katanya dengan riak wajah yang riang. Aku pula seperti sudah hilang segala tenaga untuk membalas walau sepatah perkataan.

“Tapi aku cuma nak ingatkan, jangan cuba melarikan diri. Atau aku tak jamin keadaan keluarga kau nanti,” sambungnya dengan senyuman jahat jelas terukir di wajahnya.

“Yelah, aku faham. Aku takkan larikan diri,” tempelakku lantang. Sudahlah, malas untuk aku terus memikirkan hal ini. Reda sahajalah!

Senyuman palsu terukir pada wajah kejamnya. Jijik pula aku melihatnya.

“Kau ni kan...”

“Iya?” tutur Arisa, masih tersenyum.

“Syaitan!”

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)