Bab 4 – Dan Dia Adalah...?
Mula-mula kostum badut, kemudian kostum
pekebun pula menyusul. Sesudah itu, kostum pelajar sekolah pula digayakan. Dan
kini, Angelica yang kasihan ini sedang memperagakan kostum jururawat yang agak
seksi. Hanya berbaki kostum perenang dan kostum puteri duyung sahaja hinggalah
tiba saat yang dinanti-nantikan oleh lelaki-lelaki gatal ini semua iaitu kostum
bikini jarang. Aku yang sedari tadi menjadi penonton halimunan telah memikirkan
rancangan yang kukira baik untuk menyelamatkan Angelica. Berkat kesilapan
mereka juga kerana membiarkan aku di sini sendirian. Patut mereka pengsankan
aku sahaja supaya aku tak dapat berfikir
tentang rancangan seterusnya, namun mereka kurang bijak, dan aku amat
bersyukur.
“Kasih...jangan pergi. Jangan
tinggalkan aku sendiri..”
Mereka menjeling ke arahku.
“Ku merinduimu oh sayang...”
Sekali lagi mereka berhenti dan
memandang ke arahku.
“Jangan biarkan daku dibelenggu
rindu...kasih...”
“Kau, tolong senyap boleh tak?” Si
botak yang sedang memegang kamera itu separa menjerit ke arahku yang baru
selesai menyanyi sebuah lagu popular ketika ini.
“Oh, kenapa? Suara aku yang sedap
sangat ni menggangu konsentrasi kau ke? Aha, maaflah. Aku memang dilahirkan
dengan suara lunak. Malangnya aku tak berminat nak jadi artis...” ujarku
berseloroh.
“Sedap kau kata? Macam suara katak
puru! Tolong senyap dan jangan ganggu kami!” Oh, nampaknya dia sudah naik
marah.
“Drake, biarkan dia. Teruskan tugas
kau.” Ala. Si bos ni tak nak makan umpan pula. Kena cuba lagi sekali nampaknya.
“Segala yang kau berikan dulu,
tinggal kenangan kini...”
Tiada reaksi.
“Kau dustaiku...”
“Enough.”
“Dan kau tinggalkan aku...”
“I
said enough!”
Sebilah pisau lipat dilemparkan Prof
James ke arahku, seperti yang dilakukannya sebentar tadi. Ya akhirnya, umpan
mengena! Segera aku menghalakan tanganku yang diikat ke arah pisau yang sedang
melayang di udara. Cadangku supaya balingan pisau itu dapat memutuskan ikatan tali
di tanganku, macam adegan filem. Cuma, apa yang berlaku tidak sama pula seperti
dalam filem. Pisau itu tercucuk tepat mengenai tali di antara kedua-dua
tanganku. Mujur aku pandai agak arahnya, jika tidak, tanganku pasti sudah
tercucuk pisau tajam ini. Bahayanya...
“Kau...”
Oh, aku perlu segera melepaskan
diri. Pisau yang tercucuk tadi itu kucapai dengan susah payah dan segera
memutuskan tali yang membelenggu diriku ini. Melihatkan mereka sudah mula
bergerak ke arahku, rancanganku perlu diteruskan lagi, dengan cepat!
...atau mungkin tidak terlalu cepat
kerana aku sudah dikepung mereka.
“Apa yang boleh kau lakukan
sekarang? Aku akan pastikan kau tertidur selepas ini,” si botak bersuara.
“Maaflah, hari masih siang. Aku
belum mengantuk lagi,” selorohku dengan pisau tergenggam rapi di tangan sebagai
langkah pertahanan diri.
“Hans!” jerit si botak bernama
Drake, dengan isyarat supaya mencederakanku. Aku menghalakan pisau kecil ini ke
arah Hans dan cuba mengacah-acahnya, dengan harapan dia menjauhi aku. Langkahku
juga dibuka menghampiri Angelica yang sedang terkaku di penjuru bilik. Hai,
kenapalah kau terkaku di sana. Kan lebih elok kalau kau melarikan diri segera?
“Ha, aku ada senjata. Kau tak ada
kan? Marilah tangkap aku kalau kau hebat!” sengaja aku memprovok mereka supaya
mereka tidak perasan yang aku semakin menghampiri Angelica.
“Aku tak perlukan senjata.”
Sejurus selepas Hans mengutarakan ayat yang
bajet cool itu, tangannya dengan laju
menepis tanganku yang mengenggam erat pisau hingga terpelanting jauh. Tanpa
berlengah, satu lagi serangan diberikannya kepadaku. Satu tumbukan yang amat
kuat mengenai tepat pada perutku hingga membuatkan aku terbang ke arah almari
kayu yang tersandar di tepi dinding, beberapa langkah jauhnya dari Angelica.
Angelica yang melihat keadaanku itu pula semacam histeria. Dia menjerit kuat
dan segera mendapatkanku. Bagus, walaupun apa yang terjadi tidak mengikut
rancanganku, namun hasilnya tetap sama. Lebih kuranglah. Dengan tambahan badanku
kini terasa terlalu sakit dengan darah tersembur keluar dari mulutku.
“Cik adik, nak ke mana pula tu?”
Ah...si botak ni. Sedikit sahaja
lagi Angelica hampir tiba di sisiku, dia merentap kasar tangan gadis kasihan
ini dan menjauhiku. Punah sudah rancangan menyelamatkan Angelica dan diri
sendiri...
“Hans, selesaikan makhluk perosak
ini segera. Tapi jangan terbunuh pula. Susah kita nanti,” dengan penuh cool si bos itu mengarahkan anak buahnya
menyelesaikan aku. Tadi aku nampak bukan main cuak mukanya. Hans pula masih
bertindak sebagai anak buah yang setia, tanpa berlengah lagi terus menuju ke
arahku dengan laju. Rambutku dicengkam kuat, dan mengarahkan mukaku
memandangnya dengan kasar.
“Aku tahu...kau handsome. Tapi maaflah...aku tak berminat...dengan lelaki...hehe,”
walau dengan tercungap-cungap, sempat juga aku menuturkan kata-kata lawak,
dengan harapan dia berlembut hati selain mencari peluang untuk menyelamatkan
diri.
Namun apa yang dibalas Hans sungguh
ganas. Tanpa sebarang perkataan diutarakannya, satu hantukan kepala diberikan
kepada kepalaku. Kuat juga hantukan itu, membuatkan aku mengerang kesakitan.
Kepalaku juga terasa berpinar-pinar. Hantu punya manusia, ingat kepala aku ni
bola sepak ke?
“Ikat dia di gril tingkap, dan
jangan biarkan dia terlepas lagi!” jerit Prof James kepada Hans. Si anak buah
yang setia ini mengheret aku yang layu tidak bermaya ini menghampiri tingkap.
Habislah. Jika aku diikat, sudah tiada cara lagi untuk menyelamatkan Angelica.
Aku perlu lakukan sesuatu segera.
“Arghhhhhhhhhh!”
Satu jeritan kuat oleh seseorang
membuatkan kami berpaling serentak. Jeritan itu, rupanya milik Prof James.
“Larilah!” jerit Jake yang baru
selesai membantai kepala Prof James dengan menggunakan sebatang besi hingga
pengsan, kepadaku yang sedang tercegat. Sepantas kilat aku memukul belakang tengkuk
Hans dengan sebatang kayu serpihan almari. Nasibku baik kerana Hans ketika itu
sedang gusar dan menuju ke arah bos kesayangannya. Jadi dia tidak menyedari
akan serangan yang bakal diterimanya.
Melihat dua orang sudah tumbang, yang
tinggal hanya si botak yang masih memegang erat Angelica. Walaupun sudah lemah,
namun dengan segala kudrat yang ada, segera aku berlari ke arah si botak itu
dan menumbuk mukanya kuat, tanpa sempat dia mengelak. Selesai. Pengsan
semuanya. Hmm, lemah juga mereka ni.
“Apa tunggu lagi? Kita cabutlah
cepat!”
Lagak seperti komandor pula si
pendek ni. Tapi benar juga apa yang dikatakannya itu, kerana siapa tahu bila
mereka akan tersedar. Lambat lari, masaklah nanti. Jadi aku segera mengambil
kamera milik lelaki gatal semua ini yang telah merakam segala gambar-gambar
haram, seterusnya memakaikan jaket milik entah siapa yang kuambil secara rawak
di dalam bilik itu pada Angelica yang berpakaian sangat seksi, dan lantas
menarik lengan gadis itu untuk melarikan diri.
***
“Ni ke rumah kau? Sempitnya...”
“Sekurang-kurangnya rumah aku kemas,
bersih dan teratur. Tak perlu kau nak pertikaikan sempit ke tak, pendek!”
Entah apa yang dikatakan si pendek
selepas itu langsung tak ku endahkan. Buang masa dan tenaga sahaja. Aku
menyerahkan segelas air kepada Angelica yang kelihatan trauma atas apa yang
telah berlaku. Dia mengambilnya dan meneguknya dengan sekali teguk. Sejurus itu
dia mengesat saki-baki air yang berada di bibirnya dengan hujung lengan baju.
Ah...betapa tidak femininnya gadis ini.
“Kau okey tak?” Soalanku dibalas
anggukan.
“Kau nak makan apa-apa tak?” Kali
ini dibalas dengan gelengan pula.
“Alan...” Angelica memegang hujung
bajuku sambil memandangku dengan pandangan sayu. “Aku...nak tidur sekejap
boleh?”
“Ah, yalah! Sekejap ya, aku kemaskan
bilik dulu.”
Aku berlari-lari anak menuju ke
bilik tetamu, mengemas apa yang patut, dan memanggil Angelica untuk berehat di
situ. Setelah apa yang berlaku, pastinya dia berasa penat sekarang ini.
Angelica terlelap sebaik sahaja kepalanya mencecah bantal, nampaknya dia
betul-betul penat. Aku menutup pintu bilik untuk biarkannya berehat dan menuju
ke ruang tamu di mana si ninja pendek masih tertinjau-tinjau keadaan rumahku.
“Apa yang kau cari? Duduk diam-diam
je tak boleh ke?”
“Walaupun kecil dan sempit, tapi
boleh tahan juga rumah kau ni. Teratur je. Pandai kau susun barang. Macam suri
rumah.”
Satu tonjolan pada dahi kuberikan
pada budak mulut becok ni. Naik menyampah pula jadinya.
“Woi! Aku puji pun salah ke?” ujar
Jake sambil menggosok-gosok dahinya yang entahlah sakit ke tidak. Rasanya tak
kuat pun aku tonjol kepalanya tadi. Mengada je lebih.
“Kau nak tunggu apa lagi kat sini?
Pergi baliklah,” ujarku sambil membuat isyarat menghalau.
“Aku belum nak balik lagi.”
“Apasal pula?”
“Angelica.”
Dahiku berkerut. “Ada apa dengan
dia?”
“Aku rasa...aku pernah jumpa dia di
mana-mana.”
“Aku tak faham. Maksud kau?”
“Kau jumpa dia kat mana?”
Aku menggaru-garu kepalaku.
Bagaimana aku patut terangkan ya? “Aku...masa kali pertama tergunakan
teleportasi, aku...termasuk ke rumah dia...”
“Termasuk? Ter? Haha, kau ni boleh tahan gatal
juga ya? Hahaha!”
“Hei, aku seriuslah! Aku sendiri pun tak tahu
macam mana aku boleh berada dalam bilik dia!”
Malangnya Jake masih lagi tak berhenti ketawa.
Menjengkelkan betul. Dengan bangganya aku menghadiahkan ‘Alan Chop’ tepat pada
kepalanya. Rasakan. Puas hati aku. Jake mengerang kesakitan namun aku tidak
mengendahkannya.
“Sambung pasal tadi. Ada apa dengan Angelica?”
soalku serius.
Sambil menggosok-gosok kepalanya, Jake membuka
bicara. “Aku tak pasti di mana, tapi aku yakin aku ada berjumpa dia di
mana-mana...”
“Sekali lagi pernyataan kau bercanggah. Tolong
jangan buat aku pening boleh tak?”
“Betullah. Maksud aku, aku macam pernah nampak
Angelica, cuma ingat di mana. Kau rasa kau pernah jumpa dia tak sebelum ni?”
Dahiku berkerut. Kalaulah aku pernah berjumpa
dengan Angelica sebelum ni, mestilah aku tak rasa hairan bila termasuk ke
rumahnya pagi tadi. Aku menggelengkan kepala.
“Prof James pun ada tanya kau tadi sama ada
kau tahu siapa Angelica. Bermaksud yang Angelica adalah seseorang yang
dikenali. Tapi aku tak pasti dia siapa...”
Tatkala Jake sebut nama Prof James, mindaku
teringat akan sesuatu. “Hei, tak mengapakah kita ada di sini? Macam mana kalau
profesor gila dan konco-konconya datang? Mereka boleh teleport juga kan?”
“Ah, fasal tu kau tak perlu bimbang.
Teleportasi hanya boleh digunakan untuk ke destinasi yang diketahui. Jika
mereka tak tahu di mana kita berada, tak jadi masalah. Cuma, aku harap yang
mereka tak tahulah rumah kau ni.”
“Haraplah...”
Suasana menjadi sunyi. Enggan berterusan
sebegitu, aku menghidupkan televisyen. Kemudian berlalu ke dapur untuk
menyiapkan makanan. Keadaan di luar sudah hampir gelap. Padanlah perutku terasa
lapar. Sudah tiba waktu makan malam rupanya.
“Wah, kau nak masak ke? Kau reti masak ke?”
Satu suara menjengkelkan muncul dari arah belakangku. Pertanyaannya tidak
diendahkan. Aku meneruskan tugasanku.
“Kau nak masak apa? Masak sedap-sedap tau! Aku
pun dah lapar ni.”
Berang dengan si budak muka tembok ni, aku
menarik hidungnya sekuat-kuat hatiku. “Siapa nak masakkan untuk kau, hah? Dah,
pergi balik. Dah malam, nanti mak bapa kau risau!”
Senyap. Wajahnya berubah sugul. Perlahan-lahan
Jake berjalan menuju ke ruang tamu tanpa sebarang perkataan yang dilontarkan.
Ah sudah. Adakah aku tercakap sesuatu yang tidak sepatutnya?
“Maaf kalau cakap aku tadi tu buat kau
tersinggung...”
“Ah tak mengapa...” balasnya tanpa menoleh.
“Mereka sedang melancong sekarang ni. Balik rumah pun takde sesiapa...”
Aku tercengang. Dan bengang. Dan sakit hati.
Sebab salah faham.
“Kenapa? Kau ingat mereka dah mati ke?
Biadapnya...”
Sudahlah. Tanpa menghiraukan si budak
menyusahkan ini, aku meneruskan tugasanku yang terbantut tadi iaitu memasak.
Ahh...memikirkan yang aku kena masak untuk budak ini pun terasa menyampah.
Lantaklah!
Bawang dan segala jenis sayuran dipotong.
Daging lembu yang sudah lembut turut dipotong. Peluh yang merecik dilap dengan
sapu tangan yang sentiasa berada di dalam saku. Ketawa kuat yang muncul dari
arah ruang tamu tidak diendahkan. Misi aku kali ini adalah siapkan makanan
malam dengan segera tapi masih terjamin kelazatannya dan khasiatnya. Sedang aku
leka menumpukan sepenuh perhatian pada tugasanku itu, kedengaran bunyi tapak
kaki melangkah perlahan-lahan, hingga ia terhenti betul-betul di belakangku.
“Ah, Angelica! Terkejut aku. Kau dah cukup
rehat ke? Maaf, makanan malam masih belum siap. Sikit je lagi. Kau tunggulah
dulu kat ruang tamu, ya?” balasku panjang lebar dengan tangan yang masih ligat
menyiapkan juadah.
“Tak, Alan. Dengar ni.” Ketika ini aku terasa
hujung bajuku dipegang Angelica. “Terima kasih sebab tolong aku...” Suara
Angelica kini kedengaran bergetar. Aku menoleh.
“Takde apa-apalah. Takkan aku nak biarkan je
kau jadi mangsa binatang tu? Mestilah aku tolong,” ujarku dengan senyuman.
Namun Angelica masih berwajah duka.
“Maaf. Aku...aku kena balik sekarang,” ujar
Angelica lantas berpaling dan membuka langkah. Segera aku menangkap lengannya
agar dia tidak terus pergi. Hairan juga dengan keadaannya sekarang ini.
“Kau nak balik mana? Rumah kau? Jangan
mengarut. Tak mustahil si gila tadi tu sedang menunggu kau di rumah.”
“Jangan risau, dia dah ditangkap.”
“Apa?” Aku hairan. Mana Angelica tahu yang
mereka sudah ditangkap. Belum sempat aku mengutarakan sebarang persoalan,
kedengaran loceng pintu rumahku berdering.
“Ah, mereka dah sampai. Terima kasih
banyak-banyak Alan. Terima kasih sebab banyak tolong aku.”
“Tak. Tunggu kejap. Kau nak pergi mana?”
Angelica tidak mengendahkan pertanyaanku malah
terus sahaja melangkah.
Di hadapan pintu kini berdirinya seorang
lelaki tegap yang tidak kukenali. Di belakang lelaki itu pula terdapat seorang
wanita cantik bak model. Mereka nampak muda. Tak mungkinlah mereka ni ibu bapa
Angelica pula, bukan?
“Alan Hawkes,” lelaki tegap itu bersuara. Aku
sedikit gentar tatkala mendengarkan suara yang dilantunkan itu. Juga berasa
hairan kerana dia mengetahui namaku. “Terima kasih kerana menolong tuan puteri.
Kami akan membalas jasa tuan nanti.”
Usai lelaki itu bersuara, Angelica melangkah
menghampirinya. Aku tercengang. Tercengang dengan apa yang diutarakan lelaki
itu tadi.
“Tunggu sekejap! Apa yang kamu maksudkan tadi?
Tuan...tuan puteri?”
Angelica berhenti melangkah. Lelaki tegap dan
wanita cantik itu memandang ke arah kami semula dengan pandangan kosong.
“Ah! Takkanlah!” Jake secara tiba-tiba
menjerit. Mengganggu betul budak ni! “Kau...sebab tu lah aku macam pernah lihat
wajah kau. Kau puteri tunggal negara ni kan? Puteri kepada Raja Siltheryn kan?”
Puteri negara ni? Angelica? Biar betul? Aku
memandang tepat pada si gadis berwajah sugul yang masih berdiri tegak di
hadapanku. Namun tiada seulas perkataan yang diutarakan. Dia hanya diam membatu
merenung lantai.
“Puteri Angelica Isabelle vie Siltheryn VIII.
Puteri tunggal Raja Alexandre Marcuss vie Siltheryn VII.” Aku terkesima
mendengarkan apa yang dituturkan lelaki itu. Angelica adalah seorang puteri?
Benarkan semua ini?
“Maaf. Apa yang dikatakan itu semua adalah
rahsia besar. Kami harap agar kamu tidak membocorkan maklumat ini atau tindakan
tegas akan diambil,” sambung lelaki itu lagi.
Tiada apa lagi persoalan yang cuba dilontarkan
memandangkan aku masih terkesima. Jake juga kelihatan kaku dengan mulut terbuka
luas. Aku hanya memandang Angelica perlahan-lahan berlalu pergi dan hilang di
balik kegelapan malam.
***
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)