Thursday, July 18, 2013

Airmata Senja - Bab 3


“Abang, abang kerja apa sebenarnya?” soal Zuraida suatu hari di hujung minggu dan seperti biasa, suaminya kekal berada di rumah pada siang hari.

“Yang sibuk nak tahu ni kenapa? Pergi tengok t.v sana. Abang nak tidur,” balas Khairi kurang senang sambil menutup mukanya dengan bantal hiasan sofa. Zuraida tidak berpuas hati dengan layanan suaminya itu merampas bantal tersebut dan bercekak pinggang. Dia merenung tajam pada suaminya yang sedang mamai itu.

“Kerja halal. Okey, puas hati? Dah, jangan kacau abang. Pergi main jauh-jauh,” jelas Khairi seterusnya membalikkan badannya menghadap arah bertentangan dari Zuraida dan ingin kembali beradu. Namun Zuraida masih tidak berpuas hati.

“Abang, cakap betul-betullah. Kerja halal apanya keluar malam-malam. Abang kerja jual dadah ke?” Zuraida berteka-teki sambil menggoyangkan badan suaminya yang masih terbaring itu.

“Hish kamu ni! Otak tu cuba kreatif sikit. Asal kerja malam je mesti kerja tak senonoh. Abang kata kerja halal, kerja halallah. Dah, jangan kacau abang lagi. Abang nak tidur!” bentak Khairi yang nampaknya berang dengan tekaan isterinya tadi. Dia seterusnya tidak mengendahkan lagi apa yang dikatakan isterinya itu dan terus terlena.

Zuraida mengetap bibir. Geram dengan jawapan yang diberikan suaminya yang gemar berahsia itu. Sudahlah panas baran, perahsia, perokok tegar, ‘ahh...kenapalah lelaki macam ni pilihan mak aku?’ bentak hati Zuraida sambil menarik-narik rambutnya kasar. Seketika kemudian dia terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia ke kabinet televisyen tempat dia meletakkan telefon bimbitnya itu dan melihat satu pesanan ringkas telah masuk dan nama yang tertera pada skrin telefonnya adalah Annisa’.

“Kawan, jom lunch sama,” ringkas sahaja ayat yang tertera pada telefon bimbit Zuraida itu tetapi terus membuatkannya melompat gembira.

“Wah, Nisa’ ajak pergi lunch! Bestnya! Ah, tapi aku kat rumah ni, tak boleh nak keluar... Ala...macam mana ek...”

Ketika Zuraida bermundar-mandir di ruang tamu memikirkan bagaimana caranya untuk dia bertemu Nisa’, pandangannya termati pada suaminya yang sedang berdengkur itu. Dia nekad. Apa nak jadi, jadilah. Segera dia melangkah mendekati lelaki yang sedang tidur nyenyak itu dan menggerak-gerakkan badannya perlahan.

“Bang, abang. Nisa’ ajak pergi lunch. Saya nak pergi. Abang hantarkan saya ya?” pintanya lembut. Namun suaminya itu masih diam membatu. Hanya dengkuran sahaja yang kedengaran.

“Abang, dengar tak ni?” ujar Zuraida diikuti satu cubitan diberikan pada paha suaminya.

“Aduh, sakitlah! Awak ni dah kenapa? Kan abang dah kata, jangan kacau abang! Tak faham bahasa ke?” bentak Khairi, kuat. Namun herdikan lelaki itu sedikit pun tidak menggugat hati isterinya yang sudah semakin biasa dengan sikap pemarahnya itu.

“Saya nak pergi lunch dengan Nisa’. Abang tolonglah hantar saya...please?” pinta Zuraida sekali lagi. Dia tahu bahawa itulah satu-satu cara untuk dia keluar memandangkan sikap tegas suaminya yang langsung tidak membenarkannya keluar sendiri. Tambahan pula, dia tidak tahu memandu kereta.

“Makan kat rumah je,” balas Khairi pendek dan kembali berbaring. Zuraida mencebik.

“Ye lah makan kat rumah. Kalau peti ais tu penuh dengan lauk-pauk tak apalah juga. Ni takat mi segera je yang berlambak. Bosan tahu tak hari-hari takat makan maggi dengan lempeng, dengan jemput-jemput bawang. Ikan bilis pun takde. Time kat kolej je baru saya dapat makan sedap-sedap walaupun harga mahal. Abang, dengar tak saya cakap ni? Jangan buat-buat pekak pula, karang jadi betul-betul pekak baru tahu. Abang, bangunlah. Hantarkan saya,” bebel Zuraida panjang. Dia tidak pasti jika bebelannya itu dapat menembusi kepala degil suaminya atau tidak namun tidak salah jika dia mencuba, dan cuba menambah tekanan pada lelaki yang hidup bagai vampira itu.

“Kamu ni, tak padan dengan pendek. Membebel macam makcik-makcik,” itu sahaja yang diluahkan Khairi dengan mata yang masih terpejam. Zuraida bertambah geram. Nampaknya dia terpaksa menggunakan pelan kedua.

“Okey, abang tak nak hantar saya tak apa. Saya pergi naik teksi je,”  balas Zuraida seraya berlalu pergi untuk bersiap-siap di biliknya. Namun pergerakannya segera dihentikan Khairi yang pantas menggapai lengan isterinya itu walau masih dalam keadaan mamai.

“Jangan mengada-ngada. Pergi telefon piza je hantar makanan,” ujar Khairi dengan mata yang masih lagi terpejam. Zuraida mendengus.

“Masalah sekarang ni bukannya fasal makanan. Tapi fasal saya nak jumpa Nisa’. Abang faham tak?” ujar Zuraida yang sudah sedikit letih.

“Kat kolej kan boleh jumpa,” balas Khairi yang masih dengan kedegilannya.

“Memanglah boleh. Tapi time-time tengah cuti macam nilah baru seronok sikit jumpa. Boleh jalan-jalan. Hilangkan stress. Abang ni kenapa ek? Seronok sangat ke kurung saya, seksa saya macam ni?” balas Zuraida separa jerit. Hatinya sudah terasa sakit memikirkan sikap suaminya yang degil itu. Air matanya juga sudah sedikit bergenang.

Senyap. Langsung tiada balasan daripada Khairi terhadap pertanyaan yang diajukan Zuraida sebentar tadi. Matanya masih lagi terpejam rapat dengan genggaman tangannya pada lengan isterinya masih lagi kuat. Zuraida mengeluh kecil.

“Abang...” Zuraida memanggil suaminya lembut. Perlahan-lahan dia duduk di hadapan sofa tempat suaminya berbaring dan memandang wajah lelaki yang separuh lena itu dalam-dalam. Sesekali dia mencucuk-cucuk pipi suaminya, sengaja.

“Lima minit,” Khairi berkumat-kamit. Matanya masih tertutup rapat.

“Nanti lambatlah. Dua minit je,” usul Zuraida yang akhirnya berpuas hati kerana berjaya juga memujuk suaminya yang keras kepala itu untuk keluar. Walaupun begitu, dia sedar yang suaminya itu masih letih atas kerjanya yang tidak diketahui. Zuraida berfikir-fikir, mungkin suaminya bekerja di kilang, shift malam. Tak kisahlah semua itu, yang penting sekarang adalah dia dapat berjumpa dengan Nisa’ rakan karibnya yang disayangi itu.

***
“Jan~ Nilah lelaki panas baran yang aku selalu cerita tu,” ceria sahaja suara Zuraida tatkala dia memperkenalkan suaminya kepada Nisa’. Khairi mengerlingnya tajam namun tidak dipedulikan Zuraida. Mereka kini berada di sebuah restoran mamak berdekatan dengan kolej.

“Jelas dibaca dari raut muka laki kau ni, Zue. Memang panas baran,” gurau Nisa’ seraya ketawa kecil. Khairi mengerling tajam Nisa’ seketika dan terus melemparkan pandangannya jauh ke seberang jalan. Dia mendengus kecil.

“Hai, kenapalah aku kena temankan dua orang budak kecil makan kat sini. Buang masa tidur aku ajelah,” bentak Khairi kepada dua orang gadis yang sedang duduk di hadapannya itu sambil berpeluk tubuh. Badannya disandarkan kepada kerusi untuk berehat bagi mengurangkan tekanan yang sedang dialaminya.

“Abang kalau tak nak teman saya, abang boleh balik je. Saya tak suruh pun abang tunggu. Nanti tahulah saya balik sendiri,” Zuraida cuba menduga sama ada suaminya akan pulang atau terus menemaninya di situ.

“Jangan nak mengarut. Makan cepat, cepat balik,” ternyata Khairi tetap dengan pendiriannya yang tidak mahu Zuraida terlepas bebas dari pandangannya.

Then, tunggu ajelah,” balas Zuraida sambil menyedut minumannya yang baru dihidangkan pelayan restoran.

“Ni tadi kata nak makan, mana makanannya? Takkan minum air aje dah kenyang?” soal Khairi apabila melihatkan isterinya tidak mengambil sebarang makanan yang telah siap tersedia di restoran tersebut.

“Saya order makanan lainlah,” terang Zuraida ringkas. Dia sebenarnya lebih sukakan makanan yang masih panas.

“Lauk-pauk dah siap tersedia kat dalam tray tu, yang menggatal order makanan lain tu kenapa?” Khairi nampaknya tidak bersetuju dengan tindakan isterinya itu, mungkin kerana menunggu tempahan makanan siap tersedia akan membuang masa.

“Ish, saya punya sukalah! Abang tu pun sama. Yang tak order apa-apa tu kenapa? Diet? Ke dah pokai kalah judi semalam?” Zuraida sengaja menambah minyak pada api yang sedia membara di dalam diri suaminya kerana ingin menduga. Ternyata tindakannya itu menimbulkan kemarahan lelaki baran tersebut.

“Ei budak ni kan, karang aku cili juga mulut tu!”

“Cililah, berani ke tak!” sekali lagi Zuraida sengaja menduga kerana dia tahu walau semarah manapun suaminya itu, dia tetap tidak akan melakukan kekerasan terhadap dirinya. Pertengkaran antara mereka masih lagi berterusan.

Sedang mereka berperang mulut, Nisa’ yang sedari tadi menjadi penonton setia, mula ketawa terbahak-bahak dan menyebabkan mereka berdua tertanya-tanya. Serentak mereka melemparkan pandangan pada gadis bertudung litup yang sedang cuba berhenti dari terus tertawa.

“Alamak, sorry. Tak sangka yang korang ni memang pasangan yang ideal,” jelas Nisa’ dengan tawaan yang masih lagi belum tamat. Zuraida menarik muka.

“Ideal? Tolonglah! Berperang macam ni pun boleh dikatakan ideal ke, Nisa’? Tolonglah jangan mengarut ya,” pinta Zuraida yang tidak bersetuju dengan rakannya itu. Nisa’ masih lagi tertawa manakala Khairi sudah melemparkan pandangannya sekali lagi ke seberang jalan sambil berpeluk tubuh.

Tidak lama kemudian, makanan yang ditempah Zuraida dan Nisa’ tiba dihantar pelayan restoran. Khairi masih lagi membisu dan enggan makan walau dipaksa Zuraida. Setelah hampir separuh makanan telah dijamu Zuraida, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu. Segera dia meminta diri untuk ke tandas tetapi tidaklah memasuki tandas tersebut sebaliknya hanya mengintai di balik dinding. Beberapa hari yang lepas, dia ada merancangkan sesuatu. Hampir terlupa pula kerana inilah masa yang sesuai untuk melancarkan rancangannya itu. Rancangan untuk cuba menyatukan suaminya dan Nisa’.

Sedang Zuraida bersembunyi di balik dinding dan menyaksikan perilaku suaminya dan Nisa’ yang sengaja ditinggalkan berdua-duaan itu, Nisa’ hanya menikmati makanan yang dipesan tanpa mengesyaki apa-apa. Khairi juga, masih melemparkan pandangannya jauh ke seberang jalan dan diam membisu. Setelah beberapa minit, mungkin kerana bosan, dia mengeluarkan kotak rokoknya dan mengambil sebatang rokok lalu menyalakannya. Satu sedutan yang amat dalam diberikan pada rokoknya yang berjenama Pall Mall itu dan dia kemudiannya menghembuskan asap berkepul yang tebal keluar dari mulutnya. Lega, itulah yang dirasakan ketika ini, lebih lega dari menikmati makanan ketika kelaparan. Nisa’ walaubagaimanapun berasa terganggu dengan keadaan itu, serta merta dia meletakkan sudu dan garfunya di bibir pinggan. Badannya ditegakkan menghadap suami rakannya itu disertai wajah masam mencuka.

“Encik Khairi. Maaf ya? Saya harap encik boleh berhenti merokok sekarang. Ataupun encik boleh guna altenatif lain iaitu merokok di tempat lain,” selamba tapi masih sopan, Nisa’ dengan berani meminta Khairi berhenti dari mencemarkan ruang udara. Apatah lagi Nisa’ sebenarnya amat membencikan rokok. Khairi yang sedang menerawang fikirannya terus tersentak dan merenung tajam gadis mulut lancang tadi.

 “Budak-budak zaman sekarang memang berani-berani semua ya? Dengan orang lebih tua pun dah tak reti nak rasa hormat. Eh budak, aku nak merokok ke, aku nak menari breakdance kat depan kau ke, aku punya sukalah! Mind your own bussiness!” bentak Khairi kuat tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang. Walau dengan herdikan sebegitu, Nisa’ masih lagi tenang. Nisa’ meletakkan kedua-dua tangannya yang berada di pehanya tadi ke atas meja selepas mengalihkan pinggan berisi nasi goreng kampung yang sudah dimakan separuh. Wajah Khairi ditenung tajam.

I do mind my own bussiness. Sebab tu saya suruh encik Khairi berhenti merokok. Saya tak nak nanti diri saya sakit disebabkan oleh asap rokok yang dikeluarkan dari mulut kotor encik Khairi tu. Jatuh sakit disebabkan kesilapan orang lain, memang pantang nenek moyang saya,” Nisa’ semakin meninggikan suara menyebabkan beberapa pelanggan berbisik-bisik memperkatakan mereka. Zuraida pula semakin resah melihat keadaan mereka namun masih bersembunyi di balik dinding.

Khairi mengetap bibir. Jika yang bermulut lancang di hadapannya ini adalah lelaki, sudah lama diberinya makan penumbuk. Namun memikirkan bahawa yang sedang dihadapinya kini ialah seorang gadis, apatah lagi gadis itu adalah rakan baik isterinya, dipendamkan sahaja niatnya itu. Penumbuknya dikepal erat, dan dia cuba bernafas dengan perlahan-lahan. Wajah gadis itu ditenung tajam, tetapi gadis itu sedikit pun tidak goyah malah masih boleh bertenang. Makin bertambah mendidih darahnya kini.

“Zuraida! Kau nak bersembunyi balik jamban tu berapa lama? Cepat keluar dari situ, kita balik sekarang juga!”

Pelanggan dan pekerja restoran yang sedang lalu lalang berdekatan tandas memandang Zuraida dengan curiga, atau mungkin dengan perasaan jengkel. Masakan tidak, suaminya itu baru sahaja melenting, pasti sudah membuatkan mereka rasa terganggu. Dengan wajah merah padam, Zuraida segera keluar dari balik dinding dan bertemu suaminya yang masih marah itu. Tanpa sempat berkata apa-apa pada Nisa’, suaminya telah menariknya keluar dari restoran setelah membuat pembayaran makanan tanpa meminta wang baki dan berjalan pantas menuju ke arah kereta. Honda Jazz milik Khairi meluncur laju keluar dari perkarangan parkir restoran mamak tersebut dan berlalu pergi disertai wajah suram milik Nisa’ dan wajah bersalah milik Zuraida.

***
Sepanjang perjalanan, Zuraida teresak-esak. Sayu memikirkan apa yang telah terjadi, apatah lagi perkara ini berlaku kepada Nisa’, rakan baiknya. Walaupun dia sedar bahawa puncanya adalah dari diri dia sendiri namun dia tetap kecewa dengan sikap yang ditonjolkan suaminya. Dia tidak sukakan lelaki sebegitu. Betapa dia berharap mereka dapat berpisah segera supaya dia dapat kembali pada Fahmi yang sentiasa dicintai walaupun dia tahu perkara itu adalah mustahil buat masa ini. Kereta yang dipandu Khairi bergerak dengan sangat laju dan membahayakan namun Zuraida tidak memintanya untuk memperlahankan kenderaan. Jika mereka terlibat dalam kemalangan sekalipun, Zuraida sudah tidak kisah. Hatinya sudah terlalu sakit. Luluh.

Sepuluh minit berlalu, kereta yang dipandu Khairi masih lagi bergerak dengan sangat laju. Zuraida mengerling sedikit ke arah suaminya yang masih berwajah ketat. Jika ditakdirkan mereka berjodoh hingga akhir hayat, bermakna Zuraida terpaksa menghadapi situasi sebegini sentiasa. Tidak mustahil suatu hari nanti, Nisa’ akan meninggalkan dia kerana tidak tahan dengan sikap kepala angin suaminya. Rancangan menjodohkan Nisa’ dan suaminya supaya dia dapat kembali ke pangkuan Fahmi sememangnya tidak mungkin menjadi kenyataan. Gagal. ‘Kenapalah aku begitu naif?’ fikir Zuraida sendiri, dan betapa dia sudah berasa benci akan diri sendiri saat ini.

Sedang dia tersedu-sedan, tidak semena-mena Khairi yang sedang memandu itu menyerahkan kotak tisu kepadanya. Terpinga-pinga gadis itu lalu memandang wajah suaminya yang mana matanya masih kekal memandang ke arah jalan.

“Apa?” Zuraida menyoal suaminya, pendek.

“Lap hingus tu. Tak senonohlah,” balas Khairi dalam nada perlahan.

“Suka hatilah,” ujar Zuraida seraya mengalihkan pandangannya dari Khairi. Kedengaran lelaki itu mengeluh kecil.

“Abang minta maaf.”

Terkejut Zuraida setelah mendengarkan ayat yang tidak disangka-sangka akan muncul dari bibir seorang yang panas baran. Beranggapan yang dia sudah tersalah dengar, Zuraida menoleh dan memandang wajah suaminya itu dengan pandangan penuh tanda tanya.

“Pasal tadi, abang minta maaf.”


Ternyata Zuraida tidak tersalah dengar. Suaminya yang baran itu benar-benar sedang memohon kemaafan. Kenapa agaknya ya? ‘Dia sedih ke tengok aku menangis?’ Zuraida berteka-teki sendiri. Dia bagaimanapun tidak bersuara, hanya mengangguk perlahan tanda mengerti dan esakannya juga telah terhenti.

“Ambillah tisu ni, penat abang hulur,” pinta Khairi lembut. Caranya bagaikan sedang menahan baran di dalam diri, mungkin kerana masih berasa bersalah terhadap apa yang telah terjadi. Zuraida sedar akan keikhlasan suaminya, jadi tanpa membantah, dia menyambut kotak tisu yang dihulurkan Khairi dan mengesat hidungnya yang sedia berair itu dengan tisu.

“Kotak tisu ni letak kat dashboard je. Tak payahlah susah-susah hulur. Saya boleh ambil sendiri kan,” Zuraida bersuara seperti memperkecilkan pelakuan suaminya tadi. Bukan niatnya untuk mempermainkan keikhlasan suaminya itu tetapi sekadar bergurau.

“Kalau tak hulur nampak tak ikhlas,” Khairi membalas dalam nada tenang. Tidak tersangka juga kerana dia tidak terus memarahi isterinya yang sedang memperkecilkannya itu. “Dah okey?” Khairi menambah lagi. Naik hairan Zuraida melihatkan pelakuan aneh yang secara tiba-tiba dari suaminya ini namun dia tidak pula bertanya, hanya mengangguk tanda setuju.

Suasana sunyi menyelubungi pasangan suami isteri ini di dalam kereta yang meluncur laju di atas jalan raya yang sibuk. Hanya suara penyampai radio dan lagu-lagu yang berkumandang sahaja kedengaran ketika ini. Masing-masing membisu seribu bahasa, kehilangan kata-kata mungkin. Sehinggalah deringan telefon bimbit Zuraida mengejutkan mereka berdua. Zuraida segera mengeluarkan telefonnya itu dari beg tangan jenama Bonia, hadiah yang diterima ketika majlis perkahwinannya dahulu dan memeriksa butiran pemanggil yang terpapar pada kaca skrin telefonnya. Tiada nama. Namun Zuraida tahu siapakah pemanggil tersebut walau hanya melalui nombor-nombor yang terpapar. Dia tidak mengangkat panggilan itu sebaliknya hanya membiarkan telefonnya terus berdering.

“Tak nak angkat ke?” tanpa menoleh, Khairi bertanya kepada isterinya yang nampak muram serta berterusan memandang skrin telefonnya tanpa berkelip.

“Ah, tak. Tak kenal,” Zuraida berdalih. Hakikatnya dia amat mengenali siapa pemanggil itu walau tidak menghafal nombor yang tertera.

“Takut orang insuran atau orang jual barang call ke?” Khairi cuba meneka. Zuraida hanya perlahan-lahan mengangguk. “Tindakan bijak,” sambungnya lagi dan tidak bertanya lagi. Deringan telefon turut mati tidak lama selepas itu.

Kereta yang dipandu Khairi menyelusuri jalan raya yang besar sehingga tiba di suatu simpang di mana dia melalui simpang itu dan terus memasuki sebuah pasar raya besar. Zuraida terpinga-pinga kerana seingatnya tadi, suaminya itu mahu terus pulang ke rumah dan bukan melencong ke mana-mana. Wajah suaminya ditenung seketika sebelum mengutarakan persoalan yang sedia bersarang di hati.

“Kita nak ke mana ni?”

“Mana lagi? Kan papan tanda besar-besar tu tulis pasar raya.”

“Ya, saya tahulah ini pasar raya. Tapi kita nak buat apa kat sini?”

Khairi mengeluh kecil sebelum menyambung kata-kata. “Kita pergi beli barang dapur sikit. Awak juga yang bising tadi fasal makanan takde kat rumah.”

Walau Zuraida masih terpinga-pinga, wajahnya berubah kemerah-merahan. Tidak tersangka yang suaminya akan mengingati bebelannya pagi tadi. Dan tidak tersangka juga, suaminya telah berubah menjadi seorang yang sangat berbeza dalam sekelip mata. Hatinya yang membencikan suaminya itu kini mengalami dilema, dilema ya amat.

***

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)