Sunday, November 17, 2013

Teleportasi Destinasi Hakiki - Bab 3


Bab 3 – Budak Dan Kebenaran

“Sampai dah. Hm, takdelah jauh sangat rumah kau ni...” ujarku tatkala kami selamat tiba di perkarangan sebuah pangsapuri tiga tingkat.

“Terima kasih. Em, tak nak masuk ke?” ujar Angelica setelah kami berada di hadapan rumahnya yang terletak di aras dua.

“Tak payahlah. Risau kau panggil polis pula. Haha. Aku tunggu kat luar je, kau tolong ambilkan barang-barang aku ye.”

Angelica tersenyum dan mengangguk faham, lalu memasuki rumahnya yang kelihatan sunyi itu.

Tidak berapa lama setelah pintu rumah Angelica tertutup rapat, dapatku dengar satu suara yang nyaring muncul dari dalam. Kedengaran seperti suara jeritan milik Angelica. Tanpa berlengah aku terus menyerbu masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci itu, hanya untuk menyaksikan Angelica yang sedang melompat-lompat sambil mengibas-ngibas sebuah majalah secara rawak. Apa pula yang perempuan ni cuba lakukan kali ni?

“Alan, tolong! Lipas! Ada lipas terbang...ahhh!”

“Lipas kecil tu bunuh ajelah, habis cerita,” balasku bosan. Membazir je aku risaukan dia tadi.

“Aku gelilah! Kau tolonglah bunuh lipas tu. Eww!”

Majalah yang digunakan Angelica untuk menghalau lipas terbang kini tiba-tiba melayang dan tepat mengenai mukaku. Sakit jugalah, tapi hati aku ni lebih sakit. Segera aku ambil majalah nipis itu dan terus menggunakannya untuk membunuh lipas yang telah menyusahkan hidup aku tatkala ini. Dengan sekali pukulan, penyek terus lipas itu. Dah, puas hati kau sekarang perempuan?

“Em, tolong buang jauh-jauh lipas tu boleh? Ehe...”

Buat muka comel pula. Ingat muka comel tu boleh sejukkan hati aku yang tengah bengang ni ke? Jasad lipas penyek yang mana rohnya telah selamat tiba di syurga itu kuangkat dan kulemparkan ke arah Angelica. Menjerit kuatlah dia, apa lagi. Terus dia meloncat-loncat bagaikan kera kena cili. Aku yang sudah malas hendak mengambil kisah mengada-ngada si perempuan tak betul ini, terus mencapai barang-barangku yang kelihatan bersepah di lantai, berdekatan dengan kabinet televisyen.

“Aku nak balik. Bye,” ujarku pendek dan membimbit segala baranganku terus menuju ke muka pintu.

“Alan, jangan balik dulu! Ahh!”

Walau masih kedengaran Angelica menjerit-jerit akan lipas yang dah tamat riwayat itu, langsung aku tak endahkan. Tombol pintu kucapai.

“Alan, tolong!” lantang suaranya kali ini. Bingit juga telingaku sebentar.

“Ha kenapa? Ada lipas lain pula ke?” soalku malas seraya berpaling.

“Alan ya. Pengawal?”

Bulat mataku apabila melihat seorang lelaki segak bersut bersama-sama seorang lagi lelaki tegap berpakaian sut gelap kini terpacak di hadapanku entah sejak bila dan dari mana munculnya. Lelaki bersut yang bercermin mata itu memandangku tajam diiringi senyuman membencikan manakala lelaki berpakaian gelap itu pula memegang kuat kedua-dua tangan Angelica daripada bergerak. Siapa pula mereka ni dan bagaimana boleh di sini?

“Lepaskan Angelica.”

“Oh, sungguh tenang. But nope~”

“Okey, aku tukar soalan. Apa yang kau nak dengan Angelica?”

Lelaki itu tersenyum. Dia kemudiannya melangkah menuju ke arah Angelica yang sedang dikawal rapat.

“Apa yang aku nak...” ujarnya sambil memegang dagu Angelica. Gadis itu meronta namun tiada hasil. Aku pula masih terpacak di tempatku. “...cuma nak bawa Angelica ke kelas.”

“Oh. Kau ni, Prof. James ke?” Lelaki itu tersenyum tanda setuju. Aku menyambung bicara, “kalau camtu, Prof paksa je la. Budak tu kata dia tak mau pergi kelas.”

“Begitu ya, Angelica? Kamu memang budak nakal,” ujar Prof James sambil tersengih memandang gadis yang masih berwajah serius itu.

“Tak nak! Alan! Tolong aku! Dia ni dah tak betul! Dia akan paksa aku...”

Sebelum sempat Angelica menghabiskan ayat-ayatnya yang mendebarkan itu, satu tamparan kuat diberikan Prof James tepat hinggap di pipi gebunya. Terlalu kuat hinggakan aku boleh nampak beberapa titis darah memercik daripada bibirnya. Wah, ini dah terlalu kejam!

“Hei, kalau pun dia tu suka ponteng kelas kau, tak payahlah sampai pukul anak orang macam tu sekali! Kalau aku ni bapa dia, aku marah tahu!”

Suasana sepi beberapa saat sambil Prof James membetulkan cermin matanya yang kelihatan senget sebelum dia membuka bicara semula.

“Hans, jom.”

Sejurus selepas Prof James mengutarakan ayat terakhirnya, tanpa mengendahkan apa yang aku bebelkan tadi, dia dan lelaki tegap bersut gelap bernama Hans itu, dan bersama-sama Angelica, dengan sekelip mata tiba-tiba lenyap dari pandangan. Hilang, tanpa sebarang kesan. Terkebil-kebil aku ketika ini. Apa yang sedang terjadi sebenarnya ni? Aku sedang bermimpikah?
***

Aku ke hulu ke hilir di dalam bilik kosong milik gadis yang hilang secara misteri bersama-sama dua orang lelaki asing sebentar tadi, sambil cuba berfikiran rasional. Aku menyusun kembali memori aku yang semacam berkecamuk ini. Okey, tadi aku dari rumahku menuju ke rumah Angelica untuk mengambil kembali barang-barangku yang tertinggal di sini. Aku kemudiannya memasuki rumahnya kerana si Angelica itu menjeritkan lipas. Tak lama selepas itu, ada dua orang lelaki yang tak tahu dari mana munculnya tiba-tiba muncul dan hilang bersama Angelica. Hilang, macam tu je. Perkara inilah yang telah membuatkan otakku buntu. Mistik betul. Namun jika nak difikirkan, perkara ni sudah boleh diterima akal setelah eksperimen yang dilakukan atas paksaan Angelica tengah hari tadi, sebelum kami ke sini. Jadi adakah ini bermaksud, kedua-dua lelaki tadi turut mempunyai kebolehan teleportasi seperti akulah ya?

Dah lama macam ni baru boleh faham. Otak, kenapa kau jadi lembab? Ah, marahnya aku dengan diri sendiri! Okey, aku dah boleh fikir secara rasional sekarang. Ertinya, tugasan aku sekarang ni adalah pergi selamatkan Angelica kerana orang yang menculik dia tadi tu nampak seperti merbahaya. Akan tetapi, persoalannya sekarang ni adalah, bagaimana?

“Benda senang macam ni pun kau tak boleh selesaikan ke? Kenapa, produk kesihatan yang kau jual tu dah hilang kesan?”

Satu suara asing muncul dari arah pintu. Suara itu, macam pernah didengar di mana-mana, namun pemilik suara itu adalah seorang yang tidak dikenali.

“Kau, siapa?” soalku pada pemilik suara yang kelihatan seperti seorang budak belasan tahun.

“Siapa? Helo, takkanlah kau boleh lupakan aku senang-senang je?”

Dahiku berkerut. Pernahkah aku berjumpa budak ini di mana-mana? Salah seorang pelangganku ke?

“Er, maaflah. Pelanggan aku ada ramai, susah juga nak ingat muka semua orang...”

“Hei, aku tak inginlah makan produk kau tu! Entah berkesan tidak!”

“Hei kau, cakap tu elok-elok sikit ya! Produk yang aku jual ni terbukti keberkesanannya okey! Kalau kau tak percaya kau boleh tengok testimonial ni!” aku segera mencapai fail kulit kerasku yang berisi pelbagai komen membina dari pelanggan-pelangganku dan menunjukkannya tepat pada muka si budak yang agak biadap itu.

Sayangnya si budak itu menepis kasar failku dengan mimik muka penuh tidak berminat. “Kau ni, memang betul-betul dah tak ingat ke?”
         
“Nak aku ulang seribu kali lagi ke? Aku kata tak ingat kau, tak ingatlah!”

“Bermaksud, perihal ketika di Pheriphorinal tempoh hari pun kau dah lupa ke?”

Dahiku berkerut sekali lagi. Apa kejadahnyalah pula Periperi tu? “Aku tak faham apa maksud kau...”

“Hah, side effect. Never mind. Yang penting sekarang ni, kita kena kejar Prof James. Dan selamatkan si perempuan kau tu sekali.”

“Aku tak tahu diorang dah ke mana. Diorang teleport tadi. Dan ah, perempuan tu bukan perempuan aku.”

“Kau ingat pula fasal teleport! Reti guna tak?”

Aku menggaru-garu kepalaku. Makin bercakap dengan budak ni, makin pening pula aku dibuatnya. “Aku tahu sebab terguna secara tiba-tiba. Kau tahu ke macam mana kuasa ni boleh muncul?”

Budak itu tersenyum. “Kita akan ada banyak masa lepas ni. Sekarang ni, yang penting adalah kita kejar mereka.”
***

“Jake Nillthompson. Selamat bertemu kembali, Alan Hawkes.”

“Er, selamat bertemu kembali walaupun aku tak ingat mana aku jumpa kau, hehe,” ujarku dengan sengihan sambil menyambut salam perkenalan yang dihulurkannya. Kami meneruskan perjalanan kami selepas itu.

“Arah tujuan kita ni ke mana sebenarnya?” soalku ketika kami bersesak-sesak di stesen monorel. Jake mendengus kuat. Menyampah pula aku dengan perangai dia ni.

“Tak kanlah sikit pun kau takde klu? Cuba fikir dalam sikit.”

Jawab je soalan aku tu kan senang. Lagi nak suruh aku fikir-fikir pula. Besar kepala betul budak ni.

“Universiti tempat Angelica belajar...kot?” telahku.

“Ha, bijak pun. Baru berkesan ke produk kesihatan kau tu?”

Eh budak ni, dari tadi asyik memperlekehkan produk jualan aku je. Kalau keadaan sekarang ni tak terlalu sesak, memang aku dah pijak kau, budak!

“Hei, bukan ke lagi senang kalau kita gunakan kuasa kita dari bersesak-sesak macam ni,” aku melontarkan pertanyaan kerana berasa susah menaiki tren ketika waktu puncak seperti sekarang. Sudahlah aku ajak naik motor je tadi dia tak mahu.

Berkerut dahi Jake tatkala aku mengutarakan pendapat yang kukira bernas itu. “Jangan cakap kuat-kuat pasal benda tulah! Kau nak mati cepat?” bentak Jake dengan suara yang sengaja diperlahankan. Matanya juga meliar, memandang sekeliling.

“Kenapa tak boleh?”

“Nanti aku beritahu. Buat masa sekarang, kau ikut je apa yang aku suruh.”

Ah, berlagaknya budak ni. Sudahlah, malas hendak terus bertelagah dengan budak tak matang ni. Lagipun sekarang ini yang penting adalah misi menyelamatkan Angelica.
***

Setibanya kami di perkarangan universiti yang sangat gah itu, aku terkaku kagum. Ah, cemburunya. Aku tak pernah dapat menjejakkan kaki ke universiti kerana keluargaku hanya mampu membiayai pelajaranku hingga di peringkat sekolah tinggi sahaja. Teringin nak belajar di universiti, namun apakan daya. Umur pun dah lanjut.

“Yang kau tercengang lagi kenapa? Cepatlah!”

Rasa nak tonjol je kepala budak ni. Sabar Alan, sabar. Akan tiba suatu hari nanti, mungkin. Aku terus sahaja mengekori si budak itu yang entah ke mana arah tujuannya.

Setibanya kami berhampiran sebuah bilik yang tersorok jauh, Jake berjalan terhendap-hendap. Lagaknya macam ninja. Ninja pendek.

“Hei, kau yakin ke mereka ada di sini?”

“Shhhh!” Jake menyeringa ke arahku sambil meletakkan jari telunjuknya di bibirnya. “Diamlah!” tambahnya lagi.

“Okey, mereka ada di dalam bilik ni bukan? Jadi apa plan kita seterusnya?” ujarku separa berbisik.

“Aku tak pasti kalau mereka ada dalam bilik ni, tapi aku yakin mereka ada.”

“Hoi, pernyataan kau ni bercanggahlah! Jangan buat orang pening boleh?”

“Shhhhh!”

Aku membiarkan sahaja apa yang dilakukan Jake. Dia berterusan terhendap-hendap pada bilik tersebut manakala aku duduk mencangkung sambil mendagu, menyaksikan lagak ninja pendek itu yang entahlah apa rancangannya.

“Alan, sini! Aku ada rancangan!” ujar Jake separa menjerit. Tadi bukan main suruh orang diam, sekarang dia pula yang buat bising. Aku berjalan membongkok kerana Jake memintaku jalan seperti itu atas alasan tidak mahu penjahat-penjahat sekalian menyedari kehadiran kami di situ. Apa-apa sahajalah.

“Aku nak kau masuk ke dalam, tangkap Angelica, dan teleport keluar dari sini.”

“Okey, bunyi macam senang, senanglah sangat. Habis, kau buat apa?”

“Aku tunggu di sini. Kalau keadaan makin merbahaya, aku akan panggilkan polis. Okey?” ujar Jake sambil menunjukkan isyarat bagus.

Laju sahaja jariku menonjol kepala si budak pendek ni. Rancangan jenis apa ni? Baik dari tadi terus serbu masuk, tak payah buang masa nak menghendap-hendap. Apalah.

Aku bangkit, menuju ke pintu, dan membukanya. Tak tahulah ada berapa orang penjahat di dalam bilik ni, atau betulkah telahan si pendek tu tentang kewujudan mereka di sini, terus sahaja aku masuk ke dalam bilik itu. Dan tatkala aku sudah berada di dalam bilik itu, aku menjadi saksi kepada sesuatu di luar dugaan.

“Pfft. Hahahahahahahahahaha!” Dengan kuatnya aku ketawa hingga mengejutkan mereka yang berada di dalam bilik itu, termasuk Angelica.
         
“Alan, berhenti ketawa! Tolong aku cepat!” pinta Angelica yang sedang dalam posisi yang sungguh melucukan. Dia berpakaian badut, lengkap dengan hidung merah dan rambut berwarna-warni, sambil memegang bola plastik tiga warna, dan berdiri dengan satu kaki. Kelihatan juga seseorang sedang beraksi seperti jurukamera dan sebagai pengarah model, manakala Hans berdiri sambil memegang alat pencahayaan dan Prof James pula duduk di sebuah kerusi, memerhatikan mereka.

“Hahaha, ni nak masuk pertandingan ke bergambar lucu macam ni? Nanti dah siap bergambar, bagi aku satu salinan ya. Hahaha!”

Aku berterusan ketawa sehinggalah aku terasa seperti ada sesuatu yang tajam melintasi pipiku. Seraya itu aku berhenti ketawa dan menoleh ke belakang. Kelihatan satu pisau jenis lipat bersaiz kecil tercucuk di dinding. Aku memalingkan mukaku menghadap mereka semua, ke arah Prof James terutamanya.

“Macam mana kau boleh berada di sini?”

“Macam mana? Naik trenlah,” balasku pendek. Bukan berniat untuk melawak tapi hanya bertindak jujur.

“Hans, ikat dia.”

Eh, kenapa mereka macam marah pula ni? Okey, aku tak sempat melarikan diri sebab si Hans ni nampak je badan dia besar, tapi bergerak pantas juga. Dan sekarang ni, setelah siap diikat, aku dibiarkan duduk di tepi dinding, memerhatikan gerak-geri mereka.

“Gigih betul kau datang sini semata-mata untuk selamatkan gadis ni. Kenapa, ada terima apa-apa bayaran ke?”

“Takde. Aku datang ni sebab aku adalah pejuang keadilan,” selorohku. Tak perlulah aku nak berterus-terang bukan?

“Ni aku nak tanya. Yang kamu semua susah-susah rakam gambar lucu si Angelica ni kenapa?”

“Kau soal macam ni, maknanya kau tak tahu siapa perempuan ni bukan?”

“Siapa? Dia Angelicalah.”

“Sudah, abaikan dia. Teruskan tugasan kamu semua. Kita masih ada banyak lagi kostum untuk diragakan.”

Aku memerhatikan kostum yang dikatakan Prof James itu tadi. Ada...banyaknya! Namun mataku tertancap pada satu jenis kostum.

“Hei, itu bukan bikini ke? Jarang pula tu.”

Prof James tersenyum. “Apa masalahnya?”

Ya, aku dah faham sekarang ni. Lelaki ini memang seorang yang merbahaya. Melihat Angelica meronta-ronta enggan dirinya diambil gambar dalam keadaan yang memalukan itu, semakin menebal hajatku untuk menyelamatkannya. Sekarang aku perlukan rancangan.

“Baiklah, jangan mengecewakan aku ya kali ini,” gumamku sendirian dan bersedia untuk bertindak.
***

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)