Bab 1 - Permulaan Segala Kegilaan
Namaku Alan. Berusia 24 tahun. Bekerja sebagai
jurujual barangan kesihatan. Pada pukul tujuh pagi setiap hari, aku akan keluar
dari pangsapuri tempatku menyewa dan akan memulakan kerja mempromosi barangan
kesihatan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain dengan menggunakan
motorsikal cabukku. Ya, kehidupanku normal, sama seperti kamu semua. Seharusnya
pada hari ini, diari harianku adalah sama seperti hari-hari yang lain. Namun
aku hairan, mengapa sekarang aku boleh berada di sini? Dengan darah pekat
membasahi dahiku, sebelah mataku turut lebam dan badanku terdapat luka di sana
sini, selain itu seluruh badanku turut berasa sakit. Dan aku ketika ini, sedang
terjelepuk di lantai kerana kesakitan dan kebingungan. Masih jelas lagi dari
ingatanku yang kuat ini, sebentar sahaja tadi aku melangkah keluar dari muka
pintu rumahku. Tanpa sempatku mengunci pintu, sesaat kemudian aku sudah pun
berada di sini.
“Lebih baik kau beritahu aku sekarang, apa tujuan
kau datang ke sini?”
Suara itu, muncul dari seorang gadis yang tidak
kukenali. Gadis ini berkulit cerah, berambut blonde diikat tocang, berketinggian sederhana, bercermin mata
berbingkai separa, dan hanya sehelai baju sejuk separa panjang dan seluar
pendek menutupi badannya. Di tangannya terdapat sebatang kayu golf, dipegang
erat dan dihalakan tepat ke arahku.
“Lagi sekali aku tanya, apa kau nak hah?” kali ini
suaranya ditinggikan. Aku tergamam, tidak tahu apa yang patutku jawab
memandangkan aku sendiri bingung.
Mungkin aku patut imbas kembali apa yang terjadi sedari
aku bangkit dari tidur pagi tadi...
***
Tepat pukul enam pagi, jam loceng yang kuletakkan
di meja sisi katilku berdering. Hari ini aku masih perlu bekerja seperti biasa
demi menyara diri sendiri dan juga keluargaku di kampung. Aku bangkit dari
tempatku beradu, mencapai tuala yang tersidai rapi di rak yang letaknya di tepi
tingkap, dan melangkah masuk ke bilik air untuk mempersiapkan diri. Usai
bersiap, aku melangkah pula ke dapur. Tanganku lincah sahaja mencapai dua
keping roti kosong dari bungkusan dan meletaknya di dalam pembakar roti. Sambil
menanti roti itu siap dibakar, aku membancuh segelas kopi, dan menghidupkan
televisyen. Berita hari ini tiada yang menarik perhatianku, sama sahaja seperti
hari-hari yang lain. Kisah ahli politik yang berbalah antara satu sama lain,
kes penculikan kanak-kanak, kes wanita dirogol dan dibunuh, setiap hari ada
sahaja kes sebegini. Entahlah apa akan terjadi pada dunia zaman sekarang,
sememangnya tidak selamat lagi. Setelah mendengarkan bunyi pembakar rotiku yang
sudah selesai menjalankan tugasannya untuk hari ini, aku mengambil sebotol jem
coklat dari peti sejuk untuk disapu di atas roti bakar tadi. Coklat,
sememangnya kegemaranku. Aku menikmati sarapan pagiku sendirian, di dalam rumah
sewaku di sebuah pangsapuri kos sederhana yang terletak di pinggir pusat
bandar.
Mungkin kerana produk kesihatan jualanku yang
turut aku gunakan membuatkan aku tidak terus pengsan setelah diserang
sedemikian rupa. Walaupun luka di dahiku ini agak dalam dan dengan darah pekat
masih mengalir deras, aku masih boleh bertenang dan tidak pengsan. Bagus betul
produk jualanku ini, memang sangat disarankan penggunaannya. Namun luka dialami
aku atau produk kesihatan bukan menjadi masalah sekarang ini, tetapi keadaan
aneh yang sedang dialami aku ini sepatutnya dirungkai permasalahannya. Gadis
yang sedang berang ini, nampaknya kini berjalan perlahan-lahan ke arahku.
“Kau ni tak faham bahasa manusia ke? Atau kau ni
sebenarnya makhluk asing?” soalan ini diajukan kepadaku. Aku tidak pasti,
adakah rupaku sekarang ini seperti rupa makhluk luar dari Bumi?
“Aku...manusia,” antara sedar atau tidak terpacul
ayat ini untuk menjawab pertanyaannya tadi.
“Dan kau ada berniat jahat terhadap aku juga
bukan?” soalan ini aku tidak pasti akan jawapannya jadi aku hanya mendiamkan
diri dalam kebingungan.
“Mungkin adalah lebih baik jika aku terus
melaporkan hal ini pada polis,” tutur gadis ini tenang dan segera berpaling untuk
mengambil telefon bimbitnya yang terletak di atas katil. Mendengar perkataan
polis, fikiranku yang buntu tadi menjadi aktif. Segera aku bangkit dan
menghalangnya dari mencapai telefonnya itu. Gadis ini yang terkejut dengan
tindakanku ingin segera menjerit namun bingkas aku menutup mulutnya dengan
telapak tanganku.
“Tak, aku bukan orang jahat. Aku tak ada niat pun
nak apa-apakan kau. Hakikatnya aku sendiri tak tahu kenapa dan bagaimana aku
boleh berada di sini,” jelasku panjang lebar. Gadis ini nampaknya masih tidak
percaya akan kata-kataku. Dahinya berkerut, badannya meronta-ronta minta
dilepaskan, dan sesekali cubitan halus diberikan kepadaku. Tidak tahan menahan
kesakitan kerana cubitan itu, aku melepaskannya namun masih cuba
menenangkannya.
“Aku minta maaf sangat-sangat sebab dah
terkejutkan kau macam ni. Aku akan segera keluar dari sini, tapi aku harap kau
jangan beritahu sesiapa sebab aku sendiri pun tengah bingung ni,” lembut aku
cuba memujuk gadis yang masih marah ini. Tidak pasti jika pujukan aku ini
berjaya atau tidak.
“Dah masuk rumah orang tanpa kebenaran, masih
berani lagi nak pertahankan diri? Memang patut pun aku laporkan pada pihak
polis!” bentaknya keras dan ingin mencapai semula telefon bimbitnya yang masih
lagi berada di atas katil. Namun tindakannya tidak pantas apabila aku berjaya
merampas telefon itu dan segera berlari ke arah pintu. Fikirku ketika ini,
adalah lebih baik jika aku melarikan diri dari terus berperang mulut yang
pastinya tiada kesudahan.
Tatkala aku ingin melangkah keluar, perkara yang
terjadi tadi berlaku lagi. Dengan sekelip mata, aku kini sudah berada di dalam
ruang tamu rumah sewaku. Hairan. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Adakah aku
bermimpi? Jika ya, masakan dahiku masih lagi penuh dengan kesan darah dan
luka-luka dipukul kayu golf tadi masih lagi kekal di badanku. Dan yang paling
penting, tergenggam erat di dalam genggaman tanganku kini adalah telefon bimbit
milik gadis yang baruku temu tadi.
***
“Angelica, jika kamu tidak hadirkan diri dalam
kelas saya hari ini, saya tak akan menjamin keputusan peperiksaan akhir kamu
nanti. Jika kamu tak kisah mengulang kelas, sila lakukan saja apa yang kamu
kehendaki. –Prof. James.”
Satu pesanan ringkas tiba pada telefon bimbit
milik gadis yang aku jumpai secara misteri pagi tadi. Sekarang sudah pun tengah
hari, aku masih berada di rumah. Aku membuat keputusan untuk bercuti sahaja
pada hari ini memandangkan lukaku agak serius dan juga atas nasihat doktor yang
mencadangkanku berehat untuk sepanjang hari. Barang berkaitan kerjaku juga
telah tiada, barangkali tertinggal di bilik gadis tadi. Berkaitan pesanan
ringkas tadi, bukan aku sengaja ingin membaca maklumat orang lain, tetapi aku
secara tidak sengaja telah tertekan butang baca di telefon bimbit gadis itu. Serius.
Berdasarkan pesanan ringkas tadi, dapatku tahu gadis yang kutemui pagi tadi
bernama Angelica. Nama yang indah, fikirku. Wahai Angelica, aku masih
tertanya-tanya bagaimana aku boleh berada di bilik kamu secara tiba-tiba?
Adakah kamu terlalu sunyi dan memerlukan seseorang bagi menemanimu hingga
secara luar kesedaran telah memanggilku datang dengan cara mistik? Ah, zaman
sekarang zaman moden. Mana mungkin terjadi perkara mistik sebegini.
“Ding dong~”
Kedengaran loceng rumahku berbunyi. Oh, barangkali
piza yang dipesan olehku sudah tiba. Cepat juga, tidak sampai lima belas minit.
Hendak memasak terasa malas. Aku segera bangkit dari sofa empuk tempat aku
merehatkan diri dan melangkah menuju ke muka pintu. Selamat datang piza, aku
sudah kelaparan. Setelah pintu dibuka, yang berada di hadapan muka pintuku kini
adalah seorang wanita. Wah, kagum sungguh. Sekarang wanita pun ada yang menjadi
penghantar piza ya. Namun anehnya, wanita itu tidak membawa sebarang beg atau
bekas yang berisi piza, hanya sebuah beg tangan dibimbitnya. Ketikaku
kebingungan, kami bertentang mata.
“Kita bertemu kembali, Encik Alan Hawkes.”
Tanpa sempat untukku berfikir, apatah lagi untuk
bertindak, dengan pantas wanita ini menolakku masuk ke dalam rumah dengan
kasar. Walaupun tolakan itu dilakukan oleh tenaga seorang wanita, namun impak
yang terhasil masih boleh membuatkan aku terjelepuk di lantai hingga
menyebabkan punggungku terasa sakit. Aku menggosok-gosok punggungku yang
kasihan ini sebelum memandang ke arah wanita kasar tadi dengan pandangan yang
penuh amarah. Wanita itu pula, tanpa dipinta, dia mengunci rapat pintu rumahku.
“Hei, kau ni siapa? Apa kau nak hah?” dalam posisi
masih terduduk di lantai, aku melontarkan pertanyaan ini terus kepada wanita
aneh itu.
“Masih berpura-pura. Sepatutnya akulah yang
bertanyakan kau soalan.”
Aku kehairanan. Pernahkah aku berjumpa dengan
gadis cantik sebegini di mana-mana? Wajahnya aku teliti rapi. Wanita ini
berambut lurus dan panjang bewarna blonde
yang disikat rapi. Dia memakai cekak rambut bewarna merah di mana juntaian
rambut di dahinya dilepaskan. Dia juga berkulit cerah seperti salji namun
wajahnya kemerah-merahan sedikit, mungkin kerana sekarang ini musim panas.
Tatkala aku melihat tahi lalat yang terletak di bawah bibir kanannya, sepantas
kilat aku berdiri dan terus kaget.
“Kau, kau yang pagi tadi!” aku separa menjerit.
Wanita itu tersenyum sinis.
“Ya, akulah orangnya yang kau dah cuba rogol pagi
tadi.”
Rogol? Bila masa pula aku menjadi seorang yang
terlalu terdesak sehingga sanggup melakukan jenayah sebegitu? Aku perlu
membidas tohmahan yang telah sesuka hati dilemparkan wanita ini.
“Hei, walaupun aku masih lagi tiada teman wanita,
tak bermaksud yang aku ni terdesak hingga mahu merogol perempuan tidak
dikenali!”
“Menipu! Kau memang berniat begitu! Kalau tak,
masakan kau boleh berada di rumah aku dengan muka tak bersalah!”
“Kan aku dah kata, aku sendiri pun tak pasti
dengan apa yang dah terjadi. Boleh tak kau jangan buat andaian sendiri sebelum
aku fahami apa yang dah terjadi?”
Walau berulang kali aku memintanya untuk
bertenang, nampaknya dia masih lagi enggan berbuat demikian. Suaranya juga
semakin lama semakin dikuatkan. Risau juga aku jika jiran-jiranku terdengar
pertengkaran kami, apa pula yang difikirkan mereka. Aku perlu berbuat sesuatu.
“Baiklah. Begini, Cik Angelica. Sebagai menebus
kesalahan saya, saya akan cuba tunaikan satu permintaan dari cik. Tapi jangan
minta wang pula ya sebab saya ni bukannya kaya-raya,” pintaku lembut. Semoga
hatinya yang keras itu dapat dilembutkan dengan kesopanan aku ini. Dia terdiam.
Kami bertentang mata beberapa saat sebelum dia bersuara semula.
“Okey. Kalau kau setuju untuk ikut aku ke balai
polis, aku boleh lupakan hal ni.”
“Selain daripada itu, Cik Angelica,” potongku. Aku
begitu tidak mahu meringkuk di dalam penjara di atas perkara yang aku sendiri
tidak mengerti apa yang telah terjadi. Ternyata penolakan permintaannya itu
telah menimbulkan kemarahan darinya. Wajahnya kini berubah semula menjadi
berang. Dalam masa yang sama juga kedengaran bunyi loceng pintuku. Piza yang
ditempahku tadi mungkin sudah tiba.
“Hei kau, kau tolong duduk diam-diam dulu sekejap
sementara aku pergi ambil piza aku tu ya,” pintaku sekali lagi. Betapa aku
berharap agar dia tidak membuat bising seperti menjerit secara tiba-tiba
tatkala seseorang tidak berkaitan melihat keadaan kami begini. Sudah tentu aku
akan dianggap sebagai penjahat serta-merta kerana wanita adalah kaum yang lemah
walaupun jika hakikatnya merekalah punca angkara sesuatu perkara.
Namun takdir suka mempermainkan diriku. Bukan
sekali dua aku terkena tetapi sudah berkali-kali. Apa yang aku ingini adalah
amat sukar untukku kecapi tetapi apa yang aku ingin elakkan senang sahaja aku
perolehi. Dan itulah yang sedang berlaku ketika ini. Tatkala aku ingin
melangkah ke muka pintu untuk menerima piza yang telahku tempah, ketika itu
jugalah gadis yang bernama Angelica ini menjerit sekuat-kuatnya tanpa
kumengerti apa sebabnya. Aku kaget. Segera aku berpaling dan menekup mulutnya
dengan telapak tanganku, sama seperti yang aku lakukan padanya pagi tadi dan
memintanya bertenang. Malang sekali, dia enggan. Dia masih berdegil dan
meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada aku yang sedang menekup mulutnya
dan mencengkam erat tangannya dari melarikan diri. Deringan loceng pintu
berbunyi sekali lagi. Aku sedar yang aku perlu segera bertindak untuk melakukan
dua perkara; menerima piza tempahanku yang sudah tersedia di depan pintu, dan
menenangkan gadis histerik yang masih meronta-ronta di hadapanku.
Sedang aku pecah kepala memikirkan apakah cara
yang patutku lakukan di samping berhempas-pulas beradu tenaga dengan Angelica,
perkara mistik berlaku untuk kali yang ketiga pada hari ini. Kami yang berada
di ruang tamu tadi kini dipindah ke bilikku secara tiba-tiba. Lebih
menghairankan adalah kedudukan kami dari arah siling menghadap ke lantai. Atas
tarikan graviti, kami berdua terus terjatuh ke bawah. Nasib baiklah kami
terjatuh di atas katil empukku, jika atas lantai marmar bilikku itu pasti akan
terasa lebih sakit. Walaupun yang akan berasa lebih sakit adalah Angelica dan
bukannya aku. Eh, Angelica?
“Aduh...” Angelica mengadu kecil. Mendengar
suaranya baruku sedar akan kedudukan kami. Rupanya dia sedang terbaring di atas
katil manakala aku pula menimpanya.
“Ah, aku minta maaf!” ujarku lalu segera bangkit
dengan wajah merah yang padam. Namun dia tidak memberikan sebarang reaksi.
Wajahnya kelihatan terpinga-pinga dan dia masih lagi terbaring tanpa sebarang
gerakan.
Loceng pintuku berbunyi lagi untuk kesekian kali
dengan deringan yang agak lama. Mungkin penghantar piza telah bosan menungguku
yang masih tidak kunjung tiba. Maafkan aku penghantar piza. Aku tahu yang kamu
masih mempunyai banyak lagi destinasi untuk dituju. Namun ada perkara gila yang
terpaksa aku hadapi sekarang ini. Melihatkan si Angelica ini masih terdiam, aku
bangkit dari katil dan berlari-lari anak menuju ke muka pintu.
“Ah, buka pun. Ingat takde orang tadi,” ujar
penghantar piza sejurus selepas pintu rumahku terbuka. Aku tersengih. Betapa
dia tidak tahu yang aku sudah hampir menjadi gila dan kepenatan ya amat
sekarang ini.
Sedang aku memeriksa piza yang dihantar, aku
dapati si penghantar piza ini mengerling ke dalam rumahku dan seketika kemudian
wajahnya berubah. Segera dia meletakkan kedua-dua tangannya ke bahuku dan
memandangku tajam.
“Maafkan saya kerana mengganggu. Dan semoga
berjaya,” katanya dengan senyuman dan terus berlalu pergi setelah
menghadiahkanku isyarat jari bermaksud bagus. Aku termangu-mangu, tidak mengerti
apa yang dimaksudkannya. Dengan hairan, aku menoleh ke dalam rumahku. Betapa
terkejutnya aku apabila mendapati si gadis yang aku tinggalkan di bilik tadi
sedang tegak berdiri di tengah ruang tamu dalam keadaan yang mengghairahkan.
Rambutnya yang tersisir rapi tadi kini kusut-masai, blouse yang dipakainya sudah terlondeh sedikit di bahagian bahu
kiri, manakala skirt pendek paras
lutut yang dipakainya pula sudah semakin pendek. Melihat keadaan itu,
serta-merta aku menjerit dan menutup pintu dengan kuat hingga berdentum
bunyinya. Lantaklah jika ada yang mati kerana terkejut akan bunyi pintu rumahku
ini kerana aku tidak mahu ada lagi orang yang salah faham.
“K...ka...kkau...kau buat apa? Betulkan baju yang
kau pakai tu segera!” kataku dengan wajah merah padam. Kepalaku juga terasa
berpinar. Degupan jantungku juga berdegup laju. Selama 24 tahun hidupku, tidak
pernah sekalipun aku mempunyai teman wanita, apatah lagi membawa gadis
sebarangan ke dalam rumah. Adik-beradik perempuan pun tak pernah ada.
Berhadapan situasi sebegini, mana mungkin aku boleh bertenang.
Malangnya, gadis yang bernama Angelica ini
langsung tidak mengendahkan permintaanku tadi. Dia berjalan menghampiri aku.
Entah kenapa, aku melangkah setapak ke belakang. Seperti menakutkan pula
tindakannya kini. Tatkala dia sudah berdiri tegak di hadapanku, deras dia
mencapai kedua-dua tanganku yang masih memegang kotak berisi piza dan digenggam
erat.
“Hei, tadi tu, tadi tu apa?” soalnya dengan wajah
seperti seseorang yang sedang mengagumi sesuatu.
“Er, piza...” kataku sambil mengajukan kotak piza
ke mukanya. Kepalaku masih terasa berpusing-pusing.
“Bukan tulah,” balasnya sambil menolak kotak piza
ketepi sebelum menyambung semula. “Tadi tu, macam mana kau buat sampai kita
boleh beralih sekelip mata ke bilik?” ujarnya dengan mata yang bersinar-sinar.
“Er, aku pun tak tahu nak cakap macam mana...”
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)