“Tit! Tinininit! Tinininit!”
Dengan mata yang masih terpejam, sambil teraba-raba, aku memaksa diri
mencari dan menutup bunyi menjengkelkan yang tidak pernah sekalipun gagal
membuat bising setiap pagi. Selesai melenyapkan bunyi bingit itu,
perlahan-lahan mata sembabku dibuka. Keadaan di luar tingkap sudah kelihatan
cerah. Hari ini aku masih perlu ke sekolah. Beratnya rasa hati, terasa ingin
ponteng sahaja. Namun memikirkan bahawa tinggal beberapa bulan sahaja lagi
untuk menghadapi peperiksaan besar SPM, kecut perut pula dibuatnya. Aku segera
bangkit namun aku duduk seketika sambil menggaru-garu kepalaku yang tidak
berapa gatal. Malam tadi terasa panjang, namun dalam masa yang sama, juga terasa
pendek. Aku patut berterima kasih pada Arisa, pagi ini fikiranku terasa tenang.
Setelah sekian lama aku memendam rasa tanpa ada sesiapa yang ingin membantuku,
hanya satu malam sahaja yang diperlukan untukku menjadi tenang sebegini, atas
jasa Arisa. Oh ya, malam tadi aku terus terlelap setelah penat menghamburkan
air mata yang setia terkandung selama dua tahun, terlupa pula di mana Arisa
sekarang ini? Aku melihat di serata bilik, tiada langsung kelibatnya. Lucu. Itu
sudah pasti, masakan seorang gadis boleh tidur sebilik dengan lelaki sepertiku.
Besar kemungkinan dia tidur di bilik Nisya yang sentiasa kosong itu. Jika
benar, apa yang sedang dilakukannya sekarang? Sudah bersiap-siapkah?
Ah...banyak pula persoalan yang sedang berlegar-legar di mindaku. Apa susahnya,
bangkit sahaja dan terus saksikan dengan mata kepala sendiri.
“Ibu, Arisa mana? Dah balik ke?” tuturku pada ibuku yang sedang sibuk
menyiapkan sarapan di dapur. Namun pertanyaanku hanya dibalas dengan renungan
tajam ibuku yang disertai kerutan di dahinya. Aku kehairanan.
“Wah, teruknya leher abang! Abang kena gigit dengan semut ke?” kali ini
pertanyaan Nisya pula yang menimbulkan tanda-tanya. Seingat aku, bilikku tiada
semut. Terasa sakit digigit pun tiada. Aku hanya mengerutkan dahi atas
pertanyaan aneh adikku tadi. Ibuku pula, bingkas menuju ke arahku dan
merenungku tajam. Eh, dah kenapa ni? Macam buat salah besar pula.
“Astaghfirullah al-azim... Fazri! Apa yang kamu buat malam tadi? Sampai
penuh leher kamu dengan cap mohor ni? Siapa Arisa tu? Dah buat tak senonoh,
lagi selamba je tanya mana kekasih gelap kamu tu pergi? Fazri, jawab apa ibu
tanya ni! Dah buat tak senonoh jangan buat-buat lupa pula! Ke kamu mabuk malam
tadi?”
Aku kaku. Hairan. Pelik. Tidak mengerti apa yang sedang berlaku sebenarnya.
Kenapa ibuku boleh lupa siapa Arisa? Tidakkah semalam bukan main ibuku
melayannya bak puteri raja? Dan yang paling menghairankan, apa yang ibuku
maksudkan dengan cap-cap mohor di leherku? Dalam kehairanan, dan dengan bebelan
kuat ibuku masih lagi kedengaran, aku segera mengurung diri di dalam bilik air.
Segera melihat di cermin apa yang sebenarnya terjadi pada leherku dan...tidak
dapat aku ungkapkan dengan kata-kata. Leherku penuh dengan kesan gigitan
manusia! Ini Arisa punya kerjakah? Tapi seingat aku, malam tadi tiada apa-apa
yang berlaku antara kami! Jadi ini apa? Mengapa? Ahh! Fikir pun tak guna. Lebih
baik aku segera bersiap dan mendapatkan jawapan daripada si Arisa itu sendiri!
Dengan bebelan bingit dari ibuku yang masih tidak henti-henti menerjah ke
telingaku, aku segera bersiap, tidak dilupakan juga untuk membalut leherku ini
dengan pembalut luka, dan tanpa menjamah sedikitpun sarapan pada pagi itu, aku
terus meluru keluar dan menuju ke sekolah.
***
Sememangnya hari ini adalah hari yang amat aneh. Sehinggakan aku
berfikir-fikir adakah ini dunia yang benar-benar aku duduki? Bukan dunia lain?
Bukan dunia yang mempunyai persekitaran yang sama dengan dunia asalku tetapi
berbeza personaliti? Parallel world?
Ah, pemikiranku sedikit sebanyak telah bercampur-aduk dengan permainan video, dek
kerana keanehan demi keanehan yang dialami olehku ketika ini. Mengapa, dan
mengapa sekarang, Arisa menjadi sangat ramah dan sentiasa dikelilingi oleh
pelajar lain? Bukankah sebelum ini, untuk melihat dia bersama walau dengan
seorang pelajar sekelas pun amatlah jarang, tetapi mengapa kini orang tidak
berpusu-pusu berada di sisinya? Sehinggakan pelajar dari kelas paling hujung
juga tidak terlepas dari menjadi ‘rakan karib’ segeranya. Aneh bukan?
Kerap kali aku cuba untuk berbicara dengannya, namun ada sahaja gangguan.
Sebolehnya aku tidak mahu perbincangan antara kami didengari oleh orang lain,
tetapi keadaan Arisa yang menganehkan ini menyukarkanku. Ketika waktu rehat
misalnya, jika sebelum ini dia sering bersendirian, di mana aku fikirkan itu
adalah peluang terbaikku untuk mendapatkan penjelasan, namun keadaan sebaliknya
yang berlaku. Tidak pernah terjadi sebelum ini dan tidak pernah terlintas di
fikiranku untuk melihat Arisa menghabiskan masa rehat bersama-sama sekumpulan
pelajar yang entah muncul dari mana! Keadaan ini seolah-olah enggan aku
menghampirinya. Memang dia sengajakah? Supaya menyusahkan aku? Supaya aku terus
dihantui dari mengetahui apa yang sebenarnya terjadi malam tadi?
“Huish, bukan main lagi kau tenung si cantik manis Arisa tu, sampai macam
nak tembus ke luar pagar dah. Amacam, dah mula jatuh hati kat dia ke?” satu
suara tanpa diundang tiba-tiba muncul hingga hampir tersedak air yang sedang
ditegukku.
“Hoi, kau gila? Dalam banyak-banyak perempuan yang ada, kenapa mesti dia?”
jeritku pada si mamat kepoh yang muncul tidak diundang ini.
“Habis, kalau bukan kau tenung dia, kau tenung awek-awek yang ada kat
sekeliling dia ke? Hmm, boleh tahan juga diorang...” tutur Kimi sambil
bersiul-siul dengan matanya liar memerhati kumpulan rakan karib segera itu.
“Bukanlah! Buat apa aku nak tengok perempuan-perempuan tu? Dah takde kerja
lain? Bukan aku kenal diorang pun!”
“Okey, then kau tenung apa sebenarnya?
Takkan tengok makcik kantin pula?”
Aku termangu-mangu, memikirkan apa alasan yang logik untuk diberikan kepada
si Kimi kepoh ni. “Aku...tengah tengok pakcik kat luar tu, yang tengah jemur
kain tu. Keluar rumah pakai kain pelikat je. Sempoi betul...”
Entahlah, mungkin kerana fikiranku yang sedang kusut itu, aku memberi
alasan yang sememangnya menyebabkan Kimi tergelak sekuat hati. Habis bergema
satu kantin dengan suaranya sahaja. Silapku juga, kerana memberikan alasan yang
tidak masuk akal sebegini.
“Hahahaha! Aduhai sayang. Kau tahu Faz, kau ni memang tak reti menipu. Tapi
sebab perangai kau yang satu inilah buatkan aku sayang sangat dekat kau.”
Geli-geleman aku dengarkan pengakuan Kimi yang seperti ada baur-baur
gangguan seksual ini. Bingkas aku bangkit dari tempat dudukku dan berlalu
pergi. Sudahlah, dengan keadaan sekarang, adalah tidak mungkin untukku
mendekati Arisa, jauh sekali untuk mendapatkan kisah sebenar tentang hal malam
tadi. Ditambah lagi dengan kemunculan Hakimi yang pastinya akan menambah
kesulitan. Tunggu sahajalah, aku yakin akan tiba juga masa untukku mendapat
kepastian daripada Arisa, walaupun aku terpaksa mengikutinya pulang ke rumah!
Tamat sahaja waktu rehat adalah masa untuk subjek Biologi. Seperti biasa,
kami dikehendaki untuk ke makmal. Dan juga seperti apa yang berlaku tadi, Arisa
masih lagi dikelilingi oleh rakan-rakan sekelas yang menjadi akrab dengannya
secara misteri.
“Arisa, aku rasakan, Fazri tu macam dah jatuh hati dekat kaulah! Dari pagi
tadi dia dah dok tenung kau je.”
Walaupun dalam suasana yang riuh kerana kami masih menanti guru subjek
Biologi yang tidak kunjung tiba, masih jelas dapatku dengar suara seseorang
sedang bercakap tentangku. Aku, jatuh hati pada Arisa? Jauh panggang dari
apilah!
“Aku pun rasa macam tulah Arisa. Lain macam je aku tengok si Fazri tu. Kalau
handsome tu takpelah juga. Naik
menyampah pula aku tengok.”
Aha...bila dah tahap memerli ni memang masalah. Nilah masalah perempuan,
suka cakap belakang. Bila disuruh luahkan secara berdepan, tak mahu pula. Pijak
semut pun tak mati. Bukan main lagi manis segala tutur bicara. Hipokrit
sungguh!
“Korang tengok leher dia yang berbalut tu. Lain macam kan? Luka apa sampai
berbalut begitu kalau bukan kena gigit si nyamuk kepala hitam. Entah-entah
malam tadi dia dah sedap main dengan GRO, sekarang tak puas hati, dia cari kau
pula Arisa. Hish, takutlah!”
Okey, bila dah sampai tahap fitnah ni memang dah kategori merbahaya. Namun
aku tak patut cepat melenting. Biarkan sahaja apa yang mereka ingin katakan.
Bukannya benar pun tohmahan mereka tu. Yang menanggung dosa pun mereka. Adalah
lebih baik jika aku berdiam diri buat masa sekarang. Merenung Arisa hingga
tamat waktu sekolah pun tak mungkin untukku berjaya mendapatkan penjelasan yang
aku inginkan. Biarkan sahaja, kerana aku yakin, akan tiba masa yang sesuai
nanti.
“Tak mengapa. Aku juga yang bersalah kerana terlalu cantik, hinggakan si
kumbang hitam yang berbau busuk pun boleh terpikat denganku. Tak perlu salahkan
dia, tetapi maafkanlah aku...”
Ayat-ayat perli dan sungguh berbaur perasan yang muncul dari bibir Arisa
itu membuatkanku loya. Tolonglah. Aku bukannya hadap sangat nak bercinta dengan
kau. Aku cuma nak tahu apa yang dah kau lakukan pada aku malam tadi. Itu saja!
Ahh! Kenapalah perkara ini boleh menjadi sebegini susah? Sekarang ini semakin
aku bencikan kau, Arisa! Dan semakin aku rasa, seperti mahu menangis.
Sedang aku berperang dengan diri sendiri, guru subjek Biologi kami masuk ke
kelas dengan membawa beberapa kotak lutsinar berisi sesuatu.
“Haha, maafkan cikgu ya. Salah seekor katak ni melompat keluar pula. Tu
yang cikgu lambat, pergi tangkap katak ni balik.” Penjelasan jujur guru muda
ini mengundang tawa seluruh kelas, namun tidak termasuk aku yang masih belum
selesai berperang.
“Cikgu nak kamu buat lima orang satu kumpulan.” Kedengaran lagi suara guru
muda ini yang meminta kami membentuk kumpulan. Aku yang masih tiada mood untuk melakukan apa-apa hanya
berdiam diri. Aku juga sudah tidak hirau jika aku dikehendaki berkumpulan
dengan siapa.
“Cikgu, saya nak satu kumpulan dengan cik manis Arisa dan kawan-kawan dia
boleh?” Kedengaran suara lantang Kimi memecah keriuhan. Diikuti pula suara
gembira pelajar-pelajar perempuan yang mengutuk aku tadi. Siapa tak suka,
lelaki kacak nak berdekatan dengan mereka. Kembang semangkuk sudah.
“Boleh, asalkan cik manis Arisa dan kawan-kawan setuju. Tapi belum cukup
ahli, kena cari lagi seorang.” Haha, cikgu pun setuju yang Arisa tu manis ke?
Lawak sungguh.
“Tak ada masalah. Tambah Fazri. Cukup.”
Hoi, ni kenapa mesti babitkan aku pula? Hakimi yang duduk di barisan
hadapan menoleh ke belakang dan mengenyitkan matanya kepadaku sambil
menunjukkan isyarat bagus. Tak terkata aku atas tindakan yang baru sahaja
dilakukan si Hakimi ini. Aku tunduk dan menepuk dahiku, lalu mengeluh panjang.
Dalam pada itu kedengaran juga suara-suara kurang puas hati oleh dua orang
pelajar perempuan yang masih tidak sudah-sudah memerliku. Biarlah, biar sahaja
apa yang ingin dikatakan mereka, sekarang waktu belajar. Lebih baik aku
menumpukan perhatian pada pembelajaran dari mengendahkan kelakuan tidak matang
mereka.
“Baiklah, semua dah masuk dalam kumpulan masing-masing? Katak pun dah dapat
seekor setiap kumpulan? Jika ya, kamu boleh mula operate katak!”
Arahan ceria daripada guru Biologi kami diikuti keriuhan rakan-rakan
sekelas yang teruja untuk membedah haiwan yang kasihan ini. Hanya aku sahaja
rasanya yang seperti tidak berminat untuk turut serta di dalam eksperimen ini, dek
kerana aku terpaksa berkumpulan dengan mereka-mereka yang menjengkelkan. Hakimi
sedang berlagak seperti seorang doktor, diikuti dengan hilai tawa yang cukup
menggedikkan oleh dua orang gadis perasan. Arisa pula membisu, hanya tangannya
sahaja yang pantas menulis sesuatu di dalam buku notanya.
Eh, tunggu sekejap. Bukankah ini masa yang aku tunggu-tunggu sejak tadi?
Melihat Arisa bersendirian? Walaupun begitu, keadaan sekarang ini bukan pula
sesuai untukku luahkan apa yang telah terpendam sejak pagi tadi. Ataupun, boleh
sahaja aku bertanya padanya melalui kaedah tradisional; berbual melalui buku nota!
Perlahan-lahan aku bergerak mendekati si gadis yang masih tekun menulis.
Cikgu dah suruh mulakan eksperimen, dia pula sibuk menulis entah apa. Ah, aku
pun apa bezanya. Biarlah Kimi sahaja yang menyelesaikan eksperimen hari ini.
Peluang keemasan yang terbentang luas sekarang ini adalah tidak mungkin untuk aku
biarkan ia berlalu pergi tanpa menggunakannya sebaik yang mungkin. Kini aku
sudah berada betul-betul di hadapan Arisa. Segera aku menulis sesuatu di dalam
buku notaku lantas diajukan padanya. Jelas kulihat yang dia agak terganggu
dengan tindakanku tadi tapi dia masih kelihatan tenang. Sambil menyisirkan
rambut panjangnya yang sedikit terurai ke tepi telinga, dia meletakkan pen dan
memandang aku, tenang.
“Apa ni?” soalnya pendek.
“Apa lagi kalau bukan soalan untuk kau jawab segera.”
“Aku tak faham soalan ni. Mungkin kau salah orang,” balasnya yang aku tahu
dia sedang cuba untuk mengelakkan diri. Kemudian, tanpa mempedulikan aku, dia terus
menyambung kembali tugasan menulis notanya yang entah apa.
Sedikit berang, aku merampas notanya dengan harapan dia dapat menumpukan
perhatian terhadap pertanyaanku tadi. Kerutan dahi muncul dari wajah putih
gebunya.
“Kau ni nak apa sebenarnya?” agak keras lantunan suaranya kali ini.
“Kan aku dah kata tadi, nak kau jawab soalan aku.”
“Dan jika aku tak mahu jawab?” cuba berdalih lagi ya perempuan ni.
“Aku akan paksa hingga kau jawab.”
Arisa tersenyum. Oh, adakah sekarang dia dah faham apa yang aku mahu?
Baguslah, mudah sikit kerja aku.
Namun perkara lain yang aku harapkan, yang sebaliknya pula berlaku. Arisa
bingkas bangun dari tempat duduknya lantas dengan kasar menarik tali leherku
mendekati muka berangnya hinggakan aku hampir tercekik!
Dapat kulihat kini sengihan jahat terukir di wajah gadis yang kononnya
manis ini. Namun belum sempat kami meneruskan aksi pertengkaran yang
seterusnya, kami diganggu suara jeritan si Hakimi. Serentak kami menoleh.
“Faz, Faz! Cepat! Tangkap katak tu! Dia dah lari tu!”
Hai, tadi bukan main lagi berlagak seperti doktor bertauliah di hadapan
gadis-gadis gedik berdua tu, sekarang nak tangkap katak yang dah melompat pun
takut ke? Kelakar sungguh. Tali leherku kini telah terlepas dari genggaman
Arisa entah sejak bila. Patutlah terasa ringan sikit badan ni. Melihat katak
yang sudah menghampiri kami, terus aku tangkap katak tersebut dan memberikannya
kepada Hakimi.
“Jangan bawa dia dekat dengan aku! Nah, ambil pisau ni. Kau bedahkan katak
tu!”
Adakah ini pelajar contoh yang kerap mendapat markah tertinggi di sekolah?
Dengan katak yang seekor ini pun takut. Karier sebagai doktor haiwan sememangnya
amat tidak sesuai dengan kau, Kimi.
Katak kasihan yang kini berada di dalam genggaman kutenung lama.
Sebenarnya, aku tak sampai hati untuk membunuh kau duhai sang katak. Namun demi
markah yang memberi impak pada peperiksaan kelak, aku terpaksa membunuhmu jua.
“Kesan ubat dah hilang. Chloroform, isikan dalam bekas kaca tu dan
masukkannya sebentar,” Arisa bersuara tatkala aku masih lagi merenung katak di
dalam genggamanku.
“Oh, bukankah lebih baik jika kau sahaja yang jalankan eksperimen ini?”
“Enggan aku kotorkan tanganku dengan sesuatu yang begitu menjelekkan.” Hei,
kasihan tahu kau cakap sang katak sebegitu!
“Makhluk yang sebegitu rupa hanyalah sesuai berdampingan dengan orang
seperti kau,” Arisa menambah lagi. Dia kulihat memang sengaja mahu menyakitkan
hatiku.
“Kau tahu Arisa, kehidupan katak ini adalah jauh lebih mulia dari seseorang
yang begitu mementingkan penampilan diri,” sengaja aku menambah minyak pada api
yang sudah sedia menyala di dalam diri Arisa. Sambil itu, tangan kananku ligat
bermain-main dengan pisau bedah, seolah-olah sedang memegang sebatang pen
lagaknya.
“Sekurang-kurangnya seseorang yang mementingkan penampilan diri itu tidak
bergelumang dengan seekor haiwan jelek yang sedang lemas berada di dalam
genggaman seseorang yang turut jelek.” Oh, indah sungguh kata-kata. Kau
nampaknya memang mahu menaikkan darahku ya, Arisa?
Kami berterusan bertikam lidah selama beberapa minit. Tidakku hirau lagi
keadaan sekeliling apa yang terjadi. Perasaanku kini amatlah sakit dek kerana
si Arisa yang membencikan ini. Suara Hakimi yang cuba mententeramkanku juga
tidakku endahkan hinggalah aku merasakan tangan kiriku seperti terasa basah
dengan cecair yang agak likat. Walau aku masih tidak putus-putus bertekak
dengan si minah yang mulut tiada insuran ini, aku menjeling sebentar tanganku
yang sudah tidak berasa selesa ini. Dan...alamak...
“Fazri! Apa yang awak dah buat ni? Habis katak tu awak hiris-hiris! Saya
suruh bedah, bukan bunuh dengan kejam!”
Masak. Habislah markah eksperimen kami hari ini. Lidahku kelu. Aku
memandang kembali ke arah Arisa namun nampaknya dia sudah melarikan diri dengan
duduk di barisan paling hujung sambil kembali menulis sesuatu di dalam buku
nota, manakala Hakimi dan gadis-gadis gedik yang sekumpulan denganku tadi sudah
berada di sinki. Muntah barangkali. Sekali lagi, aku telah berjaya memalukan
diri sendiri di hadapan orang ramai. Duhai nasib, mengapalah sentiasa terjadi
begini kepadaku? Aku, nak menangis boleh...tak?
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)