Terminal Bersepadu Selatan, sebuah terminal bas utama yang terletak di Bandar Tasek Selatan, negeri Selangor kini menjadi salah satu sejarah hidupnya apabila menjadi tempat pertama dia menjejakkan kaki di negeri orang. Apa tidaknya, selama lapan belas tahun hidupnya, tidak pernah walau sekalipun dia keluar dari tempat kelahirannya. Untuk mengikuti rombongan sekolah ke kota besar berdekatan pun tidak pernah diluluskan. Ada sahaja alasan yang akan diberikan oleh ibunya hingga membuatkan si anak ini berkecil hati dan dipulaukan rakan-rakan. Si anak pula, walaupun nasibnya begitu, dia masih lagi menghormati pendirian ibunya. Sudah sebati di dalam dirinya menjadi anak yang mendengar kata, walau hatinya memberontak namun dia tetap akur.
Agak lama juga si gadis ini terpaku setelah bas yang dinaikinya dari stesen
bas Segamat selamat tiba di perkarangan terminal yang besar dan serba mewah
ini. Terpaku bukan hanya kerana kejutan budaya, tetapi juga kerana memikirkan
bahawa dia tidak tahu ke mana arah yang sepatutnya ditujui. Terpinga-pinga dia
di situ, mengengsot bagasi bajunya yang sederhana besar ke hulu ke hilir.
Hendak bertanya, lidahnya kelu. Orang sekeliling pula tiada siapa yang
mengendahkan walau perilakunya ketika itu amat janggal sekali.
“Aduh, habislah aku. Fahmi dah janji nak jemput. Nak telefon, bateri kong
pula,” mulutnya berkumat-kamit sendiri. Silap dia juga kerana terlupa hendak
mengecas telefon bimbitnya dahulu sebelum bertolak pagi tadi.
Syed Fahmi, kekasih hatinya dari kampung yang kini menetap di Shah Alam
telah berjanji untuk menjemputnya dari terminal dan seterusnya membawa dirinya
meninjau ke kampus tetap Universiti Putra Malaysia, universiti yang bakal
menjadi tempat untuknya meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
“Adik nak ke mana?” satu suara menyapanya dari belakang membuatkan si gadis
yang sedang terleka ini sedikit melompat kerana terkejut. Bingkas dia berpaling
dan melihat seorang lelaki berbadan gempal dan bertopi, mungkin dalam
lingkungan 50-an, sedang menanti jawapan daripadanya.
“Er, saya...nak cari jalan keluar,” tersipu-sipu Zuraida menuturkan
kata-kata. Pada fikirannya kini, mungkin pak cik ini sudah menganggap dia
sebagai seorang yang kolot.
Ternyata, jawapannya tadi telah mengundang tawa dari lelaki tersebut.
“Adik ni dari kampung ya? Jangan kecil hati, bukan jarang pun nak jumpa
orang macam kamu ni. Kamu naik eskalator kat depan ni kemudian belok kiri.
Nanti jumpalah pintu keluar,” tutur lelaki itu yang sengihan masih terukir di
wajahnya. Zuraida pula, dengan wajah yang merah merona, usai mengucapkan terima
kasih, lantas sahaja dia berlalu pergi, malu.
Dari kejauhan dia sudah terlihat akan kelibat seseorang berbaju t-shirt
ungu sedang berdiri di tepi pintu keluar. Hatinya melonjak kegembiraan. Masakan
tidak, sudah agak lama dia tidak dapat menatap wajah yang amat disayanginya
itu. Sejak tamatnya SPM tempoh hari, sejak itu jugalah dia tidak pernah lagi
bersua dengan jejaka idaman hatinya itu. Zuraida mengorak langkah laju menuju
ke arah Syed Fahmi yang sedang tersenyum sambil melambai-lambai ke arahnya.
“Lama abang tunggu kamu, Zue. Kenapa tak call abang bila dah sampai tadi?”
Berdiri di hadapannya kini adalah seorang lelaki tegap yang tinggi lampai,
matanya memandang tepat ke anak mata si gadis yang kelihatan resah ini. Lelaki
ini masih sabar menanti jawapan yang bakal diutarakan Zuraida.
“Zue bukan tak nak call abang,
telefon Zue habis bateri. Tengok ni,” ujarnya seraya menunjukkan telefon
bimbitnya yang sudah mati. Bibirnya dicebikkan sedikit.
“Telefon awam kan ada,” sambung lelaki ini lagi, masih tidak berpuas hati
barangkali.
“Manalah Zue ingat nombor abang. Lagipun Zue tersesat tadi.”
“Kat tempat macam ni pun boleh tersesat? Apa kuno sangat kamu ni?”
Hatinya yang gembira tadi luluh mendengarkan tutur kata yang amat memilukan
ini. Apatah lagi, kata-kata itu dilontarkan oleh lelaki ini. Lelaki yang amat
dibenci. Hampir sahaja air matanya tumpah namun segera dipalingkan wajahnya
menjauh dari bertentang mata dengan si lelaki panas baran yang masih setia
berdiri tegak di hadapannya itu. Sempat juga dia mengerling ke arah belakang
lelaki itu sambil berfikir-fikir jika kelibat yang dinantikannya tadi masih
berada di situ, namun hampa. Nampaknya dia sudah berlalu pergi.
“Dah, tak payah nak menangis kat sini pula. Jom balik,” arah lelaki itu
sambil menarik lengan Zuraida menuju ke perkarangan parkir kereta. Zuraida
hanya menurut. Apa lagi yang boleh dilakukannya, tidak dituruti nanti dikira
berdosa. Kerana lelaki yang bernama Khairi itu, walau seburuk manapun tingkah
lakunya, dia tetap suaminya yang sah.
***
“Kelas start bila?” soal Khairi
sejurus mereka tiba di laman sebuah rumah teres dua tingkat. Keadaan yang
sunyi-sepi sepanjang perjalanan dari terminal tadi membuatkan Zuraida sedikit
terkejut setelah diajukan soalan secara tiba-tiba. Terpinga-pinga dia menyusun
ayat walaupun jawapannya mudah sahaja.
“Er...lusa. Hari Isnin,” sepatah-sepatah perkataan yang dituturkan si gadis
yang masih dibelenggu keresahan ini.
“Kamu ke kelas nanti macam mana?” soal Khairi lagi sambil mematikan enjin
keretanya lalu menyandarkan dirinya pada kerusi keretanya yang empuk.
“Duduk hostel. Jalan kaki atau
naik bas ajelah,” balas Zuraida pantas tanpa memandang wajah suaminya itu.
Dirinya berasa jengkel dengan soalan bertubi-tubi yang telah diajukan.
“Tak payah duduk hostel. Duduk
sini je. Nanti abang hantarkan tiap-tiap hari.”
Membulat mata Zuraida setelah mendengar butir-butir ayat yang baru
dilontarkan oleh lelaki yang masih kekal berada di tempat duduk pemandu. Wajah
lelaki itu ditenung tajam.
“Abang! Takkanlah saya nak berulang jauh-jauh dari sini? Rasionallah
sikit!” bentak Zuraida yang sememangnya enggan tinggal bersama-sama suaminya
yang baran itu.
“Takde jauh mana pun kolej kamu tu, takat setengah jam je dah sampai,”
balas Khairi tenang. Matanya masih memandang ke hadapan dengan badannya
disandarkan ke kerusi.
“Lagipun semester pertama memang kena duduk hostellah, bang. Takkan nak lawan peraturan pula?” si gadis ini
masih berusaha memujuk.
“Lantaklah dengan peraturan tu semua. Tu peraturan untuk budak-budak. Kamu
tu dah kahwin, kena dengar cakap abang, bukan dengar cakap peraturan tu.”
Terdiam Zuraida tatkala perkataan ‘kahwin’ diutarakan suaminya. Dia sedar
yang segala tanggungjawab terhadap dirinya akan ditanggung sepenuhnya oleh
suaminya setelah mereka berkahwin. Namun bukan harapannya untuk menjadi
terkongkong sebegini. Sudahlah selama ini dia dikongkong oleh sikap paranoid
ibunya, kini terkongkong pula dengan suaminya yang tidak dicintai langsung.
Perkahwinannya dengan lelaki itu pun tidak direstui dirinya, kerana dia hanya menurut
perintah.
“Saya tak minta pun nak kahwin...” perlahan sahaja dituturkan ayat itu.
Bukan sengaja, namun sekadar melepaskan rasa kecewa yang sekian lama membuku di
hati.
“Zuraida!”
Tersentak gadis genit ini. Renungan dari sepasang mata yang berang memandangnya
tajam tanpa berkelip. Hatinya yang sedia luluh kini terasa bagaikan
dicarik-carik. Air matanya yang setia terkandung sejak tadi kini membanjiri
pipinya, deras. Pantas dia berlalu keluar dari kereta dan duduk di sebuah
bangku yang terletak di laman rumah. Wajahnya yang memerah dan terasa hangat
itu ditutup dengan kedua-dua lengannya dan menekup di meja. Tersedu-sedu dia
sendiri di situ. Khairi pula bagaikan tidak mengerti apa yang telah terjadi. Usai
mengunci keretanya, terus sahaja dia membuka pintu rumah tanpa mengendahkan
Zuraida yang masih teresak-esak di bangku taman.
“Dah sudah menangis tu, cepat masuk rumah. Tak payah fikir nak lari, tempat
ni ada security 24 jam.”
Mendengar pengakuan dari suaminya itu membuatkan Zuraida meraung lebih
kuat. Sekuat-kuatnya hinggakan ada beberapa jiran tetangga yang mungkin berasa
terganggu atau sibuk ingin mengambil tahu hal orang, keluar dari muka pintu dan
menjenguk mereka. Khairi bagaikan sudah biasa dengan keadaan begitu, langsung
dia tidak mengendahkannya. Terus sahaja dia masuk ke rumah dah berehat di sofa
sambil menghidupkan televisyen.
“Fahmi, tolong saya...” detik hati kecil Zuraida.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)