“Alalalala comelnya~ Dah makan belum? Mesti belum makan
lagi kan? Nak mandi dulu tak? Kalau nak mandi nanti ibu...eh tak! Nanti makcik
sediakan pakaian ya.”
Berseri-seri sungguh wajah ibuku ketika ini. Aku
menjangkakan yang dia akan memarahiku kerana pulang terlalu lewat tanpa
sebarang pesanan, tambahan pula dengan tiba-tiba membawa seorang gadis pulang
ke rumah, namun lain pula yang berlaku. Aku pula yang rasa seperti ingin marah
kerana ibuku langsung tidak mengendahkanku, malah seolah-olah seperti tidak
menyedari kehadiranku di dalam rumah. Ataupun aku ni dah jadi halimunan ke?
“Aa...ibu...saya nak...”
“Arisa pakai baju makcik tak kisah kan? Baju yang ni
boleh?” jelas ibuku sambil menunjukkan
baju tidur yang berwarna merah jambu bercorak bunga ros ke arah Arisa.
Berulang kali aku cuba mengalihkan perhatian ibuku namun
sayangnya ibuku langsung tidak mengendahkan kata-kataku dan dia masih sibuk
berbual-bual dengan Arisa yang dari tadi seperti biasa, sunyi sepi tanpa
sebarang jawapan. Hanya senyuman tawar sahaja yang muncul di bibirnya. Bosan
dengan semua pertanyaanku yang tidak berjawab, aku menghempaskan punggungku ke
sofa dan mengeluh panjang. Ibu ni dah lupa rasanya yang mana satu anak dia.
Sudahlah penat melayan karenah Arisa
masa kat sekolah tadi, bila balik tambah pula hal ini. Baik aku rehat je dulu,
nak mandi pun tak boleh sebab si Arisa pergi guna bilik air atas. Bilik air
bawah ni tiada barang-barang aku. Sabun pun tak ada. Eh tunggu sekejap. Aku ada
tertinggal barang-barang yang tak sepatutnya kat dalam bilik air atas ke? Hmmm,
rasanya takde. Ah, lantaklah, kalau ada pun biarlah. Dia bukannya gadis idaman
aku pun kalau nak rasa segan.
“...bang...abang Faz...”
Aku dah terlelap tatkala aku terdengar namaku dipanggil
seseorang. Aku membuka mataku perlahan-lahan dan aku dapat lihat kelibat
seseorang. Orangnya kecil saja, berambut panjang dan lurus, dan berbaju putih.
“Abang...” katanya lagi. Dapatku lihat senyuman terukir di
wajahnya namun aku yang masih separa sedar sukar mengecam siapakah yang sedang
berdiri di hadapanku ini. Aku menggosok-gosok mataku agar penglihatanku lebih
jelas.
“Nisya ke? Dah malam ni, pergilah tidur. Nanti ibu
marah...” ucapku sambil menguap kepada tuan milik badan yang kecil dan kurus
itu. Namun dia hanya tersenyum dan melangkah perlahan-lahan ke arahku.
“Abang, saya rindu sangat dekat abang...” kata gadis kecil
ini kepadaku seraya memelukku erat. Aku hairan, kenapa Nisya nak rindu dekat
aku? Aku perhatikan gadis kecil yang masih lagi erat mendakapku ini. Tidak, dia
bukan Nisya. Jadi ini siapa? Aku menolaknya sedikit dengan perlahan agar aku
dapat lihat dengan jelas siapakah gerangannya gadis kecil ini. Tatkala aku
melihat sahaja wajahnya, dengan tidak semena-mena air mataku mengalir.
“I...Iha? Ini Iha ke? Fariha? Iha adik abang ke ni?”
bertubi-tubi soalan kuajukan kepada gadis kecil yang masih berada di
pangkuanku. Dia hanya tersenyum memandangku.
“Tak, tak mungkin ni Iha. Aku mimpi je ni kan. Iha ni cuma
mimpi abang je kan?” aku menggosok-gosokkan mataku kerana aku yakin yang ini
bukannya realiti.
Iha tersenyum lagi. Kali ini kedua-dua tangannya
diletakkan kemas di pipiku dan wajahku dihalakan betul-betul di hadapan wajah
comelnya. Sememangnya ini Iha, tidak silap lagi. Hanya Iha sahaja di dalam
keluarga kami yang mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Ketika
aku masih termangu-mangu dengan keadaan yang sedang dialamiku sekarang ini,
satu kucupan pantas hinggap di pipi kiriku. Ya, kucupan dari adikku Iha. Air
mataku yang sudah berhenti mengalir tadi, mengalir lagi untuk ke sekian kali.
Aku tak mampu katakan apa-apa. Aku cuma dapat rasakan betapa aku sangat
rindukan Iha.
“Iha sayang sangat dekat abang,” ujar Fariha sebelum
melepaskan dakapannya. Sejurus sahaja kakinya mencecah ke lantai, Iha terus
lenyap dari pandangan mataku. Keadaan sekeliling juga menjadi gelap gelita. Aku
terkejut, bingung dan tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Dengan
lantang aku memanggil nama Fariha. Namun tiada sahutan kedengaran. Aku berlari
mencari kelibat Iha yang hilang secara tiba-tiba di dalam kegelapan, tapi
usahaku sama sekali gagal. Aku menjerit sekuat hati, dadaku terasa sakit yang
amat, kerana aku rindu, rindukan adikku Fariha.
“Abang!”
Mataku celik. Di hadapanku kini adalah Nisya. Wajahnya
seperti hendak memarahiku atas entah apa sebabnya namun aku tidak peduli. Air
mataku masih lagi mengalir deras.
Wajah Nisya berubah, mungkin kerana hairan melihat aku
yang mengalirkan air mata tanpa sebab. Perlahan-lahan Nisya memanjat sofa dan
duduk di pangkuanku, kemudian dia mengesat air mataku dengan tangannya yang
comel. Sayang juga Nisya dekat aku ya.
“Abang kenapa...abang mimpi hantu eh? Mana hantu tu? Biar
Nisya belasah dia! Hiyah!” jelas Nisya bersungguh-sungguh sambil menggayakan
teknik karate jenis kucar-kacir. Aku hanya ketawa melihat gelagatnya.
“Abang takde apa-apalah,” ujarku sambil mengusap-usap
kepala Nisya. Satu kucupan kuberikan ke dahi Nisya. Sejurus itu dengan segera
Nisya menepis tanganku dan melompat ke lantai sambil mengesat dahinya.
“Abang busuk!” jerit Nisya selantang-lantangnya. Aku hanya
tergelak melihat karenah Nisya yang comel begini.
“Oh, abang busuk ye? Meh sini, abang bagi bau ketiak abang
pula,” gurauku sambil menghalakan ketiakku kepada Nisya. Menjerit lagilah budak
kecil tu. Terus dia berlari menuju ke dapur. Aku berterusan ketawa. Seronok
betul bergurau dengan budak kecil ni.
Ketika aku sedang sakan ketawakan Nisya, satu tuala yang
entah muncul dari mana secara tiba-tiba hinggap ke kepalaku.
“Tuala pun busuk macam tuannya,” diikuti satu suara sinis
dari arah tangga. Aku menjeling.
“Apa masalah kau? Tuala aku busuk ke, wangi macam bau dobi
ke, suka hati akulah. Yang kau tu pergi buat main tuala aku ni buat apa?”
jeritku lantang kepada tuan empunya suara sinis tadi yang kini lengkap berbaju
tidur ibuku yang berwarna merah jambu bercorak bunga ros. Kelakar pula
melihatnya, macam tak sesuai langsung.
“Buat kesat kaki,” jawabnya pendek dan terus menuju ke
dapur.
Aku dah tersangatlah berang ketika ini. Tuala aku dibuat
alas kaki? Apa minah ni memang tak beradab langsung ke? Dahlah datang rumah
orang tak dijemput, buat perangai pula tu! Memang besar kepala. Melihat dia
menuju ke dapur, aku turut mengikutinya dengan langkah geram dan menghalang
perjalanannya ketika dia ingin menuju ke meja makan.
“Ke tepi boleh?” tuturnya tatkala aku sudah berdiri tegak
di hadapannya.
“Hoi, kau ni memang biadap kan? Kau faham tak apa maksud
rukun negara yang kelima?”
“Aku lapar, ke tepilah,” balasnya seraya menolakku ke tepi
dan dengan muka tak malu, duduk di hadapan meja makan yang di atasnya sudah
penuh dengan makanan.
Aku menghentakkan tanganku kuat di atas meja, betul-betul
di hadapan muka Arisa. Arisa pula menjelingku dengan pandangan yang
menjengkelkan.
“Aku lapar, aku nak makan. Jangan ganggu aku boleh tak?
Busuk.”
Mendengarkan tutur bicara tak tahu malu daripada gadis
menjengkelkan di hadapan aku ni lagilah menaikkan darah. Memang sengaja cari
fasal minah ni. Patut aku basuh bersih-bersih otak minah ni malam ni juga.
Biadap tak bertempat. Namun belum sempat aku menuturkan apa-apa, aku terasa
telingaku ditarik dari arah belakang. Apa lagi, menjeritlah aku. Bukan perlahan
tarikan yang diberikan. Tarik dengan sepenuh hati rasanya.
“Jangan nak bergaduh depan makanan nanti rezeki mahal!”
dengan sekuat-kuatnya telingaku yang kasihan ini ditarik oleh ibuku.
“Sa...sakit! Sakitlah ibu! Ya, ya, saya minta maaf!” tak
tentu arah aku dibuatnya. Tapi kuat betul ibuku menarik telingaku yang tak
bersalah ini. Lagipun bukan aku yang mulakan dulu, Arisa ni yang mula-mula cari
fasal. Ah...mengadu macam mana pun, ibuku bukannya nak dengar pun. Dah terlalu
taksub dengan si minah yang kononnya comel tapi perangai busuk
sebusuk-busuknya. Huh!
Ibuku yang sedang memarahiku sebentar tadi terus berubah
wajah tatkala berada di hadapan Arisa. Bukan main lagi ditanya apa yang Arisa
ingin makan. Dia tu bagi makan penamparlah lagi sesuai. Benci pula aku
melihatnya. Aku mengutip tualaku yang berada di lantai dan menaiki tangga ke
tingkat atas, terus menuju ke bilik air untuk mandi kerana badanku sudah terasa
sangat tidak selesa sekarang ini. Bertengkar dengan Arisa sememangnya
memerlukan tenaga yang banyak. Tak campur lagi makan hati dengan sikap yang
ditonjolkan oleh ibuku. Kenapa dia begitu taksub dengan seseorang yang baru
sahaja dijumpai dan sanggup mengetepikan anaknya sendiri? Pelik sangat. Tapi
sudahlah, mungkin selepas mandi aku akan berasa lega. Nak makan pun dah tiada
selera, jadi mungkin aku akan terus tidur selepas ini. Kerja
sekolah...hmm...abaikan sajalah. Nak buat pun dah tiada mood. Semua ni Arisa yang punya fasal!
Usai mandi dan bersiap-siap, aku duduk di tepi tingkap
bilikku sambil meneguk sebotol air soya
hingga habis. Lampu di bilikku pula sengaja tidak dinyalakan. Biar
bergelap. Aku dah nak masuk tidur lagipun. Aku melemparkan pemandanganku ke
luar. Bulan malam ni sangat cantik. Bulan purnama, mana mungkin tak cantik?
Awan pula seolah-olah faham dengan kecantikan bulan purnama dengan tidak
melindunginya walau sedikit pun. Keadaan luar sangat terang-benderang. Walaupun
terdapat lampu jalan di luar, namun kerana cahaya bulan yang terang sebegini
membuatkan lampu jalan seperti tiada fungsi. Betapa indahnya ciptaan Tuhan,
ciptaan manusia biasa sememangnya tidak mungkin mampu menandingininya.
Melihat bulan penuh di luar membuatkan memori peritku
kembali. 2 tahun lepas, ketika bulan purnama jugalah Fariha meninggalkan kami
semua buat selama-lamanya. Aku masih tidak dapat memaafkan diriku sehingga kini
atas apa yang telah berlaku. Walaupun aku tahu yang ajal maut adalah di tangan
Tuhan, namun aku tetap rasa bersalah dengan tindakanku ketika itu. Mimpiku
sebentar tadi, adakah kerana perasaan bersalahku masih lagi menghantui diri?
Entahlah. Mungkin kerana aku terlalu penat sehingga fikiran dan memoriku
berkecamuk. Aku buang jauh-jauh tentang hal lama dan terus menikmati
pemandangan indah di luar.
Sedang aku leka melihat keadaan di luar yang sungguh
mengasyikkan, aku terdengar pintu bilikku dibuka, ditutup dan dikunci dari
dalam. Aku menoleh, dan mengeluh panjang. Apa jenis masalah pula yang dia ingin
berikan kepadaku kali ini ya.
“Kau nak apa? Yang kau pergi kunci pintu bilik aku tu dah
kenapa? Buka balik!” arahku lantang kepada si empunya diri yang sungguh
membencikan ini. Dahlah baju tu tak sesuai langsung dengan dia. Ah...aku nak
tergelak pula melihatnya.
“Mak kau panggil makan,” jawabnya pendek dan dengan
pandangan mata yang terus dilemparkan ke luar tanpa memandangku langsung, dia
berdiri di sebelahku. Pintu bilikku pula masih kekal terkunci. Tak dengar
arahan betul.
“Tak selera nak makan,” jawabku juga pendek kerana malas
nak bertengkar panjang. Pandanganku juga turut dilemparkan ke luar.
Kami terdiam seketika sebelum aku menyambung.
“Kau bagi alasan apa kat ibu aku? Dia macam tak pelik je
kau datang sini.”
“Rumah masuk pencuri.” Wah, pandai betul kau ni menipu ya.
“Dan alasan kau tiba-tiba nak datang sini?”
“Saja.” Itu je alasannya? Tadi bukan main kelu lidah
dengan muka merah padam.
Sekali lagi kami terdiam seketika. Khusyuk pula melihat
pemandangan indah di luar walaupun bukannya ada apa-apa kecuali kelihatan
beberapa ekor kucing berkeliaran dan suara anjing menyalak. Bintang-bintang di
langit pun tidak kelihatan, mungkin dek kerana cahaya bulan yang terlalu cerah
telah menelan semua cahaya dari bintang-bintang lain.
“Baju tidur kau hodoh betul,” kali ini Arisa pula bersuara
memecah sunyi. Dan dia nampaknya cuba menaikkan darahku namun aku tetap
tenangkan diri. Malas aku nak bertengkar dengannya malam-malam buta ni.
“Baju tidur kau tu pun tak sesuai juga, kelakar nampak,”
balasku tanpa menoleh. Aku jangka yang dia mungkin akan naik marah tapi tidak.
Elok juga. Jimat tenaga.
“Underwear pun
pinjam ibu aku punya ke?” aku cuba mengusik dengan bertanyakan hal yang agak
sensitif ni. Teringin juga aku nak lihat lagi sekali wajah merah padam si
Arisa.
Dia menjeling, mengetap bibirnya dan terus memandang
semula ke luar. Soalanku tidak berjawab. Reti pun kau malu.
“Lebih baik daripada underwear
merah yang terkoyak di punggung.”
Aku tersentak. Jadi memang ada sesuatu yang aku tertinggal
di bilik air. Mungkin ketika aku tergesa-gesa ke sekolah pagi tadi. Haih,
sekarang aku pula yang segan.
“Haha,” Arisa ketawa dengan mimik muka yang kaku dan pandangan
masih di luar. Memang sengaja nak kenakan akulah ni?
“Diamlah,” bentakku dan terus memalingkan mukaku dari dia.
Pandanganku dilemparkan jauh-jauh hingga ke hujung taman, melihat anjing-anjing
liar berkeliaran.
Suasana menjadi sepi lagi. Kali ini hanya bunyi angin
sepoi-sepoi bahasa sahaja yang kedengaran. Agak lama juga keadaan sepi ini
berlalu.
“Siapa dan kenapa dengan Fariha?” suara Arisa muncul
tiba-tiba memecah sepi. Kali ini pandangannya berubah menghadap aku,
seolah-olah mahukan jawapan dengan segera.
“Dan atas alasan apa aku perlu beritahu kau?” aku membalas
pertanyaannya dengan soalan. Wajahnya aku tenung tepat, namun perasaan marah
aku buangkan jauh-jauh untuk sementara waktu.
“Curious,” dia
memalingkan wajahnya ke luar semula.
“Mana kau dengar nama tu?” aku menyoalnya lagi tanpa
pedulikan pertanyaannya yang awal tadi.
“Kau yang mengigau tadi.”
Alamak. Kuat sangat ke aku mengigaukan tentang Fariha
tadi? Memang sahlah yang aku terlalu letih tadi. Kalau tak masakan aku boleh
mengigau teruk.
“Hmm, apa yang kau dengar?”
“Fariha. Tu je.”
“Oh...” balasku dan terus memandang ke luar.
“Kau dah lupa ke soalan aku tadi?” nampaknya Arisa masih
lagi mahukan penerangan dariku.
“Perlu ke aku cerita?”
“Arahan.”
Sememangnya Arisa seorang yang besar kepala. Apa sahaja
kemahuannya memang perlu dituruti ya. Memang anak manja. Aku malas nak
bertengkar dengannya malam-malam buta begini. Cukuplah dari petang tadi tak
henti-henti kami bertekak.
Aku bangkit dari tempat dudukku untuk menuju ke pintu.
Bercerita tentang kisah lama pasti memakan masa yang panjang jadi adalah lebih
baik jika aku ambil air minuman, dan
juga menghidupkan suis lampu bilikku. Namun langkahku dihalang. Baru saja
setapak aku melangkah, lenganku ditarik dari belakang. Aku menoleh, apa lagilah
yang dia ni nak?
“Kau nak pergi mana?” soalnya dengan kerutan di dahi.
“Turun ambil air.”
“Aku ada air mineral.”
“Dan...nak hidupkan suis lampu...”
“Bulan cerah.”
“Nak buka pintu sekali...”
“Biar terkunci.”
Aku menggaru-garu kepalaku. Dia ni, sukakan keadaan yang
bahaya ke? Sudahlah, lepas ni kalau terjadi apa-apa dekat kau jangan disalahkan
aku pula.
Selepas lenganku dilepaskan Arisa, perlahan-lahan aku
berjalan menuju ke katilku dan duduk di atas tilamku yang empuk. Melihat bantal
dan selimut ditambah dengan tilam empuk ini membuatkan aku ingin terus tidur
tanpa mengendahkan apa-apa. Tapi memikirkan yang aku tak mungkin dapat tidur
lena sebelum memuaskan kehendak si Arisa ni, adalah lebih baik jika aku
teruskan saja bercerita tentang apa yang dia ingin tahu. Arisa ketika ini masih
lagi berdiri sambil memeluk diri di tepi tingkap bilikku. Dengan limpahan
cahaya bulan dari luar, walaupun tanpa sebarang solekan dan senyuman, Arisa
kelihatan cantik pula. Ah sudah...jangan fikir yang bukan-bukan sekarang ni.
Ini bukan masa yang sesuai!
“Er...aku nak mula cerita dari mana ya?” soalku dengan
pandangan sengajaku alihkan ke tempat lain. Jantungku secara tiba-tiba berdegup
kencang pula, mungkin sebaik sahaja yang aku memikirkan tentang diri Arisa yang
cantik? Ah...badan! Kenapalah terlalu jujur?
“Kau okey tak?” satu pertanyaan yang tidak ku
sangka-sangka muncul dari Arisa. Kenapa tiba-tiba jadi seorang yang ambil berat
tentang orang lain? Mungkin betul kata orang, perempuan memang akan menjadi
seperti orang yang berbeza di waktu malam.
“Ah, aku okey,” kataku dan terus melepaskan nafas yang
panjang, cuba bertenang.
“Rasanya nak mula dari mana ya?”
“Tak kisah.”
“Hm, okey.” Aku menarik nafas pendek dan melihat langit
indah di luar dari tingkap bilikku, sebelum menyambung semula.
“Begini...”
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)