Tuesday, June 18, 2013

Projek Memoria - Bab 3


Are you ready?

Bersedia? Bersedia untuk apa?

Continue.”

Teruskan untuk apa pula ni?

Aku tak faham. Apa yang telah terjadi kepadaku? Siapa mereka ini? Aku cuba bertanya, namun mulutku seperti terkunci rapat. Ingin menggerakkan badan, badanku terasa seperti diikat. Hendak bangun pun tak mampu, sehinggalah aku sedar yang diriku sebenarnya sudah diikat di sebuah kerusi besi. Kedua-dua tangan dan kakiku pula digari Aku meronta-ronta, cuba melepaskan diri namun cubaanku gagal sama sekali. Aku panik. Mengapa aku boleh berada di sini? Di mana tempat ini? Dan yang paling penting, siapa orang-orang yang sedang berada di sekelilingku sekarang ini? Mereka hanya memandangku sambil tertawa kecil.

Sedang aku cuba mengatakan sesuatu, tiba-tiba aku rasakan satu renjatan elektrik menerjah ke seluruh badanku. Aku menjerit, dan serta-merta badanku menjadi kebas.

Now, tell us. Who’s Nelly?”

Ni apa ni, cakap Melayu tak boleh ke? Itulah yang aku cuba nyatakan kepada mereka, namun kerana kesan renjatan elektrik sebentar tadi masih lagi terasa, aku tidak dapat melakukan apa-apa. Aku hanya mampu merenung si penanya dengan pandangan yang kosong.

Again! Raise the level!” jerit si penanya lagi kepada konconya.

Serta-merta renjatan yang lebih kuat menerpa ke badanku sekali lagi. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu menjerit, dan menyerah diri.

Kali ini rambutku ditarik dengan kasar oleh si penanya yang merupakan lelaki berbadan tegap dan seolah-olah ketua di sini. Mukaku kini betul-betul di hadapannya. Jelas dapatku lihat raut wajah lelaki yang kasar ini. Berambut perang, berkumis, sedikit berjanggut, dan bermata biru. Seperti warga asing, dari Amerika Syarikat barangkali.

You’re one tough fella, huh?

Aku tak mampu berkata apa-apa. Aku langsung tidak mengerti apa yang dimaksudkan lelaki ini. Tak, bukan bermaksud aku tak faham bahasa Inggeris, tapi aku keliru dan pelik dengan apa yang mereka sedang lakukan kepadaku. Apa salahku? Mengapa tanya kepadaku tentang Nelly? Bukannya aku kenal pun dengan si Nelly ni. Jumpa pun tak pernah.

I...I don’t know...” dengan suara lemah aku membalas.

Namun dari riak wajah lelaki warga asing ini jelas menunjukkan yang dia tidak berpuas hati dengan jawapanku. Segera dia melepaskan rambutku dengan kasar dan berpaling ke belakang.

Kill him.

Tunggu, adakah arahan terakhir dia bermaksud menyuruh konco-konconya membunuh aku? Tidak, aku tidak mahu mati! Masih banyak lagi perkara yang aku ingin lakukan! Dan aku belum kahwin lagi! Aku ingin berkahwin dengan wanita pilihan hatiku, mempunyai anak-anak yang comel, melihat mereka membesar di hadapan mataku bersama isteri kesayangan, dan menjadi tua bersama-sama. Aku ingin melalui kehidupan itu terlebih dahulu sebelum mati!

Dalam rontaan disulami pandangan belas kasihan seperti mata anak anjing, aku meminta agar mereka dapat melepaskanku, namun permintaanku hanya dibalas dengan senyuman jahat oleh mereka, dan diikuti pula dengan satu renjatan elektrik yang terlalu kuat mengenai seluruh tubuhku. Aku menjerit sekuat-kuatnya. Selang beberapa saat selepas renjatan pertama tamat, renjatan kedua pula menyusul diikuti dengan simbahan air sejuk oleh seseorang kepadaku. Renjatan untuk kali kedua ini sakitnya terlalu amat, mungkin kerana renjatan tersebut adalah di paras yang tertinggi, bersama kombinasi air yang merupakan konduktor terbaik elektrik, aku merasakan nyawaku seperti sudah berada di penghujung. Aku tidak dapat menggerakkan badanku lagi, bersuara juga tidak mampu. Aku hanya mampu berserah, jika beginilah takdirnya nyawaku berakhir, aku terpaksa terima.

“Abang, bangun!”

Siapa? Mengapa menyuruhku bangun? Adakah aku tidak patut mati lagi?

“Abang, bangun cepat! Nanti lambat pergi sekolah!”

Sekolah? Aku nak mati ni, kenapa perlu pergi sekolah?

“Faz, kalau kau tak bangun dalam masa 5 saat, aku akan cium mulut kau~”

Mataku terus celik, pemandanganku juga berubah. Tiada lagi kerusi besi yang merenjatkan elektrik di tempat dudukku. Tiada juga orang-orang yang tidak dikenali sedang mentertawakan sambil menyeksaku. Di hadapan mataku kini adalah kipas siling yang sama seperti yang ada di bilikku. Dah ya, ini adalah bilikku. Yang tadi tu cuma mimpi rupanya. Aku menoleh ke kanan di mana jam dindingku berada, untuk melihat waktu sekarang. Di luar sudah kelihatan cerah, jadi aku terfikir sekarang sudah pukul berapa. Namun apa yang berada di kananku adalah wajah Hakimi yang semakin mendekati mukaku, dengan muncungnya seperti hendak menciumku. Dengan segera aku menumbuk muka gay ini agar dia segera menjauhi aku.

“Hoi! Apesal kau tumbuk muka aku? Sakit tahu!”

“Yang kau tu pun, pergi buat muka macam tu kat aku apahal?”

“Dah kau tak nak bangun, aku ingat kau dah jadi macam Snow White, kena cium baru boleh bangun...”

Aku menekup mukaku dengan tangan kananku. Apalah masalah si Hakimi ni. Terlalu banyak baca cerita kanak-kanaklah jadi macam ni.

Setelah beberapa ketika, barulah aku tersedar tentang sesuatu. Tentang mengapa aku berasa tidak selesa sejak tadi.

“Eh, Kimi. Ni apahal badan aku basah pula ni? Kau jirus air dekat aku ke?”

“Nisya yang jirus! Yay!” terdengar jeritan Nisya yang entah muncul dari mana.

Aku cuba menangkap Nisya yang ketika ini sedang berlari melalui hadapan bilikku namun tidak berjaya. Pantas juga dia melarikan diri.

“Erm, Faz. Aku rasa daripada kau sibukkan diri pergi tangkap si Nisya tu, baik kau tengok jam.”

Kata-kata Hakimi membantutkan niatku untuk mengejar Nisya dan sebaliknya terus melihat ke arah jam yang kini sudah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Apa? 7.15 pagi? Pintu pagar sekolah akan ditutup dalam masa 15 minit sahaja lagi. Sempat ke ni? Perjalanan ke sekolah pun dah mengambil masa lebih kurang 10 minit. Ahh, baju pun belum digosok lagi.

“Baju ibu dah gosok. Pergi mandi cepat!” terdengar jeritan ibuku dari tingkat bawah. Ibu bagaikan boleh mendengar suara hati aku saja. Walau apapun, lega sedikit hatiku, satu perkara telah selesai. Sekarang apa yang paling penting adalah mandi dengan cepat, bersiap dan berlari ke sekolah!

“Walaupun dah lambat, kau jangan mandi kerbau tau. Nanti busuk, takde awek nak dekat dengan kau nanti,” sempat lagi si Hakimi ni mengusik aku.

“Ah, diamlah kau. Kau tu kalau taknak lambat, tak payahlah tunggu aku!” marahku pada Hakimi sambil mengambil tuala yang tersidai di belakang pintu bilik dan terus menerpa ke bilik air.

Usai mandi, aku segera mendapatkan baju sekolahku yang sudah digosok oleh ibuku di tingkat bawah, kemudian kembali ke bilikku dengan segera untuk bersiap. Sempat juga aku menjeling ke arah jam yang pada waktu ini menunjukkan pukul 7.22 pagi. Habislah, memang kena larilah macam ni.

Dengan segera aku turun ke bawah, mendapatkan tangan ibuku dan mencium tangannya sebelum berlari ke muka pintu untuk memakai kasut pula. Ah, kasut ni, waktu-waktu macam inilah pula dia nak buat hal. Tali kasutku belah kanan tercabut sedikit dan telah membuang sedikit masaku untuk membetulkannya. Ketika itu juga aku lihat Hakimi masih lagi berada di hadapan rumahku. Siap bersiul-siul lagi. Masih nak tunggu akukah? Pergi sajalah dahulu, degil betul orang ni.

Selesai sahaja aku mengikat tali kasutku, aku terus berlari ke arah pintu pagar. Tatkala aku ingin mula berlari, Hakimi memanggilku dari hadapan pintu pagar rumahnya.

“Faz, tak payah susah-susah nak lari. Meh naik motor ngan aku, zroom! Sekejap je dah sampai.”

Patutlah berlengah-lengah je mamat ni dari tadi, nak bawa motor rupanya. Mentang-mentang baru beli motor baru. Memandangkan aku tidak mahu lewat ke sekolah dan jam juga sudah menghampiri 7.30 pagi, aku terus membonceng motor Hakimi tanpa memikirkan apa-apa dan motor Honda Wave Hakimi terus memecut laju menuju ke arah sekolah.
***

“Faz, kau ada masalah ke?” satu soalan daripada Hakimi ditujukan kepadaku sebaik sahaja kelas Sejarah tamat.

“Mana ada apa-apa,” aku membalas ringkas.

“Kalau takde, takkanlah kau boleh tidur awal, lena sampai pagi pula tu. Agaknya kalau bom meletup pun kau tak dengar.”

“Ala, bukannya pelik pun tidur awal bangun lambat,” malas pula aku hendak membalas pertanyaan Hakimi lagi.

“Kau mana pernah tidur macam tu sebelum ni. Ke kau ada projek baik semalam? Bagitahulah aku,” Hakimi masih lagi mendesak.

“Kau ni bini aku ke? Aku kata takde, takdelah.”

“Kalau aku betul jadi bini kau, kau nak beritahu ke?”

Aku tercengang, dan menggaru-garu kepalaku. Apa masalah si Hakimi ni, tak habis-habis mengusikku.

“Ai, tak makan umpan ke?” jelas Hakimi ketika melihatku tiada respon di atas gangguan gay daripadanya.

“Aku dah masak sangat dengan perangai kau, Kimi. Kau pergilah cari awek, kau senang, aku pun senang.”

“Apa yang senang?” Hakimi masih tidak berpuas hati.

“Kau senang sebab bila ada awek, hmm...senanglah. Aku pula senang sebab kau dah tak payah susah-susah nak kacau aku lagi,” aku membalas spontan, malas berfikir panjang.

“Hmmm, dengan kata lain, kau sebenarnya tak suka aku usik kau kan? Iyalah, aku faham,” sedih pula suara Hakimi ketika ini. Cuba ambil simpatilah tu.

Perbualan kami terhenti di situ. Suasana kelas ketika ini hingar-bingar. Kelas selepas subjek Sejarah adalah subjek Matematik. Nampaknya Cikgu Eton lewat ke kelas lagi. Menjadi guru pembimbing bagi koperasi sekolah sememangnya sentiasa sibuk setiap hari. Pelajar yang membantu menguruskan koperasi pula hampir semua seperti tidak boleh diharap. Ada sahaja yang ponteng bertugas. Ada juga yang silap dalam perkiraan jual beli dan akaun. Mengapalah diambil pelajar sebegitu untuk menguruskan koperasi? Lagipun, bukankah lagi senang jika menggaji orang luar yang berpengetahuan untuk menjaga koperasi? Apalah sangat bayaran gaji dalam RM800 sebulan. Pelajar pun tidak terganggu pelajaran mereka. Cikgu Eton pun tidak terganggu kerjanya. Kasihan Cikgu Eton.

“Kimi, kau pernah dengar tak nama Clark Slacky?” entah apa sebabnya tiba-tiba lidahku menjadi ringan untuk bertanya perkara ini kepada Hakimi.

“Clark Slacky? Hmm, kalau tak salah, dia tu ketua perompak bersiri tapi dah ditangkap polis, bukan? Tapi sumber polis beritahu yang dia dah hilang ingatan, sampai sekarang tak tahu di mana lokasi dia simpan wang-wang rompakan,” begitu bersungguh-sungguh Hakimi menerangkan.

“Ingatan kau, kuat betul ek...” kataku dengan sedikit kerut di dahi.

“Ehem..ehem. Biasalah. Kalau tak masakan markah exam aku selalu antara yang tertinggi,” Hakimi membalas dengan nada yang agak bongkak.

“Iyalah tu..” jawabku malas.

“Weh, kalau tak nak tahu pun memang akan tahulah, dan semua media buat liputan tentang itu.”

“Aku tak tengok tv,” sekali lagi aku menjawab malas.

“Tulah kau, main game banyak sangat. Nanti kalau orang lain semua dah lari selamatkan diri dari gempa bumi ke, tsunami ke, kau tercongok lagi depan PC dengan game kau tu,” dah mulalah bebelan si Kimi ni. Bosan pula aku hendak mendengar.

“Sini mana ada gempa bumi. Tsunami pun mana ada. Kalau ada pun, Singapore tu dah tenggelam dulu, baru kita kena tempias.”

“Ish kau ni, jangan doakan pula. Aku ada saudara-mara di sanalah.” Oh terlupa pula aku yang ibu si Kimi ni warga Singapura.

“Bukan doakan, cakap je, secara geografikan laut kita dilindungi oleh pulau Temasek tu. Laut kita pun kecil je,” balasku sambil berfikir jika telahanku tentang geografi itu betul.

“Iyalah kau, macam bijak geografi je. Yang kau nak tahu tentang dia ni kenapa? Tiba-tiba pula tu,” alamak, dia pergi tanya pula tentang ni.

“Takde apa-apa, tiba-tiba je nama dia terlintas kat kepala otak aku ni,” aku cuba berbohong.

“Ye je takde apa-apa? Kalau tak, takkanlah dari petang semalam kau nampak lain macam je. Ceritalah kat aku. Mana tahu aku boleh tolong ke. Boleh?” Hakimi mula cuba mengorek rahsia sambil mencucuk-cucuk badanku dengan jarinya. “Ceritalah. Ceritalah. Ceritalah...” berterus-terusan Hakimi memaksa.

“TAKDE. Tak ada, faham?” jawabku ringkas dan bingkas bangun dari tempat dudukku. Bosan pula bersoal jawab dengan mamat ni.

Aku mula mengorak langkah untuk keluar dari kelas dan menuju ke tandas. Namun tatkala aku baru hendak menuruni tangga, aku terdengar namaku dipanggil dari jauh. Aku menoleh dan mendapati, juniorku; Julia yang sedang memanggilku rupanya.

“Faz senpai~” jerit Julia di kejauhan.

“Hish, apa senpai-senpai. Sini bukan Jepunlah,” balasku keras namun dalam bentuk gurauan.

“Ahaha, saje je. Sedap pula sebut perkataan tu,” jelas Julia dengan sedikit sengihan.

“Ni lari dari kelas ke? Tercungap-cungap nampak,” tanyaku pada Julia yang kelihatan termengah-mengah. Betul-betul lari dari kelas ke budak ni?

“Bukanlah, kelas Ju tengah takde cikgu ni. Pastu Ju nampak senior keluar dari kelas, terus Ju pecut ke sini. Senior pula, nak lari dari kelas ke?” balas Julia dengan sengihan lagi.

“Nak pergi tandaslah,” balasku seraya memandang ke arah lain. Terasa sedikit segan.

“Oh ye ke. Hihi.” Eh, gelak pula budak ni.

“Ni yang Ju susah-susah datang sini ni buat apa?” soalan yang sejak tadi berlegar-legar di fikiranku ditujukan kepada Julia.

“Oh, yalah. Terlupa pula Ju. Semalam Ju call kenapa tak angkat?”

Call? Ada ke? Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari poket seluarku dan mula menyemak rekod panggilan. Yalah, ada 2 panggilan tidak dijawab. Dan waktunya, pukul 8 dan 9 malam. Aku dah tidurlah waktu ini.

“Ah, sorry Ju. Tak perasan telefon. Saya tidur awal semalam. Ada apa-apa masalah ke?” soalku sambil menyimpan semula telefon bimbitku dengan segera, bimbang jika ada guru yang ternampak, habis kena rampas nanti. Walaupun telefon bimbitku hanya telefon biasa yang setaraf Nokia 3310 tu tapi ia amat bermakna buatku kerana segala nombor telefon rakan-rakanku ada di dalam telefon ini. Jika hilang, habislah. Aku pula tak rajin hendak membuat salinan di mana-mana, tunggulah bila-bila jika ada kelapangan aku buat satu salinan nombor-nombor mereka.

“Ai, awalnya tidur. Ada projek baik ke semalam?” sekarang Julia pula yang mengusikku. Memang rupaku jenis senang diusikkah?

“Tak, cuma letih je,” jawabku dengan sedikit keluhan. “Tu je ke nak tanya?” sambungku lagi.

“Eh tak. Kalau tak ada perkara penting, takkanlah Ju nak call senior malam-malam bukan?” betul juga katanya. Julia pun bukannya ‘awek’ aku pun, saja-saja nak telefon.

“Betul juga,” kataku, mungkin sedikit kecewa. “Jadi Ju ada hal apa ni?”

“Jom join kumpulan Ju, main gitar.”

Tercengang sekejap aku di situ. Kenapa tiba-tiba sahaja Julia menjemputku menyertai kumpulan kugirannya yang sudah terkenal tu? Aku pun hanya biasa-biasa sahaja dalam main gitar.

“Eh, Ju. Kenapa tiba-tiba jemput ni? Lagipun saya ni takdelah handal mana pun main gitar ni, takat biasa-biasa je,” jawabku dengan sedikit curiga. Aku tahu setakat mana kemampuanku, tidaklah sehebat pemain gitar mereka.

“Nilah masalahnya. Ahli kumpulan kami yang main gitar tu nak pindah KL minggu depan. Hujung bulan ni pula kami ada persembahan pembukaan bagi majlis makan malam sebuah syarikat besar. Ramai orang-orang besar dan ternama datang time tu nanti. Tu yang kitorang tengah risau ni,” jelas Julia bersungguh-sungguh.

Bitter Butter, di mana Julia adalah vokalisnya, merupakan antara kumpulan kugiran indie yang ternama. Kerap memenangi pertandingan dan sentiasa mendapat sambutan yang hangat di kalangan penonton. Mereka juga pernah dilamar oleh sebuah syarikat rakaman untuk rakaman lagu dan penghasilan album namun mereka menolak dengan alasan masih lagi bersekolah. Untuk aku menyertai sebuah kumpulan yang sebegini hebat walaupun untuk sementara adalah sesuatu yang sukar digambarkan.

“Dia pindah kenapa?” mungkin ini adalah satu soalan tidak berkaitan atau soalan bodoh namun terpacul juga dari lidahku untuk disoal kepada Julia.

“Dah ayah dia kena pindah kerja ke sana, nak buat macam mana...” balas Julia, sayu. “Jadi macam mana, boleh tak?” Julia masih lagi mahukan jawapanku.

“Hmmm, saya tak confidentlah nak join  kumpulan Ju. Iyelah, saya ni bukan pro, main gitar tu untuk suka-suka je. Nak perform kat orang pun gugup lagi.”

“Ala, bolehlah senior. Saya ajak ni pun sebab saya tahu kemampuan senior. Saya ada tengok masa senior bertanding bulan lepas, memang terbaiklah! Group senior kalah sebab ahli-ahli tak serasi. Kalau tak, memang confirm menanglah!”

Aku hanya tersenyum mendengarkan pujian Julia. Dari gayanya, pujian yang diberikannya nampak ikhlas. Namun itu tidak bermaksud yang aku yakin untuk menyertai kumpulannya. Adakah aku kurang keyakinan diri? Hmmm, mungkin benar juga.

“Senior Faz, please?” sambung Julia, sambil dia merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya di hadapan muka dan mengenyitkan sebelah matanya, ditambah pula dengan wajahnya yang ayu, terlalu comel pula pada pandangan mataku. Setelah aku mengangguk tanda setuju, barulah aku tersedar yang aku telah terpedaya dengan taktik licik Julia.

“Yay! Thank you senior! Hari ni lepas sekolah, datang kelas Ju ya. Kita discuss tentang persembahan tu dan jumpa ahli kumpulan yang lain, okey?”

Sebelum Ju pulang ke kelas dengan girangnya, sempat juga dia mengenyitkan matanya sekali lagi kepadaku. Aku hanya mampu membalas dengan senyuman kelat. Tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Terasa seperti ingin menyembunyikan diri di bawah meja, atau pun di dalam almari. Terlalu malu dengan diri sendiri yang boleh terpedaya dengan taktik comel seorang gadis. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal tetapi sengal, dan masih lagi berdiri di tempat yang sama walaupun kelibat Julia sudah lama hilang dari pandangan.

“Dah habis bercengkerama ke?” satu suara yang sangatku kenali menyapa dari arah pintu kelas. Aku menjeling.

“Dah berapa lama kau tercongok kat situ, Kimi?” aku memandang Kimi dengan wajah yang kelat. Rasa menyampah pun ada.

“Alalala, comelnya. Marah ke? Janganlah marah, sayang. Aku baru je berdiri kat sini. Risau sangat aku curi dengar,” balas Kimi dengan rupa yang seperti sedang menahan ketawa.

Bosan betul, dan benci betul dengan diri sendiri. Kenapa aku ni senang sangat diusik oleh orang lain? Rasa macam nak tikam diri sendiri dengan pedang je, apakan daya, tahan sajalah malu ini.

Melihat wajah menjengkelkan Kimi membuatku tambah menyampah dan marah. Segera aku berpusing untuk meneruskan hajat yang terbantut sebentar tadi. Namun hajatku sekali lagi terbantut apabila melihat Cikgu Eton sedang menaiki tangga untuk menuju ke kelas kami. Hah, masa rehat nanti sajalah aku ke tandas. Tanpa memandang Hakimi yang masih berdiri di tepi pintu, aku menuju ke tempat dudukku, duduk, mengeluarkan buku-buku subjek Matematik dan meletakkan buku-buku tersebut di atas meja. Hakimi ada mengikutiku di belakang namun aku tidak mengendahkannya, masih rasa menyampah mungkin? Sesekali terdengar Hakimi membebel-bebel di belakang sambil mencucuk-cucuk badanku dengan sesuatu seperti pensel namun aku sama sekali tidak mengendahkannya. Mahu korek rahsialah tu. Aku cuma berbincang tentang persembahan dengan Julia, bukannya berjanji untuk pergi dating. Bosan betul. Masa, tolonglah bergerak pantas. Aku mahu pulang ke rumah.

Dan Kimi masih tak berhenti mencucuk-cucuk badanku sepanjang kelas...

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)