“Bagaimana? Ada chance tak untuk kita rampas semula
memori tu?” wanita yang dalam tidak tentu arah itu bersuara. Memori? Adakah kad
memori yang dimaksudkan wanita ini? Kad memori berisi sesuatu yang berharga
telah dicuri oleh orang barangkali, fikiranku bersuara.
“Hmm, agak sukar.
Memori tu dibeli oleh ajen rahsia berpangkat tinggi. Apa yang dapat aku korek
cuma code name dia - Nelly. Itu
saja,” balas lelaki yang sedang duduk sambil memegang rapi segelas air tanpa
meminumnya, dia hanya merenung gelas itu. Gayanya seperti sedang berfikir
panjang untuk menyelesaikan masalah matematik yang susah.
“Nelly, boleh jadi
perempuan, boleh jadi lelaki. Boleh jadi warganegara, boleh jadi warga asing.
Hah...memang agak sukar untuk kita teruskan tugas ini. Ada klu-klu lain tak?”
kali ini lelaki yang sedang menongkat dagunya pula bersuara.
“Betul tu, K.
Kalau dia ajen, mesti ada info tentang dia di mana-mana bukan?” kali ini agak
tinggi suara yang dilontarkan oleh wanita yang sedang kerisauan itu.
“Dah nama ajen
rahsia, mana ada info! Semua info tentang ajen rahsia tak dicatat di
mana-mana!” agak keras suara lelaki bernama K ketika ini, bagaikan marah kerana
tidak dapat menyelesaikan masalah matematik yang sudah cuba diselesaikan
setelah sekian lama.
“Then, apa progress kita ni? Stuck? I
don’t want that. We have to solve this problem! And I want that memory! I mean
it!” speaking London pula minah
ni. Nak kata warga asing, bukan. Kulit dan rupa macam orang Melayu, tapi
entahlah. Sebab gelap di dalam tu, jadi kurang jelas penglihatanku. Hmm,
apa-apa sahajalah.
“Ni lah perempuan,
tak reti sabar. Lepas tu mengarahkan orang je tahu. Cuba bawa bertenang.
Daripada kau marah-marah, baik kau duduk diam-diam dan fikir macam mana nak
selesaikan masalah dengan kepala otak sendiri. Jangan nak harapkan orang je!”
sekali lagi lelaki K berteriak. Cakap orang jangan marah tapi dia sendiri
marah-marah. Tak sedar pula.
“Che!” wanita
berambut perang yang baru selesai berang itu hanya mengeluh dan menghempaskan
punggungnya di satu kerusi berdekatan.
Lelaki yang
menongkat dagunya tadi hanya menggelengkan kepala.
“Aiyo, apa pasal
gaduh-gaduh? Jangan gaduh-gaduh maa. Rilek maa..” satu suara tiba-tiba muncul
dari penjuru bilik dengan membawa satu lampu suluh bersaiz sedang.
“Ha, muncul pun
tokey kedai. Aiyo tokey, lu tahu tak kami ni dah tunggu lu berapa lama? Mana
ada tokey kedai kasi pelanggan tunggu lama-lama maa. Business lari la
ini macam,” K membalas dengan nada yang
sedikit tinggi.
“Aiyo, manyak soli
ar. Wa tengah check stock maa. Bukan ini tempat saja wa kena jaga, kedai
depan pun wa kena jaga. Tak jaga kedai depan, ini tempat macam mana buka maa?”
jelas seorang apek yang dikatakan sebagai pemilik kedai atau tokey. Cuma
kata-katanya membuatkan aku sedikit keliru. Kedai depan? Adakah dimaksudkan
kedai silap mata di depan ini? Jika mengikut pemahaman aku, dari apa yang
dikatakan oleh tokey itu tadi, kedai depan dibuka untuk menutup aktiviti yang
berlangsung di kedai ini, iaitu tempat gelap yang tersembunyi jauh di belakang
kedai, tempat aku sedang berada sekarang ini. Jadi, kedai belakang ini
menjalankan perniagaan apa ya?
“Dahlah tokey. Ni
kami nak tanya. Lu tahu tak tentang Nelly?” K mengajukan soalan yang rasanya telah
sekian lama terbuku di dada.
Tokey kedai
terdiam. Walaupun di dalam kegelapan, masih jelas kelihatan dahinya berkerut
setelah diajukan soalan itu. Dia kemudiannya menggaru-garu kepalanya yang
kurang berambut itu.
“Lu tahu ha, wa ni
cuma tokey cawangan saja. Wa bukan ajen kelas tinggi, orang dari HQ pun bukan.
Tapi wa pernah dengar itu nama. Apa pasal dengan itu orang?”
“Kami mahukan
memori Clark Slacky. Memori yang kami mahukan tu ada pada dia. Kami nak tahu
bagaimana orangnya dan nak cuba dapatkan semula memori tu daripada dia,”
setelah lama diam seribu bahasa, kali ini lelaki menongkat dagu bersuara.
Tunggu kejap,
Clark Slacky? Bukankah dia...hmm...sekejap...aku tak berapa pasti. Nanti balik
aku Google. Tapi mereka ni tak
habis-habis sebut tentang memori. Memori manusia pula tu. Ini telah membuatkan
perasaan ingin tahuku membuak-buak. Pengintipan diteruskan.
“Wa tak tau ini
orang,” tokey menjawab ringkas dan cuba beredar dari situ tetapi segera
dihalang oleh K.
“I tahu lu ada
maklumat. Apa lu tahu? Spill it out!” speaking London lagi si minah ni.
“Haiyo, wa kata wa
tak tau, tak tau la! Lu orang mahu wa cakap berapa kali ha?”
“Tapi tadi lu kata
lu pernah dengar itu nama? Itu apa?” minah rambut perang bersuara lagi.
“Wa kata, wa
pernah dengar. Bukan wa kenal itu orang. Wa dengar dari HQ punya orang, itu apa
nama dia, ajen Maria. Dia kata dia pun sedang cari ini orang. Lu orang pergi
tanya sama dialah, tanya wa pun wa tak tau nak jawab apa.”
Masing-masing
terdiam dan berpandangan antara satu sama lain. Tokey kedai pula secara
perlahan-lahan beredar dari tempat yang sangat terasa bahangnya walaupun di bawah
penghawa dingin yang kuat.
“Slacky memang tak
guna! Sia-sia saja aku buang masa jadi kekasih dia! Ingatkan aku boleh dapat
duit tu, tapi...!” wanita berambut perang itu tiba-tiba menjerit. Bamm!
Tangannya dihentakkan sekuat hati pada meja. Bukan sahaja rakan-rakannya
terkejut, malah aku turut terkejut. Namun aku berterima kasih kepadanya kerana
menyedarkanku dari lamunanku. Maklumat-maklumat yang baru aku perolehi ini
sememangnya mengejutkan, namun aku cuba waraskan fikiran.
Melihat keadaan di
dalam semakin sunyi, aku kira adalah lebih baik jika aku keluar dari tempat itu
segera, beranggapan bahawa tujuan mereka ke situ sudah tercapai dan mereka akan
beredar pada bila-bila masa sahaja. Jika mereka mengetahui aku mengendap di
sini, perkara buruk pasti akan berlaku pada aku. Jadi dengan segera tapi tanpa
mengeluarkan bunyi yang mencurigakan, aku keluar dari situ, keluar dari kedai
alat silap mata tanpa membeli apa-apa, tanpa singgah di mana-mana, walaupun
dalam perjalanan aku ternampak kanak-kanak yang meminta sedekah daripadaku tadi
sedang seronok bermain permainan video di dalam arked game, namun segalanya tidakku endahkan. Aku terus berjalan dengan
pantas dan segera menuju ke hentias bas.
***
Bas yang dinaikiku
kini menghampiri kawasan perumahan yang didiami aku. Hampir sahaja aku terlepas
perhentian yang patut dituruni dek asyik memikirkan kejadian yang berlaku di
bandar tadi. Setelah turun dari bas, aku terpacak sendirian di situ kira-kira
10 minit. Mungkin orang yang lalu-lalang berpendapat bahawa aku adalah figura
bersaiz manusia yang baru diletakkan di perhentian bas itu sebagai gimik dalam
mempromosikan kempen menaiki bas. Atau jika ada burung-burung yang bertenggek
di atas tempatku berdiri, sudah tentu kepalaku penuh dengan najis-najis burung
tersebut.
Setelah tersedar
dari lamunan, atau mungkin kerana terasa penat berdiri, barulah aku
menggerakkan badanku dan mula mengorak langkah. Tujuanku? Sudah tentu untuk
pulang ke rumah. Badan terasa amat letih, kepalaku juga berat. Di fikiranku
sekarang cuma terfikir untuk terlena di katilku yang empuk dan rehat
secukupnya.
Memori? Nelly?
Clark Slacky? Ah, sudahlah. Lebih baik jika aku lupakan sahaja tentang ini
untuk seketika. Fikir sekarang pun bukannya ada jawapan. Aku mahu tidur!
Sesampainya aku di
rumah, aku disambut oleh satu jeritan lantang.
“ABANGGGG!!!! NAPE
LAMBAT BALIKKK!!!!” berdengung seketika telingaku. Adik perempuanku, Fannurfanisya,
atau Nisya, menjerit tatkala aku membuka pintu rumahku.
Melihat wajah
masamnya itu terus ingatanku terimbas, berkenaan mengapa aku tidak mahu pulang
ke rumah dengan segera. Aku terlupa, terlupa tentang perkara yang amat
menakutkanku.
“Abang, jawablah!
Kenapa abang balik lambat? Kan abang dah janji dengan Nisya nak main
rumah-rumah...”
Ya, tuan-tuan dan
puan-puan sekalian. Itulah perkara menakutkan yang cuba dihindari oleh aku,
iaitu bermain permainan kanak-kanak bertajuk ‘rumah-rumah’ bersama budak kecil
berusia 5 tahun. Aku, seorang lelaki sejati, bermain permainan kanak-kanak
perempuan? Mengapa aku perlu hadapi situasi sebegini? Sesiapa! Tolong beritahu
aku!
“Entahnya Faz.
Adik kamu tu tanya, kenapa kamu balik lambat? Dah lama dia tunggu kamu balik.
Kesian dia,” ibuku yang tiba-tiba muncul dari dapur menyokong adikku pula.
Aku terkedu. Tak
tahu apa yang perlu aku lakukan. Kakiku masih lagi di hadapan pintu, belum
jejak ke dalam rumah lagi, dah pelbagai kesukaran menimpaku. Aril, kenapa kau pergi
masuk asrama penuh dan tinggalkan abang kesayangan kamu ni di sini? Terpaksa
pula melayan karenah budak manja ni. Tak layan karang, menangis. Bila dilayan,
aku pula yang menangis. Aduhailah nasib...
“Er...Faz ada
mesyuarat kelab tadi. Tu yang lambat...” siapa sangka aku boleh berbohong
kepada keluargaku.
“Mesyuarat tu apa?
Oh, abang pergi dating eh? Abang
jahat!”
Kejap, sejak bila
mesyuarat dan dating ni sama maksud?
Dan yang paling penting, sejak bila Nisya tahu perkataan dating? Hish, Nisya ni! Pandai-pandai jelah. Ibu pula hanya
tersenyum. Tolonglah terangkan kat si Nisya ni sikit!
“Nisya sayang.
Mesyuarat tu berkumpul ramai-ramai dan bincang tentang sesuatu. Bukan dating,” aku cuba menerangkan maksud
mesyuarat kepada Nisya. Entah dia faham atau tidak.
“Oh, maknanya
abang pergi dating dengan ramai
perempuan eh? Abang gatal!”
Aku menepuk
dahiku. Tak tahu bagaimana perkataan dating
boleh melekat di kepala Nisya sehingga dia berterusan menggunakan perkataan
yang sama dan memarahiku. Ibu mula ketawa terbahak-bahak. Seronok betul ya, bu?
“Abang, cepat!
Lama tau Nisya tunggu abang nak main rumah-rumah ni!” jerit Nisya sambil
menarik lengan bajuku. Kakiku yang sedia longlai hanya mengikut ke mana adik
kecilku bawa.
“Nisya duduk sini,
abang duduk sana tau. Nisya jadi ayah, abang jadi ibu.”
Kejap, kejap. Aku
tak faham. Kenapa aku kena jadi perempuan sedangkan Nisya jadi lelaki?
“Adik, patutnya
adiklah jadi ibu. Abang jadi ayah...” tak sempat aku menghabiskan ayatku terus
Nisya menyampuk.
“TAK NAKKK!!”
Pekak sekejap
telingaku.
Aku menggaru-garu
kepala, ibu masih lagi tertawa melihat gelagat kami. Ibu, patutnya ibu tolong
saya, bukan ketawa. Hah...sedih sungguh hatiku.
“Okeylah, kalau
abang Faz tak nak jadi ibu, biar abang Kimi yang jadi. Boleh?” satu suara
tiba-tiba muncul dari arah pintu ruang tamu. Hakimi rupanya, entah sejak bila
dia sudah berada di situ tidak aku tahu.
“Abang Kimi nak
main eh? Hmm...kalau camtu, abang jadi suami, Nisya jadi isteri ya?”
Eh, begitu senang
bertukar? Dan suami isteri? Budak-budak zaman sekarang...begitu cepat matang
ya. Entah siapalah yang mengajar si Nisya perkara-perkara
sebegini. Mungkinkah Kimi? Kalau ya, memang nak kena si Kimi ni.
Walaubagamanapun,
Hakimi yang muncul secara tiba-tiba telah berjaya menyelamatkan aku dari terus
menjadi mangsa permainan aneh Nisya. Tanpa sepatah kata kepada Hakimi, aku
terus menaiki tangga ke tingkat atas dan menuju ke bilikku. Menghempas badan
penatku di atas katil, dan terus memejamkan mataku. Perkara yang berlaku dari
pagi tadi hingga sekarang aku buang jauh-jauh dari fikiranku kerana aku cuma
mahu berehat. Terlalu penat. Sayup-sayup terdengar bunyi telefon bimbitku
berdering, namun kerana keletihan aku tidak mengendahkannya dan terus terlena.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)