Sunday, November 17, 2013

Cerpen - Rahsia Malam Kelam


Pusat Bandar Minasotta. 14 April, Rabu, 11:18 PM.

“Hillary, kau masih di rumahkah? Ya, ya. Aku baru balik ni. Teruk betullah pengurus kedai tu, kerja tengah banyak tadi, boleh dia balik awal? Memang sengaja kan! Aku dah nak sampai stesen tren ni. Nanti macam biasa, kau tolong jemput aku kat stesen ya. Terima kasih banyak-banyak tau!”      

Madison Stuart, 19 tahun, pelajar Universiti Minasotta tahun kedua, jurusan senireka dalaman. Bekerja sambilan di sebuah kedai serbaguna di pusat bandar Minasotta. Madison tahu yang kerja sambilannya sedikit sebanyak telah mengganggu konsentrasi pelajarannya, apatah lagi apabila kerap pulang lewat malam, namun dia terpaksa juga bekerja bagi menampung perbelanjaan hariannya termasuk yuran pelajaran. Namun apa yang tidak diketahuinya adalah, ketika dia berjalan melewati lorong-lorong gelap sebagai altenatif mudah dan cepat untuk tiba di stesen tren Minasotta, secara tiba-tiba dia ditarik satu tangan misteri dari celahan bangunan gelap dan satu tusukan tajam diberikan tangan itu tepat mengenai jantungnya.
***

Nombor 204, Pangsapuri Artie, Bandar Minasotta. 17 April, Sabtu, 8:25 PM.

Steven bercekak pinggang, memandang adiknya Stacie yang masih teresak-esak menangis di hadapan televisyen. Sudah berpuluh kali dia meminta adiknya itu untuk berhenti menonton drama yang tidak memberikan sebarang faedah dan membantunya memasak di dapur namun tiada balasan. Stacie masih kekal duduk bersimpuh di hadapan televisyen bagaikan langsung tidak menyedari akan kewujudan abangnya itu. Steven yang sudah hilang kesabaran terus menutup plak utama televisyen.

“Hei, cerita tadi tu tak habis lagilah!”

“Aku peduli apa. Kalau kau malas sangat nak tolong aku masak, sekurang-kurangnya pergilah rumah mak cik Artie sekejap ambilkan daging. Dia dah telefon berkali-kali suruh datang ambil.”

“Ala, suruh mak cik Artie datang sendiri tak boleh ke? Bukannya jauh pun...”

“Ye, memang tak jauh. Sebab tu aku suruh kau pergi turun kejap! Tak kan nak harapkan mak cik Artie yang sakit lutut tu naik tangga datang rumah kita ni! Nanti yang nak mencekik pun kau juga!”

Stacie mencebik. Menyampah dengan perangai abangnya yang macam mak-mak. Sejak kematian ibu bapa mereka beberapa tahun yang lalu, mereka tinggal berdua di rumah itu, namun masih dipantau mak cik Artie, tuan pemilik pangsapuri didiami mereka.

“Ha, buat muka. Aku tarik bibir itik tu karang baru tahu. Biar panjang. Kau tahu Stacie, kalau kau terus buat perangai buruk macam ni, jangan haraplah lelaki idaman kau tu nak jatuh hati kat kau, tahu!”

Stacie menyeringa. Malas hendak mendengar bebelan abangnya yang bagaikan tiada henti itu, dia mencapai baju sejuk berhud yang terdampar di lantai dan menyarungnya, tidak dilupakan juga telefon bimbitnya yang terletak di atas meja, sebelum terus berlalu keluar tanpa mengendahkan halangan daripada abangnya. Stacie tidak menuju ke rumah mak cik Artie yang terletak di tingkat bawah, sebaliknya membawa diri ke taman permainan berdekatan.

Di sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri Artie, Stacie duduk di buaian sambil menendang-nendang batuan kecil di tanah. Dia memang menyampah dengan perangai abangnya itu, terlalu mengongkong. Dan ada sahaja arahan yang diberikan. Sesekali Stacie berkumat-kamit memarahi abangnya. Namun tidak lama apabila tiba-tiba dia tersentak mendengar satu jeritan yang mana puncanya tidak jauh dari tempat dia berada.

“To...long...”

Seorang wanita berlumuran darah melangkah perlahan-lahan ke arah Stacie sebelum jatuh dan tidak bangun lagi. Muncul pula di belakang wanita itu adalah seseorang berpakaian serba hitam, berdiri tegak memandang ke arah Stacie. Stacie tahu yang dia perlu larikan diri dari situ namun kakinya kaku. Untuk menjerit meminta tolong pun dia tidak boleh. Suaranya bagaikan tersekat dan tidak berfungsi. Stacie beranggapan yang dia tidak akan diapa-apakan sekiranya dia menurut sahaja jika disuruh orang misteri itu. Tak, Stacie yakin dia tidak diapa-apakan. Dia tidak sengaja berada di situ dan juga tidak bersalah. Sekarang Stacie berasa menyesal kerana keluar lewat malam. Melihat orang misteri itu berdiri tegak tidak bergerak, Stacie menggagahkan diri untuk menggerakkan kaki dan terus berlari.

“Adik nak ke mana?”

Bisikan daripada orang misteri yang sebentar tadi tepacak di hadapannya dan kini entah bila sudah berada di belakangnya itu membuatkan Stacie melompat. Belum sempat dia berfikir akan apa yang perlu dilakukan seterusnya atau apa yang sedang berlaku sebenarnya, dia berasa dadanya ditikam satu benda tajam dari arah belakang. Stacie kemudiannya terjelepuk di tanah dalam lautan darah.
***

Bar le’Orienta, Bandar Minasotta. 17 April, Sabtu, 9:32 PM.

Elena mencelikkan matanya. Kepalanya terasa berat. Tekaknya juga terasa loya. Dia meneguk segelas air kosong hingga habis dan mula memicit-micit dahinya. Kepalanya terasa bagai nak meletup. Mungkin kerana terlalu banyak meminum alkohol.

“Dah. Baliklah, Elena. Kau dah teruk sangat ni.”

Elena menjeling ke arah lelaki tampan yang duduk di sebelahnya. Tanpa mengendahkan kata-kata lelaki itu, dia memesan lagi segelas alkohol dan meminumnya rakus. Geram betul dia ketika itu.

“Jomlah Zach, teman aku pergi tengok konsert Flamia malam besok. Bukan senang tau nak dapatkan tiket ni...” pujuk Elena sambil menunjukkan dua keping tiket konsert kumpulan muzik terkenal, Flamia.

“Aku kerjalah. Kau ajaklah orang lain,” balas Zachary tanpa menoleh. Dia menghabiskan baki air kosong di dalam gelasnya sebelum meminta diri.

“Zach, kalau tak boleh teman pergi konsert besok pun, paling-paling temankanlah aku malam ni. Aku bosanlah...” rayu Elena lagi. Tangannya memegang erat lengan baju Zach dengan tujuan jejaka itu tidak pulang lagi.

“Elena, kau dah  mabuk teruk ni. Jom aku hantar kau balik.”

“Hmm, balik rumah Zach ke?”

“Balik rumah kaulah!”

Elena merengek-rengek bagaikan anak kecil. Merayu-rayu untuk bermalam di rumah Zach malam itu. Sesekali dia bersendawa kuat, dan mula tertawa seperti orang gila. Zachary menggeleng-gelengkan kepala melihat perilaku gadis mabuk itu.

“Zach. Segera ke Cassie 8th Avenue. Ada mangsa terbaru. Dua orang kali ni.”

Sejurus selepas panggilan daripada Inspektor Sophilea diterima Zach, segera dia mengarahkan Elena agar gadis itu segera pulang.

No side detour. Dah lewat malam ni, dan bahaya. Kes pembunuhan bersiri semakin menjadi-jadi sekarang ni. Aku tak nak kau terbabit.”

“Zach, kan kau tengah cuti ni! Dahlah siang tadi kau tidur je sepanjang hari. Baru temankan aku sekejap, kau dah nak pergi kerja...”

Tanpa mengendahkan rengekan Elena, Zach mengeluarkan dan meletakkan wang di atas meja, bayaran bagi minuman yang telah dia dan Elena pesan tadi. “Celia,” ujarnya pada bartender wanita di situ sambil menunjukkan not berjumlah 50 dollar di atas meja. Celia tersenyum dan mengangguk faham.

“Jangan pergi...” untuk kesekian kali Elena memujuk Zach. Harapannya semoga Zach berubah fikiran.

Zach menggeleng-geleng kepala, mengusap-usap kepala Elena dengan lembut, dan tanpa mengendahkan permintaan gadis itu, dia terus bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan. Sebagai seorang polis, walaupun sedang berehat, tidak bermakna tugasan terus diabaikan. Zach sedia berbakti untuk negaranya walaupun baktinya sekecil hama.
***

Taman permainan Cassie 8th Avenue, Bandar Minasotta. 17 April, Sabtu, 10:21 PM.

“Apa persamaan mangsa kali ini?” soal Zach pada Olsen yang merupakan seorang detektif muda, sejurus dia tiba di lokasi.

Olsen mengeluh kecil. “Jantina, dan cara pembunuhan. Sama seperti kes sebelum ni,” balas Olsen ringkas. Dia sebenarnya sudah ketandusan cara untuk menyiasat kes ini.

Zach mencangkung untuk meneliti salah satu mayat di situ. Seorang gadis berusia lewat 20-an, berpakaian pejabat. Punca kematian; jantungnya dirobek keluar, dan dipecahkan.

“Nama mangsa?” soal Zach lagi pada detektifnya yang setia itu.

“Stefanie Stone.”

“SS. Yang lagi satu? ST?”

“Ya. Stacie Trevolt. Ah, pembunuh ada tinggalkan klu lagi kali ni.”

Zach mengambil helaian kertas tertulis sesuatu yang dihulurkan Olsen. Huruf SW yang dicetak di atas kertas bersaiz A4 jelas terpampang.

“SW. Tak kanlah kita nak jaga semua wanita bernama SW pula.”

“Ada lebih kurang lima puluh lebih, tuan.”

Zach mengeluh kuat. Kes yang terjadi kali memang amat memeningkan kepala. Apatah lagi dia baru sahaja menjawat jawatan sebagai pegawai polis setahun yang lalu. Walaupun mereka mendapat klu untuk pembunuhan seterusnya dan telah memaklumkan kepada umum untuk mengambil langkah berjaga-jaga, namun pembunuhan tetap berlaku. Mungkin kerana masyarakat tidak memandang serius kes itu, atau mungkin juga kerana pembunuh adalah seorang yang profesional.

“Er...termasuk Inspektor Sophilea, tuan.”

Baru Zach perasan, Sophilea yang menghubunginya tadi tiada di lokasi. Kerana mereka berdua yang ditugaskan untuk menyiasat kes ini.

“Dia di mana? Balai?”

Olsen mengangguk setuju.

“Siapkan siasatan di sini dan kita pulang ke balai segera. Sediakan semua dokumen berkaitan mangsa sebelum ini juga,” arah Zach pada Olsen dan beberapa lagi polis berpangkat sarjan yang turut berada di situ. Zach mengambil gambar mangsa-mangsa sambil memeriksa keadaan mereka. Suhu mayat masih suam, namun keadaan mangsa amat mengerikan. Zach tidak mahu berlama-lama di situ, melihatkan keadaan sekeliling pun sudah makin dikerumuni orang ramai. Selesai menyiasat keadaan mangsa, segera dia mengarahkan pasukan paramedik untuk mengangkat mayat ke hospital.
***

Balai Polis Utama Bandar Minasotta. 17 April, Sabtu, 11:47 PM.

“Evelyn Hue, Sera Polly Walz, Henriette Ashton, Ervy Hust, Nellia Vavardo, Macy McDickson, Layla Lorient, Augoria Anzalecka, Helen Anderson, Madison Stuart, Stefanie Stone, Stacie Trevolt. Dalam masa dua minggu saja dah 12 orang menjadi mangsa.”

“Dan saya tak dapat kesan walau satu pun pertalian antara mereka, tuan.”

Zach mengurut-urut kepalanya yang terasa berdenyut-denyut. Fail berisi maklumat tentang mangsa-mangsa dibiarkan bersepahan di atas meja. Zach meneliti wajah mangsa satu persatu. Tak kan tiada satu pun persamaan antara mereka?


“Kalau stres pun, fail-fail ni kenalah jaga elok-elok. Kalau hilang atau rosak, kita juga yang susah.”

Inspektor Sophilea menyerahkan secawan kopi kepada Zach sejurus selepas menegur rakan sekerjanya itu. Dia kemudiannya mengemas fail-fail berkaitan mangsa yang bersepahan.

“Sophie, tak mustahil kalau mangsa seterusnya adalah kau. Tak takut ke?” soal Zach disertai sengihan nakal ditujukan pada inspektor cantik itu.

“Jangan pandang rendah pada pemegang tali pinggang hitam karate dan juara menembak di balai ini ya,” telah Sophilea sambil bercekak pinggang.

Zach tersenyum sambil meneguk kopi pekat bancuhan Sophie yang sememangnya digilai para pegawai lelaki di balai polis itu. Sambil meneguk kopi, sambil mata melirik nakal memandang susuk tubuh inspektor wanita itu. Hingga kedengaran detektif Olsen berdehem barulah dia tersedar ke dunia realiti dan kembali memikirkan tentang kes pembunuhan bersiri yang menjadi tugasannya itu.

“Jadi...kau ada jumpa apa-apa maklumat lain ke?” soal Zach pada Sophie setelah dia kembali serius.

“Takde. Kecuali aku pernah berjumpa dengan beberapa mangsa sebelum ni. Jumpa sekali dua ajelah.”

“Maksud kau? Kau berkenalan dengan mereka?”

“Tak, tak. Sekadar bertemu. Sera, Augoria, Madison. Mereka bekerja di kedai yang aku selalu singgah.”

Mendengar pernyataan Sophie itu membuatkan Zach terfikir sejenak. Jika diperhatikan, wajah-wajah mangsa semuanya seperti pernah berjumpa di mana-mana. Mungkin sama seperti Sophie, berjumpa di kedai. Namun kerana kurang pasti, dia mendiamkan sahaja hal itu.

“Ingatan kau kuat betul. Boleh kau cam rupa mereka.”

“Tengok oranglah, Zach,” ujar Sophie sambil membuat muka bangga.

“Dan aku yakin kau juga pernah bertemu dengan mereka bukan, Zachary?”

Kedua-dua mereka menoleh memandang ke arah seorang lelaki yang juga inspektor di situ yang muncul tiba-tiba dari muka pintu.

“Gilberd. Bukankah kau di Klem, siasat tentang kes pembunuhan mafia di situ?” soal Zach penuh kehairanan, dan juga dengan perasaan jengkel.

“Sebab kamu berdua tak efektif! Jadi mereka panggil aku pulang untuk sambung siasat kes ini. Sophie, kau pula ditugaskan untuk berkawal di balai saja.”

“Mengarut, aku tak pernah dengar pun arahan ni! Aku tak setuju!”

“Setuju atau tak, itu arahan ketua. Kalau nak bangkang, pergi bangkang pada dia.”

Suasana menjadi sepi tapi tegang. Kehadiran Gilberd secara tiba-tiba ini telah menyebabkan mereka rimas dan jengkel.

“Aku tanya pada kau lagi, Zach. Kau pasti pernah berjumpa dengan mangsa-mangsa sebelum ini bukan?”

“Atas alasan apa pula kau tuduh aku sebarangan?”

“Ya, atau tak?”

“Negatif. Tak pernah berkenalan dengan salah seorang mangsa pun.”

“Tunggu, Gil. Kenapa kau nak tuduh Zach bukan-bukan pula ni?” Sophie yang turut berasa jengkel menyuarakan pertanyaan.

Gilberd senyap sebentar sambil matanya memandang ke arah Sophie dengan pandangan marah. Seketika kemudian dia bergerak ke meja, mengambil beberapa fail dan melemparkannya ke arah Zach dengan kasar. Tindakannya itu membuatkan Zach berang dan hampir sahaja dia menghadiahkan lelaki kasar itu sebuah tumbukan, mujur Olsen sempat menahannya.

“Evelyn, Henriette, Nellia, Layla. Doesn’t these name hit you?”

Zach hanya diam dengan wajah kehairanan.

Ah, I get it. They are worthless once you slept with them. Ain’t I right, Mr. Cassanova?”

“Gilberd!” lantang suara Sophie memarahi Gilberd namun tidak diendahkannya. Terus sahaja dia berlalu meninggalkan mereka.

Zach, don’t mind that. He just in trouble. Things are not going smooth in Klem. Now he just place everything on you.”

Sayangnya Zach hanya membisu. Wajahnya kelihatan berubah, seperti sedang merisaukan sesuatu.

“Zach?” soal Sophie kehairanan, dan kerisauan.

“Ah, sorry. I’m taking a break,” ujar Zach pendek tanpa memandang Sophie dan terus berlalu keluar meninggalkan gadis itu tercengang.
***

Bilik Persalinan Lelaki, Balai Polis Utama Bandar Minasotta. 18 April, Ahad, 12:25 AM.

No, Elena. I told you I can’t. I’m sorry, I’m quite busy right now. Bye.”

Zach mematikan talian telefonnya dengan satu keluhan. Elena, sememangnya seorang yang degil. Sudah berkali-kali Zach menolak ajakan gadis itu untuk ke konsert, dia masih beria-ia mengajaknya. Letih pula dibuatnya.

Badan sasa Zach disandarkan di dinding bilik persalinan lelaki yang menjadi tempat untuknya menenangkan fikiran. Apa yang dikatakan Gilberd sebentar tadi benar-benar telah memberi tamparan kepadanya. Bukannya dia sengaja untuk melupakan gadis-gadis yang pernah dijumpainya, namun kerana jumlahnya yang terlalu ramai, adalah mustahil untuknya mengingati setiap nama dan wajah mereka. Berkaitan hal dia meniduri wanita-wanita, memang dia tidak menafikan yang dia memang ada berbuat demikian. Namun bukanlah bermaksud yang dia adalah seorang yang suka mengambil kesempatan, kerana ia hanya pernah berlaku sebaik sahaja isterinya meninggal dunia. Dirinya terasa kosong, dunianya gelap. Jadi apa yang pernah dilakukannya adalah sesuatu yang di luar kawalan.

“Cheryl...”

Fikirannya yang melayang terganggu apabila telefon bimbitnya berdering. Dari Elena. Zach tidak mengendahkannya. Dia membiarkan telefon itu berhenti berdering sendiri. Dua kali telefonnya berbunyi, dua kali jugalah dia tidak mempedulikannya. Apabila ia berdering untuk kali ketiga, dan ketika dia sudah bersedia untuk memarahi gadis degil itu, didapati nombor yang terpapar di skrin telefonnya bukanlah milik Elena, sebaliknya milik Olsen.

“Zach, Sophie...tolong, tolong dia!”

“Kenapa dengan Sophie? Sembelit?” gurau Zach, cuba mengubah perasaannya yang sedang bersedih.

“Sophie...” Olsen berhenti untuk mengambil nafas panjang

“Ya?”

“Dia...ditikam!”
***

Hospital Besar Minasotta. 18 April, Ahad, 12:52 AM.

Setiap mereka yang merisaukan keadaan Sophie di hospital besar itu menonjolkan reaksi yang sama. Kerutan di dahi jelas kelihatan di setiap wajah mereka. Masakan tidak, klu SW yang diterima mereka sebelum ini benar-benar bermaksud Inspektor Sophilea Willson.

“Bagaimana keadaan dia, doktor?” Zach orang pertama menerjah ke arah doktor yang merawat Sophie sejurus selepas doktor itu keluar dari bilik kecemasan.

“Mujur sahaja tikaman itu tidak mengenai organ dalaman penting. Dan dia juga segera dibawa ke sini sebelum kehilangan lebih banyak darah. Jadi dia sudah selamat sekarang. Namun dia perlukan rehat yang banyak.”

Penerangan lengkap dari doktor itu tadi melegakan setiap mereka yang berada di situ. Jika apa-apa yang terjadi pada Inspektor Sophie kesayangan para pegawai polis di balai utama Minasotta, siapa tahu apa yang akan terjadi pada penjenayah nanti.

“Saya nak tengok Sophie sekejap,” ujar Zach lalu bingkas menuju ke bilik di mana Sophie berada namun langkahnya terbantut apabila terasa hujung bajunya ditarik seseorang dari arah belakang.

“Elena? Kenapa kau ada di sini? Kan aku dah kata terus balik ke rumah,” berkerut dahi Zach tatkala melihat Elena yang muncul secara tiba-tiba di situ.

“Kenapa dengan Sophie? Dah mati?” balas Elena tanpa mengendahkan pertanyaan Zach yang mengundah kemarahan lelaki itu. Lantang nama Elena dilontarkan oleh lelaki itu yang nampaknya sudah naik berang.

“Olsen. Kau pergi bawa Elena pulang. Dan pastikan yang dia tak keluar lagi,” pinta Zach pada Olsen tatkala dia melihat pembantunya itu tiba di perkarangan wad kecemasan.

“Eh...aku tak nak balik lagilah. Susah-susah je aku datang sini tahu. Nak ajak kau pergi jalan-jalan kat Avelyn Avenue. Bulan malam ni cantik tau,” rayu Elena sambil menggoncang-goncangkan lengan Zach.

“Elena! Tolonglah faham keadaan sekarang ni! Ini bukan masa untuk berseronok! Sudah, Olsen. Kau bawa Elena pulang sekarang.”

“Ah, maaf tuan. Saya rasa saya perlu tolak permintaan itu,” teragu-ragu Olsen menuturkan kata-kata.

“Apa maksud kamu?” soal Zach, enggan berteka-teki.

“Kita terima mangsa seterusnya.”
***

Di celah-celah lorong gelap berdekatan Hospital Minasotta. 18 April, Ahad, 1:15 AM.

“Trisha Stella Johann. Punca kematian adalah sama seperti mangsa sebelum ini.”

“Olsen, klu! Kenapa tiada klu untuk mangsa kali ini?” Zach separa menjerit sambil memegang kuat bahu detektif Olsen yang kelihatan kehairanan dengan tingkah laku Zach itu.

“Bukan tak ada, tapi lewat diterima. Klu ditemui seseorang setelah Inspektor Sophie dimasukkan ke wad kecemasan. Dan kita terima laporan berkenaan mangsa beberapa minit kemudiannya.”

“Dan bukan bermaksud kau perlu lewat khabarkan tentangnya!”

Tersentak Olsen melihat perilaku ganjil Inspektor Zachary yang sebelum ini merupakan seorang yang riang dan penyabar. Olsen terfikir-fikir jika mangsa kali ini mempunyai kaitan dengannya.

“Um, tuan...”

Tanpa sempat Olsen meneruskan kata-katanya, terus sahaja Zach berlalu meninggalkan Olsen tercengang sendirian. Dia melangkah laju ke arah mangsa yang terkulai layu dalam keadaan yang mengerikan. Tanpa berasa geli ataupun loya dengan keadaan mangsa yang sebegitu, Zach mencangkung di sebelah mayat dan mula mengusap-usap rambut mangsa dengan lembut.

Olsen turut berjalan ke arah di mana Zach berada. Di dalam fikirannya kini tertulis beribu persoalan. Namun dia yakin akan sesuatu; Inspektor Zachary mengenali mangsa.

“Trisha. Kekasih lama. Dah jadi mangsa. Macam mana Zach? Ada nak buat pengakuan ke?”

Zachary tersentak dengan suara yang tiba-tiba muncul dari belakangnya. Dia segera bangkit. Ditenung wajah lelaki itu dengan penuh perasaan marah lantas berjalan pantas ke arahnya. Satu tumbukan kuat diberikan kepada lelaki itu tanpa sempat Olsen menahan kerana perkara itu berlaku tertalu pantas. Lelaki yang baru ditumbuk itu hanya tersenyum sambil mengesat darah yang mengalir dari bibirnya.

“Kalau kau tahu akan sesuatu, kenapa kau tak segera selesaikan masalah ni, Gilberd!” lantang suara Zach dilontarkan pada inspektor senior itu.

“Sebab aku yakin jika bukan kau, orang yang berkaitan dengan kau adalah dalangnya. Jadi Zach, sila menyerah.”

“Aku bukan pembunuh! Atas alasan apa aku nak bunuh mereka ni? Bunuh Trisha?”

“Manusia boleh berikan seribu alasan untuk membunuh. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai bipolar, seperti kau.”

Zach sekali lagi tersentak. Bipolar? Apa pula yang lelaki ini merepekkan. Dia yakin dia tiada masalah sebegitu.

“Aku sihat. Tiada masalah seperti yang kau repekkan itu,” ujar Zach tenang.

“Sihat? Kau yakin kau sihat? Jika benarlah kau sihat, apa maksudnya kau jadi separuh gila selepas kematian isteri? Mabuk, kaki perempuan, judi, selalu terdampar di kaki lima separuh bogel. Itu kau kata sihat? Mujurlah ada Elena...”

“Ya, aku akui yang aku jadi kurang waras ketika itu. Tapi itu kisah tiga bulan lepas! Dan disebabkan kematian Cheryl! Kematian seseorang yang amat aku sayangi! Takkanlah perkara sebegini pun kau tak boleh faham?” kedengaran bergetar suara Zach ketika ini. Hatinya bagaikan sedang dicarik-carik. Matanya juga sedikit bergenang.

“Okeylah, bermaksud orang yang berkaitan dengan kau adalah pembunuh. Sekarang Zach, tolong beri kerjasama.”

“Aku dah kata aku tak tahu! Tolong jangan buat spekulasi rambang, Gilberd!”

Olsen yang sejak tadi menjadi penonton setia, cuba menenangkan keadaan. Pertengkaran mereka telah menyebabkan orang ramai berkerumun di tempat kejadian. Segera dia mengarahkan mereka beransur pulang. Cuaca pula mula kelihatan berguruh dengan angin bertiup kuat. Ketika itulah mata Olsen tertancap pada beberapa helaian kertas putih yang agak mencurigakan berterbangan mengenai badan mayat mangsa. Segera dia mendapatkan kertas tersebut.

“Klu! Inspektor! Pembunuh tinggalkan klu lagi kali ni!” jerit Olsen lantang pada inspektor-inspektor yang masih bertelagah sesama sendiri.

“Siapa pula yang hendak dibunuh Zach kali ni. Tolonglah berterus-terang Zach...” keluh Gilberd yang mengundang jelingan maut dari Zach.

“YCT dan ZAL. Dua mangsa, tiga patah nama. Mungkin kali ini kita mudah untuk membuat pengecaman,” tambah Olsen lagi tanpa mengendahkan mereka berdua.

“YCT. Adakah Celia? Yvonne Celia Travis, bartender di Bar le’Orienta?” soal Gilberd, membuatkan masing-masing berkerut dahi.

“Tak perlu pengecaman lagi. Aku yakin mangsa seterusnya adalah Celia. Zach, kau cari siapa ZAL tu, aku ke bar le’Orienta. Dan Olsen, you keep your eyes on him,” ujar Gilberd dan terus segera berlalu pergi.

Zach pula seperti tergamam, entah didengari tidak apa yang baru dikatakan Gilberd.

“Jangan bimbang tuan, saya percayakan tuan,” ujar Olsen sambil tersenyum pada Zach. Namun melihat perilaku inspektor itu yang kaku seperti patung, dia mula mengesyaki sesuatu.

“Tuan, jika ZAL ini bukan bermaksud Zachary Anthony Lloyd, adakah...” soal Olsen seperti dapat membaca apa yang sedang difikirkan Zach.

“Zephilena Ann Lloyd,” gumam Zach perlahan, dan terus berlari ke arah keretanya dan memecut laju. Tujuan, tidak lain tidak bukan, adalah mencari Elena.
***

Dalam kereta Zach. 18 April, Ahad. 1:34 AM.

The number you have dial, is either switch off or busy. Please...

Butang batal pada telefon bimbitnya ditekan. Sudah berpuluh kali dia cuba menghubungi Elena namun gagal. Talian telefonnya langsung tidak dapat disambung.

Elena, the hell did you went to?” gumam Zach sendirian sambil memandu laju. Sudahlah kehadirannya ke rumah Elena tadi mengundang rasa hampa sahaja kerana gadis itu tiada di situ.

Kereta dipandu Zach laju menyelusuri lebuh raya lengang di bandar Minasotta. Tidak tahu ke mana Elena berada, Zach terus sahaja memandu secara rambang. Ketika dia melalui sebuah jalan yang agak tinggi di atas bukit, walaupun terdapat beberapa awan tebal di langit, kelihatan bulan purnama menyinari dengan cahayanya yang sungguh terang. Cahaya bulan itu, membuatkan Zach teringat akan sesuatu.

“Bulan...Avelyn Avenue! Dia ada kata nak ke sana tadi!”

Terus Zach menekal pedal minyak keretanya dengan laju.
***

Bar le’Orienta, Bandar Minasotta. 18 April, Ahad, 1:46 AM.

Ketika Gilberd tiba di bar tersebut, keadaan sudah riuh-rendah. Melihat keadaan itu, Gil yakin yang dia sudah terlambat.

“Polis. Tolong jauhi mangsa. Dan jangan ada sesiapa pun sentuh mayat,” jerit Gilberd pada lautan manusia yang membanjiri bar tersebut.

“Mayat? Biadapnya. Dia masih hiduplah!”

“Apa?”

Mendengar penjelasan mengejutkan dari salah seorang yang berada di situ, segera Gilberd menolak sekalian manusia yang mengganggu pergerakannya ke arah mangsa yang sedang terduduk di tepi kaunter.

“Celia. Aku tahu yang kau masih terkejut dengan apa yang baru terjadi ni, tapi aku nak kau bekerjasama. Beritahu aku, apa yang berlaku sebenarnya?”

Celia masih tergamam semasa pertanyaan itu diajukan kepadanya. Setelah luka pada lengannya siap dirawat rakan sekerjanya, barulah dia nampak tenang, dan mula berbicara.

“Kira-kira pukul 1.15 pagi, kami didatangi seseorang berpakaian hitam. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana dia memakai baju berhud. Tidak mengesyaki apa-apa, saya melayannya seperti pelanggan lain. Ketika saya memberinya segelas air, tidak semena-mena tangan saya dicengkam kuat. Mujur Nicholas perasan dan bertindak cepat menyelamatkan saya kerana tikaman itu, hampir mengenai jantung saya. Dia melarikan diri selepas itu.”

“Kamu nampak tak bagaimana rupa penjenayah tu?”

“Walaupun sekilas, saya dapat rasakan yang saya mengenali dia.”

“Maksud kamu? Dia salah seorang kenalan kamu?”

“Bukan,” Celia berhenti berbicara dan memandang Gilberd dengan pandangan sayu.

“Dia kenalan kamu, inspektor.”
***

Avelyn Avenue. 18 April, Ahad, 2:04 AM.

Tanpa mematikan enjin keretanya, dan dengan meletakkan keretanya itu sebarangan, sebaik sahaja matanya tertancap pada tubuh yang amat dikenalinya itu sedang mencangkung di hadapan sebuah kolam ikan Avelyn Avenue, terus dia berlari mendapatkannya.

“Elena! Mujurlah, kau tak apa-apa. Mari, kita pulang sekarang.”

Elena menoleh, memandang lelaki yang masih tercungap-cungap kerana berlari ketika mendapatkannya. Namun Elena hanya memandangnya dengan pandangan yang kosong. Dia langsung tidak berganjak, apatah lagi menyahut apa yang diutarakan Zach tadi.

“Elena, kau okey tak?”

Zach menarik tangan gadis itu dengan hajat untuk membantunya berdiri. Namun dia tersentak apabila terasa sesuatu yang likat pada tangan Elena.

“Ini...darah? Elena, cepat! Kita ke hospital sekarang!”

Zach segera memaut badan Elena untuk membawanya ke hospital segera. Langkahnya terhenti apabila mendapati Elena enggan berganjak.

“Elena?”

“Tak mengapa, Zach. Aku okey.”

“Tapi darah ni?”

“Betul, aku tak apa-apa. Darah ni pun bukan milik aku.”

Zach kehairanan. “Apa maksud kau, Elena?”

“Dan aku belum nak mati lagi,” jelas Elena sambil tersenyum memandang Zach yang semakin kehairanan.

“Aku tak faham. Elena, kau mabuk ke? Tolong cakap perkara yang aku fahami boleh tak?”

“Klu ZAL tu bukan bermaksud aku. Jangan bimbang.”

Zach tersentak. Bagaimana Elena tahu tentang klu itu? Dia tidak pula ada memberitahunya akan perkara itu.

“Macam mana kau boleh tahu tentang klu tu? Elena, kau jangan main-main lagi. Terus terang dengan aku sekarang,” Zach kini sudah diselubungi rasa curiga.

“Sebab klu tu...” Elena meletakkan tangan kirinya pada pipi Zach, sambil mengusap-usap lembut. Matanya tepat memandang anak mata lelaki itu.

“...adalah bermaksud kau, Zachary!”
***

Dalam kereta Gilberd. 18 April, Ahad. 2:06 AM.

Damn Zachary, why didn’t you pick up your damn phone?

Gilberd mencampak telefon bimbitnya yang tidak bersalah itu ke arah pintu, mujur sahaja ia tidak rosak. Namun keadaan telefon itu kini berderai dengan bateri dan casing telefon tercampak di sekitar tempat duduk penumpang. Dia ada menghubungi Olsen sebentar tadi, Olsen memberitahunya yang dia sedang mengekori Zach yang tidak tahu arah tujuan. Dan apabila Gilberd menghubungi dia semula seketika kemudian, taliannya tidak dapat disambung pula.

Walkie-talkie yang sedia ada di keretanya, diangkat dan dihidupkan. “Gilberd di sini. Mohon untuk kesan di mana lokasi Zachary melalui alat pengesan. Segera!”

Gilberd mencantumkan semula telefon bimbitnya yang sudah berderai itu dan cuba menelefon Zach semula. Masih tiada balasan. Talian Olsen pula masih tidak dapat disambung. Berang dengan keadaan itu, dia menghentakkan tangannya pada stereng kereta. Nyaring sahaja bunyi hon keretanya itu kedengaran.

Damn, why it must be her? Damn it! Zach, please be safe!
***

Avelyn Avenue. 18 April, Ahad, 2:07 AM.

Satu tikaman kuat mengenai tubuh Zach, diajukan tidak lain lagi, oleh Elena. Mujur Zach sempat mengelak, jadi tikaman itu tidak dalam dan hanya mengenai bahagian bahunya.

Please don’t struggle, Zach. If I can’t have you, you are better dead.”

No, Elena. Apa maksud semua ni?”

Darah yang mengalir keluar dari luka tikaman di bahu Zach dibiarkan sahaja terus mengalir. Bagi Zach, apa yang penting sekarang ini adalah menenangkan Elena yang seperti sudah dirasuk. Elena ini, bukan Elena yang dikenalinya.

“Dah berapa kali kau tolak perasaan aku, Zach? Sejak di bangku sekolah lagi aku dah jatuh hati pada kau. Tapi kau tak pernah ambil kisah...”

Sudah merasa sakit atas luka yang dialaminya, penglihatannya juga sedikit kabur. Namun Zach masih menguatkan diri.

“Hinggalah kau berkahwin dengan kawan baik aku, Cheryl. Aku betul-betul tak dapat maafkan kau!”

“Elena...”

“Dan bila Cheryl mati dalam kemalangan, aku tak berasa sedih langsung. Aku rasa gembira, gembira sangat.”

“Elena!”

Kesan dari jeritan itu, Zach melutut kerana tidak dapat menampung rasa sakit lagi. Pandangan matanya juga sudah semakin kabur. Dan darah masih lagi tidak berhenti keluar dari badannya. Elena berjalan selangkah demi selangkah ke arahnya.

“Aku jangka setelah Cheryl tiada, fikiran kau akan berubah. Sayangnya, kau memang degil. Malah kau berfoya-foya pula dengan perempuan lain. Sampai bila baru kau boleh terima aku, Zach?”

We can’t, Elena. We are siblings!”

Half siblings! Don’t forget that. Hakikat yang kita tidak mempunyai ibu yang sama tetap tidak akan berubah sampai bila-bila!”

Zach yang tercungap-cungap kini rebah di tanah. Nampaknya dia sudah banyak kehilangan darah. Elena membongkok dan mencangkung di hadapan abangnya yang sedang kesakitan itu. Dia memegang pipi Zach dan menghalakan muka lelaki itu memandangnya.

I love you, Zach. I really love you. Why can’t you just ignore our parentage history and get together? Am I not good enough for you?” Elena merayu. Lembut sahaja kedengaran suaranya.

You...are...my...sister. Ever...

Kedegilan Zach membuatkan Elena tambah berang. “It’s a goodbye then, brother,” ucap Elena seraya mengacukan pisau yang telah digunakannya untuk menikam Zach tadi. Zach yang sudah tidak dapat menggerakkan badannya walau seinci itu, hanya merelakan sahaja apa yang akan dilakukan Elena. Sekiranya dengan membunuhnya dapat membuatkan Elena gembira, dia reda.

“Ahhhhh!” suara jeritan Zach kerana ditikam Elena bergema di segenap pelusuk taman Avelyn Avenue. Elena sebenarnya tidak berniat untuk membunuh Zach, namun kerana satu bidikan yang muncul tanpa dia sedari telah tepat mengenai tangannya, membuatkannya tersasar dan tertikam luka pada bahu Zach. Elena menoleh ke belakang, berang.

“Sila menyerah diri, Elena,” pinta lelaki yang baru sahaja melepas sedas tembakan   tepat mengenai Elena. Suaranya kedengaran bergetar, nafasnya tercungap-cungap. Ternyata, detektif muda ini jarang mengendalikan senjata api.

Nice shot, detective. Kenapa tak bidik terus ke sini?” ujar Elena sambil meletakkan jari telunjuk pada kepalanya.

Don’t make me repeat myself. Be a good girl and surrender, so we can send Zach to hospital.”

Mendengar kata-kata dari detektif Olsen membuatkan Elena ketawa sekuat-kuatnya. “Hahaha, takutnya aku! Perasan berani ya detektif muda!” ujar Elena dan terus ketawa. Dia seolah-olah sudah hilang kewarasan diri. Selain itu, luka ditembak Olsen tadi turut seperti tidak memberi kesan langsung kerana luka itu telah sembuh sepenuhnya. Hal ini telah mengundang rasa hairan Olsen.

“Elena...luka kau...?”

Gadis histerik yang sedang ketawa mengilai seperti hantu itu terhenti ketawa setelah mendengarkan pertanyaan detektif muda yang sedang kehairanan. “Oh, ini ke?” ucap Elena pendek. Bagaikan magis, dia kemudiannya mengeluarkan peluru yang terkandung dalam tangannya. “Sungguh berguna bukan?” kata gadis itu sambil tersenyum.

“Kau...kau apa sebenarnya?” soal Olsen diikuti berdas-das tembakan diajukan ke arah Elena. Walaupun ketakutan, dia masih berhati-hati agar tiada peluru sesat mengenai Zach yang seperti sudah pengsan itu. Elena pula hanya berdiri tegak tanpa sebarang emosi.

“Biadapnya kau ni. Kau memang dah tempah maut ya. Baiklah, aku akan kabulkan permintaan kau yang hendak ke neraka segera.”

Ketika ini, Olsen menjadi saksi kepada sesuatu luar dari kebiasaan yang sedang berlaku. Elena yang berada di hadapannya, bukan lagi Elena yang biasa. Dia telah berubah menjadi raksasa! Wajah putih bersih gadis itu telah berubah kemerah-merahan, ditambah dengan munculnya gigi taring dari dalam mulutnya. Kukunya turut bertambah panjang dan tajam. Keadaan Elena sekarang ini memang mengerikan.

Olsen melangkah setapak ke belakang. Dia cuba menembak ke arah raksasa itu, malangnya dia terlupa akan peluru pada pistolnya telah kehabisan. Elena kini sedang memandang tepat kepadanya dengan matanya yang merah padam itu. Olsen yakin, yakin yang dia akan dibunuh jika dia tidak berbuat sesuatu. Ketika dia ingin membuka langkah untuk melarikan diri, dengan sepantas kilat Elena kini sudah berada di belakangnya. Dia menoleh ke belakang perlahan-lahan, jelas kelihatan gadis raksasa itu sedang tersenyum dengan cara yang mengerikan.

“Selamat tinggal,” ucap Elena pendek pada detektif yang sedang terketar-ketar itu.

“Tunduk!”

Suara keras dari seseorang yang mengarahkannya tunduk mengejutkannya dari terus membatu. Segera Olsen tunduk seperti dipinta sambil menutup kedua-dua telinganya. Pada masa yang sama juga kedengaran bunyi tembakan yang mana arahnya ditujukan pada Elena, tepat mengenai dadanya namun tidak mendatangkan sebarang kesan. Elena masih lagi hidup.

No. Not even you, Zachary!

Zach yang masih longlai itu berdiri dengan tangannya memegang kemas pistolnya, dan dihalakan pada Elena. Selain darah, air matanya juga deras mengalir.

Elena...please stop. I beg you. Please...

Elena yang sudah hilang kewarasan itu menjadi berang. Lantas dia bergerak laju ke arah Zach sambil mengacukan kuku tajamnya. Dia benar-benar mahu membunuh Zach kini. Zach pula melepaskan beberapa das tembakan yang langsung tidak memberi kesan sehinggalah kuku tajam milik Elena menembusi badan Zach, sipi sahaja mengenai jantungnya. Darah kembali membuak keluar, diikuti jeritan kerisauan daripada Olsen.

I can kill you this instant, Zach. Just like how I killed those sluts. But I still give you chance. So Zach, will you love me?”

Zach mendakap badan Elena, dagunya diletakkan di bahu gadis itu. Bibirnya pula dihalakan tepat pada telinga Elena. Dengan tercungap-cungap dia membalas, “I am, and always love you, Elena. Always. As my sister.

Elena berang dengan pengakuan dari Zach yang baru didengarinya. Dia menjerit sekuat-kuatnya. Hingga Olsen yang berada agak jauh dari mereka turut berasa bingit.

I’ll kill you Zach! I’ll kill you!

Tangan Elena yang sedia berada di dalam badan Zach, hanya seinci sahaja dari jantungnya, digerakkan. Elena sudah nekad. Dia benar-benar ingin membunuh Zach dengan cara sama sebagaimana dia membunuh wanita-wanita yang mati sebelum ini. Olsen yang sejak tadi menjadi penonton setia, menerpa ke arah mereka dengan harapan untuk menyelamatkan Zach walaupun dia tahu ia akan membahayakan dirinya.

Pam! Satu das tembakan tepat mengenai kepala Elena. Darah berhamburan keluar. Namun sama seperti tadi, tiada kesan langsung tembakan itu padanya. Elena tersenyum.

“Tak kira berapa kali kau tembak aku, aku takkan mati, Zach. Now, it’s time to say goodbye, Zachary.”

“No. It’s time for you to say goodbye, Elena.”

Zach menembak hancur sebiji permata berwarna hitam yang diambil keluar daripada kepala Elena yang baru ditembak tadi. Batu itulah punca Elena berubah menjadi raksasa. Zach pernah membaca berkenaan batu permata hitam ini di bilik bacaan ayahnya suatu ketika dahulu, jadi dia yakin inilah caranya untuk membuatkan Elena kembali pulih seperti biasa.

Elena menjerit sekuat-kuatnya. Wajahnya berubah sedikit demi sedikit menjadi sedia kala. Bekas tembakan yang diterimanya tadi turut kembali terbuka.

“Zach...Zach...” ucap Elena tercungap-cungap di pembaringannya yang beralaskan darah merah dan diselimuti angin sejuk. Beberapa titis air hujan turut mula menitik. Perlahan-lahan Zach menghampiri adiknya, mengangkat kepala gadis itu dengan penuh berhati-hati untuk diletakkan di atas pehanya, mengusap-usap rambutnya dengan lembut dan mengucup dahinya.

Elena tersenyum. Matanya sudah menjadi berat namun dia masih ingin menatap wajah yang amat dikasihinya itu.

I love you, brother.”

And I always love you, my lovely sister.”

Elena tersenyum untuk kesekian kali sebelum dia melepaskan nafas terakhir. Elena pergi dalam pangkuan abangnya, Zachary. Walau Zach kelihatan tenang, namun dia tetap tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir. Masakan tidak, satu-satunya ahli keluarganya yang ada telah turut pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
***

Kawasan Perkuburan Hilir Minasotta. 9 September, Khamis, 08:03 AM.

Happy birthday, Elena. And you too, Cheryl.”

Zach meletakkan satu bar coklat di atas kubur Elena, manakala satu lagi bar coklat putih di atas kubur Cheryl. Kedua-dua mereka mempunyai tarikh lahir yang sama, dan amat gemarkan coklat. Inspektor yang masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaannya itu berdiri di hadapan kedua-dua kubur insan kesayangannya yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Di tangannya terdapat sekeping gambar lama. Gambar tiga remaja berseragam sekolah, dan mereka tampak gembira. Dia kemudiannya memandang kedua-dua kuburan itu dengan pandangan sayu.

It’s not your fault.” Kedengaran suara Cheryl bergema di corong telinganya.

I’m sorry, brother.” Kini kedengaran pula suara Elena. Zach tersenyum.

“Haha, I know,” gumam Zach sendirian sambil melepaskan keluhan panjang. Pandangan matanya dilemparkan jauh ke langit yang tiada berpenghujung.

“Tuan!”

Zach menoleh. Detektifnya yang setia, Olsen sedang berlari-lari anak menuju ke arahnya.

“Em, tuan. Saya berat hati nak beritahu...”

“Kenapa? Ada kes baru?” soal Zach. Olsen bersetuju dengan anggukan.

“Tuan pun tahu kan, yang tuan ada cuti lagi sebulan. Tak sampai hati pula nak minta tuan bekerja dalam keadaan masih tak sihat ni...”

Zach ketawa besar mendengarkan pengakuan jujur detektif muda itu. “Takpelah Olsen. Saya pun dah naik bosan cuti lama-lama. Jadi, apa kes kali ini?”

Olsen menghulurkan sebuah fail berisi maklumat berkaitan kes yang perlu disiasat mereka. Zach segera membelek-belek fail tersebut.

“Bukan ke ni kes Gilberd? Tak selesai-selesai lagi ke?”

“Kes tu makin serius. Dah merebak sampai ke Minasotta. Lagipun...”

“Lagipun?”

“Inspektor Gilberd nak bercuti sebulan.”

“Ha, kenapa?”

Olsen menggaru-garu pipinya sebelum menyambung semula kata-katanya, “dia...nak kahwin.”

Terlopong luas Zach tatkala mendengarkan pernyataan yang sungguh mengejutkan daripada detektif itu. “Gilberd? Si singa tu? Nak kahwin? Siapalah yang sudi kahwin dengan dia tu?” seloroh Zach diikuti gelakan.

Olsen tersenyum sedikit sebelum membalas, “Inspektor Sophie.” Sekali lagi Zach ternganga luas.

“Khabarnya Inspektor Gilberd kerap bertemu Inspektor Sophie ketika dia dirawat di hospital. They developed feelings around that time.”

“Ah Sophie. Kenapalah kau pilih lelaki macam tu buat suami?” ujar Zach sambil menekup mukanya. “Ruginya...” sambungnya lagi.

“Er, tuan. Kalau tuan nak tahu, tuan sebenarnya popular di kalangan pegawai wanita. Terutamanya di seksyen trafik. Mungkin tuan boleh cuba nasib di situ?” seloroh Olsen sambil menyiku Zach. Namun Zach hanya tertawa.

“Takpelah Olsen. Nanti ajelah. Buat masa ni, hati saya masih ada pada mereka berdua,” ujar Zach sambil melemparkan pandangan pada kubur Elena dan Cheryl.

“Tuan cakap untuk sedapkan hati je ke? Takut disumpah mereka?” seloroh Olsen lagi.

“Hei, saya jujur ni!” balas Zach diikuti gelak tawa mereka berdua.

“Ah, tuan. Ketua minta kita pulang ke balai untuk perbincangan dahulu sebelum memulakan operasi. Nanti dah selesai urusan tuan di sini, tuan terus ke balai ya. Saya tunggu di sana.” Olsen berlalu sejurus selepas Zach mengangguk faham.

Zach duduk di sebuah kerusi batu yang terdapat di hadapan kubur Elena dan Cheryl. Matanya merenung kuburan kedua-dua mereka silih berganti. Dia sebenarnya ingin berlama-lama di situ, tapi memikirkan yang hatinya masih tidak kuat untuk menerima hakikat bahawa mereka sudah tiada lagi, dia memutuskan untuk duduk dalam beberapa minit sahaja. Kenangan bersama-sama mereka berdua satu ketika dulu turut berlegar-legar di fikiran.

“Saya akan datang lagi nanti. Selamat tinggal, dan saya sayangkan kamu berdua, Elena, Cheryl,” ucap Zach perlahan. Dia mula melangkah meninggalkan kuburan mereka yang terletak tinggi di atas bukit, dan mempunyai pemandangan yang sungguh indah.

We love you too, Zachary.

***

2 comments:

  1. Best gila!
    Such an unexpected storyline! Love ittt.. hope boleh hasilkan karya2 lain sehebat ini. ^^ gud luck

    @fa

    ReplyDelete
  2. eh...really.. *malumalu* terime kasih~ >w< niat hasilkan karya2 mcm ni mmg ada cuma terjahan idea belum ada.. apepun terime kasih sbb sudi lawat n baca karya saya~ :)

    ReplyDelete

Terima kasih kerana melawat & menkomen~ :)